Translate

Wednesday, October 8, 2014

Geng 'topeng seluar dalam' didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan FAIZAL NAZARUDDIN
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Isa Endot merupakan antara 14 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas tuduhan menerima rasuah bagi melepaskan barang seludup yang tidak diisytiharkan cukai.

Enam daripada 14 tertuduh yang didakwa di kedua-dua mahkamah itu juga merupakan enam pegawai kastam yang menggemparkan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya Rabu lalu kerana memakai 'topeng seluar dalam' dipercayai bagi menyembunyikan wajah masing-masing ketika dibawa ke mahkamah berkenaan bagi mendapatkan perintah lanjutan tahanan reman.

Namun semalam, kesemua tertuduh dilihat tidak mengulangi perbuatan serupa sebaliknya hanya menutup muka menggunakan baju bagi mengelakkan wajah mereka dirakam jurugambar.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd. Isa, 55, didakwa atas empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM8,000 sebagai bayaran bulanan dan wang perlindungan bagi melicinkan segala urusan kastam sebuah syarikat di pejabatnya di Wisma Kastam Kelana Jaya antara Mei hingga Ogos lalu.

Selain Mohd. Isa, tujuh pegawai lain yang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini semalam ialah Muhamad Helmi Burhanudin yang berhadapan dengan tujuh pertuduhan, Wan Azman Wan Ali (satu), Mohamad Fauzi Kamsar (tiga), Shamsul Anwar Mohd Radzi (dua), Azlee Mohamed Yusof (dua), Mohamed Rozlan Ibrahim (dua) dan Jamaludin Zamzam (satu).

Kesemua tertuduh didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 melibatkan barangan belum lulus Kastam iaitu arak.

Wan Azman, 47, yang merupakan Penolong Kanan Pengarah Kastam II Wilayah Persekutuandidakwa menerima wang tunai RM8,000 dengan tiada balasan daripada pengadu dari bulan Mei hingga Ogos lalu sedangkan dia mengetahui pengadu mempunyai hubungan rasmi dengan ketua jabatannya iaitu Mohd. Isa.

Muhamad Helmi, 37, sebagai Pembantu Penguasa Kastam cawangan Operasi Bahagian Penguatkuasa Kastam Selangor pula didakwa memperoleh suapan sebanyak RM14,000 sebagai dorongan tidak mengganggu lori kepunyaan atau mempunyai kepentingan dengan pengadu yang keluar dari Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang.

Mohamad Fauzi, 33, dituduh menerima suapan sebanyak RM4,200 daripada ejen pengadu sebagai dorongan tidak mengganggu aktiviti penyeludupan minuman keras dari bulan Jun hingga Ogos lalu di pasar raya besar di Kelana Jaya.

Shamsul Anwar dan Azlee pula menghadapi dua pertuduhan bersama menerima wang suapan berjumlah RM3,000 daripada ejen pengadu pada bulan Julai dan Ogos lalu.

Mohamed Rozlan dan Jamaluddin pula menghadapi dua pertuduhan dan satu pertuduhan menerima suapan masing-masing berjumlah RM1,000.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, seramai lapan pegawai JKDM didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 25 tuduhan rasuah berjumlah RM31,200 bagi melepaskan barang seludup yang tidak diisytiharkan cukai sejak empat tahun lalu.

Lapan pegawai berkenaan ialah Mahadir Mohamad yang menghadapi lima pertuduhan, Kamarul Asmady Ismail (empat), Mohamed Rozlan Ibrahim (dua), T. Som Chit (empat), Jamaludin Zamzam (satu), Amran Ismail (lima) Abdul Rahman Ahmad (dua) dan Sahbandi Abdul Manap @ Asly (dua).

Mohamed Rozlan dan Jamaludin turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Kesemua 14 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Kesemua 14 tertuduh mengaku tidak bersalah.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM5,000 hingga RM25,000 setiap seorang.

Mereka membayar wang jaminan tersebut.

No comments:

Post a Comment