Translate

Thursday, October 16, 2014

Nur Syaleza mungkin dijerut dari belakang secara serang hendap

SHAH ALAM – Keputusan bedah siasat terhadap mayat eksekutif pentadbiran stesen televisyen swasta, TV9, Nur Syaleza Jaffar tidak menolak kemungkinan mangsa dijerut dari belakang secara serang hendap sehingga menyebabkan kematiannya.
Pakar Patologi Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md. Noor, saksi keenam dalam keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman berkata, berdasarkan kesan jalur merah putih yang ditemui pada lehernya, Nur Syaleza, 31, berkemungkinan dijerut dari belakang oleh seseorang yang mempunyai ketinggian lebih kurang sama dengan mangsa.
“Pemeriksaan lanjut menemui jalur merah putih secara mendatar sepanjang 24 sentimeter (sm) dengan kelebaran 5.5sm pada bahagian hadapan leher.
“Muka mangsa pada ketika itu merah manakala bibir dan kukunya kebiruan selain terdapat buih-buih bercampur darah di bahagian hidung dan mulut,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes bunuh Nur Syaleza di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Suami mangsa, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 32,didakwa membunuh Nur Syaleza di kediaman mereka di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini di antara pukul 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.

Bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Akhbar sebelum ini melaporkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tergantung dalam biliknya di kediaman mereka oleh tertuduh kira-kira pukul 7.25 malam pada hari kejadian selepas dikatakan tidak menjawab apabila dipanggil untuk berbuka puasa.

Shahidan berkata, kesan merah putih yang ditemui di leher hadapan Nur Syaleza berkemungkinan disebabkan tekanan yang menghalang pernafasan mangsa oleh sesuatu objek lembut dan lebar dipercayai kain cadar. 

Beliau juga menerangkan, buih-buih bercampur darah pula merupakan tindak balas tubuh Nur Syaleza pada saat-saat akhir kematiannya apabila mangsa cuba bernafas dengan kuat akibat kekurangan oksigen hingga menyebbakan air liarnya bertukar menjadi cecair seolah-olah krim bercampur sedikit darah.

Dalam pada itu, Norazman Bashah mengejutkan mahkamah apabila tiba-tiba menangis teresak-esak sambil melutut di hadapan anak tunggalnya sebaik prosiding perbicaraan berakhir.

Tertuduh begitu beremosi kerana dua beranak itu dipertemukan buat pertama kali sejak kejadian tersebut berlaku dua tahun lalu.

Anak lelakinya berumur empat tahun yang kini dipelihara keluarga Allahyarham Nur Syaleza seolah-olah kebinggungan melihat reaksi bapanya.

Perbicaraan hari kedua bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment