Translate

Friday, March 20, 2015

Padah bawa suar masuk stadium

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Gara-gara membawa suar ke dalam stadium, seorang penyokong pasukan bola sepak Selangor didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Farah Azura Mohd. Saad memerintahkan demikian selepas Mohd. Amerul Ashraf Yaali, 20, yang juga penjual burger mengaku bersalah membawa barangan terlarang itu sewaktu menonton perlawanan Liga Super antara Selangor dan Sarawak di Stadium Shah Alam di sini pada Sabtu lalu.
Tertuduh yang berasal dari Sekinchan, Sabak Bernam hadir ke stadium tersebut untuk menonton perlawanan bola sepak berkenaan pada pukul 7.45 malam 14 Mac lalu.
Sewaktu pemeriksaan di pintu masuk C stadium itu, sebatang suar telah ditemui di dalam beg sandang berwarna merah yang dipakai tertuduh.
Mohd. Amerul didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Farah Azura yang mengambil kira pengakuan bersalah dan keinsafan tertuduh menjatuhkan hukuman denda RM1,300 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Denda berkenaan dibayar oleh ahli keluarga Mohd. Amerul.

Suar yang menghasilkan cahaya tanpa sebarang ledakan 
merupakan antara barangan larangan di bawa oleh penonton oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ia sering dinyalakan samseng bola sepak tempatan untuk menimbulkan kekacauan di dalam stadium.

No comments:

Post a Comment