Translate

Tuesday, October 7, 2014

Aidiladha disambut penuh syukur

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidiladha diraikan semalam dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam di seluruh negara dengan mengingati semangat pengorbanan yang dituntut oleh ajaran agama Islam.
Seawal pukul 8 pagi, pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di masjid atau surau untuk bertakbir dan menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah.
Kesyukuran menyambut perayaan besar dalam Islam itu turut dimeriahkan dengan ibadah korban melibatkan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Di Alor Setar, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah merupakan antara ribuan umat Islam yang menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir di sini. Turut berangkat, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah yang merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.
Di Shah Alam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Raja Muda, Tengku Amir Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 6,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini. Hadir sama Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Di Kuala Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Di Kuantan, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menyertai kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat sulat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini.

Di Johor Bahru, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim bersama adinda baginda, Tengku Idris Iskandar dan Tunku Abu Bakar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 5,000 umat Islam di Masjid Sultan Abu Bakar di sini. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Di Kuala Pilah, Yang Dipetuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani  Tengku Besar Mahmud berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti di sini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri  Hasan Malek dan kira-kira 2,000 jemaah yang lain.

No comments:

Post a Comment