Translate

Tuesday, October 21, 2014

Enam pegawai kastam makan suap didakwa di dua mahkamah berasingan

SHAH ALAM – Empat pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah bagi melepaskan barang seludup yang tidak diisytiharkan cukai.
Tertuduh ialah Azahar Zainuddin, 32, Nor Shafik Shamsinor, 29, Che Zulkifli Che Ismail, 29, dan Mohd. Izwan Ramli, 31, yang merupakan Pembantu Penguasa Kastam cawangan Operasi Bahagian Penguat kuasa Kastam Selangor.
Kesemua tertuduh didakwa memperoleh suapan daripada ejen pengadu sebagai ganjaran melepaskan lori membawa minuman keras dan belum diluluskan kastam yang mempunyai kepentingan dengan pengadu keluar dari Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ) dari tempoh April hingga Julai lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Mereka mengaku tidak bersalah. Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mereka membayar wang jaminan tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Oktober ini.

Sementara itu di Kuala Lumpur, dua pegawai JKDM turut didawak di Mahkamah Sesyen atas 17 pertuduhan rasuah berjumlah RM30,100 sebagai habuan tidak mengganggu operasi perniagaan arak terhadap individu atau syarikat tertentu, September lalu.

Tertuduh ialah Pembantu Penguasa Kastam, Mohd. Nor Shukri Mohd. Mokhtar, 36, dari bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor yang menghadapi 10 pertuduhan rasuah.

Seorang lagi ialah Pembantu Pegawai Kastam Kanan, Mohd. Zulkifli Dollah, 49, dari cawangan Eksport JKDM, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pula berdepan tujuh pertuduhan sama.


Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.


No comments:

Post a Comment