Translate

Friday, November 28, 2014

Syabas lancar dua aplikasi perkhidmatan pelanggan

SHAH ALAM - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) hari ini melancarkan dua perkhidmatan pelanggan berlandas aplikasi teknologi maklumat dan teknologi.
Pengarah Eksekutif Bahagian Perancangan Syabas, Sanusi Sulieman berkata, kemudahan tersebut ialah Portal Perkhidmatan Pengguna dan mySyabas.
Beliau berkata, Portal Perkhidmatan Pengguna yang boleh dilayari menerusi laman web www.syabas.com.my menawarkan perkhidmatan seperti permohonan bekalan air baru, pertukaran hak milik, semakan bil air dan aduan.
"Manakala aplikasi mySyabas boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Playstore bagi pengguna telefon pintar berasaskan peranti Android.
"Pengguna boleh membuat aduan, mengetahui maklumat gangguan bekalan air dan semakan bil air dengan menggunakan aplikasi berkenaan," katanya selepas menyaksikan pelancaran dua perkhidmatan pelanggan itu oleh Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail di sini hari ini. - KOSMO!

Wednesday, November 26, 2014

6,593 calon UPSR Selangor dapat semua A

SHAH ALAM - Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Selangor mencatat sedikit kemerosotan apabila Gred Purata Negeri (GPN) menurun 0.04 mata iaitu 2.22 mata berbanding 2.18 mata padatahun lalu.
Pengarah Pendidikan negeri, Zainureen Mohd. Nor berkata, begitupun, GPN tersebut masih mengatasi GPN kebangsaan iaitu 2.29.
"Seramai 6,593 murid atau 7.76 peratus dari 85,392 calon memperoleh semua A dalam subjek diambil iaitu merosot 1.63 peratus berbanding 9.39 peratus pada tahun 2013.
"Namun seramai 23,947 calon iaitu 2.49 peratus mencapai pencapaian di bawah tahap penguasaan minimum iaitu gred D dan E dalam semua subjek dan ia lebih baik 0.02 peratus dari tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pendidikan Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Tuesday, November 25, 2014

ADUN BN tolak peruntukan DUN

SHAH ALAM - Kesemua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini sebulat suara menolak peruntukan tahunan RM200,000 kepada kawasan diwakili mereka yang dicadangkan kerajaan negeri dalam pembentangan Bajet 2015 semalam.
Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkata, keputusan itu dibuat atas prinsip keadilan.
"Kalau benar ikhlas hendak bagi (peruntukan), biarlah adil, kenapa ADUN BN dapat RM200,000 sedangkan ADUN pakatan pembangkang dapat RM700,000.
"Tambah kami merasa terhina, penyelaras DUN yang dilantik kerajaan negeri di kawasan kami wakili menerima peruntukan tahunan RM500,000, jauh lebih tinggi daripada kami yang menerima mandat dari rakyat," katanya ketika membahaskan Bajet 2015 di Persidangan DUN Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Friday, November 21, 2014

Dihukum gagal bayar gaji RM900

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Kedegilan Regalia Records Management Sdn. Bhd. (Regalia Records Management) mematuhi arahan kerajaan untuk mewajibkan gaji minimum pekerja seba­nyak RM900 sebulan me­nerima padah apabila syarikat penyimpanan rekod itu didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin memutuskan demikian selepas wakil pengurusan syarikat itu membuat pengakuan bersalah atas 12 pertuduhan gagal membayar gaji pokok RM900 sebulan terhadap empat pekerjanya seperti ditetapkan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan selama tiga bulan iaitu April hingga Jun lalu.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan yang dilakukan penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Selangor di pejabat Regalia Records Management yang terletak di Taman Perindustrian Bukit Jelutong di sini pada 13 Ogos lalu mendapati empat pengawal keselamatan warga asing telah digaji syarikat terbabit pada kadar di bawah gaji minimum.
Kesemua lelaki warga Nepal itu masing-masing menerima gaji bulanan antara RM25 hingga RM27 sehari atau RM625 dan RM675 sebulan iaitu di bawah paras yang ditetapkan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan.

Regalia Records Management dituduh di bawah Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwaan Jabatan Tenaga Kerja, Siti Nur Alifah Hairuddin manakala pengurusan syarikat terbabit tidak diwakili peguam.

Norshakinah memerintahkan syarikat berkenaan membayar denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Regalia Records Management membayar denda tersebut.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua syarikat pembekalan pengawal keselamatan turut dihadapkan kerana tuduhan gagal membayar gaji pokok iaitu minimum RM34.62 sehari atau RM900 sebulan.

Nova Security Sdn. Bhd. yang terletak Kompleks Automobil, Seksyen 15 menghadapi lima pertuduhan manakala Bumi Warisan Maju Sdn. Bhd. di Seksyen 13 di sini pula menghadapi enam pertuduhan.

Bagaimanapun, wakil pengurusan kedua-dua syarikat itu membuat pengakuan tidak bersalah dan Norshakinah menetapkan sebutan semula bagi kes Nova Security pada 4 Disember depan manakala 8 Januari depan pula untuk Bumi Warisan Maju.

Kerajaan menguatkuasakan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan sejak 1 Januari 2014 dengan majikan perlu membayar gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Suami isteri didakwa tipu RM92,050

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menipu melibatkan RM92,050 kononnya bagi urusniaga pembelian dan penjualan tanah pusaka di Bagan Datoh, Perak dan Brunei sejak tiga tahun lalu.
Abd. Latib Leman, 55, yang merupakan pesara operator pengeluaran sebuah kilang dan isterinya, Sapiah Mohd. Yusop, 56, dituduh melakukan kesalahan tersebut melibatkan lapan mangsa di sekitar daerah Klang dari 5 Oktober 2011 hingga 5 November 2013.
Hakim Slamat Yahya membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 dan seorang penjamin.
Beliau juga memerintahkan pasangan suami isteri itu melaporkan diri di balai polis berhampiran bagi setiap awal bulan sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Disember depan. - KOSMO!

Sarjan ambil rasuah dipenjara tiga tahun

SHAH ALAM - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah menerima rasuah pada tiga tahun lalu.
Hakim M. Bakri Abdul Majid memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan dikendali Lokman Kasim berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Rahman Abdullah, 58.
Tertuduh yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dituduh memperoleh suapan sebanyak RM1,000 dari pengadu sebagai dorongan untuk melepaskan anak wanita itu yang disyaki melakukan kesalahan mencuri motosikal pada 11 Mei 2011.
Wang suapan itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank milik Abdul Rahman di Maybank cawangan Bangi dekat sini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - KOSMO!

Thursday, November 20, 2014

Syarikat penyimpanan rekod tidak bayar gaji minimum didenda RM12,000

SHAH ALAM - Sebuah syarikat penyimpanan rekod, Regalia Records Management Sdn. Bhd. didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal membayar gaji pokok RM900 sebulan yang ditetapkan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan terhadap empat pekerjanya bagi bulan April hingga Jun lalu.
Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin memerintahkan demikian selepas pengurusan syarikat yang terletak di Bukit Jelutong di sini mengaku bersalah bagi 12 pertuduhan mengikut Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Selangor pada 13 Ogos lalu mendapati pengurusan Regalia Records Management membayar gaji empat pengawal keselamatan warga Nepal dengan kadar di bawah RM900. - Kosmo! 


Wednesday, November 19, 2014

Mayat wanita Indonesia sarat hamil ditemui ditanam di ladang kelapa sawit

SHAH ALAM - Mayat wanita warga Indonesia yang sarat mengandung ditemui di tanam di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Gumut Tambahan, Kelumpang, Hulu Selangor dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, penemuan mayat wanita berusia 39 tahun itu berikutan aduan anak saudaranya yang telah menerima maklumat mengenai kejadian itu kelmarin.
"Mayat wanita terbabit yang dijumpai selepas kawasan itu digali telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dekat sini untuk bedah siasat.
"Seorang lelaki Indonesia berusia 42 tahun yang juga merupakan rakan serumah si mati telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 314 Kanun Keseksaan,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohd. Adnan memberitahu, motif kejadian sedang disiasat. - KOSMO!


Monday, November 17, 2014

21 PATI Bangladesh menyamar pelancong gagal masuk negara ini

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan taktik baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh dengan memasuki Singapura dan Indonesia sebagai pelancong sebelum menyusup masuk ke negara ini secara haram.

Modus operandi baharu tersebut dikesan menerusi penahanan 21 lelaki warga Bangladesh dipercayai PATI di dalam sebuah bot pacung yang dipintas penguat kuasa APMM di perairan Tanjung Sepat, Sepang dekat sini kelmarin.

Pengarah Operasi Maritim Daerah Klang, Komander Maritim Romli Mustafa berkata, dalam kejadian pada pukul 8.45 malam itu, dua lelaki Indonesia yang dipercayai tekong bot dan pembantu mereka, lelaki warga Afghanistan yang masing-masing berusia antara 21 dan 40 tahun turut berjaya ditahan.

"Siasatan awal mendapati kesemua 21 suspek warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun telah transit di Singapura dengan menggunakan laluan udara pada semalam (kelmarin)," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Klang, Tanjung Harapan dekat sini semalam.

Tadika Restu Ibu adakan Majlis Ihtifal

CILIK. Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Restu Ibu cawangan Puchong Prima dan Bandar Kinrara, Puchong mengadakan Majlis Ihtifal di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pengetuanya, Nur Afni Jamal Ab. Nasir berkata, program tahunan itu bertujuan meraikan 35 murid berusia enam tahun dari kedua-dua cawangan yang berjaya menamatkan pembelajaran prasekolah.
Menurutnya, kesemua murid diberi peluang menunjukkan bakat terpendam menerusi persembahan nyanyian, drama, puisi dan bicara berirama di hadapan ibu bapa masing-masing.

MAIS pulangkan Bible Melayu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Setekah hampir 11 bulan berlarutan, isu rampasan Bible versi bahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada awal Januari lalu berakhir apabila sebanyak 351 naskhah kitab itu dipulangkan semula kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM) semalam.

Naskhah kitab penganut Kristian itu diserahkan melalui Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS).

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang sebelum ini mempertahankan tindakan rampasan kitab tersebut mengambil keputusan memulangkan kitab berkenaan atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai satu langkah penyelesaian terbaik bagi isu itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammad Adzib Mohd. Isa berkata, pihaknya telah menyerahkan Bible tersebut kepada Pengerusi ACS, Datuk Bolly Lapok sewaktu kunjungan hormat Ketua Biskop itu menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang dekat sini.

"Selepas pihak pendakwaan memutuskan tiada sebarang pendakwaan terhadap mana-mana pihak dalam kes rampas Bible terbabit, tiada rujukan dibuat ke mahkamah berhubung pemulangan kitab itu.

"Selepas berunding dengan Majis Dewan Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin Idris telah mengarahkan MAIS agarmelupuskan Bible berkenaan dengan memulangkannya kepada ACS," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Penyerahan Bible tersebut disaksikan Sultan Sharafuddin Idris dan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Turut hadir Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid, Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Setiausaha Agung ACS, Ambrose Linang dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Dr. Herman Shastri serta Pengerusi PBM, Lee Min Choon.

Sementara itu, Mohammad Adzib memberitahu, MAIS telah mengenakan syarat kepada ACS agar Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban mengandungi kalimah Allah yang dipulangkan itu hanya untuk kegunaan penganut Kristian di Sarawak.

Tegas beliau, kitab itu juga tidak boleh diedarkan di Selangor terutama dikalangan individu beragama Islam selaras dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pada 2 Januari lalu, JAIS menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas kira-kira 300 naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban sebagai langkah menyekat penggunaan kalimah Allah di dalam Bible yang didakwa bercanggah dengan enakmen itu.

Sunday, November 16, 2014

Tindakan kejam amah berbalas

SHAH ALAM - Perbuatan kejam seorang amah Indonesia menganiaya seorang kanak-kanak dari golongan orang kelainan upaya (OKU) akhirnya berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistet Farah Azura Mohd. Saad memutuskan demikian selepas Tini Marini, 39, mengaku bersalah menganiaya anak majikannya berusia 10 tahun dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Kejadian berlaku di rumah keluarganya di Kota Kemuning, Shah Alam di sini dari bulan Februari hingga Mei lalu.

Farah Azura juga memerintahkan tertuduh diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki negara ini buat selama-lamanya selepas wanita itu selesai menjalani hukuman penjara.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menyedari Tini Martini telah memukul dan menendang anak perempuannya yang mengalami masalah pendengaran, pertuturan dan tidak upaya berjalan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya 25 Mei lalu.

Terkejut dengan penemuan tersebut, pengadu telah menyelidik kembali kesemua rakaman CCTV terbabit sebelum ini dan mendapati tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut telah berulang kali sejak Februari lalu.

Tini yang juga ibu kepada empat orang anak telah dikesan mengheret, memukul, mengetuk kepala dan memijak kaki mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid manakala Tini diwakili peguam Nur Elisaa Baharuddin.

21 PATI Bangladesh cuba seludup masuk negara ini ditahan

PELABUHAN KLANG - Seramai 21 lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan Maritim Malaysia (APMM) ketika mahu memasuki negara ini secara haram menerusi jalan laut kira-kira tujuh batu nautika dari perairan Tanjung Sepat, Sepang dekat sini semalam.
Pengarah Operasi Maritim Daerah Klang, Komander Maritim Romli Mustafa berkata, turut ditahan tekong dan pembantu tekong bot pancung yang membawa PATI warga Bangladesh berkenaan iaitu dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki Afghanistan yang berusia dan lingkungan 21 hingga 40 tahun.
"Kesemua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1953 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Klang di sini hari ini. - KOSMO!

Friday, November 14, 2014

PGSM tubuh Lawyers For Islam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) semalam menubuhkan kumpulan Lawyers For Islam untuk membantu pihak berkaitan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung kes pondan berpakaian wanita di tempat awam.
Setiausahanya, Moeis Basri berkata, kumpulan itu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan golongan lelaki berpakaian wanita di tempat awam namun berpendapat kes itu perlu didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan kerana perbuatan tersebut melanggar syariat Islam.
“Walaupun menghormati keputusan mahkamah, PGSM berpendapat perlunya keputusan itu dirayu dan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan untuk isu tersebut diberi pertimbangan semula dari segi aspek undang-undang yang sah dan terpakai di Malaysia.
“Melalui kumpulan ini, kita akan bertemu dan membantu kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri dan institusi berkaitan Islam yang terlibat untuk membentangkan aspek perundangan yang berkaitan dalam prosiding mahkamah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, Lawyers For Islam yang dianggotai peguam mahkamah sivil dan syariah itu juga akan memberi maklum balas segera terhadap isu-isu semasa berkaitan agama Islam.

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-undang Syariah Negeri Sembilan bahawa golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah dan tidak sah di sisi Perlembagaaan.

Panel tiga hakim mahkamah itu yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd. Hishamuddin Mohd. Yunus membuat ketetapan tersebut selepas membenarkan rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.

MAIS pulangkan semula bible kepada Persatuan Gereja-Gereja Sarawak

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memulangkan kitab Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang dirampas di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada awal tahun ini kepada Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) hari ini.
Penyerahan tersebut dilakukan oleh Pengerusi MAIS, Datuk Adzib Mohd. Isa kepada Pengerusi ACS, Datuk Bolly Lapok pada majlis tertutup di Istana Alam Shah, Klang.
Upacara berkenaan disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perkara itu dihebahkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dalam laman mikro, Twitternya. - KOSMO!

Dera anak majikan, amah dihukum penjara lima tahun

SHAH ALAM - Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana menganiayai anak majikannya yang merupakan golongan orang kelainan upaya di Kota Kemuning di sini enam bulan lalu.
Majistret Farah Azura Mohd. Saad memerintahkan demikian selepas Tini Martini, 50, mengaku bersalah memukul dan menendang kanak-kanak bisu, pekak dan tidak mampu berjalan berusia 10 tahun tersebut pada pukul 11.30 pagi, 27 Mei 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. - KOSMO!

Kastam diarah bayar pampasan RM543,120 kepada tauke rokok

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) membayar pampasan dan ganti rugi sebanyak lebih setengah juta kepada Ramunas Sdn. Bhd. (Ramunas) kerana menyita dan merampas premis dan barang jualan syarikat pengedaran rokok kretek itu secara salah pada empat tahun lalu.
Hakim Datuk Wan Arfah Wan Ibrahim memerintahkan empat defendan iaitu KDRM dan tiga pegawai agensi itu membayar RM543,120 kepada pemilik Ramunas, Roslan Abu Bakar, 50.
Beliau mendapati tindakan keempat-empat defendan menutup pejabat dan menyita 23,347 karton rokok kretek milik Ramunas pada 24 September 2010 adalah tidak sah. - KOSMO!

Thursday, November 13, 2014

'Peguam untuk Islam' ditubuh bantu menangani isu perundangan cabar Islam

SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menubuhkan kumpulan ‘Peguam untuk Islam’ yang bertujuan memberi khidmat guaman percuma kepada kerajaan dan majlis agama Islam negeri bagi menghadapi prosiding mahkamah melibatkan kes mencabar sistem perundangan syariah.
Setiausaha Agung PGSM, Moeis Basri berkata, kumpulan tersebut kini dianggotai 30 peguam sivil dan syariah tempatan yang sudi berkongsi pengalaman dan kepakaran menangani isu perundangan terbabit.
“Kumpulan ini ditubuhkan rentetan perkembangan mutakhir termasuk keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini memutuskan peruntukan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang menghalang lelaki berpakaian seperti wanita di tempat awam sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai permulaan, kami akan memfailkan permohonan mencelah jika Majlis Agama Islam Negeri Sembilan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - KOSMO!

Khir Toyo tarik balik saman ADUN DAP

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo menarik balik tuntutan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Swee Lim berhubung pemilikan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam, M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir memaklumkan keputusan tersebut kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azimah Omar pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.
Tuntutan saman itu difailkan pada 29 Januari 2010 berhubung kenyataan Swee Lim dari DAP berhubung dakwaan Mohamad Khir telah membelanjakan RM24 juta untuk membeli dua lot tanah bagi membina banglo terbabit, sedangkan pendapatannya sepanjang lapan tahun menjadi Menteri Besar cuma RM4.68 juta.
Azimah membenarkan penarikan balik tuntutan saman terbabit tanpa sebarang kos. - KOSMO!

Tujuh pengikut IS didakwa

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN, SUHANA MD. YUSOP dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh individu termasuk sepasang suami isteri yang ditangkap pada bulan Oktober lalu didakwa di tiga mahkamah berasingan di ibu negara dan Selangor semalam atas pertuduhan memberi sokongan dan mengumpul dana kepada kumpulan militan Negara Islan (IS) di Syria.

Ketujuh-tujuh individu yang didakwa itu ialah Muhammad Na'eem Apandi, 24, Muhammad Fadhil Ibrahim, 24, Amir Azlan Zainudin, 48, dan isterinya, Nazhatulshima Sahak, 44.

Tiga lagi ialah Rohaimi Abd. Rahim, 37, Muhammad Fauzi Misrak, 34, dan Muhammad Na'im Abd. Rashid, 26.

Na'eem dan Fadhil bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala Amir dan isterinya, Nazhatulshima merupakan pengusaha taska. Rohaimi merupakan seorang perunding kewangan, Fauzi seorang penjual kereta manakala Na'im bekerja di kedai kek.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret Shah Alam, Kuala Lumpur dan Sepang. Kesemua yang dituduh semalam ditangkap di sekitar Kedah, Johor, Perak dan Selangor pada 13 Oktober hingga 15 Oktober lalu.

Di Mahkamah Majistret Shah Alam, Na'eem, Fadhil, Amir dan Nazhatulshima didakwa cuba membeli tiket penerbangan untuk pergi ke Syria.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Hakim Sdn. Bhd., Jalan Zirkon E7/E, Seksyen 7 di Shah Alam pada pukul 10.50 malam 13 Oktober lalu.

Di Mahkamah Majistret Sepang, Na'im didakwa memberi sokongan kepada IS dengan cara memasuki Syria melalui Istanbul, Turki menggunakan pesawat Qatar Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 antara 28 Disember 2013 hingga 7 April 2014.

Bagi kesalahan memberi sokongan kepada IS, kelima-lima tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pula, Rohaimi didakwa mencari dana bagi disalurkan kepada IS di Syria melalui laman blog http://revolusiislam.com manakala Fauzi didakwa bersubahat bersama Rohaimi dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan sebagai medium mencari dana.

Rohaimi dan Fauzi didakwa melakukan kesalahan itu di No. 5B, Jalan Raja Ali, Kampung Baru di sini antara 29 Mac hingga 13 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, Rohaimi didakwa di bawah Seksyen 130 (G) (c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda manakala Fauzi didakwa mengikut Seksyen 130G akta sama yang boleh dipenjara sehingga separuh daripada hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 130G akta sama.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes kesemua tertuduh itu antara 15, 17 dan 19 Disember depan.

Tiada jaminan dibenarkan kerana kesemua tertuduh yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Pencuri duit masjid dipenjara tiga bulan

SHAH ALAM – Gara-gara mencuri wang tabung sebuah masjid, seorang jurudawai elektrik dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Ellyana Razali memerintahkan demikian selepas Mohammad Ridzuan Daud (gambar), 38, mengaku bersalah mencuri wang tunai RM55 di dalam sebuah tabung di Masjid al-Bakri, Bukit Naga, Seksyen 32 di sini pada pukul 11 malam, 17 Oktober 2013.
Berdasarkan fakta kes, rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang menunjukkan, tertuduh yang cuba melindungi identiti dengan memakai topeng mulut telah dikesan memasuki masjid berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Mohammad Ridzuan yang menetap di Pangsapuri Limau Indah, Seksyen 32 di sini kemudiannya dilihat memasukkan sebatang besi nipis yang ditampal dengan pita pelekat ke dalam tabung masjid bagi mengambil duit di dalamnya.

Perbuatan tertuduh yang dirakam CCTV terbabit kemudiannya ditonton beberapa ahli kariah Masjid al-Bakri menerusi sebuah telefon bimbit milik seorang ahli jawatankuasa masjid.

Mereka yang berada di sebuah kedai makan berhampiran kemudian bertindak mengepung perkarangan masjid sebelum menangkap Mohammad Ridzuan.

Pemeriksaan pada poket seluar tertuduh telah menjumpai  sekeping wang kertas RM20, empat keping (RM5) dan 15 keping (RM1) serta pita pelekat dan serangkai kunci.

Mohammad Ridzuan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika bersalah.

Wednesday, November 12, 2014

Tujuh didakwa bantu pindah aset hampir RM800,000 secara salah

SHAH ALAM - Tujuh termasuk seorang wanita tidak mengaku salah atas 13 pertuduhan menolong memindahkan harta milik sebuah syarikat secara salah melibatkan amaun RM793,318.30 pada empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
S. Munisparan, 68; R. Manogar, 51; V. Arumugam, 74; M. Paramasivan, 64; M.Rajeswary, 39; P. Jeganathan, 31 dan Y. Mariappan, 74 didakwa memindahkan wang milik DJ Capital Management Ltd. ke akaun bank mereka di Ambank cawangan Bandar Puteri, Klang dekat sini dari 19 Ogos hingga 30 Ogos 2010.
Hakim Zamri Bakar membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan antara RM10,000 dan RM15,00 dan seorang penjamin.
Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 15 Disember depan. - KOSMO!

Bekas KPN ketujuh meninggal dunia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar, 66, meninggal dunia akibat penyakit kanser mulut di Institut Kanser Negara, Putrajaya semalam.
Beliau yang disahkan menghidap penyakit itu sejak setahun lalu telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.45 pagi.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Damansara, Kuala Lumpur selepas solat Asar semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemergian Allahyarham yang merupakan Ketua Polis Negara ketujuh itu adalah kehilangan besar kepada negara.
“Sepanjang berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau memberi banyak sumbangan kepada keselamatan negara terutama melibatkan operasi antikeganasan,” katanya di rumah Mohd. Bakri di Aman Perdana, Meru di sini semalam.


Turut hadir menziarahi jenazah Mohd. Bakri ialah Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun; Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Mohd. Bakri yang dilahirkan di Manjung, Perak pada 10 September 1948 meninggalkan seorang balu, Puan Sri Maizura Yusof, 43, dan tiga anak iaitu Eda Mastura, 41, serta pasangan kembar, Mahathir, 35, dan Mahadi, 35.
Beliau mula menyertai PDRM sebagai Kadet Asisten Superintendan pada 1 Januari 1971 dan dilantik menjadi Ketua Polis Negara pada 5 November 2003 sehingga September 2006 bagi menggantikan Tan Sri Norian Mai.

Tuesday, November 11, 2014

Jurudawai elektrik curi tabung masjid dipenjara tiga bulan

SHAH ALAM - Seorang jurudawai elektrik dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana mencuri wang tunai RM55 dari sebuah tabung masjid di Bukit Naga di sini pada tahun lalu.
Majistret Ellyana Razali memutuskan hukuman demikian selepas Mohammad Ridzuan Daud, 38, mengaku bersalah pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Masjid Al-Bakri, Bukit Naga pada pukul 11 malam, 17 Oktober 2013. - KOSMO!

Empat termasuk suami isteri dituduh cuba sokong IS

SHAH ALAM - Empat termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan cuba menyokong kumpulan militan, Islamic State (IS) pada bulan lalu.
Nazhatulshima Sahak, 44, dan suaminya Amir Azlan Zainuddin, 48, yang merupakan pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) serta dua pembantu kedai makan, Muhammad Naieem Afandi, 24 dan Muhammad Fadhil Ibrahim, 48, ditahan di sebuah restoran di Seksyen 7 di sini pada pukul 10.50 malam, 13 November lalu.
Mereka yang dihadapkan di dua mahkamah berasingan mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan.
Majistret Norshakinah Abdul Kamarudin dan Majistret Ellyana Razali menetapkan sebutan semula kes pada 17 Disember depan. - KOSMO!

Bekas pengurus TM dituduh buat tuntutan palsu lebih RM800,000

SHAH ALAM - Seorang bekas Pengurus Pemasaran dan Saluran Industri Kecil dan Sederhana, Telekom Malaysia (TM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu sebanyak RM822,398.59 dua tahun lalu.
Noorazlina Shamsuddin, 41, didakwa melakukan tuntutan palsu melibatkan pemasangan kabel Unifi di beberapa lokasi yang sebenarnya belum dilaksanakan dari 17 April 2012 hingga 3 Januari 2013.
Tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas kesemua pertuduhan itu.
Hakim Datuk Noradidah Ahmad menetapkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dan sebutan semula kes pada 10 Disember depan. - KOSMO!

Monday, November 10, 2014

Kempen cegah jenayah PDRM di Restoran Hakim tarik 500 belia

SHAH ALAM - Kempen Pencegahan Jenayah Kecurian Motosikal dan Kemalangan Jalan Raya yang diadakan di perkarangan Restoran Hakim, Seskyen 7 di sini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 500 pengunjung.

Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia kagum dengan acara lintas hormat oleh 14 anggota dari Unit Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi dan demonstrasi cegah jenayah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kempen itu merupakan sebahagian inisiatif polis mendekatati masyarakat dalam suasana yang lebih santai.

Menurut beliau,  sesi ceramah cegah jenayah turut menarik minat pengunjung.

"Kami menekankan kepada pencegahan kecurian motosikal kerana ia merupakan penyumbang terbesar iaitu hampir 50 peratus kepada kadar indeks jenayah di bandar raya ini setiap tahun.

"Sepanjang tahun ini sahaja sebanyak 1,282 motosikal di sekitar Shah Alam terutama di Seksyen 7," katanya selepas pelancaran kempen itu semalam.

Turut hadir Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mokhtar Hani dan Pengarah Urusan Restoran Hakim Sdn. Bhd., Hakimsa Abdul Karim.

Azisman berkata, siasatan pihaknya mendapati kebanyakan kejadian kecurian motosikal berkenaanberpunca daripada kecuaian pemiliknya sendiri.

Saturday, November 8, 2014

Atur Cara Kempen Pencegahan Jenayah Kecurian Motosikal dan Kemalangan

Sabtu, 8 November

8.00 pagi : Ruangan pameran mula dibuka

8.45 pagi : Konvoi lintasan hormat oleh motosikal berkuasa tinggi Polis Diraja Malaysia

9.00 pagi Perasmian oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias. Turut hadir
Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mokhtar Hani.

10.30 pagi : Demonstrasi ragut dan cegah jenayah

2.00 - 4.30 petang : Ceramah pencegahan jenayah kecurian motosikal dan panduan keselamatan jalan raya


Kempen cegah jenayah di Restoran Hakim hari ini

SHAH ALAM - Orang ramai diseru tidak melepaskan peluang untuk merasai kemeriahan pelbagai aktiviti yang dijalankan dalam Kempen Pencegahan Jenayah Kecurian Motosikal dan Kemalangan Jalan Raya di Restoran Hakim, Seksyen 7 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kempen anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam sempena Program Komuniti Polis tersebut bakal berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 4 petang.

"Anggota polis trafik dari IPD Shah Alam akan melakukan lintas hormat di hadapan Restoran Hakim dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pengunjung juga akan didedahkan dengan tips berguna bagi menghindarkan diri daripada menjadi mangsa jenayah menerusi demonstrasi ragut dan pencegahan jenayah," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Azisman berkata, kempen yang disasarkan kepada golongan belia itu turut menyediakan ruang pameran interaktif berkaitan pencegahan jenayah kecurian motosikal dan kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, kempen itu juga mengadakan sesi ceramah yang memberi penerangan mengenai langkah-langkah menjadi penunggang motosikal yang berhemah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Restoran Hakim Sdn. Bhd., Hakimsa Abdul Karim berkata, beliau terharu dengan pemilihan restorannya sebagai lokasi penganjuran karnival terbabit.
Beliau berkata, pendekatan turun padang oleh IPD Shah Alam itu untuk bermesra dengan golongan muda bagi memberi panduan pencegahan jenayah kecurian motosikal dan panduan keselamatan jalan raya patut dipuji.

"Restoran Hakim sememang menjadi lokasi anak muda terutama pelajar institusi pengajian tinggi menjamu selera dan bertemu secara bersantai," katanya.

Dapat RM76,835 kes saman JPJ

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Trauma seorang peniaga yang ditahan polis sebelum disumbat ke dalam lokap kerana dituduh memiliki kereta curi yang dibelinya dalam satu lelongan oleh sebuah agensi kerajaan akhirnya mendapat ke­adilan setimpal apabila dia dibayar ganti rugi sebanyak RM76,835 semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusuff memutuskan demikian selepas mendapati kecuai­an Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi punca Mohd. Iskandar Idris, 32, ditahan polis pada 14 September 2009 atas tuduhan memiliki kenderaan curi yang dibelinya dalam satu lelongan di JPJ Selangor, Padang Jawa dekat sini enam tahun lalu.

Selain Ketua Pengarah JPJ sebagai defendan ke­dua, bekas Penolong Pengarah JPJ cawangan Selangor, Adenan Md. Isa dan Kerajaan Malaysia masing-ma­sing dinamakan sebagai defendan pertama dan ketiga.




Rozana memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar ganti rugi khas sebanyak RM11,835, ganti rugi am (RM50,000) dan kos (RM15,000) kepada Mohd. Iskandar yang me­rupakan seorang pelakon tambahan.

Mohd. Iskandar yang diwakili peguam Datuk Mohd. Hakimi Ab. Kadir memfailkan tuntutan saman tersebut terhadap JPJ dan dua defendan lain pada 13 September 2012.


Berdasarkan penya­taan tuntutan, plaintif telah membeli sebuah kereta jenis Perodua Kancil (EX) bernombor pendaftaran CAV4198 pada harga RM1,250 dalam jualan lelongan awam yang diadakan di JPJ cawangan Selangor pada 31 Oktober 2008.

Dia bagaimanapun telah ditahan polis ketika sedang berniaga minuman di Bazar Ramadan Taman Medan, Petaling Jaya atas tuduhan memiliki kenderaan curi.

Walaupun Mohd. Iskandar memaklumkan kepada anggota polis terlibat bahawa kereta tersebut dibeli daripada JPJ, beliau tetap ditangkap di khalayak ramai dalam keadaan kedua-duanya tangan digari dan dibawa ke Balai Polis Taman Sea, Petaling Jaya untuk disoal siasat.

Sewaktu disoal siasat, plaintif mengetahui kereta tersebut dilaporkan hilang di kawasan tempat letak kereta di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada tahun 2001.


Walaupun telah dibebaskan daripada tuduhan tersebut tidak lama kemudian, Mohd. Iskandar mendakwa maruahnya telah tercemar kerana penahanan tersebut dan terpaksa menanggung trauma bermalam di dalam lokap selain dipandang serong oleh masyarakat dan penerbit drama serta filem sehingga menjejaskan punca pendapatannya.

Friday, November 7, 2014

Bekas kapten kapal dipenjara

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Seorang bekas kapten kapal dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana menyebabkan kematian seorang dukun yang maut ditembak di Kota Damansara, Petaling Jaya tahun lalu.
Hakim Datuk Wan Arfah Wan Ibrahim memerintahkan tertuduh, Shahrunizam Salleh, 44, dari Bandar Kinrara, Puchong menjalani hukuman penjara dari tempoh dia ditangkap iaitu pada 8 Januari 2013.
Shahrunizam mengaku bersalah menyebabkan kematian Asli Hamid, 44, di Jalan Pekaka 8/1 Seksyen 8, Kota Damansara pada pukul 9.05 malam, 4 Januari 2013.
Berdasarkan fakta kes, Shahrunizam dan isterinya yang menaiki sebuah kereta jenis Audi A4 telah berjanji untuk bertemu dengan Asli pada malam kejadian setelah mengetahui wanita itu masih menjalin hubungan sulit dengan mangsa.
Sebaik Asli tiba dengan menunggang sebuah motosikal jenis Modenas CT100, tertuduh yang duduk di tempat duduk belakang kereta telah menembak mangsa dengan pistol.
Tiga daripada empat das tembakan yang dilepaskan mengenai dada, rusuk kiri dan tangan kanan dukun tersebut.
Sementara itu peguam bela Shahrunizam, Datuk Haniff Hashim dalam rayuannya memberitahu, mangsa merupakan rakan baik tertuduh yang juga pernah mengubati bapanya.
Beliau berkata, anak guamnya juga banyak membantu Asli dari segi kewangan memandangkan mangsa tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Namun kepercayaan itu dikhianati apabila mangsa menjalin hubungan intim dengan isteri Shahrunizam dan ia dikesan menerusi rakaman kamera televisyen litar tertutup yang dipasang tertuduh secara rahsia di rumahnya.
“Anak guam saya yang kecewa maruah keluarga tercemar telah hilang pertimbangan hingga mendorong dia melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian mangsa,” katanya kepada mahkamah.
Kosmo! 6 Januari 2013 melaporkan seorang lelaki dipercayai seorang dukun dari Kelantan yang baru tiba di ibu negara untuk mencari pekerjaan maut akibat ditembak dari jarak dekat ketika sedang menunggang motosikal.

Thursday, November 6, 2014

Bekas kapten kapal bunuh bomoh dipenjara lapan tahun

SHAH ALAM - Seorang bekas kapten kapal dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku salah menyebabkan kematian seorang bomoh yang ditembak di Kota Damansara, Petaling Jaya pada tahun lalu.
Hakim Datuk Wan Arfah Wan Ibrahim memutuskan hukuman itu selepas Shahrunizam Salleh, 44, mengaku bersalah pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menyebabkan kematian Asli Hamid, 44, yang ditembak sebanyak lima das dengan sepucuk pistol di tepi Jalan Pekaka 70/A, Kota Damansara pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam pada 4 Januari 2013. - KOSMO! 

Wednesday, November 5, 2014

Adik bunuh kakak sendiri

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Seorang pelajar sebuah kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh kakak kandungnya di rumah keluarga mereka di Kemuning Utama di sini pada hujung minggu lalu.

Toh Wei Jun, 18, dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian Toh Wei Teen, 22, yang juga pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di antara pukul 11.12 malam, 25 Oktober lalu hingga 3.30 pagi keesokan harinya.

Tertuduh difahamkan telah menangguhkan pengajiannya sejak beberapa bulan lalu kerana menghidap penyakit kulit.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan oleh Wei Jun sewaktu kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.

Dia diwakili peguam bela, Datuk S. Arunan manakala pihak pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip.

Norshakinah memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 1 Disember depan bagi menunggu keputusan bedah siasat.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan Wei Teen juga merupakan pelajar tahun tiga jurusan Sains Makanan, UMS ditemui terbaring depan pintu bilik tidurnya dalam keadaan berlumuran darah.

Polis kemudiannya menahan adik lelaki bongsu mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan lemah dan mabuk bagi membantu siasatan selain merampas sebilah pisau, botol dan kotak arak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh tersebut.

Mayat bayi dihurung semut dijumpai berhampiran pusat beli-belah

KLANG – Pengunjung dan pekerja sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi di sini semalam gempar dengan penemuan satu mayat bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan.
Mayat bayi yang masih mempunyai tali pusat dan uri itu dijumpai di tempat letak kenderaan di pekarangan pusat beli-belah berkenaan pada pukul 7.52 pagi.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, tubuh mayat bayi yang tidak berpakaian tersebut berada dalam keadaan meniarap dan hanya ditutup dengan helaian surat khabar dan plastik berwarna merah.
“Sewaktu ditemui, mayat bayi yang berukuran kira-kira 0.3 meter itu dihurungi semut dipercayai telah beberapa jam dibuang di kawasan tersebut,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian pembuangan bayi itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 03-371 9999 untuk membantu siasatan.

Kembali berniaga dua minggu lagi

SHAH ALAM - Seramai 197 peniaga Kompleks Muhibbah atau lebih dikenali sebagai Uptown Shah Alam, Seksyen 24 di sini yang terjejas dalam kebakaran hampir seminggu lalu dijangka dapat berniaga semula dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi Dataran Usahawan Selangor Sdn. Bhd. (DUS), Datuk Yusra Sabar berkata, kerja-kerja menurap dan memasang khemah sementara di kawasan perniagaan baharu kira-kira 10 meter dari lokasi yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini bakal bermula selepas pembersihan sisa bangunan yang musnah terbakar terbabit selesai.

"Pembersihan kawasan kebakaran dijangka selesai dalam tempoh dua hari lagi dan kita akan memasang khemah sementara selepas itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Datuk Abdul Rahim Hassan dengan peniaga Uptown Shah Alam yang terjejas dalam kebakaran tersebut di sini semalam.

DUS merupakan syarikat yang menguruskan Uptown Shah Alam.

Katanya, bekalan tenaga elektrik dan air yang terpaksa diputuskan ekoran kebakaran pada awal pagi 15 Oktober lalu pula akan disambung semula seawal-awalnya hari ini.

Menurut beliau, DUS juga bersetuju agar kesemua peniaga dikecualikan daripada membayar kadar sewaan sebanyak RM300 sebulan sehingga Uptown Shah Alam beroperasi sepenuhnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, Tekun menawarkan pinjaman mudah tanpa faedah sehingga RM100,000 bagi membantu peniaga terlibat membina semula perniagaan mereka.

Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, sebanyak 187 daripada 442 lot gerai Uptown Shah Alam musnah dalam kebakaran melibatkan kerugian lebih RM19 juta.


Tuesday, November 4, 2014

Adakah penganjur 'Saya Mahu Sentuh Anjing' cuba perdaya MAIS?

PROGRAM 'Saya Mahu Sentuh Anjing' yang berlangsung di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu telah mengundang kemarahan umat Islam yang berasa dihina dengan tindakan pihak penganjur program tersebut.

Mengikut laporan akhbar sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) didakwa meluluskan program tersebut kerana ketika menerima cadangan program itu, pihak penganjur hanya memaklumkan objektif program itu semata-mata mahu memberi pencerahan atau kefahaman tentang hukum berkaitan kedudukan anjing dari perspektif Islam.

Namun ketika berlangsungnya program itu, didapati objektif yang dinyatakan dalam cadangan yang diterima MAIS berbeza kerana orang Islam yang berada dalam program itu seolah-olah digalakkan memegang dan membelai anjing yang menjadi haiwan larangan disentuh mengikut agama Islam.

Peniaga mohon maaf fitnah pegawai polis

SHAH ALAM - Perjuangan lebih lapan tahun seorang pegawai polis untuk membersihkan namanya daripada tuduhan fitnah berakhir apabila defendan memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Tan Kim Kee, 60, membacakan permohonan maaf kepada Asisten Komisioner Carleel Mohd. Effendi, 57, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Kong.

Defendan yang merupakan seorang peniaga menyesali perbuatannya menghantar surat didakwa berunsur fitnah terhadap Carleel kononnya plaintif telah menyalah guna kuasanya dalam penyiasatan satu kes penipuan di Klang dekat sini pada 10 April 2006.

Dia yang diwakili peguam, M. Manoharan mengakui dakwaan dibuatnya terhadap Carleel yang ketika itu Timbalan Ketua JSJK Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor berpangkat Superintendan tidak mempunyai asas kukuh.

Berikutan pemohonan maaf Kim Kee tersebut, plaintif diwakili peguam, Datuk M. Selva menarik balik tuntutan samannya yang telah difailkan pada 26 Ogos 2006.

Carleel yang kini Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Risikan Operasi IPK Sabah kemudiannya telah meminta defendan agar pampasan RM500 dipersetujui didermakan kepada sebuah masjid di Kota Kinabalu.

Terdahulu, Kim Kee telah menghantar surat yang didakwa memfitnah plaintif berkenaan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada masa itu, Datuk Hairuddin Mohamad dan salinannya turut diterima Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Bakri Omar.

Berikutan tersebut, Carleel telah memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi am dan ganti rugi serius berjumlah RM2 juta terhadap Kim Kee pada 24 Ogos 2006.

Plaintif mendakwa tindakan defendan menulis surat yang didakwa berunsur fitnah berkenaan telah menyebabkan beliau disiasat oleh Lembaga Disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain merosakkan rekod perkhidmatannya di pasukan keselamatan itu selama 31 tahun.

Dalam pada itu, Carleel yang ditemui berkata, tindakannya memfailkan saman sebelum ini bukan kerana wang tetapi mahu membersihkan nama baik yang tercemar akibat dakwaan plaintif.

Monday, November 3, 2014

Peniaga mohon maaf fitnah pegawai polis

SHAH ALAM - Seorang peniaga memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah yang telah dibuatnya terhadap bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor kira-kira lapan tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tan Kim Kee, 60, telah menerima tuntutan saman daripada Asisten Komisioner Carleel Mohd. Effendi, 57, pada 24 Ogos 2006 berikutan pengedaran surat kononnya plaintif telah menyalahgunakan kuasanya dalam penyiasatan satu kes penipuan di Klang.
Surat yang berunsur fitnah terhadap Carleel yang kini merupakan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Risikan Operasi Sabah itu telah dihantar kepada Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Hairuddin Mohamad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar pada 10 April 2006.
Berikutan perbuatan defendan, plantif yang ketika kejadian merupakan anggota polis berpangkat Superintendan telah disiasat oleh Lembaga Disiplin Polis Diraja Malaysia.
Permohonan maaf secara terbuka Kim Kee tersebut dilakukan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong. - KOSMO!

Saturday, November 1, 2014

Premis 'judi pejabat' diserbu

KLANG - Taktik sebuah premis perjudian berselindung di sebalik pejabat agensi korporat terbongkar apabila premis berkenaan diserbu polis dalam satu operasi di Kompleks Pejabat Bukit Tinggi di sini malam kelmarin.

Difahamkan, selain susun atur meja seakan-akan sebuah pejabat, skrin komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian juga ditukar kepada paparan Microsoft Windows sekiranya premis itu dikunjungi individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan anggota yang diketuai beliau telah menyerbu premis terbabit pada pukul 11.30 malam.

"Sebanyak 16 komputer yang mempunyai perisian perjudian disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian telah dirampas.

"Sewaktu serbuan, skrin di setiap komputer terbabit tiba-tiba bertukar kepada paparan Microsoft Windows bagi memperdaya pihak berkuasa kononnya ia hanya untuk kegunaan pejabat tetapi helah itu tidak berjaya," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan penjaga premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.