Translate

Sunday, March 29, 2015

Penonton bola sepak mengaku merusuh, menyerang

SHAH ALAM - Enam tertuduh termasuk dua beradik yang sebelum ini tidak mengaku bersalah menukar pengakuan masing-masing di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan merusuh dan menyerang penyokong bola sepak Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada 7 Disember tahun lalu.

Mohd. Aminuddin Hamdan, 34, dan adiknya, Noor Hadim, 29, dari Felda Sungai Sibol, Kulaijaya, Johor membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.

Turut menukar pengakuan kepada bersalah ialah pekerja kargo, Amirul Akhmal Nooradzhar, 22, penghantar surat, Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28, pelajar institusi pengajian tinggi, Muhammad Naquiyuddin Salehudin dan pembantu jualan, Muhamad Izzat Mohd. Khir, 25.

Berdasarkan kertas pertuduhan, peniaga sate, Mohd. Aminuddin dan Noor Hadim yang turut membantu ayahnya mengusahakan ladang kelapa sawit serta empat tertuduh lain didakwa bersama beberapa individu lain yang masih bebas merusuh dan menyerang penyokong Vietnam yang menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di kawasan Quarant A, Stadium Shah Alam.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd. Aminuddin dan Noor Hadim diwakili peguam bela M. Hafiz Zainol Abidin manakala peguam bela Muhammad Hidhir Mustapa pula mewakili Amirul Akhmal, Zulhelmy dan Muhamamd Naquiyuddin.

Muhammad Izzat yang bekerja di sebuah kedai kain batik di Senawang, Negeri Sembilan pula diwakili peguam bela, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip.

Norshakinah memutuskan untuk hukuman kepada  lima tertuduh terbabit kecuali Muhammad Naquiyuddin bakal dijatuhkan pada Isnin ini.

Beliau juga mengarahkan laporan akhlak terhadap Muhammad Naquiyuddin yang masih di bawah umur 21 tahun dikemukakan pada 28 April depan sebelum hukuman bagi tertuduh keenam itu ditetapkan kemudian.

Sebelum ini, kesemua tertuduh  membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan tersebut pada 17 Disember dan 23 Disember tahun lalu.

No comments:

Post a Comment