Translate

Thursday, October 9, 2014

Tuntutan palsu guna nama ibu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@koso.com.my

SHAH ALAM - Seorang pembantu pertahanan awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Hulu Selangor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM3,936 pada tahun lalu.

Mohd. Faizal Zahri, 31, didakwa mengemukakan tuntutan elaun latihan, tugas dan perjalanan mengandungi butiran palsu menggunakan nama ibunya, Hasnah Dollah, 53, yang merupakan sukarelawan jabatan berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, anak keapda peneroka Felda itu didakwa menipu kerani pejabat JPAM dengan menghantar 11 borang tuntutan palsu.

Perbuatan Mohd. Faizal menghantar borang tuntutan palsu tersebut telah memperdaya keranai itu untuk meluluskan pengeluaran baucar sebanyak RM3,936 secara berkala yang dimasukkan ke adalam akaun bank Hasnah.

Tertuduh memegang kad pengeluaran wang automatik ibunya telah mengeluarkan wang berkenaan.

Ibu tertuduh sebenarnya tidak pernah menjalani tugasan atau latihan sukarelawan JPAM Hulu Selangor sepanjang tempoh tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Hulu Selangor dari 5 April hingga 5 Ogos 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Ridha Abdah Subri dalam rayuan mitigasi memohon mahkamah menggenakan bon berkelakuan baik ke atas anak guamnya mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah kerana anak guamnya kesal dengan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, Mohd. Faizal yang mula berkhidmat dengan JPAM pada 2007 juga telah memulangkan balik duit tuntutaan palsu berkenaan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Heikal Ismail membantah hujah berkenaan dan meminta mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau tiga bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda.

Tertuduh telah membayar denda berkenaan.

No comments:

Post a Comment