Translate

Wednesday, October 22, 2014

Rayu dibenarkan berniaga semula

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Lebih 400 peniaga Kompleks Muhibbah yang lebih dikenali sebagai Uptown Shah Alam, Seksyen 24 di sini merayu agar kerajaan negeri mempercepatkan kelulusan untuk mereka berniaga semula di tapak sementara yang dijanjikan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

Setiausaha Persatuan Peniaga-Peniaga Uptown Shah Alam, Amran Johari berkata, setakat ini, kerja-kerja memasang khemah sementara dan menurap kawasan terbabit masih belum dilakukan.

"Saya difahamkan, kebenaran daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diperlukan bagi pembukaan tapak berniaga sementara itu.

"Kerajaan negeri (Selangor) pula sedang bermesyuarat untuk melicinkan urusan tersebut," katanya ketika ditemui sewaktu mengadakan bancian semula peniaga Uptown Shah Alam yang terlibat dalam kebakaran pada Rabu lalu di perkarangan bazar beli-belah larut malam itu di Seksyen 24 di sini semalam.

Amran berkata, karenah birokrasi tersebut meresahkan sebahagian besar peniaga terlibat kerana berniaga di bazar beli-belah larut malam berkenaan merupakan satu-satunya sumber rezeki mereka.

"Sudah tiga hari tidak berniaga, ini periuk nasi kami  untuk menyara keluarga. Kalau dapat segera (berniaga semula),alhamdulillah..lega sikit," katanya.

Dalam pada itu, Amran berkata, peniaga-peniaga terbabit juga  tidak berpuas hati dengan pengurusan Uptown Shah Alam, Dataran Usahawan Selangor Sdn. Bhd. (DUSSB) yang didakwa tidak menjaga kebajikan mereka sejak berlakunya kebakaran yang memusnahkan 187 lot kedai itu.

Beliau mendakwa, sikap DUSSB yang seolah-olah lepas tangan itu tidak menghairankan mereka kerana sebelum ini banyak isu berhubung kemudahan tapak terbabit tidak diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan.

"Ada banyak isu berbangkit termasuk masalah pili bomba utama yang tidak berfungsi pada hari kejadian. Isu itu telah disuarakan sejak tahun 2007 termasuk diadukan kepada Dr. Daroyah Alwi yang ketika itu memegang portfolio Pembangunan Usahawan pada tahun lalu tetapi tiada tindakan.

"Selain itu, penambahan sekurang-kurangnya 20 lot kedai tanpa mengikut spesifikasi pelan asal telah menyebabkan berlaku kekeliruan bilangan sebenar peniaga terlibat dalam kebakaran terbabit," katanya.

Kosmo! Khamis lalu melaporkan ratusan peniaga Uptown Shah Alam bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila api marak membakar kawasan beli-belah tersebut yang melibatkan kerugian melebihi RM19 juta.

Ekoran kejadian itu, Mohamed Azmin mengarahkan MBSA menurap dan mendirikan khemah sementara di kawasan bersebelahan bangunan yang musnah dalam kebakaran bagi membolehkan peniaga yang terjejas memulakan semula perniagaan.

No comments:

Post a Comment