Translate

Monday, March 16, 2015

Culik budak kononnya terlalu sayang


SHAH ALAM – Hanya bermotifkan kononnya terlalu sayang, seorang wanita Indonesia berusia 40-an bertindak gila apabila tergamak menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan di rumah penga­suhnya di Taman Seri Andalas, Klang Rabu lalu.
Bagaimanapun, ‘kasih sayang’ wanita tersebut yang dipercayai dikenali keluarga kanak-kanak berkenaan berakhir apabila mang­sa berjaya diselamatkan sepasukan polis di sebuah pangsapuri di Jalan Kepong, Kuala Lumpur dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat (gambar kecil) berkata, suspek wanita berkenaan berpura-pura melawat kanak-kanak tersebut di rumah pe­ngasuh yang juga ibu saudaranya sekitar pukul 4 petang Rabu lalu.
Katanya, wanita tersebut nekad melarikan budak itu menggunakan sebuah kereta Proton Wira Aeroback ketika pengasuhnya mening­galkan mereka berdua untuk ke bilik air.
“Kereta terbabit dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun. Dia tidak masuk ke dalam rumah, tetapi menunggu di dalam kereta yang diletakkan di hadapan rumah penga­suh mangsa.
“Sewaktu kanak-kanak itu dilarikan, pengasuh mangsa berada di dalam bilik air.
“Dia yang juga ibu saudara budak itu tidak menyangka suspek yang merupakan kenalan keluarganya tergamak menculik mangsa,” kata­nya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kamarul Zaman berkata, pengasuh tersebut yang panik telah menghubungi bapa bayi itu yang juga seorang pengusaha salon kecantikan berusia 37 tahun sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Menurut beliau, hasil siasatan kemudiannya berjaya menjejak wanita warga Indonesia itu seterusnya memberkasnya bersama seorang lagi wanita tempatan berusia 25 tahun di sebuah pasar raya perabot di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada pukul 5 petang, kelmarin.

"Setelah kedua-dua suspek disoal siasat, anggota polis telah bergegas ke sebuah pangsapuri di Jalan Kepong yang merupakan lokasi bayi malang berkenaan disembunyikan.

"Tidak lama kemudian, suspek ketiga iaitu lelaki dipercayai memandu kereta yang melarikan mangsa telah ditahan di Bandar Bukit Tinggi, Klang," katanya.

Jarak Taman Seri Andalas ke Jalan Kepong adalah sekitar 40 kilometer.

Kamarul Zaman memberitahu, tiga telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang disyaki digunakan dalam penculikan berkenaan turut dirampas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek ketiga iaitu lelaki tempatan terbabit mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes menipu.

"Kanak-kanak lelaki terbabit telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

"Motif kejadian masih disiasat tetapi suspek pertama iaitu wanita warga Indonesia mendakwa bayi itu dilarikan kerana terlalu mengasihi mangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment