Translate

Sunday, December 28, 2014

Wanita lumpuh separuh badan gagal selamatkan diri dalam kebakaran

KLANG - Seorang wanita lumpuh separuh badan maut selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah premis dua tingkat di Jalan Batu 2 1/2, Rantau Panjang di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.05 pagi itu, warga warga Indonesia dikenali sebagai Emy, 50, ditemui rentung di dalam bilik sewanya di tingkat atas premis yang turut dijadikan restoran, bengkel membaiki motosikal dan pusat hiburan karaoke di bahagian bawah.

Turut cedera akibat melecur akibat kebakaran berkenaan ialah seorang lelaki dikenali sebagai Rudy Shah, 27, yang juga merupakan warga Indonesia.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Rasila Robin, 56, berkata, semasa kejadian, dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh sebelum tercium bau asap dari dalam bilik sewanya.

"Apabila membuka pintu bilik, saya ternampak api kebakaran lantas bergegas turun ke tingkat bawah untuk menyelamatkan diri.

"Kebakaran berlaku dengan pantas memusnahkan keseluruhan premis yang sebahagiannya diperbuat daripada kayu sehingga saya tidak sempat menyelamatkan sebarang barangan berharga," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rasila memberitahu, dia dan anaknya sudah menyewa salah satu dari lima bilik yang terdapat di tingkat atas premis berkenaan sejak tahun 1995.

Dalam pada itu, Komender Operasi Kanan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Hissam Sidik berkata, tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Sungai Pinang dan Kota Raja dengan kekuatan 14 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kebakaran tersebut pada pukul 6.12 pagi

"Keadaan api sangat marak ketika kami tiba dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 22 minit kemudian. Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.



Saturday, December 27, 2014

Peperiksaan semester UiTM Kota Bharu dan Machang tangguh

SHAH ALAM - Peperiksaan semester di dua cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Kota Bharu dan Machang, Kelantan ditangguhkan berikutan bencana banjir yang sedang melanda Pantai Timur pada waktu ini.
Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, peperiksaan untuk pelajar kedua-dua cawangan tersebut akan dijadualkan semula pada 8 Januari depan. - KOSMO!

Saturday, December 20, 2014

Kelab Pidato UMNO ditubuhkan

SHAH ALAM - UMNO menubuhkan Kelab Pidato di setiap 191 bahagian parti itu di seluruh negara.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, penubuhan kelab berkenaan bertujuan melahirkan lebih ramai penceramah dikalangan ahli parti tersebut bagi menjelaskan isu semasa seperti harga petrol dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat.
"Ia pembaharuan kedua yang diperkenalkan bagi proses peremajaan UMNO selepas pelancaran keahlian dalam talian beberapa hari lalu.
"Buat permulaan, Kelab Pidato UMNO di setiap bahagian terbabit akan menganjurkan dua sesi penerangan kepada rakyat setiap sebulan mulai Januari depan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan ketua penerangan empat peringkat UMNO Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Thursday, December 18, 2014

Tiga penjenayah tersungkur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan ABDUL RAZAK IDRIS
berita@kosmo.com.my

KUALA LANGAT – Kegiatan sebuah kumpulan penjenayah dianggotai lima lelaki Indonesia melakukan jenayah pecah rumah di daerah ini sejak beberapa bulan lalu berakhir dengan tiga daripada mereka maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Segenting, Pulau Carey di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, dua daripada penjenayah itu berjaya meloloskan diri ke dalam kawasan semak berhampiran.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar (gambar kecil) berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis yang melakukan rondaan di Kampung Dato' Hormat, Teluk Panglima Garang di sini terserempak dengan kereta Toyota Vios yang dilihat mencurigakan.

"Walaupun diarahkan berhenti, kereta yang dinaiki suspek berusia antara 25 dan 35 tahun bertindak memecut laju menyebabkan dikejar kereta peronda polis sehingga kira-kira lima kilometer.

"Tiba di satu lokasi, kereta Toyota Vios itu hilang kawalan lalu terbabas sehingga melanggar sebuah lampu jalan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, sejurus selepas itu, seorang suspek keluar dari kereta tersebut sambil mengacukan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

"Bagi mempertahankan diri, pasukan polis terpaksa membalas tembakan tersebut dan menyebabkan tiga daripada lima lelaki itu terkorban di tempat kejadian," kata Abdul Rahim.

Katanya, pemeriksaan di kawasan kejadian dan dalam kereta Toyota Vios menemui sepucuk pistol, tiga telefon bimbit, dua bilah parang, sarung tangan dan pemotong besi.

Kebanyakan sejata tajam dan peralatan itu dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Sebelum tumpasnya kumpulan ini, kata Abdul Rahim, polis telah menerima dua aduan kes pecah rumah di sekitar Banting di sini didalangi kumpulan terbabit. 

"Siasatan mengesyaki kumpulan ini terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di daerah lain seperti Ampang, Shah Alam dan Subang Jaya. 

"Kereta Toyota Vios yang digunakan juga merupakan kenderaan curi yang telah dilaporkan hilang di Subang Jaya pada tahun lalu," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, gerakan memburu dua lagi anggota kumpulan itu.

Suspek-suspek yang mati berusia 25 dan 35 tahun. Polis masih menyiasat identiti ketiga-tiga suspek itu.

Lima penonton bola didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Lima lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan merusuh dan menyerang penyokong bola sepak Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada 7 Disember lalu.
Mohd. Aminuddin Hamdan, 34, dan adiknya, Noor Hadim, 29, dari Felda Su­ngai Sibol, Kulaijaya, Johor dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 9.50 malam.
Turut didakwa atas pertuduhan sama ialah pekerja kargo, Amirul Akhmal Nooradzhar, 22, penghantar surat, Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28, dan pelajar Politeknik Nilai, Negeri Sembilan, Muhammad Naquiyuddin Salehudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, peniaga sate, Mohd. Aminuddin dan Noor Hadim yang membantu ayahnya mengusahakan ladang kelapa sawit serta tiga tertuduh lain didakwa bersama beberapa individu lain yang masih bebas merusuh dan menyerang penyokong Vietnam yang sedang menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di kawasan Quarant A, Stadium Shah Alam.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyana Razali. 

Mereka dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd. Aminuddin dan adiknya, Noor Hadim serta Zulhelmy Akmal yang berasal dari Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur diwakili peguam bela, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan M. Hafiz Zainol Abidin.

Amirul Akhmal dari Putri Hartamas, Kulai, Johor dan Muhammad Naquiyuddin dari Kampung Sungai Buaya, Rawang pula diwakili peguam bela, Muhammad Hidhir Mustapa.

Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip menawarkan wang jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh namun Amir Khusyairi dan Muhammad Hidhir merayu wang jaminan yang lebih rendah dengan alasan semua tertuduh berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Ellyana menetapkan kesemua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM2,800 dengan seorang penjamin serta dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran kediaman mereka pada setiap bulan sehingga kes berakhir.

Kesemua tertuduh membayar wang ikat jamin itu dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Januari tahun depan.

Muhammad Naquiyuddin yang sepatutnya melapor diri sebagai pelatih praktikal di sebuah syarikat swasta pada awal minggu ini kelihatan menangis sewaktu dibawa ke kamar mahkamah.

Kosmo! semalam melaporkan lima dari sembilan suspek yang ditahan reman sejak Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan penyokong Vietnam diserang ketika perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, setakat ini, sembilan individu yang dicari telah tampil memberi keterangan termasuk lima yang didakwa di mahkamah semalam.

"Polis tidak akan berkompromi dan mereka akan tetap diburu sekiranya masih degil untuk menyerah diri secara sukarela," kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Wednesday, December 17, 2014

Tahanan reman sembilan lelaki dilanjut bagi bantu siasatan kes keganasan bola sepak

SHAH ALAM - Tempoh tahanan reman sembilan lelaki yang dicari bagi  membantu siasatan berhubung insiden penyokong Vietnam diserang ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada 7 Disember lalu dilanjutkan sehingga Rabu dan Khamis ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, kebenaran lanjutan tahanan reman terhadap sembilan lelaki tempatan berusia 19 tahun hingga 29 tahun itu diperolehi dari Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin di Mahkamah Majistret di sini.

"Majistet Norshakinah membenarkan empat daripada individu yang ditahan dilanjutkan tempoh tahanan reman selama dua hari lagi manakala selebihnya selama tiga hari.

"Kita memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan kertas siasatan kes tersebut seperti diarahkan pejabat Pendakwa Raya," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sebahagian ahli keluarga kelihatan telah menunggu di perkarangan mahkamah sejak pukul 9 pagi sebelum kesemua lelaki yang ditahan reman sejak Jumaat lalu itu tiba Mahkamah Majistret kira-kira dua jam kemudian.

Mohd. Adnan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kosmo! 10 Disember lalu melaporkan polis mengesan 15 individu bagi membantu siasatan berhubung insiden penyokong Vietnam diserang dan dikasari sekumpulan individu ketika Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam.

Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-2 pada perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi, Vietnam pada Sabtu lalu.

Lima samseng bola sepak didakwa

SHAH ALAM - Lima lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merusuh dan menyerang penyokong bola sepak Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada 7 Disember lalu.
Mohd. Aminuddin Hamdan, 34 dan adiknya Noor Hadi, 29 dari Felda Sungai Sibol, Kulaijaya, Johor mengaku tidak bersalah pertuduhan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan tersebut.
Turut mengaku tidak bersalah pertuduhan tersebut ialah pekerja kargo, Amirul Akmal Nooradzhar, 22, penghantar surat, Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28, dan pelajar Politeknik Nilai, Muhammad Naquiyuddin Sallehuddin, 19.
Majistret Ellyana Razali membenarkan kesemua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM2,800 dengan seorang penjamin.
Ellyana juga mengarahkan mereka agar melapor diri di balai polis berhampiran dengan kediaman pada setiap bulan selain menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari depan. - KOSMO!

Sunday, December 14, 2014

Bekalan RON97 sepatutnya cukup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NIZHA PERIASWAMY
berita@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Kekurangan bekalan minyak petrol RON97 khususnya di Lembah Klang tidak sepatutnya berlaku pada masa ini kerana pengedar bahan api dan pemilik stesen minyak telah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa masalah itu dapat diselesaikan awal minggu ini.
Justeru Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek meminta orang ramai membuat aduan kepada kementeriannya sekiranya berlaku kekurangan bekalan petrol RON97 dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-9811 bagi membolehkan isu berkenaan diatasi dengan lebih berkesan.
“Sepatutnya bekalan petrol RON97 sudah kembali normal pada waktu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan pengguna petrol di sekitar Lembah Klang kecewa apabila masih banyak stese minyak kehabisan petrol RON97 selepas harga bahan bakar itu diturunkan kepada RM2.46 seliter daripada RM2.55 seliter pada 1 Disember lalu.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Presiden Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman  ketika dihubungi mendakwa, masalah bekalan petrol RON97 sudah pulih sejak semalam.

"Saya sendiri tidak lagi menerima sebarang aduan mengenainya (kekurangan bekalan)," katanya.

Presiden Persatuan Stesen Minyak Petronas Malaysia, Datuk Abu Samah Bachik pula berkata, masalah kekurangan bekalan RON97 juga tidak berlaku di rangkaian stesen minyak Petronas di seluruh negara.

Namun seorang pengusaha minyak yang enggan dikenali berkata, pihaknya masih meragui bekalan minyak RON97 sehingga akhir tahun.

"Saya baru menerima bekalan (RON97) hari ini (semalam) dan ia cukup untuk lima hari sahaja.

"Masalah kekurangan bekalan RON97 mungkin bertambah serius kerana permintaannya dijangka meningkat kepada 50 peratus ekoran ramalan harga minyak turun lagi akhir bulan ini," katanya.

Saturday, December 13, 2014

Dua lagi tampil beri keterangan

SHAH ALAM - Dua lagi lelaki yang dicari bagi membantu siasatan berhubung insiden penyokong Vietnam diserang ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 berlangsung di Stadium Shah Alam di sini pada malam Ahad lalu tampil memberi keterangan kepada polis semalam.

Difahamkan mereka yang merupakan warga tempatan telah tampil secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, kedua-dua lelaki itu telah dibenarkan pulang setelah keterangan mereka diambil pihaknya.

"Termasuk dua orang pada hari ini (semalam), setakat ini tujuh daripada 15 individu yang dicari bagi membantu siasatan insiden menyerang penyokong Vietnam telah tampil menyerah diri.

"Saya gesa baki lapan individu yang turut dicari dapat berbuat demikian secepat mungkin," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adnan berkata, mereka boleh tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Amirul Abdullah di talian 012-4748870 atau Asisten Superintendan Chang Sing Kong di talian 016-7723336.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kosmo! kelmarin melaporkan polis Selangor meminta bantuan orang ramai bagi mengesan 15 individu yang dapat membantu siasatan berhubung insiden penyokong Vietnam yang diserang dan dikasari selepas perlawanan yang menyaksikan Harimau Malaysia tewas 1-2 di Stadium Shah Alam pada Ahad lalu.

Thursday, December 11, 2014

MACCOPS promosi produk koperasi

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasar 600,000 pengunjung dari sekitar Lembah Klang akan memeriahkan Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada hujung minggu ini.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, MACCOPS yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini dari pukul 9 pagi hingga 9 malam tersebut dijangka bakal menerima perolehan sehingga RM3 juta.

"MACCOPS yang julung kali dianjurkan ini bertujuan bagi mempromosi produk dan perkhidmatan koperasi kepada pengguna.

"Sebanyak 100 koperasi tempatan dan antarabangsa termasuk dari Thailand akan membuka gerai jualan bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Abdul Fattah berkata, antara produk dan perkhidmatan koperasi yang akan diketengahkan pada karnival berkenaan ialah pelancongan, penjagaan kesihatan, pertanian, perladangan, hartanah, kewangan, peruncingan dan pemborongan.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang penganjuran MACCOPS seperti demostrasi produk, pertandingan mewarna dan gubahan, kuiz dan ceramah Keusahawanan Islam Dalam Koperasi oleh pendakwah bebas terkenal, Mohammad Kazim Elias.

Wednesday, December 10, 2014

SM Faizal dinobat CEO Cemerlang Tahunan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Naza, Datuk SM Faizal SM Nasimuddin dinobatkan sebagai CEO Cemerlang Tahunan pada majlis Anugerah Perniagaan Cemerlang Selangor.
Anugerah tersebut merupakan anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Selangor.

Yang Dipertua DPMM Selangor, Mohd. Fadzli Mustafa berkata, pemilihan tersebut berdasarkan kecemerlangan SM Faizal mengemudi 40 anak syarikat Kumpulan Naza yang merupakan legasi ayahnya, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin.

"Di bawah kepimpinan beliau, salah satu anak syarikat Kumpulan Naza, Naza Italia Sdn. Bhd. telah mendapat kepercayaan dilantik sebagai pengedar tunggal kenderaan mewah, Ferrari bagi rantau Asia Tenggara pada tahun 2013.

"Beliau juga menunjukkan kemampuan perhubugan awam yang baik dan sentiasa berhubung serta berkomunikasi secara aktif dengan masyarakat umum terutama generasi muda menerusi beberapa laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram," kata Mohd. Fadzli.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah tersebut yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Hasan menyampaikan anugerah tersebut kepada SM Faizal dan 43 pemenang Anugerah Perniagaan Cemerlang Selangor lain.

Mohd. Fadzli berkata, selain SM Faizal, DPMM Selangor turut mengiktiraf Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Trading Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel sebagai Ikon Usahawan Tahunan.

Anugerah Usahawan Terbaik Tahunan pula dinobatkan kepada Pengarah Urusan Ehsan Plant & Property Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid P.V. Abdu yang menceburi industri pembangunan hartanah.

Polis tahan enam penyokong terlibat pergaduhan di Stadium Shah Alam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

ENAM penyokong tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan dengan penyokong Vietnam dan membakar suar pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam di sini malam kelmarin.

Seorang daripada kesemua lelaki berusia 20-an itu diberkas kerana mencederakan seorang penyokong pasukan pelawat manakala baki lima suspek lagi ditangkap kerana disyaki membakar suar dalam perlawanan yang berkesudahan pasukan Harimau Malaysia tumpas 1-2 kepada Vietnam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan awal mendapati insiden kekecohan tersebut yang dikesan berlaku kira-kira 15 minit sebelum perlawanan tamat berpunca daripada provokasi segelintir penyokong tempatan yang membaling pelbagai objek termasuk botol air ke arah tempat duduk penyokong  Vietnam.

"Provokasi itu berlarutan dengan pergaduhan kecil hingga menyebabkan seorang penyokong lelaki Vietnam cedera ringan di kepala. Begitupun insiden itu segera dapat dileraikan anggota polis bertugas.

"Seorang penyokong tempatan yang dipercayai terlibat dalam kekecohan itu telah berjaya ditahan manakala lelaki Vietnam yang mengalami kecederaan itu telah beredar dari stadium tanpa membuat sebarang aduan mengenai kejadian itu kepada pihak polis," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Azisman memberitahu, selain itu, pihak polis turut menerima tiga aduan mengenai beberapa ahli kelab penyokong Ultra Perak dipukul dan dicederakan oleh beberapa individu dipercayai ahli Ultra Johor.

Tuesday, December 9, 2014

Tak rela dijadi boneka dalam PAC

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Posisi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd. Shamsudin Lias (gambar) meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong daripada Barisan Nasional (BN) itu berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan prinsip integriti setelah dipaksa menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri oleh kerajaan negeri Selangor.
“Oleh kerana saya menolak jawatan itu dua kali sebelum ini, kerajaan negeri telah memaksa saya menerimanya dengan meluluskan pindaan Peraturan-Peraturan Tetap DUN Sela­ngor dengan mewajibkan Ketua Pembangkang Selangor menjadi Pengerusi PAC negeri pada persidangan DUN Khamis lalu.
“Apa ertinya menjadi Pengerusi PAC jika sekadar jadi boneka kerana komposisi ahli jawatankuasa itu berat sebelah de­ngan majoriti dikuasai ADUN pakatan pembangkang,” kata beliau pada sidang akhbar di DUN Selangor di sini semalam.

Terdahulu, Mohd. Shamsudin turut memulangkan kenderaan rasmi, Toyota Camry yang baru diterimanya dua minggu lalu kepada Setiausaha Bahagian DUN Selangor, Elya Marini Darmin.

Parlimen dan kesemua DUN negeri lain termasuk dikuasai pakatan pembangkang iaitu Pulau Pinang dan Kelantan melantik seorang wakil rakyat yang menyokong kerajaan sebagai Pengerusi PAC.

Beliau berkata, selain ADUN Jeram, Datuk Amiruddin Setro, baki lima ahli PAC merupakan wakil rakyat pakatan pembangkang iaitu ADUN Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, ADUN Sekinchan, Ng Swee Lim, ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail, ADUN Meru, Abd. Rani Othman dan ADUN Balakong, Ng Tien Chee.

Mohd. Shamsudin berkata, keputusan peribadi beliau untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor telah direstui Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar.

Sementara itu, Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh menghormati keputusan Mohd. Samsuddin terbabit serta menggesa BN agar segera menamakan Ketua Pembangkang Selangor yang baharu.

DUN Selangor mempunyai 13 ADUN pembangkang yang terdiri daripada 12 wakil rakyat BN dan seorang dari Bebas iaitu bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.



Monday, December 8, 2014

Ketua Pembangkang Selangor letak jawatan

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsudin Lias meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prinsip integriti setelah dipaksa menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri oleh kerajaan negeri Selangor.
"Buat apa saya jadi Pengerusi PAC Selangor kalau terpaksa menjadi 'pak turut' kerana saya satu-satunya ADUN Barisan Nasional yang akan menganggotai jawatankuasa itu.
"Oleh kerana saya telah menolak jawatan itu dua kali sebelum ini, kerajaan negeri telah meluluskan pindaan undang-undang mewajibkan Ketua Pembangkang Selangor menjadi Pengerusi PAC negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Terdahulu Shamsudin memulangkan semua faedah sebagai Ketua Pembangkang termasuk kenderaan rasmi yang baru diterimanya dua minggu lalu kepada Setiausaha Bahagian DUN Selangor, Elya Marini Darmin. - KOSMO!

Tuesday, December 2, 2014

Tipu jual kereta mewah Langkawi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Dua ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menipu dalam penjualan sebuah kenderaan yang tidak dibayar cukai dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram pada dua tahun lalu.
Tertuduh, Chin Jack Deng, 33 dan sepupunya, Tan Hai Chuen, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Jack Deng dan Hai Chuen didakwa memperdaya seorang jurujual kereta untuk membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Porsche Cayenne E2 Diesel pada harga RM520,000 termasuk cukai sedangkan, cukai dan duti kenderaan itu masih belum dilunaskan dan ia telah dibawa keluar dari pusat bebas cukai, Pulau Langkawi, Kedah secara tidak sah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Temasya, Glenmarie di sini pada 13 Julai dan 23 Julai 2012.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

DUN Selangor lulus potongan gaji MB, Exco

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam meluluskan pengurangan gaji bulanan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Speaker dan Timbalan Speaker DUN negeri.
Menteri Besar, Azmin Ali (gambar) berkata, pemotongan gaji antara 14.53 peratus hingga 36.51 peratus itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari ini.
“Gaji bulanan Menteri Besar dikurangkan sebanyak 14.53 peratus daripada RM29,250 kepada RM25,000 dan Speaker DUN pula dikurangkan 33.33 peratus daripada RM22,500 kepada RM15,000.
“Gaji Timbalan Speaker pula mengalami pengurangan sebanyak 36.51 peratus kepada RM10,000 daripada RM15,750 sebulan manakala Exco negeri kini menerima gaji bulanan sebanyak RM15,000 berbanding RM20,250 sebelum ini,” katanya ketika membentangkan pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2014 tersebut pada Persidangan DUN Selangor di sini semalam.

Monday, December 1, 2014

Robert Phang tarik saman fitnah, Musa Hassan mohon maaf

SHAH ALAM - Bekas Ahli Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang Miow Sin menarik balik tuntutan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau melakukan demikian selepas Musa memohon maaf secara terbuka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Rozana Ali Yusoff.
Musa juga bersetuju membayar pampasan RM10,000 sebagai kos guaman kepada Robert Phang.
Sebelum ini, Robert Phang telah memfailkan tuntutan saman terhadap Musa pada 7 Januari 2013 berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadapnya yang dibuat bekas Ketua Polis Negara kelapan itu pada sidang akhbar bertarikh 10 Disember 2012. - KOSMO!

Dua sepupu didakwa menipu dan gubah wang haram

SHAH ALAM - Seorang pengarah sebuah syarikat dan sepupunya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang jurujual Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd. untuk membeli sebuah kereta Porche Cayenne E2 Diesel yang tidak dibayar cukai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan terlibat aktiviti pengubahan wang haram.
Chin Jack Deng, 33 dan Tan Hai Chuen, 36, dituduh memperdaya jurujual kereta terbabit membeli Porche Cayenne E2 pada harga RM520,000 dengan mendakwa kononnya kenderaan sukan utiliti (SUV) itu telah membayar cukai KDRM.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dua lelaki tersebut di pejabat Sime Darby Auto Performance di Taman Perindustrian Temasya, Glenmarie di sini pada 13 Julai 2012 dan 23 Julai 2012.
Mereka turut dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram dengan melakukan transaksi berjumlah RM214,000 ke akaun CIMB milik Hai Chuen dari akaun Hong Leong milik isteri Jack Deng di CIMB cawangan Bandar Utama, Petaling Jaya pada 25 Julai dan 26 Julai 2012.
Jack Deng dan Hai Chuen tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 serta Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM30,000 dan seorang penjamin.
Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 29 Disember ini. - KOSMO!