Translate

Thursday, September 25, 2014

Azmin Ali MB Selangor ke-15

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan MOHD. AZLI ADLAN 
berita@kosmo.com.my


KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balai Rong Seri, Istana Alam Shah di sini semalam.
Azmin, 50, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah pada pukul 10.45 pagi bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat daripada parti tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut melafazkan 10 Ikrar Aku Janji dengan memegang lembing Sembuana yang bersalut kain kuning pada Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.

Antara kandungan ikrar yang dilafazkan Azmin itu ialah beliau akan memelihara dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara serta memelihara kedaulatan institusi Raja selain mempertahankannya daripada dicemari dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

"Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa yang sama kepentingan sah kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," ikrarnya.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah isteri Azmin, Shamsidar Taharin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Hannah Yeoh.

Empat bekas Exco kerajaan negeri daripada Pas, Dr. Halimah Ali, Sallehin Mukhyi, Iskandar Abdul Samad dan Dr. Ahmad Yunus Hairi turut menghadiri istiadat itu.

Sementara itu, ADUN lain daripada PKR, Pas, DAP dan Barisan Nasional (BN) tidak mendapat undangan untuk menghadiri istiadat tersebut.

Abdul Khalid juga tidak menghadiri majlis tersebut kerana bercuti ke luar negara.

Azmin turut berikrar tidak akan menderhaka kepada Sultan Selangor dan berjanji untuk mematuhi segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh baginda.

Beliau kemudian menandatangani watikah pelantikannya sebagai Menteri Besar baharu yang disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berakhir, Azmin berkata, pemilihan barisan Exco kerajaan Selangor yang baharu akan selesai selewat-lewatnya esok sebelum majlis angkat sumpah jawatan itu berlangsung pada Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment