Translate

Thursday, October 23, 2014

23 anggota polis Selangor bermasalah dipecat

SHAH ALAM - Seramai 23 anggota polis Kontijen Selangor telah dipecat setelah didapati bersalah melakukan pelanggaran disiplin, menyalahguna dadah dan terlibat dalam jenayah sepanjang tempoh tahun ini.

Seramai 112 anggota polis turut dikenakan tindakan ditahan kerja dan pengantungan kerja dalam tempoh sama.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, selain itu, pihaknya memandang serius berkaitan pelanggaran disiplin, tingkah laku dan integriti dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga terbentuknya satu jabatan baru, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard bagi mengendalikan kes-kes berkaitan masalah dalam pasukan.

"Sepanjang tahun ini, sebanyak 567 kes telah dibuka melibatkan 48 kes jenayah, rasuah (15), dadah (26), tidak hadir tugas (188) dan aduan awam (289)," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Selangor di sini semalam.

Bagaimanapun, Abdul Samah tidak menjelaskan secara terperinci mengenai kesalahan dan anggota polis yang dipecat itu.

Berikutan itu, menurut beliau, kesemua ketua jabatan IPK Selangor dan ketua polis daerah di negeri Selangor diarah mempraktikkan prosedur operasi standard pemantauan disiplin anggota iaitu Sistem Kawalan Disiplindan Dadah dengan sepenuhnya.

Katanya lagi, sebagai pemimpin di peringkat jabatan dan ibu pejabat polis daerah masing-masing, mereka bertanggungjawab ke atas salah laku yang membabitkan anggota di bawah selia mereka.

"Saya menyarankan kegiatan berbentuk sosial, keagamaan dan kebajikan melibatkan anggota di segenap peringkat diadakan secara kerap bagi meningkatkan disiplin di kalangan warga IPK Selangor," katanya.

No comments:

Post a Comment