Translate

Sunday, August 24, 2014

Khalid teliti, bertanggungjawab

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Exco Selangor daripada Pas, Dr.  Halimah   Ali  menolak dakwaan yang mengatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul  Khalid   Ibrahim  sering bertindak bersendirian dalam memutuskan dasar-dasar kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri itu berkata, Abdul  Khalid  sentiasa merujuk kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum membuat sebarang keputusan terutama melibatkan dasar besar pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Berdasarkan pengalaman saya, beliau (Abdul  Khalid ) sangat teliti dan tidak pernah terburu-buru membuat sebarang keputusan.

"Kebanyakan keputusan besar dibuat kerajaan negeri termasuk perjanjian penyelesaian air jangka panjang yang ditandatangani bersama kerajaan Persekutuan baru-baru ini dibincangkan di dalam mesyuarat Exco mingguan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Terdahulu beliau memperkenalkan pelajar Kolej Antarabangsa Inspens, Nursyazwani Amirah Sumali yang mewakili negara dalam pertandingan Kemahiran Asia Tenggara bagi kategori Dandanan Rambut pada 19 hingga 29 Oktober depan di Hanoi, Vietnam.
 Halimah  mengulas dakwaan yang ditimbulkan segelintir pemimpin pakatan pembangkang mengenai kepimpinan Abdul  Khalid  yang menjadi antara alasan untuk menyingkirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Selat Klang mengakui Abdul  Khalid  amat berhati-hati dan berjimat cermat terutama melibat peruntukan kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment