Translate

Tuesday, October 7, 2014

Pesta arak cemari bulan haji

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mengecam tindakan kerajaan negeri Selangor membenarkan pesta jualan arak Oktoberfest diadakan di negeri ini sejak bulan lalu tanpa mengira sensitiviti umat Islam.
Menurut mereka, sikap biadab kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat membenarkan promosi pesta anjuran Carlsberg Malaysia itu secara keterlaluan tidak patut berlaku. Oktoberfest merupakan pesta jualan arak yang menjadi tradisi turun-temurun di Jerman dan cuba dikembangkan di negara ini secara terbuka oleh syarikat pengeluar arak ternama itu.
Lebih menyedihkan, kerajaan negeri Selangor memandang sebelah mata terhadap tindakan penganjur menyewa papan iklan gergasi milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Jalan Subang, Seksyen U2 di sini untuk mempromosikan iklan festa tersebut sedangkan majoriti penduduk Shah Alam adalah orang Islam.
Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long berkata, kebenaran bagi pemasangan papan iklan Oktoberfest di sekitar bandar raya Shah Alam seolah-olah menggalakkan orang Islam di Selangor menyertai aktiviti mempromosi minuman keras terbabit.

"Apa yang menyedihkan dan boleh dianggap biadab, pesta itu diadakan pada bulan Zulhijjah ketika umat Islam melaksanakan ibadah haji dan korban.

"Kita tidak ada masalah dengan program itu tetapi biarlah ia diadakan mengikut adab dan menghormati sensitiviti masyarakat majoriti beragama Islam," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rosdi berkata, komitmen kerajaan negeri Selangor yang kini di bawah kepimpinan baharu untuk mempertahankan kesucian agama bakal teruji dengan penganjuran Oktoberfest tersebut.

Menurut beliau, sebagai Menteri Besar Selangor yang baru dilantik, Mohamed Azmin Ali perlu membuktikan ketegasan beliau bagi memelihara dan menjunjung Islam selaku agama rasmi negara ini.

Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Syamzari Mohamed Noh berkata, penganjuran kemuncak Oktoberfest secara terbuka di kawasan tempat letak kenderaan pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya pada Jumaat hingga Ahad ini sebagai melanggar budaya dan tatasusila rakyat negara ini.

"Saya mendesak agar kerajaan negeri Selangor membatalkan kelulusan penganjuran pesta jualan gudang arak tersebut dengan segera,"katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar turut kesal dengan promosi jualan arak secara keterlaluan apatah lagi ia dilakukan di Shah Alam yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Sewaktu Barisan Nasional memerintah dulu, kerajaan negeri tidak pernah membenarkan iklan arak dibuat sesuka hati. Adakah kerajaan negeri Selangor sekarang merestuinya, beri kebenaran dan galak iklan-iklan minuman keras pada papan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Azmin mengarahkan MBSA supaya menurunkan papan iklan gergasi yang dipasang itu dengan seberapa segera.

"Azmin sepatutnya peka mengenai sensitiviti orang Melayu beragama Islam). Beliau tidak perlulah asyik fikir dan cari kesalahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sahaja kerana perkara promosi arak ini berlaku di depan matanya," tegas Noh.

No comments:

Post a Comment