Translate

Tuesday, August 26, 2014

Masa depan Khalid diketahui hari ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan IKHWAN HAZWAN HAMIDUN
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bakal diketahui hari ini selepas beliau mendapat perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pukul 2.30 petang ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang berkata, pertemuan bagi menjelaskan perkembangan terkini krisis Menteri Besar itu akan berlangsung di Istana Kayangan, Seksyen 12 di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan tiga exco negeri daripada Pas iaitu Sallehen Mukhyi, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Dr. Halimah Ali.

Pada masa ini,  Abdul   Khalid  dianggap kehilangan sokongan majoriti selepas 30 ADUN pakatan pembangkang termasuk dua wakil rakyat Pas menyokong pencalonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Terdahulu dalam ucapannya,  Abdul   Khalid  memberi gambaran seolah-olah perkhidmatannya sebagai Menteri Besar bakal berakhir dalam masa terdekat apabila meminta penjawat awam negeri itu meneruskan legasi yang akan ditinggalkannya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, perbalahan Pas dengan PKR mengenai kedudukan MB Selangor dilihat semakin ketara apabila Pas semalam mengesahkan 13 ADUN parti tersebut tidak akan menandatangani akuan bersumpah bagi menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Sebaliknya, parti Islam itu menyerahkan kepada perkenan serta kebijaksanaan Sultan Selangor dalam menentukan siapa yang layak menduduki jawatan tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, walaupun parti itu bersetuju dengan pencalonan Wan Azizah, namun wakil rakyatnya di Selangor tidak akan menandatangani akuan bersumpah tersebut.

Menurutnya, perkara tersebut ada disebut dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat semalam, tetapi perkara itu tidak lagi berbangkit pada penghujung mesyuarat.

"Apabila perkara tersebut sudah tidak berbangkit, maka ia bermakna akuan bersumpah tersebut tidak akan ditandatangani," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas AJK Pas Pusat di ibu pejabat parti itu di ibu negara semalam.

No comments:

Post a Comment