Translate

Monday, September 29, 2014

Jurujual alat ganti kenderaan maut kemalangan

SHAH ALAM - Seorang jurujual alat ganti kenderaan maut selepas motosikal yang ditunganginya merempuh belakang sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Banting - Pandamaran berhampiran Klinik 1Malaysia Pandamaran, Klang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.40 malam tersebut, J. Selva Nathan, 23, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, selepas merempuh belakang kereta Myvi berwarna putih tersebut, tubuh mangsa telah tercampak ke arah bertentangan sebelum dilanggar pula oleh sebuah kereta Proton Saga BLM dihadapannya.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk dibedah siasat," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - KOSMO!

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan dan lima pegawai hadapi 21 pertuduhan rasuah

SHAH ALAM - Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Isa Endot, 55, dan lima pegawai kanan agensi sama dihadapkan ke Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam atas 21 pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai berjumlah hampir RM40,000.
Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut dari bulan Februari hingga Ogos lalu sebagai dorongan untuk melepaskan aktiviti penyeludupan arak tanpa cukai yang dilakukan seorang pengadu.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.
Noradidah membenarkan Isa dan lima tertuduh lain dibebaskan dengan wang jaminan antara RM8,000 dan RM25,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes pada 30 Oktober depan. - KOSMO!

Sunday, September 28, 2014

Pas terkilan ekoran pengurangan jumlah Exco

KLANG - Pas negeri terkilan dengan pengurangan kouta parti itu dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) kepada tiga wakil berbanding empat sebelum ini.

Bendahari Pas Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, walaupun kurang berpuas hati, mereka akur dengan keputusan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali tersebut kerana telah dipersetujui kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

“Kita (Pas Selangor) terpaksa berpuas hati, saya kira mungkin ada hikmahnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan, ikrar aku janji dan pengurniaan surat cara pelantikan Exco kerajaan negeri yang baru di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini semalam.

Sementara itu di Kuala Berang, Terengganu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengulas berhubung pelantikan Exco kerajaan negeri Selangor yang baharu.

Sabah, Sarawak paling berisiko

KLANG - Sabah dan Sarawak merupakan lokasi berisiko di Asia Tenggara yang menjadi sasaran kumpulan militan Negara Islam (IS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, fakta itu berdasarkan risikan pihak antarabangsa yang didedahkan sebelum ini.
"Risikan (antarabangsa) tidak menolak kemungkinan penularan pengaruh kumpulan militan tersebut di rantau Asia Tenggara akan bermula di selatan Filipina.
"Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari dan kumpulan militan Abu Sayyaf juga secara terbuka mengiktiraf serta menyokong IS," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Klang di sini semalam.

Hishamuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ancaman IS bersifat global dan lebih sukar ditangani berbanding kumpulan-kumpulan militan Islam sebelum ini seperti al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

Beliau berkata, IS memanipulasi teknologi terkini termasuk media sosial untuk meraih simpati dan sokongan serta merekrut anggota militan baru.

Saturday, September 27, 2014

Exco Pas dikurangkan

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali semalam membuat kejutan apabila memilih hanya tiga wakil Pas berbanding empat orang sebelum ini dalam barisan Sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang baharu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan, PKR kini mempunyai empat wakil Exco berbanding tiga orang ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Azmin, 50, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buklt Antarabangsa turut mengekalkan tiga muka lama DAP manakala terdapat tiga muka baharu bagi menggantikan tiga Exco yang digugurkan.
Mereka yang baru dilantik ialah ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ADUN Batu Caves, Amirudin Shari kedua-duanya daripada PKR dan ADUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib daripada Pas.
Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan, PKR sebelum ini memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Muafakat telah dicapai dan ia turut dipersetujui kepimpinan Pas negeri,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Tujuh lagi anggota Exco yang dilantik merupakan mereka yang telah berkhidmat di bawah pentadbiran Abdul Khalid yang meletakkan jawatan itu pada Selasa lalu.

Sultan Selangor kemudian memperkenan pelantikan itu pada majlis yang diadakan di Istana Alam Shah, Klang dekat sini.

Azmin menafikan perubahan komposisi tersebut sebagai tindak balas terhadap tindakan keempat-empat Exco Pas terbabit yang enggan menyokong pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR memberitahu, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira perkembangan terbaru dan pandangan ketiga-tiga yang menganggotai pakatan pembangkang.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad (Chempaka) dan Bendahari Pas negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dikekalkan dalam barisan Exco itu.

Dua wakil Pas yang digugurkan ialah ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali yang memegang portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan dan ADUN Sabak, Sallehin Mukhyi (Hal Ehwal Agama Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa).

Berikutan pengguguran Sallehin, timbul persoalan siapa yang akan memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam yang biasanya disandang oleh wakil dari Pas memandangkan ketiga-tiga Exco yang dilantik bukan golongan ulama.

Tiga Exco dari DAP yang pernah dipecat Abdul Khalid pada 13 Ogos lalu turut dikekalkan oleh Azmin ialah ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) dan V. Ganabatirau (Kota Alam Shah).

Dua lagi ADUN PKR yang kembali menduduki jawatan Exco ialah  Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan) dan Sementa, Daroyah Alwi (Sementa).

Pas dan DAP mempunyai 15 kerusi di dalam DUN berbanding PKR (13), Barisan Nasional (12) dan Bebas (1).

Sultan sifatkan Langkah Kajang PKR cetus krisis politik di Selangor

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam melahirkan kekecewaan ke atas Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang menjadi punca berlakunya pergolakan politik di negeri itu.
Baginda bertitah, pergolakan dalam Pakatan Rakyat bermula dengan Langkah Kajang yang menjadi titik permulaan kepada usaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.
Titah baginda, hasutan serta tohmahan yang timbul terhadap Abdul Khalid berterusan walaupun semasa bulan Ramadan ketika umat Islam sepatutnya melakukan ibadah dan kerja-kerja amal yang diredai oleh Allah SWT untuk membersihkan dosa serta maksiat.
"PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor," titah baginda pada Istiadat Angkat Sumpah, Ikrar Aku Janji dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baharu di Istana Alam Shah di sini semalam.

Baginda bertitah,rakyat yang tidak diberi kefahaman akan  fungsi sebenar Sultan dan hanya beranggapan institusi raja  itu adalah sebagai lambang tanpa mempunyai apa-apa  peranan dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Un dang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan orang Melayu  Islam agar tidak berpecah-belah serta menjadi ekstrimis  atau mengelirukan rakyat sehingga mengikut ajaran agama  sesat.

“Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak,  mencaci antara satu sama lain sehingga meruntuhkan  kemuafakatan orang Melayu yang mana Beta khuatir suatu  hari kelak jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan  menuju kehancuran,” titah baginda.

Friday, September 26, 2014

10 Exco Selangor selesai angkat sumpah

KLANG - Kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini pada pukul 4.35 petang ini.
Mereka didahului Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim dari DAP.
Exco negeri lain yang turut mengangkat sumpah ialah ADUN Cempaka, Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Zaidy Abdul Talib (Taman Templer) dari Pas.
Selain itu, empat ADUN PKR iaitu Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr. Daroyah Alwi (Sementa), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) dan Amirudin Shari (Batu Caves) serta dua ADUN DAP iaitu Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) dan V. Ganabatirau (Kota Alam Shah) juga mengangkat sumpah sebagai Ahli MKKN.
Kesemua mereka memegang lembing Sembuana semasa membacakan angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji di hadapan Sultan Sharafuddin Idris. - KOSMO!

Komposisi Pas dalam MKKN Selangor dikurangkan

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengekalkan tujuh Exco kerajaan negeri terdahulu dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) baharu yang akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Alam Shah, Klang dekat sini pada pukul 3 petang ini.
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan (Elizabeth Wong) dan Dr. Daroyah Ali (Sementa) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) dan V. Ganabatirau (Kota Alam Shah) dari DAP, Iskandar Abdul Samad (Cempaka) dan Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dari Pas.
Mohamed Azmin memberitahu tiga muka baru yang akan dilantik ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) dan Amirudin Shari (Batu Caves) dari PKR serta Zaidy Abdul Talib (Taman Templer) dari Pas.
"Komposisi barisan Exco bertukar dengan empat dari PKR manakala DAP dan Pas masing-masing tiga.
"Jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang dikosongkan Nik Nazmi akan diserahkan kepada wakil dari Pas," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Thursday, September 25, 2014

Azmin Ali MB Selangor ke-15

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan MOHD. AZLI ADLAN 
berita@kosmo.com.my


KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balai Rong Seri, Istana Alam Shah di sini semalam.
Azmin, 50, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah pada pukul 10.45 pagi bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat daripada parti tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut melafazkan 10 Ikrar Aku Janji dengan memegang lembing Sembuana yang bersalut kain kuning pada Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.

Antara kandungan ikrar yang dilafazkan Azmin itu ialah beliau akan memelihara dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara serta memelihara kedaulatan institusi Raja selain mempertahankannya daripada dicemari dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

"Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa yang sama kepentingan sah kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," ikrarnya.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah isteri Azmin, Shamsidar Taharin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Hannah Yeoh.

Empat bekas Exco kerajaan negeri daripada Pas, Dr. Halimah Ali, Sallehin Mukhyi, Iskandar Abdul Samad dan Dr. Ahmad Yunus Hairi turut menghadiri istiadat itu.

Sementara itu, ADUN lain daripada PKR, Pas, DAP dan Barisan Nasional (BN) tidak mendapat undangan untuk menghadiri istiadat tersebut.

Abdul Khalid juga tidak menghadiri majlis tersebut kerana bercuti ke luar negara.

Azmin turut berikrar tidak akan menderhaka kepada Sultan Selangor dan berjanji untuk mematuhi segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh baginda.

Beliau kemudian menandatangani watikah pelantikannya sebagai Menteri Besar baharu yang disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berakhir, Azmin berkata, pemilihan barisan Exco kerajaan Selangor yang baharu akan selesai selewat-lewatnya esok sebelum majlis angkat sumpah jawatan itu berlangsung pada Jumaat ini.

Tuesday, September 23, 2014

Khalid tak hadir majlis angkat sumpah MB

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul  Khalid   Ibrahim  dijangka tidak menghadiri majlis angkat sumpah  Menteri   Besar  Selangor baharu yang dijadual berlangsung di Istana Alam Shah, Klang dekat sini hari ini.

Sebaliknya, Abdul  Khalid  yang secara rasmi menamatkan tugas sebagai  Menteri   Besar  Selangor semalam memberitahu, beliau akan memulakan percutian selama sebulan di Australia.

"Saya bercadang untuk bercuti ke Australia. Rakan-rakan di negara itu telah menunggu saya," kata beliau pada majlis perpisahannya sebagai  Menteri   Besar  Selangor ke-14 di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Lebih 1,000 penjawat awam termasuk tiga Exco negeri daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Yunus Hairi dan Dr. Halimah Ali serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi  hadir  pada majlis tersebut.

Abdul  Khalid  menyifatkan beliau sebagai seorang yang bertuah kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk melakukan tugas sebagai  Menteri   Besar  Selangor dengan amanah dan bertanggungjawab dalam tempoh enam tahun.

"Saya rasa terharu kerana terlalu ramai mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih. Saya terima yang terima kasih, selamat tinggal itu belum lagi sebab saya masih hendak tinggal di Selangor," katanya berseloroh.

Dalam perkembangan lain, Abdul  Khalid  berkata, beliau akan memikirkan semula kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang menjelang Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada bulan depan.

Bagaimanapun, bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pula Abdul  Khalid  memberitahu, beliau akan tetap mempertahankan kedudukan itu dengan berkhidmat di kawasan tersebut sehingga Pilihan Raya Umum ke-14.

Terdahulu Abdul  Khalid  yang tiba di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) kira-kira pukul 9 pagi kelihatan ceria sambil menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar yang merakamkan wajahnya.

Abdul  Khalid  kemudian mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri buat kali terakhir sebagai  Menteri   Besar  Selangor sebelum  hadir majlis perpisahannya.

Difahamkan Abdul  Khalid  telah mengosongkan pejabatnya sejak kelmarin.

Azmin Menteri Besar Selangor

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI 
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Kemelut politik Selangor yang sudah berlarutan dua bulan lalu bakal berakhir selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar baharu negeri itu.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Mohamed Azmin, 50, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Istana Alam Shah, Klang dekat sini pada pukul 10.30 pagi ini.
“Sukacita dimaklumkan Sultan Selangor telah berkenan melantik Mohamed Azmin untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor berkuat kuasa 23 September 2014.
“Beliau (Mohamed Azmin) diminta hadir ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Ikrar Aku Janji dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor yang akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang,” kata Mohamad Munir dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi Istana Alam Shah semalam.
Mohamed Azmin menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang terpaksa melepaskan jawatan itu selepas hilang kepercayaan majoriti ADUN Selangor ekoran dipecat keahlian oleh PKR pada 9 Ogos lalu.

Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang turut dipecat selepas beliau enggan mematuhi arahan parti supaya mengosongkan jawatan  Menteri  Besar  bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mohamed  Azmin  merupakan lulusan ijazah sarjana muda matematik dan ekonomi dari University of Minnesota, Amerika Syarika.Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1990-an yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana  Menteri. 

Selain Mohamed  Azmin, dua Exco negeri daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad dan Dr. Ahmad Yunus Hairi turut disenarai pendek sebagai calon  Menteri Besar Selangor yang baharu.

Iskandar merupakan Pesuruhjaya Pas negeri manakala Ahmad Yunus pula Bendahari Pas negeri.

Sementara itu, Mohamed  Azmin  mengesahkan beliau telah menerima surat daripada Sultan Selangor yang memperkenan pelantikannya sebagai  Menteri   Besar  Selangor baharu pada pukul 3 petang semalam.

"Saya bersyukur kerana telah menerima surat daripada Sultan Selangor yang memperkenankan pelantikan saya," kata beliau selepas hadir pada Mesyuarat Biro Politik Tergempar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dekat sini semalam.

Turut hadir Penasihat PKR, Anwar dan isteri Wan Azizah.

Anwar enggan memberi komen mengenai pelantikan Mohamed  Azmin .

Dalam pada itu, Wan Azizah dalam satu kenyataan pula berkata, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan yang dibuat Sultan Selangor.

Monday, September 22, 2014

Mohamed Azmin Menteri Besar Selangor baharu

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Ahli Dewan Undangan Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang baharu.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar negeri ke-15 di Istana Alam Shah, Klang dekat sini esok.
"Istiadat angkat sumpah, ikrar aku janji dan pengurniaan surat cara pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor akan diadakan pada pukul 10.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Istana Alam Shah hari ini. - KOSMO!

Bersatu rampas semula tampuk pemerintahan Selangor

KUALA SELANGOR - UMNO  Selangor  diminta agar bersatu dan merapatkan lagi barisan bagi memudahkan usaha untuk merampas semula tampuk pemerintahan kerajaan negeri yang telah terlepas sejak tahun 2008.
Naib Presiden UMNO , Datuk Seri  Hishamuddin  Tun Hussein (gambar) berkata, krisis Menteri Besar  selangor  yang berlaku pada masa ini telah membuktikan pakatan pembangkang yang dibarisi Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Pas bukanlah pemerintah yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN )seperti dicanang sebelum ini.

"Apa yang melanda  Selangor  pada waktu ini menunjukkan mereka (pakatan pembangkang) bukanlah lebih baik daripada kita (BN). Apa yang mereka (pakatan pembangkang) dakwa kononnya hebat sangat dan kita (BN) sangat teruk, jelas terbukti tiada asas," katanya selepas merasmikan Persidangan  UMNO  Bahagian  Kuala   Selangor  di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen  Kuala   Selangor , Datuk Irmohizam Ibrahim.

Sehubungan itu,  Hishamuddin  menyeru agar kepimpinan  UMNO   Selangor  tidak terlalu bersikap defensif dan apologetik sebaliknya terus fokus untuk merangka strategik ampuh untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

Beliau berkata, ahli di peringkat akar umbi pula perlu memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti kerana terbukti  UMNO  tidak pernah tergamak untuk menggadaikan tonggak asas pembinaan negara ini seperti menjunjung tinggi institusi beraja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

"Rakyat sedang menilai. Mereka nampak orang yang dahulunya menuduh  UMNO  mengamalkan kronisme dan nepotisme kini hendak meletakkan isterinya sendiri sebagai Menteri Besar.

"Musuh sebenar  UMNO  bukan di dalam tetapi di luar. Beri kepercayaan kepada pemimpin dan tetap fokus untuk merampas kembali  Selangor  pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sunday, September 14, 2014

Artis rogol anak tiri kekal dijel 20 tahun, 10 sebatan

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak rayuan bekas ahli kumpulan nyanyian popular pertengahan 2000 untuk mengurangkan sabitan terhadap kesalahan merogol anak tirinya berusia 14 tahun pada dua tahun lalu.

Hakim Nurchaya Arshad mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kajang dekat sini setahun lalu kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan telah meninggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa.

“Rogol bukan hanya koyakan tetapi meninggalkan trauma sepanjang hayat kepada mangsa yang masih remaja. Kita pasti tak mahu perkara tersebut terjadi kepada kakak, adik dan anak perempuan sendiri.

“Awak (tertuduh) sebagai orang dewasa sepatutnya menjaga dan melindungi anak walaupun anak tiri sebaik mengahwini ibunya,” katanya.

Nurchaya memerintahkan hukuman penjara dan sebatan tersebut tersebut yang ditangguhkan sebelum ini dengan jaminan sebanyak RM80,000 dilaksanakan mulai semalam.

Tertuduh, 39, yang telah bercerai dengan ibu mangsa selepas kejadian itu kelihatan menangis sejurus keputusan penghakiman selesai dibacakan.

Mahkamah Sesyen Kajang pada 6 September 2003 memutuskan lelaki terbabit yang telah bertukar profesion sebagai guru vokal bersalah merogol anak tiri perempuannya kini berusia 16 tahun di rumah mereka di Taman Gombak Jaya, Gombak dekat sini pada pukul 9 pagi, 9 Februari 2012.

Saturday, September 13, 2014

Westports lancar Dermaga Tujuh

SEJARAH. Pengendali Pelabuhan Barat, Westports (M) Sdn. Bhd. telah melancarkan dermaga baharu, Dermaga Tujuh yang mampu mengendalikan tambahan 19,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) kontena kelmarin.

Dermaga baharu itu bertujuan untuk membolehkan pelaburan mencapai sasaran pengendalian kontena sehingga lapan juta TEU pada tahun ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Pelabuhan Barat, Pulau Indah dan  turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Westports, G. Ruben Emir.

Dermaga itu juga dibina untuk kontena dari kapal dagang dari China dan ia dilengkapi dengan empat kren yang mampu mengendalikan kontena dari kapal dagang setinggi 52 meter iaitu yang terpanjang di dunia.

Pelabuhan Barat yang merupakan sebahagian daripada terminal pelabuhan di Pelabuhan Klang selain Pelabuhan Utara telah berkembang pesat sejak mula beroperasi pada 20 tahun lalu.

Jurujual dituduh cuba rogol pelajar


SHAH ALAM - Seorang jurujual kenderaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan cuba merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan menyamun seorang wanita Ahad lalu.

Feezree Ferdause, 22, turut menghadapi satu pertuduhan menyamun mangsa di tempat letak kereta Blok C, Pangsapuri Servis Brunsfield dari pukul 6 pagi hingga 6.35 pagi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berasal dari Seksyen 24 di sini didakwa telah menyamun sebuah telefon bimbit jenama Samsung S3 milik mangsa yang berusia 23 tahun di tempat letak kereta pangsapuri servis berkenaan.

Lelaki terbabit yang sudah bertunang dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Feezree didakwa kemudiannya cuba merogol pelajar institusi pengajian tinggi awam tersebut dan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan.

Selain itu, Feezree didakwa melakukan persetubuhan luar tabii.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 327C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara antara lima hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Feezree yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Slamat menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan kes disebut semula pada 10 Oktober depan.

Wakil tertuduh dilihat membayar jaminan itu.

Friday, September 12, 2014

Bekas ahli kumpulan nyanyian popular rogol anak tiri kekal dipenjara 20 tahun, 10 sebatan

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang bekas ahli kumpulan nyanyian popular pertengahan tahun 2000 atas kesalahan merogol anak tiri berusia 14 tahun di rumah mereka di Gombak dekat sini pada dua tahun lalu.
Hakim Datuk Nurchaya Arsad menolak permohonan tertuduh menerusi peguam bela, Azmi Talib bagi merayu pengurangan hukuman yang telah disabitkan di Mahkamah Sesyen Kajang tahun lalu kerana kesalahan dilakukan berat dan telah menyebabkan trauma berpanjangan kepada mangsa.
Sebelum ini, Hakim Nor Hazani Hamzah pada 6 September 2013 telah memutuskan tertuduh berusia 39 tahun itu bersalah merogol anak tiri perempuannya selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut. - KOSMO!

Jurujual mengaku tidak bersalah cubaan merogol dan persetubuhan luar tabii

SHAH ALAM - Seorang jurujual kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuba merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii iaitu memasukkan alat kemaluannya ke dalam mulut seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tanpa kerelaannya di Seksyen 13 di sini, Ahad lalu.
Tertuduh, Feezree Ferdause, 22, yang sudah mengikat tali pertunangan dengan gadis lain juga mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan menyamun mangsa yang sama di tempat letak kereta Blok C, Pang sapuri Servis Brunsfield dari pukul 6 pagi hingga 6.35 pagi. - KOSMO!

Thursday, September 11, 2014

Penceramah bebas didakwa hina Sultan Selangor

SHAH ALAM - Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dua tahun lalu.
Wan Ji, 32, yang merupakan ahli Pas didakwa memuat naik enam status yang menghasut dan menghina Sultan Selangor di laman sosial Facebook miliknya pada pukul 10 pagi, 5 November 2012.
Kesemua status yang dimuat naik itu menyentuh rasa tidak puas hati tertuduh terhadap titah baginda yang mengingatkan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya tidak terpengaruh dengan kebebasan bersuara diperjuangkan golongan yang mementingkan ideologi politik.
Wan Ji dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang terletak di tingkat lima Bangunan Sultan Salahuddin Aziz Shah di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000, bagi kesalahan pertama manakala penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan seterusnya jika sabit kesalahan.
Dia yang diwakili peguam bela, Mohd. Radzlan Jalaudin membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azhari Harun mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 namun Mohd. Radzlan memohon pengurangan kerana keluarga tertuduh hanya mampu membayar RM2,000 sahaja.
Mohd. Radzlan juga memberitahu mahkamah, Wan Ji yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Selangor mempunyai empat anak dan isterinya pula bekerja sebagai guru tadika.
Slamat kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 10 Oktober depan.
Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.
Sebelum itu, Wan Ji yang telah dikenakan waran tangkap ditahan polis di hadapan sebuah restoran di Sungai Buloh, Selangor pada pukul 1.30 pagi semalam.

Wednesday, September 10, 2014

Sindiket curi kenderaan guna gajet canggih tumpas

SHAH ALAM - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang selepas menahan salah seorang anggota sindiket tersebut di Alam Budiman di sini, Khamis lalu.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 18 kes mencuri kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit sejak lebih dua tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek berusia 30-an itu berjaya diberkas ketika sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard dalam keadaan mencurigakan pada pukul 5 petang, 4 September lalu.

Menurutnya, susulan penahanan lelaki itu, pemeriksaan di dalam rumah lelaki itu di Alam Budiman menjumpai beberapa peralatan mencuri kenderaan seperti sepana, gajet menyahfungsi sistem penggera kenderaan dan sistem kedudukan global (GPS).

"Kad pengenalan dan kad transit pintar Smart Tag dipercayai milik mangsa, nombor plat dan cukai jalan palsu, mesin membuat kunci pendua dan 100 kunci kereta pendua turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Adnan berkata, empat buah kenderaan mewah iaitu dua Toyota Estima, sebuah Toyota Alphard dan sebuah Toyota Lexus yang masing-masing dilaporkan hilang di Puchong, Kota Damansara dan Brickfield dari 17 Februari hingga 4 September lalu juga ditemui semula.

Menurut beliau, modus operandi sindiket berkenaan ialah mengekori mangsa yang sedang memandu kenderaan mewah sasaran sehingga ke tempat letak kereta.

"Frekuensi sistem penggera kenderaan terbabit akan digodam sehingga mangsa gagal menggunakan sistem penggera lalu terpaksa mengunci kenderaan secara manual.

"Selepas mangsa meninggalkan kenderaan, anggota sindiket yang biasanya terdiri daripada tiga orang akan membuat kunci pendua dan sistem penggera baharu sebelum melarikan kenderaan tersebut," katanya.

Adnan memberitahu, gajet menyahfungsi GPS juga akan diaktifkan bagi memastikan kenderaan yang dicuri gagal dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, selain menggunakan nombor plat dan pelekat cukai jalan palsu, sindiket terbabit juga menukar nombor casis enjin kenderaan berkenaan dengan menggunakan teknik khas sebelum menjualnya di luar negara menerusi pasaran gelap.

Penceramah bebas, Wan Ji mengaku tidak bersalah hina Sultan Selangor

SHAH ALAM - Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dua tahun lalu.
Wan Ji, 32, yang merupakan ahli Pas dituduh memuat naik enam status yang menghasut dan menghina Sultan Selangor di laman sosial, Facebook miliknya pada pukul 10 pagi, 5 November 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.
Hakim Slamat Yahya menetapkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Oktober depan. - KOSMO!

Tuesday, September 9, 2014

Sindiket curi kenderaan mewah tumpas

SHAH ALAM - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit selepas menahan seorang anggota sindiket itu di Alam Budiman di sini Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Adnan Abdullah berkata, sindiket yang bergiat aktif sejak tiga tahun lalu itu biasanya menyasarkan kenderaan jenis Toyota Estima, Toyota Alphard dan Toyota Lexus.
Menurut beliau, kumpulan sindiket itu dilihat dilengkapi dengan pelbagai peralatan mencuri kenderaan canggih termasuk mempunyai gajet menyahfungsi sistem penggera kenderaan dan sistem kedudukan global.
"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan terlibat dalam sekurang-kurangnya 18 kes curi kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Sunday, September 7, 2014

Pas Selangor sedia pikul jawatan Menteri Besar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Kepimpinan Pas Selangor bersedia untuk memikul tanggungjawab sekiranya salah seorang daripada wakil rakyat dari parti itu diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menjadi Menteri Besar yang baharu.

Bendahari Pas negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, meskipun tidak terlibat dalam urusan pencalonan tersebut, pihaknya bersedia untuk menghadapi sebarang keputusan oleh pihak Istana Selangor.

“Kalau itu yang dipertanggungjawabkan, Pas negeri akan menerimanya (jawatan Menteri Besar Selangor). Siapa-siapa pun yang diberi tanggungjawab, kena terima,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Yunus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri tidak dapat mengesahkan identiti sebenar wakil rakyat Pas negeri yang telah dihantar namanya kepada Istana Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata itu berkata, pencalonan tersebut dilakukan sepenuhnya oleh Pas Pusat.

Kosmo! semalam melaporkan Pas telah menghantar tiga nama kepada Istana Selangor dengan salah satu merupakan nama wakil rakyat daripada parti itu sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali yang mengesahkan perkara itu tidak menyebut nama ketiga-tiga ADUN Selangor berkenaan.

Sebelum itu, Pesuruhajaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad turut disebut-sebut berkelayakan dicalonkan sebagai Menteri Besar selain seorang lagi Exco dari Pas, Sallehen Mukhyi.

Saturday, September 6, 2014

Suami isteri kes bunuh anak kejutkan mahkamah

KLANG - Seorang ibu muda yang berdepan pertuduhan bersama suaminya menyebabkan kematian bayi lelaki mereka tiba-tiba naik angin lalu cuba menyerang lelaki itu di kandang pesalah Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Sambil berlinangan air mata, remaja berusia 15 tahun itu menuduh suaminya punca kematian bayi mereka yang berusia 15 bulan pada Ahad lalu.

Dia yang tidak bekerja dan suaminya, Johari Yusof, 33, seorang jurujual berkahwin lebih setahun lalu.

"Kau bunuh aku aku," jeritnya menghayunkan kedua-dua tangan untuk memukul tubuh suaminua tetapi sempat menghalang anggota polis dan ditenangkan keluarganya.

Remaja itu merupakan tertuduh kedua dalam kes tersebut manakala Johari yang juga tertuduh pertama hanya mendiamkan diri di kandang pesalah.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh tersebut membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian seorang bayi lelaki, Abdul Rahman Abdullah di Taman Klang Utama, Meru di sini pada pukul 6.30 petang, 24 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Mohd. Noor tidak menawarkan sebagai jaminan dengan alasan jenayah yang dilakukan tertuduh adalah kejam.

Tasnim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 7 Oktober depan.

Friday, September 5, 2014

Pertahan Raja Perlembagaan

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul  Khalid  Ibrahim mengingatkan masyarakat khususnya rakyat di negeri itu agar sentiasa berpegang teguh kepada institusi Raja Berperlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Beliau berkata, penduduk Selangor sepatutnya berasa bertuah kerana dipayungi oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah yang prihatin dan bijaksana serta mesra dengan rakyat jelata.

"Kita perlu menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 termasuk menghormati pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, adil dan berintegriti.

"Saya perlu menyentuh hal ini kerana akhir-akhir ini terdapat pihak tertentu menggunakan media sosial untuk mempersoalkan hak mutlak Sultan Selangor dan Raja-Raja Melayu," katanya pada sambutan Ambang Hari  Kemerdekaan  ke-57 di  Dataran   Kemerdekaan  di sini kelmarin.

Seramai 10,000 orang membanjiri lokasi itu untuk menyaksikan sambutan berkenaan yang melibatkan perbarisan oleh 52 kontinjen daripada agensi kerajaan negeri dan swasta.

Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah bunuh anak

KLANG - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian bayi mereka pada 24 Ogos lalu.
Johari Yusof, 33, dan isterinya yang berusia 15 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar. - KOSMO!