Translate

Thursday, December 31, 2015

Pemandu van dipenjara 12 tahun, 2 sebatan rogol gadis lembam

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu van dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati atas dua pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan lembam berusia 16 tahun 3 bulan pada tahun lalu.
Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Ser Kim Joo, 51, menjalani hukuman tersebut selepas pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang telah dikemukakan pihak pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan, Kim Joo didakwa melakukan perbuatan memperkosa mangsa di rumahnya di sebuat flat di Gombak Setia di sini pada 22 November dan 29 November 2014.
Tertuduh merupakan pemandu van yang diupah oleh ibu mangsa untuk membawa gadis lembam tersebut ke pusat tuisyen berhampiran. - K! ONLINE

Jurujual telefon bimbit tipu pelanggan didenda RM6,000

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memperdaya seorang pekerja hotel yang pekak dan bisu dalam urusan jual beli sebuah telefon bimbit pada tiga minggu lalu.
Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas Liew Wai Chung, 21, mengaku bersalah memperdaya Shamsol Esham Hashim, 41, untuk menyerahkan wang RM400 bagi pembelian sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy pada pukul 3 petang, 10 Disember lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah dihalau tanpa dipulangkan wang deposit RM400 setelah mahu membatalkan pembelian apabila tertuduh wang tambahan RM450 bagi urusan jual beli telefon bimbit itu.
Wai Chung didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Thursday, December 24, 2015

Pencetus kekecohan dijel, denda

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang penjaga tempat letak kereta menimbulkan kekecohan di Kompleks Kota Raya, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini berhubung pembelian telefon bimbit pada Ahad lalu menerima akibatnya apabila dia dipenjara empat hari dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Khairuddin Arbi @ Omar, 38, dari Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Saifulakmal Ahmad.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhammad Faizal manakala tertuduh diwakili peguam, Zulkifli Awang.
Mengikut pertuduhan, Khairuddin didakwa menakutkan secara jenayah lima jurujual sebuah kedai telefon bimbit iaitu Chiaw Wai Kit, 20; Lim Wai Hong, 27; Wong Weng Kong, 23; Liew Wai Chung, 21; dan Yong Haw Nam, 22 dengan mengugut untuk memecahkan premis mereka di tingkat bawah, Kompleks Kota Raya di sini pada pukul 5 petang, 20 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini yang menerima aduan tentang perbuatan tersebut kemudiannya telah bertindak menahan tertuduh di kawasan tempat letak kereta Jalan Tun Siew Sin di sini pada pukul 8.05 malam iaitu kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Khairuddin didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan Khairuddion menjalani penjara tambahan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh yang masih bujang membayar denda tersebut.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun berhubung insiden kekecohan di sebuah kedai telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini Ahad lalu.

Suspek merupakan salah seorang daripada 15 individu yang terbabit dalam pergaduhan terbabit.

Pada Ahad lalu, satu klip video berdurasi dua minit dan 30 saat menunjukkan beberapa lelaki bergaduh dengan jurujual di sebuah kedai telefon bimbit menjadi viral di laman sosial.

Penghantar surat bakar kereta diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Seorang penghantar surat ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes melempar botol berisi petrol hingga memusnahkan enam kenderaan termasuk kereta yang dinaiki isterinya bersama seorang lelaki lain di tempat letak kereta berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Taman Jaya di sini kelmarin.

 Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Mazrah Mohamed membenarkan permohonan reman itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.

 Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

 Pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

 “Suspek yang berasal dari Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur dekat sini diberkas di sekitar bandar raya ini pada pukul 11 malam semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

 Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki yang dalam proses penceraian bertindak gila apabila membakar kereta Proton Wira yang dinaiki isterinya bersama seorang lelaki lain dengan membaling bom petrol yang mengenai tempat duduk belakang kenderaan tersebut.

 Kejadian pada pukul 1.30 petang itu turut memusnahkan liman kereta lain iaitu Toyota Vios, Proton Saga BLM, Suzuki Swift, Proton Gen 2 dan Honda yang dile­takkan di tempat letak kereta terbabit melibatkan kerugian mencecah RM300,000.

Wednesday, December 23, 2015

Pasangan menyamun dipenjara 10 tahun

KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri dijatuhi penjara 10 tahun oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas kesalahan menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Sri Sinar, Segambut di sini pada April lalu.
Nasaruddin Naser, 35, dan Fatin Nadia Abdullah, 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.
Amernudin turut memerintahkan Nasaruddin dikenakan hukuman tiga kali sebatan.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh menyamun wang tunai RM132.70 dan pelbagai kotak rokok daripada seorang jurujual kedai serbaneka warga negara Nepal pada pukul 11.50 malam, 28 April 2015.
Nasaruddin dan Fatin Nadia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Penjaga tempat letak kereta ugut jurujual Kota Raya dipenjara empat hari

KUALA LUMPUR - Seorang penjaga tempat letak kereta dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menakutkan secara jenayah lima jurujual kedai telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini pada Ahad lalu.
Khairuddin Arbi @ Omar, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Saifulakmal Said.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengugut lima jurujual terbabit untuk memecahkan kedai telefon bimbit mereka di tingkat bawah, Kompleks Kota Raya di sini pada pukul 5.30 petang, 20 Disember lalu.
Khairuddin dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Tuesday, December 22, 2015

Suspek bakar kereta direman empat hari

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PETALING JAYA - Seorang lelaki berusia 26 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes khianat melibatkan kebakaran yang memusnahkan enam kenderaan di tempat letak kereta berhampiran Stesen transit aliran ringan (LRT) Taman Jaya di sini semalam.
Perintah reman itu diperoleh daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Mazrah Mohamed pada kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Suspek dari Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Friday, December 18, 2015

Hukuman jel, denda Wahid kekal


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Hasrat bekas Ketua Pengarah (KP) Imigresen, Datuk Wahid Md. Don, 63, untuk bebas daripada sabitan kes ra­suah pada lapan tahun lalu tidak kesampaian apabila rayuannya untuk mengetepikan sabitan tersebut ditolak Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Amelia Teng Heong Geok Abdullah mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Oktober 2013.
“Mahkamah meneliti semua fakta keterangan yang telah dikemukakan kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan) sepanjang prosiding kes ini di Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan (sejak tahun 2008). Keterangan pihak pendakwaan le­bih dipercayai dan tidak dapat disanggah,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Abdul Razak Musa manakala Wahid diwakili peguam, Datuk V. Sithambaram.
Wahid dituduh menerima rasuah RM60,000 daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian bagi meluluskan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki Malaysia di rumahnya di Jalan Lembah Ledang Off Jalan Duta (sekarang dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Amelia mengarahkan Wahid membayar denda RM300,000 selewat-lewatnya 4 Januari depan. Kegagalan membayar denda tersebut membolehkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 12 bulan.

Beliau turut membenarkan permohonan Sithambaram untuk menangguhkan hukuman penjara dengan wang jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Kosmo! 31 Oktober 2013 melaporkan, selepas dua kali terlepas daripada sabitan kes rasuah, nasib Wahid yang memegang jawatan Ketua Pengarah Imigresen selama dua tahun dari 1 Oktober 2006 berubah apabila Hakim Rosbiahanin Arifin me­ngenakan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 di Mahkamah Se­syen di sini.

Sebelum itu, tertuduh telah dilepaskan dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan oleh mahkamah sama pada 15 Oktober 2010. Keputusan sama turut dikekalkan ketika rayuan pendakwaan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Mei 2012.

Begitupun, rayuan pendakwaan telah diterima di peringkat Mahkamah Rayuan pada 2 April 2013 dan mengarahkan Wahid agar membela diri di Mahkamah Sesyen di sini.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan telah memanggil 40 saksi termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar manakala Wahid sebagai saksi pembelaan.


INFO Pengganas IS dihadapkan ke mahkamah

11 September - Seorang penganggur, Nazirul Abidin Thalha, 24, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memiliki bahan penerbitan berkaitan perlakuan pengganas di sebuah rumah di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur

9 Oktober - Seorang penceramah bebas, Zulqarnain Ghaz Ab. Ghani dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan memasuki Syria bagi memberikan sokongan kepada perbuatan keganasan

24 Oktober - Seorang ibu tunggal, Azizah Md. Yusof, 55, dipenjara 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah cuba memberi sokongan kepada pengganas melalui laman sosial

3 November - Seorang bakal pengantin, Azlee Md. Salleh, 30, dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan memiliki telefon bimbit yang mengandungi gambar bendera kumpulan pengganas IS

Thursday, December 17, 2015

INFO Pauziah, Zulqarnain

Poziah 
 Ketua Kerani di Jabatan Perangkaan
 Ibu kepada tiga orang anak
 Berasal dari Shah Alam, Selangor
 Zulqarnain  yang dikahwini kira-kira dua tahun lalu merupakan perkahwinan keduanya
 Ditahan polis kerana melindungi suaminya, Zulqarnain seorang pengganas IS 

Zulqarnain 
 Kerjaya sebagai penceramah bebas
 Memegang Diploma Syariah Islam dari Universiti Malaya dan fasih berbahasa Arab
 Popular dengan nama Abu Khattab dan merupakan pengikut kanan Ustaz Lotfi Ariffin yang terkorban di Syria
 Didakwa antara rakyat Malaysia terawal yang menyertai IS di Syria

Buruh binaan didakwa terima wang haram

PETALING JAYA - Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM98,363.70 pada tahun lalu.
Rozaini Zainudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd. Nor.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Bank United Nasional Association Miami milik syarikat perabot, International Product Marketing LLC di CIMB Berhad cawangan Jalan Gasing di sini pada pukul 2.30 petang, 26 Ogos 2014. - K! ONLINE

Suami gagal beri nafkah punca Farah Asyikin tuntut cerai

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu ke­gagalan Zaahier Stanley, 38, untuk memberi nafkah secara konsisten terhadap isterinya, Farah Asyikin, 36, atau lebih dikenali sebagai Farah menjadi punca syiqaq (perkelahian berpanjangan) pasangan tersebut sehingga mendorong penyanyi tersebut memfailkan tuntutan penceraian pada hujung tahun lalu.
Kamarul Bahrin Mohamad yang me­rupakan hakam (penimbang tara) keluarga dilantik Farah berkata, Zaahier, seorang warga Afrika Selatan didapati tidak dapat menunaikan tanggungjawab memberi nafkah dan menyediakan tempat tinggal munasabah dengan sebaiknya kerana menghadapi masalah kewangan berikutan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Beliau yang juga abang ipar pe­nyanyi yang popular dengan lagu 1,000 Penipuan tersebut berkata, masalah ber­kenaan menyebabkan pasangan tersebut sering bergaduh dan mereka didapati telah tinggal berasingan sejak setahun lalu.

“Saya merumuskan memang terdapat syiqaq, Farah mahu penceraian manakala suaminya pula enggan bercerai,” katanya ketika menyampaikan laporan hakam di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus di sini semalam.

Proses hakam diperuntukkan di bawah Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk melantik dalam kalangan saudara terdekat iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pihak-pihak terbabit untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri.

Farah atau nama sebenar­nya Farah Asyikin Zulkifli diwakili peguam syarie, Siti Maisyarah Hashim manakala peguam syarie, Nurfarhana Abdul Manaf mewakili defendan.

Sementara itu, hakam keluarga bagi pihak Zaahier, Hussin Mohd. Razak turut bersetuju defendan mempunyai masalah memberi nafkah kerana sukar mendapat pekerjaan tetap berikutan statusnya sebagai warga asing di negara ini.

Namun begitu, Hussin memberitahu, Zaahier yang juga rakan perniagaannya telah berusaha untuk mencari rezeki dengan mengusahakan peniagaan minyak wangi dan membuka pusat latihan sejak beberapa bulan lalu.

Siti Maisyarah Hashim kemudiannya mencadangkan agar hakam mahkamah dari kalangan pegawai syariah dilantik setelah proses hakam keluarga dianggap tidak berjaya mencapai objektif.

Umamuddin membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes bagi pelantikan hakam mahkamah tersebut pada 21 Disember ini.

Farah yang pernah me­nyertai rancangan realiti, Malaysia Idol 2 dan One In A Million memfailkan perceraian pada Oktober tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga dengan Zaahier yang merupakan bekas pengurus projek pada 15 Februari 2013. Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Ebrahim Owais yang kini berusia hampir dua tahun.

Wednesday, December 16, 2015

Demi suami sanggup dipenjara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Taat setia seorang isteri sehingga membelakangi undang-undang demi melindungi suami seorang pengganas kumpulan Islamic State (IS) menerima padah apabila wanita itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Poziah Harun, 42, yang bekerja dengan kerajaan mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Kamardin Hashim semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Poziah didakwa melindungi suaminya, Zulqarnain Ghaz Ab. Ghani, 31, sedangkan dia mengetahui lelaki itu melakukan perbuatan keganasan.
Kesalahan Poziah didakwa dilakukan di Poliklinik Dr. Azhar & Rakan-Rakan di Jalan Masjid, Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah antara bulan September hingga Disember 2014.
Mengikut fakta kes, Zulqarnain telah menghubungi Poziah berhubung kepulangannya dari Syria bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan sewaktu menyertai aktiviti keganasan bersama kumpulan IS. 

Poziah kemudian berjumpa dengan seorang rakan mereka, Abdul Samad Abdul Hakim di Sungai Petani, Kedah bagi mendapatkan bantuan memeriksa tangan Zulqarnain yang mengalami luka akibat terkena tembakan.

Abdul Samad kemudian telah membawa pasangan suami isteri itu ke Poliklinik Dr. Azhar & Rakan-Rakan bagi membolehkan Zulqarnain menerima rawatan. 

Tertuduh yang tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana pihak berkuasa tentang kepulangan suaminya ke Malaysia walaupun mengetahui lelaki itu telah berjuang di Syria  telah ditahan pada 19 Ogos lalu.

Poziah dituduh mengikut Seksyen 130K (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kamardin ketika membacakan penghakimannya berkata, perbuatan tertuduh merupakan kesalahan serius walaupun dia hanya menemani suaminya bagi mendapatkan rawatan dengan niat untuk melindungi lelaki itu.

Beliau berkata, faktor kepentingan awam turut diambil perhatian serius kerana ia melibatkan ketenteraman dan keselamatan negara.

“Kesalahan dalam perbuatan keganasan ini bukan sahaja melibatkan pergerakan secara berkumpulan tetapi ia juga bergerak secara individu dalam pelbagai cara yang boleh membawa kemusnahan. 
“Begitupun mahkamah juga mengambil kira faktor pengakuan salah walaupun tertuduh sepatutnya mengaku bersalah pada awal kes bagi menunjukkan keinsafannya,” kata beliau.

Kamardin memerintah Poziah menjalani hukuman penjara dari tarikh dia mula ditangkap polis pada 19 Ogos lalu di Penjara Kajang, Selangor.

Kosmo! 16 September lalu melaporkan Poziah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan melindungi Zulqarnain yang merupakan seorang pengganas IS.


Kamardin pada 9 Oktober lalu turut menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas Zulqarnain yang merupakan seorang penceramah bebas selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan memasuki Syria bagi menyokong aktiviti keganasan membabitkan penggunaan senjata api untuk mengugut orang awam di negara itu antara 27 April 2014 dan 28 Ogos 2014.

Hukuman penjara bekas Ketua Pengarah Imigresen kekal

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Dun atas kesalahan menerima rasuah pada lapan tahun.
Hakim Amelia Teng Hong Geok Abdullah memutuskan demikian selepas menolak rayuan tertuduh untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang menyabitkan hukuman tersebut pada 30 Oktober 2013.
Berdasarkan pertuduhan, Wahid didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Low Chong Hian untuk mempercepatkan kelulusan visa 4,337 pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini di rumahnya di Jalan Duta di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008. - K! ONLINE

Bekas guru Kafa mengamuk di Plaza Low Yat dipenjara sebulan

KUALA LUMPUR - Seorang bekas guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku salah atas dua pertuduhan mencederakan seorang jurujual telefon bimbit dan mengamuk di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang di sini pada bulan lalu.

Muhamad Faizal Mahmud Affandi, 27, mengaku menyebabkan kecederaan di pipi Chea Wei Jian, 23, di tingkat bawah Plaza Low Yat pada pukul 7.20 petang, 12 November lalu.

Tertuduh juga didakwa menganggu ketenteraman awam dengan cara mengamuk di lokasi dan masa sama.

Majistret Saifulakmal Said memerintahkan hukuman penjara sebulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara 14 hari bagi pertuduhan kedua.

Beliau juga memutuskan hukuman kedua-kedua pertuduhan berkenaan berjalan serentak dari tarikh Muhamad Faizal ditangkap iaitu 12 November lalu.

Akibat curi coli, seluar dalam


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri pakaian termasuk coli dan seluar dalam bernilai keseluruhan RM1,147 bersama adik perempuannya, seorang ibu tunggal dihukum penjara 20 hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam,
Norlida Muhamad, 31, yang menetap di PPRT Pulu Ulu, Jalan Pudu Ulu, Cheras di sini mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor.
Turut membuat pengakuan bersalah, ialah adiknya, Noramira, 20, yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai seorang anak berusia lapan bulan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan mencuri lapan helai seluar, coli (enam), baju (enam) dan seluar dalam (empat) di pasar raya besar Aeon Jusco Maluri, Jalan Jejaka, Cheras dekat sini pada pukul 4.30 petang, kelmarin.
Berdasarkan fakta kes, Norlida dan Noramira menggunakan modus operandi berpura-pura mencuba pakaian baharu di bilik persalinan di pasar raya besar terbabit sebelum bertindak menyorokkan barangan curi tersebut di dalam beg plastik dan beg ta­ngan milik mereka.

Tindak-tanduk dua beradik tersebut yang keluar dari bilik persalinan tanpa membuat sebarang bayaran telah menyebabkan kecurigaan sebelum mereka ditahan oleh salah seorang kakitangan pasar raya besar terbabit di kawasan tempat letak kereta.

 Pemeriksaan di dalam beg plastik dan beg tangan milik Norlida dan Noramira telah menemui ke­semua barangan curi terbabit sebelum kedua-kedua tertuduh dibawa ke Balai Polis Cheras di sini untuk tindakan lanjut.

 Dua beradik itu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
 Nur A’minahtul Mardiah membenarkan hukuman terhadap Noramira ditangguhkan bagi menunggu laporan sosial pada 19 Januari depan.

 Beliau juga membenarkan tertuduh kedua dibebaskan dengan wang jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin manakala Norlida juga membayar denda tersebut.

Tuesday, December 15, 2015

Suami gagal beri nafkah punca Farah Asyikin tuntut cerai

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu kegagalan suami penyanyi, Farah Asyikin, Zaahier Stanley, 38, untuk memberi nafkah secara konsisten menjadi punca yang mendorong tuntutan penceraian difailkan pada hujung tahun lalu.
Kamarul Bahrin Mohamad yang merupakan hakam (penimbang tara) keluarga dilantik Farah berkata, Zaahier, seorang warga Afrika Selatan didapati tidak dapat menunaikan tanggungjawab memberi nafkah dan menyediakan tempat tinggal munasabah dengan sebaiknya kerana menghadapi masalah kewangan.
Beliau yang juga abang ipar penyanyi yang popular dengan lagu 1,000 Penipuan tersebut berkata, masalah berkenaan menyebabkan pasangan tersebut sering bergaduh dan mereka didapati telah tinggal berasingan sejak setahun lalu.
“Saya merumuskan memang terdapat syiqaq (pertikaian berpanjangan), Farah mahu penceraian manakala suaminya pula enggan.,” katanya ketika menyampaikan laporan hakam di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus di sini hari ini. K! ONLINE

Monday, December 14, 2015

Pemandu lori dituduh cabul anak kandung

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencabul anak kandungnya yang berusia tujuh tahun pada bulan lalu.

 Dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.

 Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 Berdasarkan pertuduhan, lelaki ber­kenaan didakwa melakukan perbuatan cabul ke atas kanak-kanak perempuan terbabit di rumah mereka di Cheras di sini antara pukul 6.30 pagi hingga 3 petang, November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan berkenaan jika sabit kesalahan.

Muhamad Faizal tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan ketiadaan penjamin yang hadir di mahkamah semalam.

 Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 26 Januari depan.

Ibu tunggal dipenjara 20 hari curi pakaian

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 20 hari dan denda RM500 selepas atas kesalahan mencuri pakaian termasuk coli bernilai RM1,147 bersama adik perempuannya di pasar raya besar, Aeon Maluri, Cheras pada semalam.
Norlida Muhamad, 31, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut bersama adiknya, Noramira, 20, pada 4.30 petang, 13 Disember lalu.
Noramira yang merupakan ibu seorang anak turut mengaku salah melakukan kesalahan itu namun Majistret A'minahtul Mardiah Md. Nor membenarkan penangguhan hukuman bagi menunggu laporan sosial.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Friday, December 11, 2015

Bekas pegurus wilayah syarikat tembakau bebas kes rasuah

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pengurus wilayah unit keselamatan sebuah syarikat tembakau multinasional daripada sabitan penjara 15 bulan dan denda RM100,000 atas kesalahan menerima rasuah pada tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Datuk Dr. Ronald Loius Richards, 53, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 20 Februari lalu.
Tertuduh didakwa menerima rasuah RM20,000 sebagai tajaan pengajian lesen Juruterbang Pesawat Persendirian anak lelakinya daripada seorang pengurus syarikat keselamatan pada 17 Jun 2008.
Dia dituduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997. - K! ONLINE

Tuntut pampasan jutaan ringgit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Bekas isteri seorang pengarah eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memohon perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam untuk menguatkuasakan butiran perjanjian perkahwinan melibatkan pampasan jutaan ringgit.
Perjanjian itu telah ditandatangani pasangan itu kira-kira 10 bulan sebelum berlakunya penceraian.
Zarina Zainuddin (gambar), 42, yang juga merupakan seorang suri rumah memfailkan permohonan berkenaan bersama tuntutan mutaah, nafkah anak, hadanah (hak penjagaan anak) dan lain-lain selepas mendakwa penceraian yang berlaku pada 17 Februari lalu berpunca daripada pelanggaran terma dan syarat perjanjian tersebut oleh bekas suaminya, Ahmad Farouk Mohamed, 43.
Peguam syarie, Hazizah Kassim yang mewakili Zarina berkata, antara butiran perjanjian tersebut ialah pembayaran mutaah sebanyak RM500,000, nafkah RM10,000 sebulan, penyerahan hak milik dua rumah di Taman Tun Dr. Ismail di sini.
Selain itu, ia melibatkan pembelian kenderaan baharu setiap tujuh tahun dan kos menunaikan ibadah haji kepada plaintif sebagai pampasan penceraian.
“Perjanjian itu turut merangkumi nafkah dan hak penjagaan anak yang akan diberikan kepada anak guam saya selagi beliau tidak berkahwin baharu. Ia akan berkuatkuasa sekiranya defendan (Ahmad Farouk) didapati melanggari terma dan syarat dipersetujui seperti tidak mengamalkan poligami dan berlaku curang sehingga menyebabkan penceraian.
“Kami akan membuktikan semua dakwaan tersebut dalam perbicaraan permohonan berkenaan yang akan bermula pada 16 Disember ini,” katanya ketika ditemui selepas proses sebutan kes hadanah pasangan berkenaan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Luthatul Hana Samsudin di sini semalam.

Prosiding terbabit berlangsung tanpa kehadiran Ahmad Farouk yang hanya diwakili peguam syarie, Datuk Shamsuriah Sulaiman.

Sementara itu, Zarina yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, perjanjian itu ditandatangani di rumah kelamin mereka di Taman Tun Dr. Ismail dengan bersaksikan peguam, Joanne Lazaroo dan Nurul Suzilyana Mohamed Saat bersama kesemua anak mereka yang berusia dalam lingkungan lapan hingga 17 tahun.

Menurutnya, perjanjian yang dibuat pada 12 April 2014 itu demi melindungi haknya dan anak-anak dalam sepanjang tempoh perkahwinan dan selepas perpisahan.

Mereka yang melangsungkan perkahwinan pada 26 Jun 1997 dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.

Dalam pada itu, Ahmad Farouk dalam penyataan tuntutan balasnya menafikan dakwaan Zarina dan mendakwa beliau menandatangani perjanjian perkahwinan tersebut tanpa kerelaan dan dalam keadaan terpaksa.

Thursday, December 10, 2015

Dipenjara sehari curi 2 tin arak

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri dua tin minuman keras berharga RM11.10 di sebuah pasar raya semalam.
Muhamad Nur Hisyam Tuah, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri dua tin bir jenama Royal Stout di sebuah pasar raya di Jalan Sungai Besi di sini pada pukul 7 petang, 9 Disember lalu.
Muhamad Nur Hisyam dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

Penipu hartanah dijel, sebat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Tembelang seorang lelaki yang giat melakukan penipuan dalam penjualan di laman web perdagangan atas talian, www.mudah.com mendapat balasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Mazrin Abd. Aziz, 29, didapati bersalah atas dua pertuduhan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang deposit melibatkan transaksi keseluruhan berjumlah RM30,000 bagi urusan penukaran hak milik sebuah rumah beralamat di 23, Jalan Mutiara 4/4, Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, Sela­ngor yang tidak dapat diwujudkan pada tahun lalu.
Rumah teres setingkat yang kononnya mahu dijual pada harga RM280,000 tersebut bukan milik tertuduh dan pemilik asal iaitu Khairul Amar Amin pula tidak mengetahui premisnya telah diiklankan di dalam laman web berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Mazrin didakwa memperdaya Nur Zaiti Ikmal Dzainuddin yang merupakan seorang guru untuk mempercayai rumah terbabit mahu dijual oleh tertuduh sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM15,000 sebagai deposit pembelian hartanah itu di Restoran Azhar, Batu 1/2, Jalan Ipoh di sini pada pukul 2.30 petang, 27 Mac 2014.

Dia turut dituduh dalam satu pertuduhan lain iaitu menipu pasangan suami isteri, Muhamad Nazri Ahmad Saghirm, 33, dan Fatimah Abdullah, 34, untuk menyerahkan wang tunai RM15,000 sebagai deposit pembelian rumah sama di AmBank cawangan Jalan Yap Kwan Seng di sini pada pukul 4 petang, 30 Mac 2014.

Mazrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua pula, hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan telah dikenakan.

Beliau memerintahkan Mazrin yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman bagi kedua-dua pertuduhan ber­kenaan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap polis iaitu 20 Mac 2015.

Shah Jaszle dakwa diperangkap

PETALING JAYA – Pelakon Shah Jaszle membe­ritahu Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini semalam dia mengesyaki serbuan khalwat yang dilakukan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada dua tahun lalu merupakan perangkap yang didala­ngi oleh Farah Nurizzati Salleh.
Dia yang mula dikenali dengan drama Asmara itu berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan salah seorang anggota penguat kuasa JAIS pada malam kejadian, serbuan tersebut dilakukan selepas menerima aduan yang dipercayai dibuat oleh Farah Nurizzati sendiri.
“Saya dimaklumkan ­aduan pertama dibuat pada pukul 11 malam (15 Mei 2013) sedangkan saya hanya memasuki rumah Farah Nurizzati pada pukul 3.15 pagi (16 Mei 2013) untuk mengambil pakaian yang akan digunakan untuk penggambaran drama pada keesokkan pagi­nya.
“Saya juga mempunyai bukti kiriman pesanan ringkas (SMS) yang menunjukkan Farah Nurizzati mengharapkan pertunangan saya (dengan Redzwani Pu­teri) terputus berikutan kejadian khalwat ber­kenaan,” katanya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini semalam.

Shah Jaszle atau nama sebenarnya, Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmin, 27, memberi ke­terangan membela diri secara bersumpah dalam perbi­caraan kes khalwat membabitkan dia dengan Farah Nurizzati di hadapan Hakim Syarie, Abd. Halim Abu Samah.

Pasangan itu didakwa me­lakukan kesalahan tersebut di KC-01-16, Blok C, Apartmen Kayangan, Jalan PJS 10/24, Taman Sri Subang di sini pada pukul 3.50 pagi, 16 Mei 2013.

Farah Nurizzati, bekas pekerja bank bagaima­napun telah didenda RM3,000 oleh mahkamah sama selepas wanita itu mengaku bersalah ketika kes itu pertama kali di­sebut pada 12 November 2013.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 29(a)(b) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Shah Jaszle berkata, Farah Nurizzati juga bertindak memburukkannya kepada pengamal media dan keluarga Redzwani Pu­teri setelah dia bertindak menjauhkan diri daripada wanita tersebut selepas insiden khalwat itu.

Artis itu mendakwa sebelum kejadian, wanita berkenaan juga cuba menjalinkan hubungan rapat dengannya tetapi tidak dilayan kerana dia terlalu mengasihi tunangnya pada waktu itu.

Terdahulu, Shah Jaszle memberitahu dia mengenali Farah Nurizzati ketika terlibat dalam produksi drama, Lembayung Kasih­mu.

Katanya, dia telah me­nerima 14 panggilan telefon tidak dijawab daripada wanita itu yang merupakan individu bertanggungjawab menjaga pakaian pelakon produksi drama terbabit bermula pada pukul 11.20 malam, 15 Mei 2013.

“Saya hanya mengangkat panggilan telefon dibuat Farah Nurizzati selepas tersedar daripada tidur pada pukul 1.15 pagi.

“Dia merayu saya datang ke rumahnya untuk menentu pakaian yang dipakai pada penggambaran keesokan paginya,” katanya.

Shah Jaszle berkata, dia yang kurang sihat telah meminta Farah Nurizzati mengambilnya di rumah kakak pelakon itu di Damansara Perdana dan semasa sampai di rumah wanita berkenaan, dia mendapati premis itu turut dihuni tiga individu lain termasuk pasangan suami isteri yang juga sepupu wanita itu.

Setelah memilih pakaian produksi di ruang tamu, dia yang kurang sihat te­lah diminta Farah Nurizzati untuk berehat di bilik tidur wanita itu.

“Saya terlena di atas katil di bilik tidur itu dalam keadaan pintu bilik dan tingkap terbuka serta lampu terbuka.

“Sedar-sedar daripada tidur, saya nampak pintu bilik telah dibuka oleh Farah Nurizzati setelah ia diketuk beberapa kali oleh anggota penguat kuasa JAIS,” katanya.

Perbicaraan bersambung 23 Februari 2016.

Wednesday, December 9, 2015

Peniaga pukul isteri dipenjara empat bulan

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya pada awal bulan ini.
Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris memutuskan demikian selepas S. Sugendran, 26, mengaku bersalah memukul isterinya, C. Umarani, 28, dengan pengunci motosikal di hadapan kedai serbaneka, Maxvalue Ringgit Store, Pantai Dalam pada pukul 8.30 malam, 3 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Penipu jual beli rumah dipenjara lima tahun, empat sebatan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini setelah didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menipu dalam urusan penjualan rumah yang diiklankan menerusi laman web, www.mudah.my pada tahun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Mazrin Abd. Aziz, 39, didakwa memperdaya seorang guru, Nur Zaiti Ikmal Dzainuddin untuk menyerahkan wang tunai RM15,000 sebagai deposit pembelian sebuah rumah di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, Selangor di sebuah restoran di Jalan Ipoh di sini pada pukul 2.30 petang, 27 Mac 2014.
Dia juga dituduh menipu pasangan suami isteri, Muhamad Nazir Ahmad Saghir,33, dan Fatimah Abdullah,34, untuk menyerahkan RM15,000 bagi urusan pembelian rumah sama di Ambank cawangan Jalan Yap Kwan Seng di sini pada pukul 4 petang, 30 Mac 2014.
Rumah terbabit bukan milik Mazrin dan pemiliknya juga tidak mengetahui tindakan tertuduh mengiklankan penjualan premis itu di laman web, www.mudah.com.
Hakim Norsharidah menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Saturday, December 5, 2015

Pathmanabhan kekal dihukum mati


PUTRAJAYA – Rayuan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya untuk dibebaskan daripada hukuman gantung kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain lima tahun lalu tidak kesampaian selepas Mahkamah Rayuan di sini semalam mengekalkan hukuman mati ke atas mereka.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali dalam keputusan mereka telah sebulat suara menolak permohonan Pathmanabhan, 46; T. Thilaiyalagan, 23; R. Matan, 24; dan R. Kathavarayan, 34, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah mendapati sabitan yang dikenakan terhadap keempat-empat responden adalah kukuh.
Salah seorang panel hakim yang bersidang, Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat berkata, tiada sebab untuk mengubah keputusan sabitan sebelum ini dan pihaknya juga berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan membunuh tersebut.

“Bukti dikemukakan seperti laporan forensik, asid deoksiribonukleik (DNA), barangan peribadi mang­sa dan rekod panggilan mangsa-mangsa adalah kukuh untuk mengesahkan Sosilawati dan tiga yang lain berada di ladang tersebut pada hari kejadian (30 Ogos 2010).

“Tak mungkin mereka berada di Gen­ting Highlands seperti di­dakwa apatah lagi pada bulan Ramadan,” kata beliau ketika membacakan penghakiman tersebut di sini semalam. 

Turut bersidang bersama panel itu ialah Hakim Datuk Seri Zakaria Sam. 

Kesemua tertuduh kelihatan tenang di kandang pesalah ketika mendengar keputusan itu. Pihak pem­belaan memberitahu, mereka akan meneliti penghakiman terbabit dan bercadang untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon; Thilaiyalagan diwakili peguam Gurbachan Singh dan Hisyam Teh Poh Teik; Matan pula diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwa­kili peguam M.Stanislaus Vethanayagam.

Pasukan pendakwaan dike­tuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013 telah menyabitkan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap keempat-empat tertuduh kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahamad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, 44.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Gadong yang terletak di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Ban­ting, Selangor antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Sosilawati dan tiga pembantunya telah pergi ke ladang berkenaan untuk berjumpa Pathmanabhan bagi mencari penyelesaian berhubung penjualan tanah di Batu Ferringhi, Pulau Pinang namun mereka kemudian didapati tidak pulang selain tidak menjawab panggilan telefon.

Polis kemudian menahan lima lelaki pada 9 September 2010 yang membawa kepada pe­nemuan kawasan pembakaran mayat di belakang ladang terbabit tiga hari kemudian dan sisa tulang, kesan darah dan kayu kriket, jam tangan dan te­lefon bimbit yang disahkan milik Sosilawati dan rakan-rakannya. 

Maklumat seterusnya membawa kepada penemuan kayu dan zink serta kesan terbakar dan kesan darah di dasar Su­ngai Kanchong Laut yang terletak tidak jauh dari lokasi pembunuhan.

Friday, December 4, 2015

Mahkamah Tinggi ketepikan keputusan lepas, bebas Genneva Malaysia

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (GMSB) dan tiga pengurusan ter­tingginya daripada pertuduhan membuat penyataan palsu dalam iklan di laman web syarikat itu berhubung perniagaan emas berlandaskan syariah.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin membenarkan rayuan pihak pendakwaan selepas berpuas hati kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap pertuduh­an yang dikemukakan terhadap GMSB, dua pengarah syarikat itu, Datuk Tan Liang Kiat, 43, dan Datuk Phillip Jit Meng, 58, serta pengurusnya, Ahmad Khairuddin Ilias, 57.

“Selepas meneliti hujah pendakwaan dan keterangan saksi, iklan (perniagaan emas berlandaskan syariah) dalam laman web, www.genneva.com.my. yang disahkan milik responden keempat (GMSB) adalah palsu.

“Iklan itu tidak mengikut syariah (seperti didakwa) berdasarkan fatwa yang merupakan hukum yang mengikat (tidak boleh dicabar oleh undang-undang,” kata beliau ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

Mohd. Azman berkata, laman web itu juga boleh diakses secara bebas mana-mana pihak tanpa penggunaan sebarang kata laluan.

Sehubungan itu, katanya, ke­semua responden iaitu GMSB, Liang Kiat, Jit Meng dan Ahmad Khairuddin wajar dipanggil semula untuk membela diri dan memerintahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 13 Januari depan.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat responden didakwa membuat penyataan palsu dalam iklan dalam laman web, www.genneva.com.my berhubung perniagaan emas berlandaskan syariah di premis bernombor 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai di sini antara 16 Februari 2012 hingga 1 Oktober 2012.

Sebelum ini, kesemua responden telah dilepas dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Ogos 2014.

Kosmo! 28 September 2013 melaporkan, enam individu termasuk dua pengarah syarikat pelaburan jongkong emas GMSB mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga hampir RM5.5 bilion pada tahun 2011.

Pathmanabhan dan tiga pekerjanya kekal ke tali gantung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan, 46, dan tiga pekerjanya kerana membunuh jutawan komestik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain di Ladang Gadong, Banting pada 30 Ogos 2010.

Rayuan yang dikemukakan Pathmanabthan, T. Thilaiyalagan, 23, R. Matan, 24, dan R. Kathavarayan, 32, ditolak panel hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali selepas mendapati tiada sebab kukuh untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menyabitkan keputusan itu pada 23 Mei 2013.
Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Zakaria Sam turut berpuas hati terhadap pendakwaan kes pembunuhan Sosilawati, pegawai bank, Noorhisham Mohamad, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin. - K! ONLINE

Suami Marissa fail cerai

SHAH ALAM – Suami Marissa Yasmin memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah di sini setelah pelakon berkenaan menghilangkan diri de­ngan meninggalkan rumah kelamin mereka di Subang Jaya dekat sini sejak hampir enam bulan lalu.

Muhzir Mohd. Zainuddin, 49, mendakwa, tindakan artis yang popular menerusi drama rantaian Memori Cinta Suraya yang masih bersiaran di saluran Astro Prima berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

“Saya dapat tahu dia (Marissa Yasmin) ada ‘orang lain’ dan saya mempunyai bukti. Dia hanya pulang ke rumah sekali-sekala semasa ketiadaan saya untuk mengambil barangan peribadi sejak meninggalkan rumah pada 12 Jun lalu iaitu seminggu sebelum bulan puasa (Ramadan).

“Saya tidak dapat berhubung dengannya lagi kerana nombor te­lefon bimbit saya telah disekat oleh dia,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah selepas menghadiri sebutan kes permohonan penceraian yang difail di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Pendengaran kes itu di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria berlangsung tanpa kehadiran Marissa Yasmin atau nama sebenarnya Mariam Yaacob, 37, yang dipercayai kini berada di luar negara.

Muhzir yang merupakan seorang pengurus jualan teknologi maklumat sebuah syarikat swasta memberitahu, dia telah memfailkan permohonan penceraian itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu tuntutan penceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah pada 27 November lalu.

Terdahulu, peguam syarie mewakili Muhzir, Jamal Mohd. Lokman Sulaiman memberitahu mahkamah, pihaknya gagal menyerahkan notis permohonan penceraian itu secara serahan tangan kepada Marissa kerana defendan gagal dikesan dan lokasi tempat tinggal barunya juga tidak diketahui.

“Alamat terakhir defendan (Marissa) ialah di Wangsa Baiduri, Subang Jaya namun pelakon itu sudah tidak tinggal di situ dan tempat tinggal lainnya tidak diketahui.

“Sekiranya saman (notis) tersebut masih gagal diserahkan secara tangan, saya bercadang untuk mengusulkan agar perintah penyampaian gantian dilaksanakan,” jelas beliau kepada Muhamad Hisyam di sini semalam.

Perintah penyampaian gantian bermaksud notis mahkamah yang gagal disampaikan secara serahan tangan defendan akan dimaklumkan menerusi cara lain seperti pengiklanan di akhbar harian, penampalan di papan notis mahkamah dan penampalan di alamat terakhir defendan.

Muhamad Hisyam menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 14 Ja­nuari depan.
Muhzir dan Marissa Yasmin telah melangsungkan pwerkahwinan selama lima tahun sejak tahun 2010 dan mereka tidak dikurniakan anak.

Thursday, December 3, 2015

Kelindan lori didakwa rompak farmasi

KUALA LUMPUR - Seorang kelindan lori dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak wang tunai lebih RM20,000 milik sebuah farmasi di Desa Setapak, Wangsa Maju di sini pada empat bulan lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Rashid Hamid, 31, didakwa bersama seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas merompak seorang juruwang farmasi tersebut secara berkumpulan dengan bersenjatakan pisau pada pukul 3.30 petang, 7 Ogos lalu.
Dia turut menghadapi satu lagi pertuduhan merompak berkumpulan bersenjatakan pisau seorang lagi juruwang di farmasi sama pada pukul 1.30 petang, 30 Ogos lalu.
Rashid didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Keputusan lepas dan bebas Genneva Malaysia diketepi

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada tahun lalu yang melepas dan membebaskan sebuah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (GMSB) dan tiga pengurusan tertingginya daripada pertuduhan membuat penyataan palsu dalam iklan.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pedakwaan sekali gus memerintahkan kes melibatkan GMSB dan dua pengarah syarikat itu, Datuk Tan Liang Keat dan Datuk Philip Jit Meng serta pengurus syarikat pelaburan emas berkenaan, Khairuddin Ilias dibicara semula di Mahkamah Sesyen pada 13 Januari depan.
GMSB dan ketiga-tiga tertuduh lain didakwa membuat penyataan palsu dalam iklan pelaburan emas patuh syariah yang disiarkan di laman web, www.genneva.com.my mengikut Seksyen 18 (1) Akta Perihal Dagangan 2011. - K! ONLINE

Wednesday, December 2, 2015

Awie kena notis tunjuk sebab

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada pelakon dan penyanyi rock terkenal, Awie ekoran kegagalannya mematuhi tiga perintah mahkamah sebelum ini termasuk menyerahkan anak sulung mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, kepada bekas isterinya, Rozana Misbun.
Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain memerintahkan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 47, memberi penjelasan kepada mahkamah berhubung isu tersebut pada 11 Januari depan.
“Saya berpuas hati dengan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan pemohon (Rozana) untuk mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada responden (Awie).
“Tarikh 11 Januari 2016 ditetapkan untuk responden mengemukakan alasan munasabah kepada mahkamah,” kata beliau ketika membacakan keputusan penghakimannya di sini semalam.
Kegagalan Awie untuk akur atau memberi alasan munasabah berhubung keengganannya mematuhi perintah terbabit boleh menyebabkan dia dikenakan tindakan menghina mahkamah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.
Pendengaran permohonan yang dikemukakan Rozana di hadapan Mohd. Amran semalam berlangsung tanpa kehadiran Awie dan peguam syarienya.
Bekas model berusia 37 tahun tersebut memfailkan permohonan kebenaran tersebut menerusi peguam syarie Nor Azmi Mohd. Arif mengikut Seksyen 151(1) (a)(b) Akta Tatacara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998 dan Seksyen 151(aa) 229(1) akta sama di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 24 November lalu.

Wanita itu berbuat demikian berikut keengganan bekas suaminya untuk mematuhi perintah mahkamah sebelum ini yang memberi hak penjagaan sementara tiga orang anak mereka kepadanya.

Awie belum menyerahkan Putra Ahmad Merrah kepada Rozana sehingga kini walaupun dua lagi anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, sudah berada dalam jagaan bekas isterinya sejak awal tahun ini.

Vokalis kumpulan Wings itu juga gagal membayar kos mahkamah sebanyak RM900 setelah bantahan awal yang dikemukakan dia berhubung permohonan Rozana bagi mengetepikan perintah hak jagaan anak secara sebelah pihak yang diperoleh penyanyi itu sebelum ini ditolak Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain itu, Awie juga belum mematuhi perintah mahkamah untuk membayar kos RM5,000 setelah hak penjagaan anak sementara yang diterimanya pada Julai 2014 dibatalkan kerana sijil nikah yang dikemukakannya ketika memfailkan permohonan tersebut didapati palsu.

Awie dan Rozana berkahwin secara rahsia di selatan Thailand pada 20 Jun 2005 tetapi tidak mendaftarkannya di Malaysia sehingga hari ini.