Translate

Tuesday, August 5, 2014

Mati ditembak ketika serang polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Seorang anggota kumpulan samun bersenjata dan curi kenderaan maut ditembak ketika cuba menyerang anggota polis dengan parang di Taman Medan, Petaling Jaya semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, lelaki tersebut bersama seorang lagi suspek yang sebelum itu cuba menyamun seorang lelaki di tepi Jalan PJS1/27, Taman Medan mahu melarikan diri daripada kepungan polis.
Dua jam sebelum itu, seorang lagi anggota geng samun berkenaan turut berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di taman perumahan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, sewaktu kejadian, suspek yang ditembak mati dan rakannya menaiki kenderaan pelbagai guna mewah, Toyota Alphard yang dipercayai disamun daripada seorang peniaga berusia 49 tahun di jhadapan sebuah sekolah di Bandar Wawasan, Puchong dekat sini pada Jumaat lalu.

“Kedua-dua suspek yang berjaya dikesan berada di belakang sebuah restoran di Jalan PJS3/36, Taman Medan enggan berhenti apabila diperiksa anggota polis sebaliknya memecut laju sehinggalah berjaya dipintas di perkarangan sebuah kilang berhampiran.

“Salah seorang meluru keluar dari kenderaan lalu cuba menetak salah seorang anggota polis dengan parang hingga memaksa satu das tembakan dilepaskan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor di sini semalam.

Mohd. Adnan berkata, suspek yang masih belum dikenalpasti identiti itu maut di tempat kejadian sementara seorang lagi suspek berjaya melepaskan diri.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam kenderaan Toyota Alphard menemui beberapa senjata yang dipercayai digunakan untuk aktiviti samun iaitu pisau dan parang.

“Seorang lelaki berusia 20 tahun yang dipercayai anggota geng samun tersebut berjaya diberkas di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian pada pukul 3 pagi berdasarkan petunjuk sebuah kereta Perodua Myvi yang ditinggalkan kumpulan penjenayah itu ketika melarikan Toyota Alphard di Puchong pada 1 Ogos lalu.

“Serbuan turut merampas beberapa kad kredit, kad  mesin teler automatik (ATM), kad pengenalan, cukai jalan dan lesen pemandu dipercayai milik mangsa yang pernah disamun kumpulan tersebut,” katanya.

Mohd. Adnan berkata, siasatan awal juga mendapati Perodua Myvi terbabit merupakan kereta yang dilarikan dalam kejadian samun di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 19 Julai lalu.

Beliau memberitahu, geng jenayah tersebut terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes samun bersenjata dan curi kereta iaitu di Sungai  Besi, Puchong, Brickfield, Sungai Way , Taman Medan sejak awal tahun ini.

“Ketiga-tiga suspek yang biasanya bersenjatakan pisau dan parang itu agak ganas kerana telah mencederakan sebahagian mangsa sebelum ini.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan gerakan memburu seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya.

Mohd. Adnan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 akta sama kerana menyamun yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment