Translate

Wednesday, March 11, 2015

Azmin Ali mahu pemilikan tanah Selangor diiktiraf

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberi kata dua kepada kerajaan Persekutuan agar mengiktiraf pemilikan tanah dan aset air kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Menurutnya, ia merupakan syarat utama untuk kembali ke meja rundingan untuk meneruskan perjanjian utama bagi pengstrukturan semula industri air di negeri itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu kehilangan kedaulatan terhadap tanah dan aset air berjumlah RM14.9 bilion tersebut dan keengganan kerajaan Persekutuan menerima syarat itu antara punca utama perjanjian yang ditandatangani pada 12 September tahun lalu dibatalkan.

"Kerajaan Persekutuan juga enggan mengiktiraf dan menerima pemindahan RM2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada syarikat tersebut bagi mengambilalih kesemua konsesi air di Selangor.

"Selain itu, Lesen Kemudahan itu bagi membolehkan syarikat milik kerajaan negeri Selangor terbabit memiliki kesemua baki aset air juga tidak dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Azmin berkata, kerajaan negeri Selangor juga tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Persekutuan yang didakwa cuba melengah-lengahkan kelulusan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan di antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) DAN Air Selangor bagi penyewaan aset air.

Sehubungan itu, Azmin berkata, kerajaan negeri Selangor hanya bersedia untuk berbincang ke arah mencapai persetujuan untuk manfaat pengguna air Lembah Klang termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur sekiranya kerajaan Persekutuan memenuhi kesemua permintaan berkenaan.

Kosmo! semalam melaporkan Azmin mengumumkan perjanjian penstrukturan industri bekalan air antara Selangor dan kerajaan Persekutuan yang tamat kelmarin tidak akan disambung kerana mendakwa kerajaan Persekutuan telah 'melanggar syarat perjanjian'.

Keputusan membatalkan perjanjian tersebut menyebabkan kira-kira 7.6 juta penduduk Lembah Klang kini berisiko mengalami krisis bekalan air yang dahsyat.

Ia juga bakal menjejaskan hasrat kerajaan Persekutuan untuk membina Loji Rawatan Langat 2 bernilai RM8.56 bilion yang dijangka siap pada tahun 2017 serta mampu membekalkan air mentah sebanyak 1.89 bilion liter sehari kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


No comments:

Post a Comment