Translate

Tuesday, March 31, 2015

Pembunuh kejam terima balasan

SHAH ALAM – Perbuatan kejam seorang pendawai elektrik menghentak kepala seorang perunding teknologi maklumat (IT) sehingga mati ketika memecah masuk rumah mangsa kira-kira tiga tahun lalu berbalas apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Mohd. Naim Ramli, 27, didapati bersalah membunuh Loh Min Lee, 36, di dalam rumah mangsa di Taman Putra Perdana, Puchong pada pukul 4.15 petang, 7 Disember 2012.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintahkan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.
Beliau berkata, pihak pendakwaan yang mengemukakan 22 orang saksi berjaya membuktikan Mohd. Naim bertanggungjawab sepenuhnya menyebabkan kematian Min Lee berdasarkan kesan cap jari milik tertuduh yang ditemui di dalam rumah mangsa.
“Keterangan saksi pendakwaan ke-14, Abdul Hazim Fazala Rahman yang juga rakan sejenayah tertuduh turut diterima mahkamah kerana ia konsisten dengan kenyataan beberapa orang saksi pendakwaan yang lain.
“Selain itu, keterangan tertuduh yang merupakan satu-satunya saksi pihak pembelaan didapati sekadar penafian semata-mata. Saya memerintahkan tertuduh digantung sampai mati,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya.

Kosmo! 10 Disember 2012 melaporkan mayat Min Lee ditemui dengan kesan kecederaan di kepala di atas katil bilik tidur utama di tingkat atas rumah teres dua tingkat didiaminya oleh ibunya setelah tiga hari gagal dihubungi.

Selain itu, kereta Toyota Vios, televisyen dan dompet milik mangsa turut didapati telah disamun oleh tertuduh yang memecah masuk rumah itu.

Padah serang penyokong Vietnam

SHAH ALAM – Lima lelaki termasuk dua beradik dihukum denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana merusuh ketika perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam di sini pada 7 Disember tahun lalu.
Mohd. Aminuddin Hamdan, 34, dan adiknya, Noor Hadim, 29, dari Felda Sungai Sibol, Kulaijaya, Johor telah membuat pengakuan bersalah terhadap pendakwaan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin pada sebutan semula kes itu pada Jumaat lalu.
Turut dihukum denda setelah mengaku salah atas pertuduhan itu ialah pekerja kargo, Amirul Akhmal Nooradzhar, 22, penghantar surat, Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28, dan pembantu jualan, Muhamad Izzat Mohd. Khir, 25.
Berdasarkan pertuduhan, peniaga sate, Mohd. Aminuddin dan Noor Hadim serta tertuduh lain didakwa bersama beberapa individu lain yang masih bebas merusuh dan menyerang penyokong Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di kawasan Quarant A, Stadium Shah Alam.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Norshakinah turut memerintahkan kelima-lima tertuduh dikenakan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela Muhammad Hidhir Mustapa, M. Hafiz Zainol Abidin, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud membayar denda tersebut.

Sementara itu, hukuman bagi seorang lagi tertuduh, Muhammad Naquiyuddin Salehudin, 20, ditetapkan pada 28 April ini bagi mendapatkan laporan sosialnya kerana ketika kejadian, dia merupakan pesalah muda.

Sebelum ini, kesemua tertuduh  membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan tersebut pada 17 Disember dan 23 Disember tahun lalu.




Kru kapal warga China diselamatkan APMM

PELABUHAN KLANG - Tindakan pantas Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan 10 kru sebuah kapal penyedut pasir warga China setelah kapal mereka karam di perairan Tanjung Rhu, Sepang dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 pagi itu, kapal TJ9 yang berukuran 86 meter itu mengalami kebocoran pada bahagian enjin pada kedudukan tujuh batu nautika di barat daya Tanjung Rhu.

Seorang kru kapal yang enggan dikenali memberitahu, sewaktu kejadian mereka dalam perjalanan ke utara tanah air dari Johor untuk melakukan kerja-kerja menyedut pasir.

"Kami tidak sedar berlaku kebocoran teruk di bahagian enjin kapal sehingga mendapati kapal yang berukuran 86 meter x 14 meter tiba-tiba senget dan hampir karam.

"Dalam keadaan kelam-kabut salah seorang daripada kru kapal sempat menghubungi agen di Johor sebelum kami menyelamatkan diri dengan menaiki sebuah bot kecemasan dalam keadaan bersesak-sesak," katanya ketika ditemui di Pejabat Maritim Daerah Klang di Pelabuhan Utara dekat sini semalam.

Menurut mangsa lagi, mereka bernasib baik kerana telah diselamatkan sepasukan anggota Maritim Malaysia dengan menggunakan dua bot ronda tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang berkata, kesemua mangsa yang ditempatkan sementara di Pejabat Maritim Daerah Klang didapati tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan akan diserahkan kepada agen mereka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kapal TJ9 yang didaftarkan di Bolivia mempunyai dokumentasi sah untuk melalui perairan negara.

Dua militan IS warga Iraq diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Polis memberkas dua lelaki warga Iraq yang disyaki anggota militan Negara Islam (IS) di ibu negara Khamis lalu.
Dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun itu dipercayai dihantar kumpulan tersebut ke negara ini baru-baru ini bagi melakukan misi khas termasuk melakukan serangan ke atas pejabat Kedutaan Besar Arab Saudi dan Qatar di ibu kota.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan anggota Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Keganasan) Bukit Aman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
“Kita percaya dua lelaki warga Iraq ini telah dihantar IS ke negara ini untuk melakukan sesuatu. Mereka didapati masuk ke negara ini secara sah.
“Alhamdulillah kita dapat mengesan mereka sekali gus mematahkan perancangan itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Khalid berkata, kedua-dua suspek kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Difahamkan, kedua-dua suspek berkenaan telah melakukan ugutan bunuh terhadap Duta Besar Arab Saudi dan Qatar di negara ini selain mendakwa bersedia melakukan serangan ke atas kedua-dua pejabat kedutaan negara Arab terbabit yang dirancang dilakukan pada Selasa ini.
Kelibat dua lelaki warga Iraq itu dikenal pasti berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai khas Kedutaan Besar Qatar di Malaysia di pejabat kedutaan besar itu di Jalan Ampang Hilir baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Khalid menegaskan, penahanan dua anggota militan terbabit membuktikan ancaman IS adalah nyata dan ia mampu mengancam keselamatan negara sekiranya tidak ditangani secara berhati-hati.

Monday, March 30, 2015

Samseng bola pukul penyokong Vietnam didenda RM2,500

SHAH ALAM - Lima penyokong bola sepak tempatan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan merusuh dan menyerang penyokong Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam di sini pada 7 Disember tahun lalu.
Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin memutuskan demikian selepas Amirul Akhmal Nooradzhar,22, Mohd. Aminuddin Hamdan, 34, Noor Hadim Hamdan, 29, Zulhelmy Zainol Abidin, 28 dan Muhammad Izzat Mohd. Khir, 25, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan itu pada Jumaat lalu.
Beliau juga memerintahkan setiap tertuduh dikenakan hukuman penjara enam bulan sekiranya denda terbabit gagal dibayar.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - KOSMO!

Pemandu teksi maut ditetak

SHAH ALAM – Gara-gara berebut seorang wanita warga Indonesia, seorang pemandu teksi maut ditetak oleh seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah di Jalan Kepayang, Klang dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10.10 malam, Mohd. Alias Mahani, 55, ditemui tertiarap dalam keadaan berlumuran darah di salah sebuah bilik di rumah suspek tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sebelum kejadian, mang­sa dikatakan telah bertemu dengan lelaki Bangladesh itu yang berusia dalam lingku­ngan 30-an di hadapan sebuah kedai kosong di Batu 1/2, Jalan Meru, Klang dekat sini.
“Menurut seorang saksi yang juga rakan Mohd. Alias, mangsa yang cemburu melihat kemesraan lelaki Bangladesh itu dengan teman wanitanya yang dikenali sebagai Warti telah bertemu suspek untuk mendapat penjelasan.
“Saksi yang ketika itu berada di dalam teksi mangsa telah bertindak masuk campur dan menolak bahu suspek setepas melihat Mohd. Alias dan lelaki Bangladesh itu bertengkar serta tolak-menolak,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Mohamad Shukor berkata, tindakan saksi kejadian itu telah menyebabkan suspek melarikan diri ke arah Jalan Kepayang de­ngan dikejar oleh mangsa.
Katanya, risau setelah kelibat Mohd. Alias dan suspek hilang daripada pandangan, saksi de­ngan bantuan seorang rakannya yang lain cuba mencari mangsa di kawasan sekitar namun gagal.
“Selepas sejam, mereka menghubungi Warti. Wanita itu kemudiannya membawa mereka ke rumah lelaki Bangladesh tersebut yang terletak hampir satu kilometer dari Batu 1/2, Jalan Meru dan seterusnya membawa kepada penemuan mayat Mohd. Alias,” katanya.
Mohamad Shukor berkata, mayat mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai ditetak dengan parang telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, suspek dipercayai telah melarikan diri de­ngan senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bunuh perunding teknologi maklumat, penganggur dihukum gantung

SHAH ALAM - Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang perunding teknologi maklumat di Puchong kira-kira tiga tahun lalu. 

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintahkan Mohd. Naim Ramli,27, menjalani hukuman demikian selepas pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang dikemukakan pihak pendakwaan. 

Tertuduh didakwa membunuh Loh Min Lee, 36, dengan mencederakan kepalanya ketika memecah rumah mangsa di Taman Putra Perdana, Puchong pada 7 Disember 2012. - KOSMO!

Sunday, March 29, 2015

Penonton bola sepak mengaku merusuh, menyerang

SHAH ALAM - Enam tertuduh termasuk dua beradik yang sebelum ini tidak mengaku bersalah menukar pengakuan masing-masing di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan merusuh dan menyerang penyokong bola sepak Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada 7 Disember tahun lalu.

Mohd. Aminuddin Hamdan, 34, dan adiknya, Noor Hadim, 29, dari Felda Sungai Sibol, Kulaijaya, Johor membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.

Turut menukar pengakuan kepada bersalah ialah pekerja kargo, Amirul Akhmal Nooradzhar, 22, penghantar surat, Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28, pelajar institusi pengajian tinggi, Muhammad Naquiyuddin Salehudin dan pembantu jualan, Muhamad Izzat Mohd. Khir, 25.

Berdasarkan kertas pertuduhan, peniaga sate, Mohd. Aminuddin dan Noor Hadim yang turut membantu ayahnya mengusahakan ladang kelapa sawit serta empat tertuduh lain didakwa bersama beberapa individu lain yang masih bebas merusuh dan menyerang penyokong Vietnam yang menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di kawasan Quarant A, Stadium Shah Alam.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd. Aminuddin dan Noor Hadim diwakili peguam bela M. Hafiz Zainol Abidin manakala peguam bela Muhammad Hidhir Mustapa pula mewakili Amirul Akhmal, Zulhelmy dan Muhamamd Naquiyuddin.

Muhammad Izzat yang bekerja di sebuah kedai kain batik di Senawang, Negeri Sembilan pula diwakili peguam bela, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip.

Norshakinah memutuskan untuk hukuman kepada  lima tertuduh terbabit kecuali Muhammad Naquiyuddin bakal dijatuhkan pada Isnin ini.

Beliau juga mengarahkan laporan akhlak terhadap Muhammad Naquiyuddin yang masih di bawah umur 21 tahun dikemukakan pada 28 April depan sebelum hukuman bagi tertuduh keenam itu ditetapkan kemudian.

Sebelum ini, kesemua tertuduh  membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan tersebut pada 17 Disember dan 23 Disember tahun lalu.

Saturday, March 28, 2015

10 kru kapal karam diselamatkan APMM

PELABUHAN KLANG - Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan 10 kru kapal penyedut pasir yang karam kira-kira tujuh batu nautika dari barat daya perairan Tanjung Rhu berhampiran Teluk Gedung dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Aliyas Hamdan berkata, sewaktu diselamatkan pada kira-kira pukul 1.30 pagi, kesemua kru warga China berumur dalam lingkungan 20-an hingga 50-an dalam keadaan lemah di dalam bot kecemasan tidak jauh dari kapal yang karam terbabit.
"Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan telah ditempatkan sementara di Pejabat Maritim Klang.
"Siasatan awal mendapati kapal berkenaan sedang menuju ke utara tanah air dari Johor sebelum karam di lokasi kejadian ekoran kebocoran teruk di bahagian enjin," katanya pada sidang akhbar di Pelabuhan Utara dekat sini hari ini. - KOSMO!

Dua anggota IS ditahan di Kuala Lumpur

SHAH ALAM - Dua lelaki warga Iraq yang dipercayai anggota kumpulan pengganas Negara Islam (IS) ditahan polis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 39 tahun dan 42 tahun itu dipercayai telah membuat ugutan bunuh terhadap Duta Besar Arab Saudi dan Qatar baru-baru ini.
"Siasatan awal mendapati mereka dihantar oleh IS untuk melakukan sesuatu perancangan di negara ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong di sini hari ini. - KOSMO!

Friday, March 27, 2015

Enam samseng bola mengaku salah

SHAH ALAM - Keenam-enam tertuduh mengaku bersalah kes merusuh dan menyerang penyokong bola sepak Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 pada 7 Disember lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Amirul Akhmal Nooradzlan, 22; Mohd. Aminuddin Hamdan, 34, dan adiknya, Noor Hadim, 29; Zulhelmy Zainol Abidin, 28; Muhammad Naquiyuddin Salehudin, 20; serta Muhammad Izzat Mohd. Khir, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Norshakinah Ahmad Kamaruddin.
Sebelum ini, mereka mengaku tidak bersalah sewaktu pertama kali dihadapkan atas pertuduhan terbabit di mahkamah sama pada 17 Disember dan 23 Disember tahun lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Norshakinah memerintahkan hukuman bagi Amirul Akhmal, Mohd. Aminuddin, Noor Hadim, Muhamad Izzat dan Zulhelmy bakal dijatuhkan pada Isnin ini.
Sementara itu, beliau juga meminta laporan akhlak bagi Muhammad Naquiyuddin dikemukakan pada 28 April depan. - KOSMO!

Minum petang ala Inggeris di SACC

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini menampilkan menu baharu hidangan minum petang ala Inggeris yang disajikan secara bufet bagi membolehkan pelanggan menjamu selerra dalam suasana santai.

Penolong Pengurus Pemasaran, Jualan dan Perhubungan Awam SACC, Halim Razak berkata, hidangan tersebut bersesuaian kepada kumpulan eksekutif dan korporat bertemu pelanggan sambil berbincang dan juga kepada orang awam untuk menikmati minum petang dalam persekitaran bistro yang selesa.

"Sebanyak 10 menu pastri disediakan seperti skon, roti ikan salmon panggang, makaron coklat, kek cawan, brownies coklat, tart buah-buahan, eclair, roti croissant tuna, telur mayonis dan sandwich.

"Hidangan ini disediakan setiap hari dari pukul 2 hingga 7 petang," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Halim menjelaskan, pelanggan boleh memilih lima menu makanan dan satu minuman. Selepas menghabiskan hidangan tersebut, mereka boleh memesan set baru tanpa batasan sehingga puas hati.

Harga bufet yang ditawarkan ialah RM38 untuk seorang dan mereka yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi talian 03-55118858.

Thursday, March 26, 2015

Abdul Khalid tarik balik saman fitnah terhadap Mohamad Khir

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menarik balik saman fitnah yang difailnya enam tahun lalu terhadap Dr. Mohamad Khir Toyo di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang bersetuju mencapai penyelesaian luar mahkamah selepas Mohamad Khir membacakan permohonan maaf kepada terbuka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman M. Gunalan.
Sebelum ini, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar ke-14 telah memfailkan saman fitnah terhadap Mohamad Khir pada 18 Februari 2009 berhubung kenyataan dibuat bekas Menteri Besar Selangor ke-13 itu melibatkan pembelian kenderaan mewah Lexus dan agihan lembu korban.
Kenyataan Mohamad Khir selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor ketika itu telah disiarkan di dalam dua akhbar pada 15 Januari dan 23 Januari 2009. - KOSMO!

Tuesday, March 24, 2015

Fikir dua kali sebelum mogok - Hasan Malek

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pemandu teksi digesa akur dengan keputusan Kabinet untuk menangguhkan pelaksanaan kadar tambang baharu yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, ugutan mogok daripada pengusaha tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah tidak akan memberi faedah kepada mana-mana pihak.

"Saya nasihatkan (pemandu teksi) fikir dua kali (sebelum mengadakan mogok). Mereka kena faham Kabinet bukannya menolak (kadar tambang baharu).

"Namun ia ditangguhkan untuk sementara waktu kerana tidak sesuai pada masanya," katanya sebagai mengulas tindakan Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPT) di Lembah Klang memberi amaran untuk mengadakan mogok jika kadar tambang baharu teksi ditarik balik oleh SPAD.

BBPT merupakan gabungan daripada 22 persatuan pemandu teksi di Lembah Klang yang mempunyai keahlian seramai 7,000 orang.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program Fasilitasi Industri Perkhidmatan yang turut dihadiri Timbalan Menteri KPDNKK, Senator Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Hasan memberitahu, golongan pemandu teksi juga perlu memahami hakikat pengumuman kenaikan tambang teksi oleh SPAD pada 19 Mac lalu namun tidak muktamad kerana ia perlu mendapat kelulusan Kabinet.

Monday, March 23, 2015

Penjenayah Geng Kancil tumpas

KUALA SELANGOR - Sekumpulan kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Geng Kancil dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kenderaan dan samun di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan enam anggotanya pada Ahad lalu.

Geng yang dianggotai sekumpulan lelaki berasal dari Bukit Rotan di sini itu disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 11 kes pecah kenderaan dan samun sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad berkata, modus operandi kumpulan jenayah terbabit ialah memecahkan cermin kenderaan yang diletakkan di lokasi sunyi sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa.

"Mereka menyasarkan kenderaan milik pelanggan yang sedang menjamu selera di restoran atau tetamu majlis perkahwinan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, bertindak daripada beberapa laporan polis, pasukan khas yang ditubuhkan pada mulanya menahan empat anggota kumpulan itu yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil.

"Empat anggota kumpulan berkenaan yang sedang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil telah berjaya diberkas di persimpangan lampu isyarat di Batu 4, Jalan Kapar, Klang dekat sini pada pukul 5 petang, 15 Mac lalu," kata beliau.

Mohd. Taib berkata, siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang juga anggota Geng Kancil di sebuah pangsapuri di Jalan Sultan Mahmud di sini kira-kira dua jam kemudian.


"Pemeriksaan di dalam pangsapuri itu telah menjumpai beberapa barangan berharga seperti rantai leher, loket emas, telefon bimbit, pengecas bateri mudah alih, kad prabayar Tounch & Go , topi keledar, beg pemacu, jam tangan," katanya.

Katanya, keenam-enam suspek berusia 20 hingga 51 tahun direman selama 11 hari sehingga 25 Mac ini untuk disiasat berhubung kegiatan jenayah mereka.

LZS hargai sumbangan firma, individu

HARGAI. Seramai 24 firma audit dan percukaian, syarikat, bank, pejabat pos dan penolong amil institusi pengajian tinggi, fitrah serta padi menerima anugerah sempena Majlis Anugerah dan Penghargaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) , Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, anugerah berupa plak, sijil penghargaan dan bahan bacaan ilmiah itu bertujuan mengiktiraf komitmen dan sumbangan ejen-ejen terbabit dalam meningkatkan kutipan zakat di negeri tersebut.
Beliau berkata, antara penerima anugerah itu ialah Jabatan Akauntan Negara cawangan Selangor, Universiti Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Amanah Ikhtiar Malaysia, UMW Holdings Berhad dan Kumpulan DRB Hicom Berhad.
“Selain itu, LZS turut menyampaikan bantuan lori bergerak bagi tujuan perniagaan kepada 45 asnaf fakir miskin pada majlis sama,” katanya. 

Friday, March 20, 2015

Padah bawa suar masuk stadium

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Gara-gara membawa suar ke dalam stadium, seorang penyokong pasukan bola sepak Selangor didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Farah Azura Mohd. Saad memerintahkan demikian selepas Mohd. Amerul Ashraf Yaali, 20, yang juga penjual burger mengaku bersalah membawa barangan terlarang itu sewaktu menonton perlawanan Liga Super antara Selangor dan Sarawak di Stadium Shah Alam di sini pada Sabtu lalu.
Tertuduh yang berasal dari Sekinchan, Sabak Bernam hadir ke stadium tersebut untuk menonton perlawanan bola sepak berkenaan pada pukul 7.45 malam 14 Mac lalu.
Sewaktu pemeriksaan di pintu masuk C stadium itu, sebatang suar telah ditemui di dalam beg sandang berwarna merah yang dipakai tertuduh.
Mohd. Amerul didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Farah Azura yang mengambil kira pengakuan bersalah dan keinsafan tertuduh menjatuhkan hukuman denda RM1,300 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Denda berkenaan dibayar oleh ahli keluarga Mohd. Amerul.

Suar yang menghasilkan cahaya tanpa sebarang ledakan 
merupakan antara barangan larangan di bawa oleh penonton oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ia sering dinyalakan samseng bola sepak tempatan untuk menimbulkan kekacauan di dalam stadium.

Geng Kancil tumpas

KUALA SELANGOR - Enam anggota Geng Kancil yang dipercayai aktif melakukan sekurang-kurangnya 11 jenayah pecah kenderaan dan samun sekitar Kuala Selangor sejak awal tahun ini berjaya ditumpaskan polis pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad berkata, kesemua lelaki yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 51 tahun diberkas di dua lokasi berasingan di Jalan Kapar, Klang di sebuah pangsapuri di Jalan Sultan Mahmud dekat sini.
"Pelbagai barangan seperti telefon bimbit, rantai, loket, jam tangan dan kad pra-bayar Touch n Go yang dipercayai disamun daripada kenderaan mangsa turut dirampas.
"Kesemua suspek ditahan reman selama 11 hari sehingga 25 Mac lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan 395 akta sama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Thursday, March 19, 2015

Penyokong Selangor didenda RM1,300 miliki suar

SHAH ALAM - Seorang penjual burger didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki suar pada perlawanan Liga Super Selangor melawan Sarawak di Stadium Shah Alam di sini Sabtu lalu.
Majistret Farah Azura Mohd. Saad memerintahkan demikian selepas Mohd. Amerul Ashraf Yaali dari Sekinchan, Sabak Bernam mengaku bersalah pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Berdasarkan kertas pertuduhan, suar terbabit dijumpai di dalam beg disandang tertuduh sewaktu diperiksa pihak berkuasa di pintu masuk stadium berkenaan pada pukul 7.45 malam 14 Mac lalu. - KOSMO!

Monday, March 16, 2015

Culik budak kononnya terlalu sayang


SHAH ALAM – Hanya bermotifkan kononnya terlalu sayang, seorang wanita Indonesia berusia 40-an bertindak gila apabila tergamak menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan di rumah penga­suhnya di Taman Seri Andalas, Klang Rabu lalu.
Bagaimanapun, ‘kasih sayang’ wanita tersebut yang dipercayai dikenali keluarga kanak-kanak berkenaan berakhir apabila mang­sa berjaya diselamatkan sepasukan polis di sebuah pangsapuri di Jalan Kepong, Kuala Lumpur dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat (gambar kecil) berkata, suspek wanita berkenaan berpura-pura melawat kanak-kanak tersebut di rumah pe­ngasuh yang juga ibu saudaranya sekitar pukul 4 petang Rabu lalu.
Katanya, wanita tersebut nekad melarikan budak itu menggunakan sebuah kereta Proton Wira Aeroback ketika pengasuhnya mening­galkan mereka berdua untuk ke bilik air.
“Kereta terbabit dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun. Dia tidak masuk ke dalam rumah, tetapi menunggu di dalam kereta yang diletakkan di hadapan rumah penga­suh mangsa.
“Sewaktu kanak-kanak itu dilarikan, pengasuh mangsa berada di dalam bilik air.
“Dia yang juga ibu saudara budak itu tidak menyangka suspek yang merupakan kenalan keluarganya tergamak menculik mangsa,” kata­nya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kamarul Zaman berkata, pengasuh tersebut yang panik telah menghubungi bapa bayi itu yang juga seorang pengusaha salon kecantikan berusia 37 tahun sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Menurut beliau, hasil siasatan kemudiannya berjaya menjejak wanita warga Indonesia itu seterusnya memberkasnya bersama seorang lagi wanita tempatan berusia 25 tahun di sebuah pasar raya perabot di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada pukul 5 petang, kelmarin.

"Setelah kedua-dua suspek disoal siasat, anggota polis telah bergegas ke sebuah pangsapuri di Jalan Kepong yang merupakan lokasi bayi malang berkenaan disembunyikan.

"Tidak lama kemudian, suspek ketiga iaitu lelaki dipercayai memandu kereta yang melarikan mangsa telah ditahan di Bandar Bukit Tinggi, Klang," katanya.

Jarak Taman Seri Andalas ke Jalan Kepong adalah sekitar 40 kilometer.

Kamarul Zaman memberitahu, tiga telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang disyaki digunakan dalam penculikan berkenaan turut dirampas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek ketiga iaitu lelaki tempatan terbabit mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes menipu.

"Kanak-kanak lelaki terbabit telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

"Motif kejadian masih disiasat tetapi suspek pertama iaitu wanita warga Indonesia mendakwa bayi itu dilarikan kerana terlalu mengasihi mangsa," katanya.

Thursday, March 12, 2015

LZS lancar Kempen Tambah Caruman Zakat

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor melancarkan Kempen Tambah Caruman Zakat Melalui Potongan Gaji yang akan berlangsung selama tiga bulan bermula 15 Mac ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, kempen tersebut bertujuan menggalakkan 175,020 pembayar zakat sedia ada agar menyemak semula jumlah potongan zakat mereka supaya bertepatan dengan pendapatan semasa.
"Semakan semula memastikan pembayaran zakat bertepatan dengan jumlah sebenar yang wajib dikeluarkan demi keberkatan pembayarnya.
"Pencarum yang menyertai kempen juga berpeluang memenangi hadiah menarik dengan melengkapkan borang penyertaan dan slogan mudah di portal www.zakatselangor.com.my," katanya ketika melancarkan kempen berkenaan di sini hari ini. - KOSMO!

Retak batang hidung dibelasah suami

SHAH ALAM - Hajat seorang isteri untuyk menemui dua anak perempuannya berubah menjadi tragedi apabila wanita itu pengsan dan mengalami retak hidung selepas dibelasah oleh suaminya di hadapan rumah mereka di Bandar Puteri, Klang dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, wanita berketurunan India berusia 29 tahun itu mahu berjumpa dengan dua anak perempuan yang kini di bawah jagaan kakak iparnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komosioner Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa tersebut kini dalam proses bercerai dan pergi ke rumah itu dan meminta kebenaran daripada kakak iparnya untuk berjumpa dengan dua anak perempuannya yang berusia tujuh dan lapan tahun.

"Namun permintaannya itu tidak dilayan kakak iparnya. Selang beberapa minit kemudiannya, suaminya yang berusia 39 tahun pulang ke rumah dan menyedari kehadiran mangsa lalu berlaku pertengkaran," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kamarul Zaman berkata, suspek bertindak menampar dan menumbuk muka dan hidung wanita itu beberapa kali hingga menyebabkan pengsan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan suami mangsa untuk siasatan.

Wednesday, March 11, 2015

Pesara maut kereta terjunam ke laut

KLANG - Seorang pesara maut selepas kereta Proton Iswara Aeroback merempuh benteng muara Sungai Klang lalu terjunam ke dalam laut berhampiran sebuah restoran di Kelab Perahu Layar DiRaja Selangor, Pelabuhan Klang di sini kelmarin.

Rempuhan kuat daripada kenderaan yang dipandu Lim Shoon Bock, 58, pada pukul 9 malam itu menggemparkan orang ramai yang sedang menjamu selera di dalam restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komosioner Kamarul Zaman Mamat berkata, sebelum kejadian mangsa yang menetap di Taman Bayu Perdana di sini telah makan malam bersama seorang kenalannya di restoran makanan laut tersebut.

"Selepas selesai menjamu selera, mereka pulang dengan kenderaan masing-masing. Namun mangsa dikatakan berpatah balik ke restoran itu sebelum merempuh benteng sungai berhampiran.

"Sepasukan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira dua jam 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta yang terjunam ke dalam Selat Klang," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan.

Azmin Ali mahu pemilikan tanah Selangor diiktiraf

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberi kata dua kepada kerajaan Persekutuan agar mengiktiraf pemilikan tanah dan aset air kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Menurutnya, ia merupakan syarat utama untuk kembali ke meja rundingan untuk meneruskan perjanjian utama bagi pengstrukturan semula industri air di negeri itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu kehilangan kedaulatan terhadap tanah dan aset air berjumlah RM14.9 bilion tersebut dan keengganan kerajaan Persekutuan menerima syarat itu antara punca utama perjanjian yang ditandatangani pada 12 September tahun lalu dibatalkan.

"Kerajaan Persekutuan juga enggan mengiktiraf dan menerima pemindahan RM2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada syarikat tersebut bagi mengambilalih kesemua konsesi air di Selangor.

"Selain itu, Lesen Kemudahan itu bagi membolehkan syarikat milik kerajaan negeri Selangor terbabit memiliki kesemua baki aset air juga tidak dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Azmin berkata, kerajaan negeri Selangor juga tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Persekutuan yang didakwa cuba melengah-lengahkan kelulusan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan di antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) DAN Air Selangor bagi penyewaan aset air.

Sehubungan itu, Azmin berkata, kerajaan negeri Selangor hanya bersedia untuk berbincang ke arah mencapai persetujuan untuk manfaat pengguna air Lembah Klang termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur sekiranya kerajaan Persekutuan memenuhi kesemua permintaan berkenaan.

Kosmo! semalam melaporkan Azmin mengumumkan perjanjian penstrukturan industri bekalan air antara Selangor dan kerajaan Persekutuan yang tamat kelmarin tidak akan disambung kerana mendakwa kerajaan Persekutuan telah 'melanggar syarat perjanjian'.

Keputusan membatalkan perjanjian tersebut menyebabkan kira-kira 7.6 juta penduduk Lembah Klang kini berisiko mengalami krisis bekalan air yang dahsyat.

Ia juga bakal menjejaskan hasrat kerajaan Persekutuan untuk membina Loji Rawatan Langat 2 bernilai RM8.56 bilion yang dijangka siap pada tahun 2017 serta mampu membekalkan air mentah sebanyak 1.89 bilion liter sehari kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Tuesday, March 10, 2015

SPRM tunggu laporan Ketua Audit Negara

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan masuk campur dalam siasatan terhadap akaun 1Malaysia Developmet Berhad (1MDB) sehingga laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) dikeluarkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pihaknya akan menunggu laporan audit tersebut selesai sebelum membuat keputusan untuk menyiasat syarikat pembangunan strategik pembangunan milik penuh kerajaan itu berhubung dakwaan penyelewengan.

"Jika ada kes, PAC akan membawa (kes) kepada SPRM,", katanya sebagai mengulas perkembangan isu 1MDB kepada pemberita di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) Shah Alam, Seksyen 28 di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil,  Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali.

Abu Kassim diminta mengulas isu 1MDB ekoran arahan Perdana Menteri pada Rabu lalu agar Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun firma milik kerajaan itu sebelum menyerahkannya untuk pemeriksaan telus keapd PAC yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Kosmo! semalam melaporkan semua ketua bahagian UMNO di seluruh negara berpuas hati dengan penjelasan Najib yang juga presiden parti itu mengenai isu 1MDB.

Pemilikan tanah dan aset air punca perjanjian air Selangor batal

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mendesak kerajaan Persekutuan agar mengiktiraf pemilikan tanah dan aset air kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., sebagai pra syarat menarik balik pembatalan perjanjian utama bagi pengstrukturan semula industri air di negeri itu.
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, punca utama pembatalan perjanjian tersebut semalam kerana kerajaan negeri enggan kehilangan kedaulatan terhadap tanah dan aset air bernilai RM14.9 bilion terbabit.
"Kerajaan Persekutuan juga enggan mengiktiraf dan menerima pemindahan RM2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana untuk mengambil alih kesemua konsesi air di Selangor. "
Lesen Kemudahan bagi membolehkan Air Selangor memiliki kesemua baki aset air juga belum dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - KOSMO!

Syarikat upah orang tengah laku rasuah boleh dihukum

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat yang didapati bersalah mengupah orang tengah untuk melakukan aktiviti perniagaan tidak berintegriti seperti rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, penguatkuasaan tersebut bertujuan menggalakkan ahli korporat di negara ini menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berintegriti.

"Pada tahun ini, SPRM memfokuskan kepada orang tengah yang dilihatmempunyai banyak ruang dan peluang untuk melakukan akviti tidak berintegriti.

"Selain menyenarai hitam golongan terbabit, tindakan boleh dilanjutkan kepada syarikat-syarikat yang melantik orang tengah dengan menyediakan dana bagi tujuan rasuah dan penyelewengan bagi pihak mereka," katanya pada sidang akhbar di Puspakom Shah Alam, Seksyen 28 di sini semalam.

Terdahulu beliau menerima Ikrar Integriti Korporat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Mohammed Shukor Ismail yang turut disaksikan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil.

Mustafar berkata, SPRM akan mengadakan perbincangan dengan pihak berpentingan seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan wakil syarikat bagi menghalusi cadangan terbabit.

Sebelum itu, Mohammed Shukor mengakui Puspakom yang juga anak syarikat DRB-Hicom berhadapan dengan masalah orang tengah dan 'ulat' yang mengambil kesempatan terhadap pelanggan syarikat itu.

Beliau berkata, tindakan itu telah memberi persepsi negatif masyarakat terhadap Puspakom dan langkah menandatangani Ikrar Integriti Korporat tersebut merupakan program jangka panjang untuk mengatasi masalah terbabit sekali gus meningkatkan integriti dan ketelusan syarikat terbabit.

Monday, March 9, 2015

Puspakom menandatangani Ikrar Integriti Korporat

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) berazam meningkatkan integriti dan membaiki persepsi masyakat terhadap anak syarikat Kumpulan DRB-Hicom Berhad itu dengan menandatangani Ikrar Integriti Korporat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini.
Pengarah Urusan DRB-Hicom, Tan Sri Mohamad Khamil Jamil berkata, operasi Puspakom memerlukan integriti tinggi kakitangannya kerana terdedah dengan amalan rasuah yang didalangi orang tengah.
"Segelintir orang tengah menyalahguna nama Puspakom dengan mengenakan caj sehingga RM500 kepada pelanggan kami sedangkan caj sebenar cuma RM40.
"Perbuatan itu menjejaskan persepsi masyarakat terhadap Puspakom dan kami komited untuk mengecilkan peluang terhadap amalan itu dengan sentiasa penambah baik automasi operasi dan sistem komputer," katanya pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat itu di Puspakom Shah Alam, Seksyen 28 di sini.
Bacaan ikrar terbabit oleh warga Puspakom yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - KOSMO!

Saturday, March 7, 2015

Ahli ‘Geng 18’ maut ditembak polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG – Seorang lelaki yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ‘Geng 18’ yang menjadi buruan pihak berkuasa sejak beberapa bulan lalu ditembak mati oleh sepasukan polis dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, sepasukan anggota Ops Cantas Khas terserempak dengan suspek berusia 37 tahun yang sedang memandu kereta jenis Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 33, Shah Alam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kenderaan peronda yang dinaiki tiga anggota polis telah memintas kereta suspek di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald bagi menahannya untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun suspek tiba-tiba merempuh kenderaan peronda dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sebelum memandu laju menuju ke Kampung Baru Hicom.
“Selepas menjejak hampir sejam, kereta suspek ditemui di hadapan sebuah premis besi buruk di Kampung Baru Hicom iaitu kira-kira 9 kilometer dari SJKT Ladang Emerald,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini semalam.

Thursday, March 5, 2015

Ajal bukan sebab strok haba

SHAH ALAM – Kematian N. Arven yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manggis, Banting, Kuala Langat dekat sini kelmarin disahkan bukan disebabkan strok haba.
Pengarah Hospital Ban­ting, Dr. Rozita Mohamed berkata, keputusan bedah siasat mendapati pendarahan di bahagian otak yang menjadi punca kematian remaja itu tidak disebabkan oleh pendedahan terlalu lama di bawah sinaran matahari yang terik.
"Bukan (disebabkan) strok haba. Saluran darah di bahagian otak pelajar itu pecah berkemungkinan besar disebabkan oleh penyakit lain yang dihidapnya.
"Pendarahan dalam otak berlaku selepas saluran darah itu pecah lalu menjadi punca kepada kematiannya," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Wednesday, March 4, 2015

Nestle turunkan harga 50 barangan


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Syarikat pengeluar makanan dan minuman Nestle (M) Bhd. (Nestle) melancarkan kempen promosi ‘Lebih Nilai, Lagi Hebat’ yang menawarkan penjimatan antara lapan hingga 33 peratus bagi produk makanan keluarannya.
Pengarah Urusan Nestle, Alois Hofbauer berkata, promosi yang akan berlangsung sehingga akhir Mac ini merangkumi 50 produk keluaran syarikat itu seperti Milo, Maggi, Nescafe, Coffee Mate, Nesvita, Cukup Rasa, Nestum dan Kit Kat.
Menurut beliau, kempen promosi yang melibatkan 20 juta pek produk-produk makanan terbabit adalah terbesar yang pernah dianjurkan Nestle Malaysia. "Kesemua produk itu boleh didapati di lebih 20,000 pasar raya besar, pasar mini, kedai serbaneka dan kedai runcit di seluruh negara bermula Khamis lalu.
"Langkah itu diambil bagi menyahut seruan kerajaan agar kami membantu mengurangkan beban pengguna dalam situasi ekonomi semasa di samping usaha berterusan Nestle untuk menawarkan produk makanan berkualiti, berkhasiat dan lazat pada harga berpatutan," katanya.