Translate

Wednesday, October 29, 2014

Pelajar IPTA dituduh bunuh kekasih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM - Seorang pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh teman wanitanya dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fahmi Mohd. Hanafiah di­dakwa mem­bunuh Haryati Harun (gambar kecil), 44, dengan menikam mangsa yang masih bujang di tangga tingkat 6, Blok A, Pangsapuri Kristal Heights pada pukul 2.10 pagi, 15 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.
Begitupun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.
Sebaliknya, Muhammad Fahmi yang diwakili peguam bela, S. Selvam mendakwa dia dikasari dan dipaksa memberi keterangan secara tidak rela oleh anggota polis sewaktu berada di dalam lokap sepanjang tempoh tahanan reman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Selvam kemudiannya memohon kepada Norshakinah agar aduan anak guamnya didengar di mahkamah mengikut Seksyen 133 Kanun Acara Jenayah.

Norshakinah membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 20 November depan.

Kosmo! 16 Oktober lalu melaporkan Haryati yang merupakan seorang kerani akaun sebuah syarikat swasta ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tangga tingkat enam pangsapuri terbabit.

Muhammad Fahmi yang merupakan individu terakhir dipercayai bersama mangsa sebelum ditemui mati telah ditahan di hadapan Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini beberapa jam kemudian ketika menziarahi jenazah kekasihnya itu.

No comments:

Post a Comment