Translate

Tuesday, March 31, 2015

Kru kapal warga China diselamatkan APMM

PELABUHAN KLANG - Tindakan pantas Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan 10 kru sebuah kapal penyedut pasir warga China setelah kapal mereka karam di perairan Tanjung Rhu, Sepang dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 pagi itu, kapal TJ9 yang berukuran 86 meter itu mengalami kebocoran pada bahagian enjin pada kedudukan tujuh batu nautika di barat daya Tanjung Rhu.

Seorang kru kapal yang enggan dikenali memberitahu, sewaktu kejadian mereka dalam perjalanan ke utara tanah air dari Johor untuk melakukan kerja-kerja menyedut pasir.

"Kami tidak sedar berlaku kebocoran teruk di bahagian enjin kapal sehingga mendapati kapal yang berukuran 86 meter x 14 meter tiba-tiba senget dan hampir karam.

"Dalam keadaan kelam-kabut salah seorang daripada kru kapal sempat menghubungi agen di Johor sebelum kami menyelamatkan diri dengan menaiki sebuah bot kecemasan dalam keadaan bersesak-sesak," katanya ketika ditemui di Pejabat Maritim Daerah Klang di Pelabuhan Utara dekat sini semalam.

Menurut mangsa lagi, mereka bernasib baik kerana telah diselamatkan sepasukan anggota Maritim Malaysia dengan menggunakan dua bot ronda tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang berkata, kesemua mangsa yang ditempatkan sementara di Pejabat Maritim Daerah Klang didapati tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan akan diserahkan kepada agen mereka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kapal TJ9 yang didaftarkan di Bolivia mempunyai dokumentasi sah untuk melalui perairan negara.

No comments:

Post a Comment