Translate

Friday, October 31, 2014

Mayat bayi dihurungi semut ditemui di pusat beli-belah

KLANG - Satu mayat bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui tempat letak kenderaan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi pada pukul 7.52 pagi tadi.
Bayi yang masih mempunyai tali pusat itu ditutup dengan surat khabar dan plastik berwarna merah dalam keadaan meniarap dan dihurungi semut.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat. - KOSMO!

Tiga sahabat dihukum gantung


Thursday, October 30, 2014

Penyamun solo guna pistol tiruan diberkas

KLANG - Tembelang seorang penjenayah yang aktif menyamun beberapa premis perniagaan termasuk kedai serbaneka di sekitar pekan Meru di sini dengan menggunakan pistol tiruan terbongkar apabila dia diberkas polis baru-baru ini.

Suspek yang berusia 31 tahun ditahan di rumahnya di pekan Meru selepas beberapa jam menyamun seorang kakitangan sebuah hotel di Klang Sentral di sini pada 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, dalam serbuan itu,  pistol terbabit dijumpai disorok di kawasan dapur rumah suspek sebelum pemeriksaan dijalankan mendapati ia adalah palsu.

"Modus operandi penjenayah ini ialah menggunakan sepucuk pistol untuk menakutkan pemilik dan pekerja premis sebelum menyamun di premis perniagaan.

"Suspek biasanya melakukan jenayah samun itu secara solo pada waktu pagi iaitu seawal pukul 4.30 pagi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Mohamad Shukor, siasatan awal mendapati, suspek membeli pistol tiruan tersebut di sebuah gedung pemborong di Bukit Tinggi di sini.

Katanya, lelaki terbabit dipecayai telah menyamun kira-kira empat premis perniagaan di sekitar pekan Meru dari 25 September hingga 14 Oktober lalu.

Premis yang pernah menjadi sasaran ialah sebuah kedai serbaneka di Taman Meru Selatan dan kedai perabot di Klang Sentral.

Bunuh pensyarah, tiga pelajar kolej dihukum gantung

SHAH ALAM - Tiga pelajar kolej dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh pensyarah mereka, Zara Elena, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, di Taman Kinrara, Puchong dekat sini kira-kira dua tahun lalu.
Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22; Mohamad Sharafe Mohd. Noh, 21 dan Aizat Ibrahim, 22, didapati bersalah membunuh kedua-dua mangsa antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 hingga 2.30 pagi 9 Mac 2012.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintahkan hukuman demikian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pihak pembelaan gagal menyangkal kes pendakwaan. - KOSMO!

Wednesday, October 29, 2014

Penyamun bersenjata pistol tiruan diberkas

KLANG - Seorang penjenayah yang disyaki aktif menyamun kedai serbaneka di sekitar pekan Meru di sini dengan bersenjatakan pistol tiruan berjaya diberkas polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 31 tahun terlibat dalam sekurang-kurangnya empat kes samun melibatkan modus operandi sama dari 25 September hingga 14 Oktober lalu.
"Lelaki itu berjaya ditahan di rumah di pekan Meru di sini pada pukul 11 malam, 14 Oktober lalu.
"Beberapa jam sebelum itu, dia dipercayai menyamun seorang kakitangan sebuah hotel di Klang Sentral di sini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Kapar di sini hari ini. - KOSMO!

Pelajar IPTA dituduh bunuh kekasih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM - Seorang pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh teman wanitanya dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fahmi Mohd. Hanafiah di­dakwa mem­bunuh Haryati Harun (gambar kecil), 44, dengan menikam mangsa yang masih bujang di tangga tingkat 6, Blok A, Pangsapuri Kristal Heights pada pukul 2.10 pagi, 15 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.
Begitupun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.
Sebaliknya, Muhammad Fahmi yang diwakili peguam bela, S. Selvam mendakwa dia dikasari dan dipaksa memberi keterangan secara tidak rela oleh anggota polis sewaktu berada di dalam lokap sepanjang tempoh tahanan reman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Selvam kemudiannya memohon kepada Norshakinah agar aduan anak guamnya didengar di mahkamah mengikut Seksyen 133 Kanun Acara Jenayah.

Norshakinah membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 20 November depan.

Kosmo! 16 Oktober lalu melaporkan Haryati yang merupakan seorang kerani akaun sebuah syarikat swasta ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tangga tingkat enam pangsapuri terbabit.

Muhammad Fahmi yang merupakan individu terakhir dipercayai bersama mangsa sebelum ditemui mati telah ditahan di hadapan Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini beberapa jam kemudian ketika menziarahi jenazah kekasihnya itu.

Pusat judi haram Bukit Tinggi diserbu

KLANG - Sebuah pusat perjudian haram yang berselindung di sebalik premis pejabat korporat diserbu di Kompleks Pejabat Bukit Tinggi di sini malam tadi.
Dalam serbuan pada pukul 11.30 malam itu, sebanyak 16 komputer yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian telah berjaya dirampas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan penjaga premis terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan. - KOSMO!

Tuesday, October 28, 2014

Maritim Malaysia kerjasama dengan pihak berkuasa Australia dan Kanada atasi penyeludupan migran

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bekerjasama dengan Perkhidmatan Perlindungan Sempadan Kastam Australia (ACBPS) dan Royal Canadanian Mounted Police melancarkan Ops. Redback di perairan Selangor selama empat hari bermula hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Fuzi Ab. Kahar berkata, operasi khas yang turut melibatkan perkongsian maklumat perisikan itu bertujuan mengatasi aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran merentas sempadan di kawasan terlibat.
"Tumpuan diberi kepada kawasan panas di sekitar perairan Selangor yang telah dikenal pasti laluan keluar masuk migran terbabit," katanya selepas melancarkan Ops. Red Back di Pejabat Maritim Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Penguat kuasa Kanan ACBPS, Danielle Yannopoulos. - KOSMO!

Pelajar IPTA dituduh bunuh kekasih

SHAH ALAM - Seorang pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Massa sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh teman wanitanya di Seksyen 7 di sini kira-kira dua minggu lalu.
Muhammad Fahmi Mohd. Hanafiah dituduh membunuh Haryati Harun, 44, di tangga tingkat 6, Blok A, Pangsapuri Kristal Height pada pukul 2.10 pagi.
Tertuduh yang menghadapi hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan tidak membuat sebarang pengakuan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.
Norshakinah memerintahkan sebutan semula kes pada 20 November depan. - KOSMO!

Thursday, October 23, 2014

23 anggota polis Selangor bermasalah dipecat

SHAH ALAM - Seramai 23 anggota polis Kontijen Selangor telah dipecat setelah didapati bersalah melakukan pelanggaran disiplin, menyalahguna dadah dan terlibat dalam jenayah sepanjang tempoh tahun ini.

Seramai 112 anggota polis turut dikenakan tindakan ditahan kerja dan pengantungan kerja dalam tempoh sama.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, selain itu, pihaknya memandang serius berkaitan pelanggaran disiplin, tingkah laku dan integriti dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga terbentuknya satu jabatan baru, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard bagi mengendalikan kes-kes berkaitan masalah dalam pasukan.

"Sepanjang tahun ini, sebanyak 567 kes telah dibuka melibatkan 48 kes jenayah, rasuah (15), dadah (26), tidak hadir tugas (188) dan aduan awam (289)," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Selangor di sini semalam.

Bagaimanapun, Abdul Samah tidak menjelaskan secara terperinci mengenai kesalahan dan anggota polis yang dipecat itu.

Berikutan itu, menurut beliau, kesemua ketua jabatan IPK Selangor dan ketua polis daerah di negeri Selangor diarah mempraktikkan prosedur operasi standard pemantauan disiplin anggota iaitu Sistem Kawalan Disiplindan Dadah dengan sepenuhnya.

Katanya lagi, sebagai pemimpin di peringkat jabatan dan ibu pejabat polis daerah masing-masing, mereka bertanggungjawab ke atas salah laku yang membabitkan anggota di bawah selia mereka.

"Saya menyarankan kegiatan berbentuk sosial, keagamaan dan kebajikan melibatkan anggota di segenap peringkat diadakan secara kerap bagi meningkatkan disiplin di kalangan warga IPK Selangor," katanya.

Wednesday, October 22, 2014

Kawasan perniagaan sementara peniaga Uptown Shah Alam siap dua minggu lagi

SHAH ALAM - Seramai 197 peniaga Kompleks Muhibbah atau lebih dikenali sebagai Uptown Shah Alam, Seksyen 24 di sini yang terjejas dalam kebakaran hampir seminggu lalu dijangka dapat berniaga semula dalam tempoh dua minggu lagi.
Pengerusi Dataran Usahawan Selangor Sdn. Bhd. (DUS), Datuk Yusra Sabar berkata, kerja-kerja menurap dan memasang khemah sementara di kawasan perniagaan baharu dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini bakal bermula beberapa hari lagi selepas pembersihan sisa bangunan yang musnah terbakar terbabit selesai.
"Saya difahamkan kerja-kerja membersihkan kawasan kebakaran iaitu Blok B Uptown Shah Alam dijangka diselesaikan pekerja Majlis Bandaraya Shah Alam dalam tempoh dua hari lagi.
"Selepas itu barulah, kerja-kerja menurap dan memasang khemah sementara di kawasan tanah lapang bersebelahan akan bermula," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Datuk Abdul Rahim Hassan dengan peniaga Uptown Shah Alam yang terjejas dalam kebakaran tersebut di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Yusra berkata, bekalan tenaga elektrik dan air yang terpaksa diputuskan ekoran kebakaran pada awal pagi 15 Oktober lalu akan disambung semula seawal-awalnya Rabu ini bagi membolehkan lebih 200 usahawan di Blok A, Kompleks Muhibbah yang turut terjejas kembali berniaga.
Menurut beliau, DUS juga bersetuju agar kesemua peniaga dikecualikan daripada membayar kadar sewaan sebanyak RM300 sebulan sehingga Uptown Shah Alam beroperasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, Tekun menawarkan pinjaman mudah tanpa faedah sehingga RM100,000 bagi membantu peniaga terlibat membina semula perniagaan mereka.
Beliau berkata, sebagai dasar perikemanusiaan juga, mereka juga diberi kelonggaran untuk dikecualikan membuat pembayaran semula dalam tempoh sehingga enam bulan.
Sementara itu, Noh memberi jaminan akan membantu mempromosikan semula Uptown Shah Alam bagi menarik kembali kehadiran pelanggan ke bazar larut malam tersebut.
Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, sebanyak 187 daripada 442 lot gerai Uptown Shah Alam musnah dalam kebakaran melibatkan kerugian lebih RM19 juta.
Ekoran kejadian itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengarahkan MBSA menurapkan dan mendirikan khemah sementara di kawasan bersebelahan bangunan yang musnah dalam kebakaran itu bagi membolehkan peniaga terlibat memulakan perniagaan. - KOSMO!

Enam bumbung flat PKNS tercabut

PELABUHAN KLANG – Hujan lebat selama empat jam disertai ribut kencang selama kira-kira setengah jam mengakibatkan lebih 72 premis perniagaan dan pangsapuri di sekitar Pandamaran dekat sini mengalami kerosakan semalam.
Kejadian yang bermula pada pukul 2 petang itu turut mengakibatkan banyak pokok di kawasan berkenaan tumbang selain menenggelamkan beberapa bot yang ditunda di jeti berhampiran.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, antara kawasan di Pandamaran yang terjejas dalam kejadian ribut kencang tersebut ialah Jalan Banting dan Jalan Besar dekat sini.
“Kejadian ribut kencang itu telah menerbangkan banyak bumbung kediaman penduduk termasuk Pangsapuri Pandamaran Permai dan Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Pangsapuri PKNS yang terletak di Pandamaran Jaya mengalami kerosakan paling teruk selepas keenam-enam bumbung bloknya diterbangkan ribut kencang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kamarul Zaman memberitahu, sebuah gudang penyimpanan tong gas dan sebuah tokong turut rosak teruk akibat bencana alam berkenaan.

Menurut beliau, bekalan elektrik di sekitar Pandamaran juga turut terjejas selama beberapa jam ekoran kejadian ribut kencang tersebut namun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut dan angin kencang dijanhgka berlaku di beberapa daerah di Selangor termasuk Klang pada petang semalam.

Rayu dibenarkan berniaga semula

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Lebih 400 peniaga Kompleks Muhibbah yang lebih dikenali sebagai Uptown Shah Alam, Seksyen 24 di sini merayu agar kerajaan negeri mempercepatkan kelulusan untuk mereka berniaga semula di tapak sementara yang dijanjikan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

Setiausaha Persatuan Peniaga-Peniaga Uptown Shah Alam, Amran Johari berkata, setakat ini, kerja-kerja memasang khemah sementara dan menurap kawasan terbabit masih belum dilakukan.

"Saya difahamkan, kebenaran daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diperlukan bagi pembukaan tapak berniaga sementara itu.

"Kerajaan negeri (Selangor) pula sedang bermesyuarat untuk melicinkan urusan tersebut," katanya ketika ditemui sewaktu mengadakan bancian semula peniaga Uptown Shah Alam yang terlibat dalam kebakaran pada Rabu lalu di perkarangan bazar beli-belah larut malam itu di Seksyen 24 di sini semalam.

Amran berkata, karenah birokrasi tersebut meresahkan sebahagian besar peniaga terlibat kerana berniaga di bazar beli-belah larut malam berkenaan merupakan satu-satunya sumber rezeki mereka.

"Sudah tiga hari tidak berniaga, ini periuk nasi kami  untuk menyara keluarga. Kalau dapat segera (berniaga semula),alhamdulillah..lega sikit," katanya.

Dalam pada itu, Amran berkata, peniaga-peniaga terbabit juga  tidak berpuas hati dengan pengurusan Uptown Shah Alam, Dataran Usahawan Selangor Sdn. Bhd. (DUSSB) yang didakwa tidak menjaga kebajikan mereka sejak berlakunya kebakaran yang memusnahkan 187 lot kedai itu.

Beliau mendakwa, sikap DUSSB yang seolah-olah lepas tangan itu tidak menghairankan mereka kerana sebelum ini banyak isu berhubung kemudahan tapak terbabit tidak diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan.

"Ada banyak isu berbangkit termasuk masalah pili bomba utama yang tidak berfungsi pada hari kejadian. Isu itu telah disuarakan sejak tahun 2007 termasuk diadukan kepada Dr. Daroyah Alwi yang ketika itu memegang portfolio Pembangunan Usahawan pada tahun lalu tetapi tiada tindakan.

"Selain itu, penambahan sekurang-kurangnya 20 lot kedai tanpa mengikut spesifikasi pelan asal telah menyebabkan berlaku kekeliruan bilangan sebenar peniaga terlibat dalam kebakaran terbabit," katanya.

Kosmo! Khamis lalu melaporkan ratusan peniaga Uptown Shah Alam bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila api marak membakar kawasan beli-belah tersebut yang melibatkan kerugian melebihi RM19 juta.

Ekoran kejadian itu, Mohamed Azmin mengarahkan MBSA menurap dan mendirikan khemah sementara di kawasan bersebelahan bangunan yang musnah dalam kebakaran bagi membolehkan peniaga yang terjejas memulakan semula perniagaan.

Tuesday, October 21, 2014

Enam pegawai kastam makan suap didakwa di dua mahkamah berasingan

SHAH ALAM – Empat pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah bagi melepaskan barang seludup yang tidak diisytiharkan cukai.
Tertuduh ialah Azahar Zainuddin, 32, Nor Shafik Shamsinor, 29, Che Zulkifli Che Ismail, 29, dan Mohd. Izwan Ramli, 31, yang merupakan Pembantu Penguasa Kastam cawangan Operasi Bahagian Penguat kuasa Kastam Selangor.
Kesemua tertuduh didakwa memperoleh suapan daripada ejen pengadu sebagai ganjaran melepaskan lori membawa minuman keras dan belum diluluskan kastam yang mempunyai kepentingan dengan pengadu keluar dari Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ) dari tempoh April hingga Julai lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Mereka mengaku tidak bersalah. Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mereka membayar wang jaminan tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Oktober ini.

Sementara itu di Kuala Lumpur, dua pegawai JKDM turut didawak di Mahkamah Sesyen atas 17 pertuduhan rasuah berjumlah RM30,100 sebagai habuan tidak mengganggu operasi perniagaan arak terhadap individu atau syarikat tertentu, September lalu.

Tertuduh ialah Pembantu Penguasa Kastam, Mohd. Nor Shukri Mohd. Mokhtar, 36, dari bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor yang menghadapi 10 pertuduhan rasuah.

Seorang lagi ialah Pembantu Pegawai Kastam Kanan, Mohd. Zulkifli Dollah, 49, dari cawangan Eksport JKDM, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pula berdepan tujuh pertuduhan sama.


Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.


MAIS akan buat penjelasan isu sentuh anjing hari ini

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dijangka memberi kenyataan rasmi mengenai penganjuran program 'I Want To Touch a Dog' yang mencetus polemik dalam kalangan umat Islam hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam MAIS, Rohana Hassan berkata, kenyataan tersebut akan dibuat oleh pengerusinya sendiri, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa.

"Beliau (Mohamad Adzib) akan beri kenyataan rasmi (mengenai penganjuran 'I Want To Touch a Dog' hari ini)," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sebelum ini, terdapat desas-desus yang laman sosial yang mendakwa program yang diadakan di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya dekat sini pada hujung minggu lalu mendapat kebenaran daripada MAIS.

Ia berikutan tersebarnya surat kelulusan MAIS berhubung permohonan penganjuran program yang mengajak orang ramai termasuk beragama Islam untuk merasai sendiri pengalaman menyentuh anjing tanpa rasa takut.


Monday, October 20, 2014

Empat lagi anggota kastam dituduh rasuah

SHAH ALAM - Empat Pembantu Penguasa Kastam Diraja Malaysia (KDRM) cawangan Pelabuhan Klang mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan rasuah melibatkan amaun RM129,800 di antara April hingga Julai lalu.
Azahar Zainuddin, 32; Nor Shafik Shamsinor, 29; Che Zulkifli Che Ismail, 29; dan Mohd. Izwan Ramli, 31 didakwa melakukan kesalahan tersebut di sekitar Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dekat sini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka yang menghadapi satu hingga lima pertuduhan didakwa menerima suapan daripada ejen pengadu bagi melepaskan lori membawa minuman keras tanpa cukai dari PKFZ.
Hakim Datuk Noradidah Ahmah membenarkan Mohd. Izwan dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM5,000, Nor Syafik (RM8,000) dan Azahar serta Che Zulkifli masing-masing dengan RM10,000 dan seorang penjamin.
Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 30 Oktober 2014. - KOSMO!

Thursday, October 16, 2014

Nur Syaleza mungkin dijerut dari belakang secara serang hendap

SHAH ALAM – Keputusan bedah siasat terhadap mayat eksekutif pentadbiran stesen televisyen swasta, TV9, Nur Syaleza Jaffar tidak menolak kemungkinan mangsa dijerut dari belakang secara serang hendap sehingga menyebabkan kematiannya.
Pakar Patologi Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md. Noor, saksi keenam dalam keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman berkata, berdasarkan kesan jalur merah putih yang ditemui pada lehernya, Nur Syaleza, 31, berkemungkinan dijerut dari belakang oleh seseorang yang mempunyai ketinggian lebih kurang sama dengan mangsa.
“Pemeriksaan lanjut menemui jalur merah putih secara mendatar sepanjang 24 sentimeter (sm) dengan kelebaran 5.5sm pada bahagian hadapan leher.
“Muka mangsa pada ketika itu merah manakala bibir dan kukunya kebiruan selain terdapat buih-buih bercampur darah di bahagian hidung dan mulut,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes bunuh Nur Syaleza di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Suami mangsa, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 32,didakwa membunuh Nur Syaleza di kediaman mereka di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini di antara pukul 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.

Bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Akhbar sebelum ini melaporkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tergantung dalam biliknya di kediaman mereka oleh tertuduh kira-kira pukul 7.25 malam pada hari kejadian selepas dikatakan tidak menjawab apabila dipanggil untuk berbuka puasa.

Shahidan berkata, kesan merah putih yang ditemui di leher hadapan Nur Syaleza berkemungkinan disebabkan tekanan yang menghalang pernafasan mangsa oleh sesuatu objek lembut dan lebar dipercayai kain cadar. 

Beliau juga menerangkan, buih-buih bercampur darah pula merupakan tindak balas tubuh Nur Syaleza pada saat-saat akhir kematiannya apabila mangsa cuba bernafas dengan kuat akibat kekurangan oksigen hingga menyebbakan air liarnya bertukar menjadi cecair seolah-olah krim bercampur sedikit darah.

Dalam pada itu, Norazman Bashah mengejutkan mahkamah apabila tiba-tiba menangis teresak-esak sambil melutut di hadapan anak tunggalnya sebaik prosiding perbicaraan berakhir.

Tertuduh begitu beremosi kerana dua beranak itu dipertemukan buat pertama kali sejak kejadian tersebut berlaku dua tahun lalu.

Anak lelakinya berumur empat tahun yang kini dipelihara keluarga Allahyarham Nur Syaleza seolah-olah kebinggungan melihat reaksi bapanya.

Perbicaraan hari kedua bersambung hari ini.

Tuesday, October 14, 2014

120 usahawan, anak asnaf cemerlang terima anugerah

ANUGERAH. Seramai 120 usahawan berdaya saing dan anak asnaf cemerlang dalam akademik, menerima Anugerah Asnaf Cemerlang di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Anugerah tersebut disampaikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa.
Penerima anugerah itu ialah mereka yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan hasil Program Pembangunan Ekonomi anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, seramai 200 golongan asnaf yang terlibat dalam program itu dijangka keluar daripada garis kemiskinan menjelang akhir tahun ini.
“Mereka sebahagian daripada 1,414 asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan perniagaan menerusi program terbabit,” katanya pada majlis tersebut baru-baru ini.

Friday, October 10, 2014

MBSA gantung lesen syarikat pengiklanan

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) cuba meredakan kecaman masyarakat ke atas penganjuran pesta mabuk arak Oktoberfest dengan mengambil tindakan drastik menggantung lesen syarikat pengiklanan yang bertanggungjawab memasang papan iklan pesta tersebut selama tiga bulan berkuat kuasa semalam.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan berkata, pemasangan papan iklan gergasi oleh syarikat pengiklanan terbabit di Jalan Subang, Seksyen U2 di sini sejak hujung bulan lalu dilakukan tanpa kebenaran pihak MBSA.

Pesta mabuk arak tidak jadi

Oleh NORHAYATI YAHAYA, KHADIJAH MOHAMAD NOR, MOHD. AZLI ADLAN dan NORAINI HASSAN BASRI
berita@kosmo.com.my

PETALING JAYA – Kecaman dan tekanan yang diberikan oleh pelbagai pihak menyebabkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam akhirnya bertindak menolak permohonan permit penganjuran pesta mabuk arak Oktoberfest yang dijadualkan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini di ruang letak kereta pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama di sini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ memang ada menerima permohonan daripada pihak penganjur untuk mengadakan pesta tersebut, tetapi ia ditolak kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
“Pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta arak Oktoberfest.
“Walaupun pihak penganjur ada menghantar permohonan kepada kami, tetapi ia tidak diluluskan atas beberapa alasan seperti tidak mendapat kebenaran pihak polis dan dibuat di kawasan terbuka.
“Kami tidak akan sesekali mengeluarkan permit kepada penganjur sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi,” ujar beliau ketika menerima memorandum bantahan daripada tiga Ahli Parlimen Pas yang mewakili Dewan Ulama Pas Pusat di sini semalam.

Thursday, October 9, 2014

Tuntutan palsu guna nama ibu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@koso.com.my

SHAH ALAM - Seorang pembantu pertahanan awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Hulu Selangor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM3,936 pada tahun lalu.

Mohd. Faizal Zahri, 31, didakwa mengemukakan tuntutan elaun latihan, tugas dan perjalanan mengandungi butiran palsu menggunakan nama ibunya, Hasnah Dollah, 53, yang merupakan sukarelawan jabatan berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, anak keapda peneroka Felda itu didakwa menipu kerani pejabat JPAM dengan menghantar 11 borang tuntutan palsu.

Perbuatan Mohd. Faizal menghantar borang tuntutan palsu tersebut telah memperdaya keranai itu untuk meluluskan pengeluaran baucar sebanyak RM3,936 secara berkala yang dimasukkan ke adalam akaun bank Hasnah.

Tertuduh memegang kad pengeluaran wang automatik ibunya telah mengeluarkan wang berkenaan.

Ibu tertuduh sebenarnya tidak pernah menjalani tugasan atau latihan sukarelawan JPAM Hulu Selangor sepanjang tempoh tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Hulu Selangor dari 5 April hingga 5 Ogos 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Ridha Abdah Subri dalam rayuan mitigasi memohon mahkamah menggenakan bon berkelakuan baik ke atas anak guamnya mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah kerana anak guamnya kesal dengan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, Mohd. Faizal yang mula berkhidmat dengan JPAM pada 2007 juga telah memulangkan balik duit tuntutaan palsu berkenaan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Heikal Ismail membantah hujah berkenaan dan meminta mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau tiga bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda.

Tertuduh telah membayar denda berkenaan.

Jangan bawa keluarga jadi kelindan

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN KLANG - Pemandu lori treler kontena dinasihatkan supaya menghentikan amalan membawa ahli keluarga atau kenalan menemani mereka sebagai kelindan kerana tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan tetapi mempunyai implikasi perundangan sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Exco Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) Selangor, Johar Kasim berkata, amalan itu menyalahi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana hanya kakitangan syarikat pengendalian kenderaan terbabit dibenarkan mengikuti pemandu sepanjang perjalanan menghantar barangan ke sesuatu destinasi.

"Banyak kes pemandu lori treler (kontena) membawa isteri dan saudara terdekat menemani mereka sewaktu bekerja termasuk bagi perjalanan yang jauh.

"Masalah timbul apabila berlaku kemalangan maut kerana hanya pemandu layak dilindungi insurans," katanya selepas menyertai kempen Keselamatan Jalan Raya Pemandu Lori Treler Kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah dekat sini semalam.

Kempen yang dianjurkan TWU Selangor sempena Hari Persekutuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Antarabangsa tersebut bertujuan untuk mendidik pemandu lori treler kontena supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Johar berkata, sebanyak 202 kes dengan purata 22 kes sebulan kemalangan jalan raya melibatkan lori treler kontena sebulan telah dilaporkan di negeri tersebut sejak awal tahun ini.

"Jumlah itu ia agak membimbangkan kerana ia melibatkan puluhan kematian membabitkan pemandu kenderaan terbabit.

"Banyak faktor mendorong kemalangan jalan raya terbbait termasuk lori treler tidak berada dalam keadaan baik, memandu dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengejar trip dan dipaksa majikan untuk bekerja lebih masa.

"Namun, TWU kali ini mahu memberi penekanan kepada sikap pemandu yang sepatutnya perlu lebih berhati-hati demi keselamatan mereka dan pengguna lain di jalan raya," katanya.

Info Oktoberfest

  • Pesta minuman keras berasal dari Munich, Jerman yang biasanya disambut pada akhir September hingga Oktober bertujuan meraikan perkahwinan diraja, Putera Mahkota Ludwig dan Puteri Therese pada tahun 1810.
  • Carlberg Malaysia mula menganjurkan pesta itu di negara ini pada tahun 2011.
  • Selangor mempunyai dua kilang memproses minuman keras iaitu Carlberg Malaysia yang beroperasi Seksyen 15 di sini dan Guiness Anchor di Petaling Jaya sejak 45 tahun lalu.
  • Pas pernah berjanji untuk menutup operasi kedua-dua kilang tersebut sekiranya berjaya merampas kerajaan negeri daripada Barisan Nasional ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008.
  • Namun selepas enam tahun Pas menyertai pakatan pembangkang yang menerajui kerajaan negeri Selangor, kilang Carlberg Malaysia dan Guiness Anchor terbabit masih lagi beroperasi.


Wednesday, October 8, 2014

Geng 'topeng seluar dalam' didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan FAIZAL NAZARUDDIN
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Isa Endot merupakan antara 14 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas tuduhan menerima rasuah bagi melepaskan barang seludup yang tidak diisytiharkan cukai.

Enam daripada 14 tertuduh yang didakwa di kedua-dua mahkamah itu juga merupakan enam pegawai kastam yang menggemparkan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya Rabu lalu kerana memakai 'topeng seluar dalam' dipercayai bagi menyembunyikan wajah masing-masing ketika dibawa ke mahkamah berkenaan bagi mendapatkan perintah lanjutan tahanan reman.

Namun semalam, kesemua tertuduh dilihat tidak mengulangi perbuatan serupa sebaliknya hanya menutup muka menggunakan baju bagi mengelakkan wajah mereka dirakam jurugambar.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd. Isa, 55, didakwa atas empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM8,000 sebagai bayaran bulanan dan wang perlindungan bagi melicinkan segala urusan kastam sebuah syarikat di pejabatnya di Wisma Kastam Kelana Jaya antara Mei hingga Ogos lalu.

Selain Mohd. Isa, tujuh pegawai lain yang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini semalam ialah Muhamad Helmi Burhanudin yang berhadapan dengan tujuh pertuduhan, Wan Azman Wan Ali (satu), Mohamad Fauzi Kamsar (tiga), Shamsul Anwar Mohd Radzi (dua), Azlee Mohamed Yusof (dua), Mohamed Rozlan Ibrahim (dua) dan Jamaludin Zamzam (satu).

Kesemua tertuduh didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 melibatkan barangan belum lulus Kastam iaitu arak.

Wan Azman, 47, yang merupakan Penolong Kanan Pengarah Kastam II Wilayah Persekutuandidakwa menerima wang tunai RM8,000 dengan tiada balasan daripada pengadu dari bulan Mei hingga Ogos lalu sedangkan dia mengetahui pengadu mempunyai hubungan rasmi dengan ketua jabatannya iaitu Mohd. Isa.

Muhamad Helmi, 37, sebagai Pembantu Penguasa Kastam cawangan Operasi Bahagian Penguatkuasa Kastam Selangor pula didakwa memperoleh suapan sebanyak RM14,000 sebagai dorongan tidak mengganggu lori kepunyaan atau mempunyai kepentingan dengan pengadu yang keluar dari Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang.

Mohamad Fauzi, 33, dituduh menerima suapan sebanyak RM4,200 daripada ejen pengadu sebagai dorongan tidak mengganggu aktiviti penyeludupan minuman keras dari bulan Jun hingga Ogos lalu di pasar raya besar di Kelana Jaya.

Shamsul Anwar dan Azlee pula menghadapi dua pertuduhan bersama menerima wang suapan berjumlah RM3,000 daripada ejen pengadu pada bulan Julai dan Ogos lalu.

Mohamed Rozlan dan Jamaluddin pula menghadapi dua pertuduhan dan satu pertuduhan menerima suapan masing-masing berjumlah RM1,000.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, seramai lapan pegawai JKDM didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 25 tuduhan rasuah berjumlah RM31,200 bagi melepaskan barang seludup yang tidak diisytiharkan cukai sejak empat tahun lalu.

Lapan pegawai berkenaan ialah Mahadir Mohamad yang menghadapi lima pertuduhan, Kamarul Asmady Ismail (empat), Mohamed Rozlan Ibrahim (dua), T. Som Chit (empat), Jamaludin Zamzam (satu), Amran Ismail (lima) Abdul Rahman Ahmad (dua) dan Sahbandi Abdul Manap @ Asly (dua).

Mohamed Rozlan dan Jamaludin turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Kesemua 14 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Kesemua 14 tertuduh mengaku tidak bersalah.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM5,000 hingga RM25,000 setiap seorang.

Mereka membayar wang jaminan tersebut.

Nombor plat BMW5 dapat bidaan tertinggi


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Pembidaan nombor pendaftaran kenderaan BMW yang sinonim dengan jenama sebuah kenderaan mewah bu­atan Jerman mendapat sambutan luar biasa dan menarik perhatian ramai termasuk kerabat diraja, ahli perniagaan dan bintang sukan.
Keputusan tender nombor plat berkenaan yang diumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Se­langor semalam menunjukkan nombor plat BMW5 memperoleh bidaan tertinggi iaitu RM188,100 oleh seorang kerabat diraja.
Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang baru meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan di Sukan Asia ke-17 juga memenangi nombor plat BMW6 de­ngan nilai bidaan RM97,777.
Dalam pada itu, nombor plat BMW8 dan BMW11 pula mendapat bidaan kedua dan ketiga tertinggi iaitu RM174,776 dan RM166,000. Kedua-dua nombor plat itu dimenangi oleh individu yang sama.

Difahamkan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan ditunggu-tunggu oleh pemilik kenderaan jenawa BMW itu sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah JPJ Selangor, V. Valluvan Veloo berkata, tender nombor plat tersebut yang dibuka pada pertengahan Ogos lalu telah menarik sambutan ramai terutama pemilik kenderaan berjenama mewah berkenaan.

Beliau berkata, nombor plat yang mempunyai satu digit boleh dibida dengan nilai mulai RM10,000 manalaka selebihnya pada kadar bidaan bermula RM300.

"Sebanyak 1,800 nombor pendaftaran kenderaan BMW dari BMW1 hingga yang terakhir BMW9697 telah dibida melibatkan nilai bidaan keseluruhan berjuta ringgit," katanya.

Tuesday, October 7, 2014

Pesta arak cemari bulan haji

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mengecam tindakan kerajaan negeri Selangor membenarkan pesta jualan arak Oktoberfest diadakan di negeri ini sejak bulan lalu tanpa mengira sensitiviti umat Islam.
Menurut mereka, sikap biadab kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat membenarkan promosi pesta anjuran Carlsberg Malaysia itu secara keterlaluan tidak patut berlaku. Oktoberfest merupakan pesta jualan arak yang menjadi tradisi turun-temurun di Jerman dan cuba dikembangkan di negara ini secara terbuka oleh syarikat pengeluar arak ternama itu.
Lebih menyedihkan, kerajaan negeri Selangor memandang sebelah mata terhadap tindakan penganjur menyewa papan iklan gergasi milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Jalan Subang, Seksyen U2 di sini untuk mempromosikan iklan festa tersebut sedangkan majoriti penduduk Shah Alam adalah orang Islam.
Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long berkata, kebenaran bagi pemasangan papan iklan Oktoberfest di sekitar bandar raya Shah Alam seolah-olah menggalakkan orang Islam di Selangor menyertai aktiviti mempromosi minuman keras terbabit.

"Apa yang menyedihkan dan boleh dianggap biadab, pesta itu diadakan pada bulan Zulhijjah ketika umat Islam melaksanakan ibadah haji dan korban.

"Kita tidak ada masalah dengan program itu tetapi biarlah ia diadakan mengikut adab dan menghormati sensitiviti masyarakat majoriti beragama Islam," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rosdi berkata, komitmen kerajaan negeri Selangor yang kini di bawah kepimpinan baharu untuk mempertahankan kesucian agama bakal teruji dengan penganjuran Oktoberfest tersebut.

Menurut beliau, sebagai Menteri Besar Selangor yang baru dilantik, Mohamed Azmin Ali perlu membuktikan ketegasan beliau bagi memelihara dan menjunjung Islam selaku agama rasmi negara ini.

Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Syamzari Mohamed Noh berkata, penganjuran kemuncak Oktoberfest secara terbuka di kawasan tempat letak kenderaan pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya pada Jumaat hingga Ahad ini sebagai melanggar budaya dan tatasusila rakyat negara ini.

"Saya mendesak agar kerajaan negeri Selangor membatalkan kelulusan penganjuran pesta jualan gudang arak tersebut dengan segera,"katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar turut kesal dengan promosi jualan arak secara keterlaluan apatah lagi ia dilakukan di Shah Alam yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Sewaktu Barisan Nasional memerintah dulu, kerajaan negeri tidak pernah membenarkan iklan arak dibuat sesuka hati. Adakah kerajaan negeri Selangor sekarang merestuinya, beri kebenaran dan galak iklan-iklan minuman keras pada papan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Azmin mengarahkan MBSA supaya menurunkan papan iklan gergasi yang dipasang itu dengan seberapa segera.

"Azmin sepatutnya peka mengenai sensitiviti orang Melayu beragama Islam). Beliau tidak perlulah asyik fikir dan cari kesalahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sahaja kerana perkara promosi arak ini berlaku di depan matanya," tegas Noh.

Geng warga Latin tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Sekumpulan penjenayah dari Amerika Latin yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Lembah Klang sejak pertengahan tahun akhirnya tumpas setelah ditahan dalam satu operasi Ahad lalu.

Seramai tujuh anggota geng tersebut yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 43 tahun termasuk seorang wanita berjaya diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Subang Jaya bermula pukul 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, empat lelaki anggota kumpulan berkenaan ditahan dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Subang Avenue.

Menurut beliau, beberapa peralatan pecah rumah dan barangan berharga dipercayai hasil curi ditemui termasuk di dalam dua buah kenderaan Toyota Estima dan Honda City di tempat letak kereta pangsapuri berkenaan.

"Susulan itu, polis berjaya menahan empat ahli kumpulan ini termasuk seorang wanita dalam serbuan kedua di sebuah rumah di USJ 9," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini semalam.

Azisman berkata, pemeriksaan di pangsapuri berkenaan menemui peralatan pecah rumah, antaranya tukul besi, pemutar skru, rantai besi dan tali yang masing-masing mempunyai pencangkuk.

Menurut beliau, barangan berharga seperti komputer riba, telefon bimbit, jam tangan, televisyen dan pelbagai mata wang asing dianggar berjumlah RM200,000 yang dipercayai hasil perbuatan pecah rumah turut berjaya ditemui.

"Siasatan awal mendapati kumpulan pecah rumah berkenaan menyasarkan kawasan perumahan mewah.

"Bagi memastikan rumah sasaran benar-benar tidak berpenghuni pula, mereka menggunakan taktik membaling batu dan membunyikan loceng rumah.

"Ahli wanita kumpulan ini yang berpenampilan menarik turut digunakan sebagai umpan untuk memperdaya pengawal keselamatan bertugas untuk melepasi sekatan," katanya.

Aidiladha disambut penuh syukur

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidiladha diraikan semalam dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam di seluruh negara dengan mengingati semangat pengorbanan yang dituntut oleh ajaran agama Islam.
Seawal pukul 8 pagi, pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di masjid atau surau untuk bertakbir dan menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah.
Kesyukuran menyambut perayaan besar dalam Islam itu turut dimeriahkan dengan ibadah korban melibatkan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Di Alor Setar, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah merupakan antara ribuan umat Islam yang menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir di sini. Turut berangkat, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah yang merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.
Di Shah Alam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Raja Muda, Tengku Amir Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 6,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini. Hadir sama Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Di Kuala Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Di Kuantan, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menyertai kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat sulat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini.

Di Johor Bahru, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim bersama adinda baginda, Tengku Idris Iskandar dan Tunku Abu Bakar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 5,000 umat Islam di Masjid Sultan Abu Bakar di sini. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Di Kuala Pilah, Yang Dipetuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani  Tengku Besar Mahmud berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti di sini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri  Hasan Malek dan kira-kira 2,000 jemaah yang lain.

Monday, October 6, 2014

Ripped Zone tawar ruang gaya hidup sihat

SHAH ALAM - Pusat kecergasan dan gimnasium,  Ripped   Zone  Gym and Fitness ( Ripped   Zone ) menawarkan ruang untuk komuniti bandar raya ini yang sentiasa sibuk dalam urusan seharian untuk bersenam dan menjalani gaya hidup sihat.

Pengurusnya, Muhammad Dhiyaul Islam Rahim berkata,  Ripped   Zone  yang terletak di tingkat empat Wisma Cash Converters, Seksyen 9 di sini berada di lokasi strategik kerana berhampiran pusat komersial, masjid dan pejabat kerajaan.

"Pusat kecergasan dan gimnasium kami dibuka setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam. Kami mahu menggalakkan masyarakat setempat menjalani gaya hidup sihat biarpun sibuk menguruskan kehidupan.

"Mereka boleh singgah untuk bersenam dan melakukan aktiviti fizikal di  Ripped   Zone  selepas waktu bekerja atau setelah selesai membeli-belah," katanya ketika ditemui Kosmo! di gimnasium berkenaan baru-baru ini.

Muhammad Dhiyaul Islam berkata,  Ripped   Zone  dilengkapi pelbagai peralatan senaman kardiovaskular dan angkat beban yang moden dari luar negara.

Menurut beliau, ruang 1,219 meter persegi memberi keselesaan kepada pelanggan selain dilengkapi kemudahan surau, bilik persalinan dan tandas.

"Bayaran kemasukan juga berpatutan iaitu RM5. Kami juga menawarkan kad keahlian RM60 sebulan yang membolehkan pelanggan menggunakan kemudahan di  Ripped   Zone  pada bila-bila masa.

"Sambutan amat menggalakkan sejak pusat kecergasan dan gimnasium ini dibuka hampir sebulan lalu. Buat masa ini, pelanggan yang mendaftar untuk keahlian bulanan akan dikecualikan daripada yuran pendaftaran," katanya.

Muhammad Dhiyaul Islam berkata, pihaknya merancang untuk menyediakan perkhidmatan jurulatih kecergasan peribadi pada masa terdekat bagi meningkatkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Azmin tunjuk belang batalkan dua keputusan Khalid

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang baru sembilan hari menerajui kerajaan negeri mula menunjukkan belangnya apabila bertindak menarik balik dua keputusan yang dibuat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini.

Selain membatalkan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri, Azmin juga bercadang untuk menarik balik kenaikan kadar elaun melibatkan empat jawatan utama iaitu Menteri Besar, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Mohamed Azmin berkata, berdasarkan minit mesyuarat Exco terakhir yang dipengerusikan Abdul Khalid pada 22 September lalu, kerajaan negeri tidak pernah memecat Anwar sebagai Penasihat Ekonomi negeri.

"Setelah meneliti minit mesyurat Exco yang lalu, apa yang diputuskan ialah menutup pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Tidak timbul soal pemecatan Datuk Seri Anwar sebagai Penasihat Ekonomi negeri.

"Kita akan bincang semula fungsi dan peranan Datuk Seri Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Sudah tentulah kemudahan pejabat yang sesuai dengan peranan yang dimainkan akan diberikan kepada beliau," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Azmin semalam turut mengumumkan senarai penuh portfolio bagi barisan pentadbiran baharu negeri itu.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin memberitahu, mesyuarat sulung Exco Selangor juga bersetuju untuk membentangkan usul membatalkan kenaikan elaun bulanan Menteri Besar, Exco-Exco, Speaker dan Timbalan Speaker DUN Selangor pada Sidang DUN negeri pada bulan depan.

Begitupun, beliau memberitahu kenaikan elaun bulanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor sebanyak 87.5 peratus iaitu RM11,250 daripada RM6,000 yang turut sama diluluskan pada November lalu akan dikekalkan.

INFO Portfolio Exco Selangor

1. Mohamed Azmin Ali (PKR)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah, Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Penerangan.

2. Datuk Teng Chang Kim (DAP)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan

3. Iskandar Abdul Samad (Pas)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar

4. Elizabeth Wong Keat Ping (PKR)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna

5. Ean Yong Hian Wah (DAP)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru

6. Dr. Ahmad Yunus Hairi (Pas)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi

7. Dr. Daroyah Alwi (PKR)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga

8. V. Ganabatirau (DAP)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, dan Pekerja Ladang

9. Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi

10. Amirudin Shari (PKR) 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan

11. Zaidy Abdul Talib (Pas)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani

Sunday, October 5, 2014

Guru, tiga rakan diberkas tanam pokok ganja

SHAH ALAM - Empat lelaki termasuk seorang guru sebuah sekolah rendah diberkas ketika sedang khayal selepas mengambil ganja yang ditanam di belakang rumah mereka di Kampung Melayu Sungai Buloh dekat sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 3.30 petang itu, polis turut menjumpai 31 pokok dipercayai ganja berusia tujuh hingga lapan bulan yang ditanam dalam beg plastik berwarna hitam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Md. Tahir Kasim berkata, selain itu, pihaknya turut merampas ganja dalam bentuk daun kering dan biji enih seberat 622 gram.

"Salah seorang suspek kemudiannya menunjukkan tiga ketulan ganja mampat seberat 292 gram yang disimpan di dalam sebuah kereta yang diletakkan di perkarangan rumah terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di sini semalam.

Md. Tahir berkata, kesemua suspek telah ditahan reman tujuh hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mat Sabu masuk hospital kerana denggi

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini kelmarin kerana menghidap demam denggi.

Pembantu Peribadinya, Tajuddin Othman berkata, Mat Sabu dimasukkan ke wad hopsital berkenaan pada tengah malam kelmarin setelah mengalami demam panas sejak beberapa hari lalu.

"Sebaik pulang dari Krabi, Thailand untuk menyampaikan sumbangan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha semalam (kelmarin), beliau telah pergi ke HTAR bagi mendapatkan rawatan berikutan demam panas yang dialami.

"Selepas pemeriksaan, beliau terus dimasukkan ke wad kerana disyaki menghidap demam denggi. Bagaimanapun keadaaannya semakin stabil hari ini (semalam)," katanya kepada Kosmo! semalam.

Friday, October 3, 2014

Pembantu JPAM Hulu Selangor kemuka tuntutan palsu didenda RM5,000

SHAH ALAM - Seorang Pembantu Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Hulu Selangor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan elaun tugas dan perjalanan palsu melibatkan amaun RM3,936 pada tahun lalu.
Mohd. Faizal Zahri, 31, yang mengetuai JPAM Hulu Selangor melakukan kesalahan tersebut dari 5 April hingga 5 Ogos 2013 dengan menggunakan nama ibunya, Hasnah Dollah, 53, yang juga sukarelawan agensi berkenaan.
Hakim Datuk Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman demikian mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. - KOSMO!