Translate

Tuesday, August 12, 2014

Exco Selangor: Chang Kim teruskan kerja, Elizabeth membisu

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Cheng Kim dari DAP akan meneruskan tugas sebagai Exco Selangor biarpun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini menjadi wakil rakyat Bebas.
Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang arahan daripada parti mahupun Abdul Khalid untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Exco.
"Saya dibayar gaji sebagai Exco oleh kerajaan negeri Selangor.
"Saya tiada masalah bekerja dengan Menteri Besar (Abdul Khalid), saya buat kerja sebagai Exco, beliau sebagai Menteri Besar," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.
Begitupun Cheng Kim memberitahu, secara dasarnya beliau akur dengan keputusan kepimpinan DAP Pusat yang enggan menyokong kepimpinan Abdul Khalid selepas ADUN Pelabuhan Klang itu dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat Sabtu lalu.
"Tetapi tiada lagi arahan daripada parti untuk saya meletakkan jawatan sebagai Exco negeri," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong enggan mengulas kedudukannya dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor.
ADUN Bukit Lanjan dari PKR itu memilih pendekatan berdiam diri apabila ditemui pemberita sebelum itu.
Walaupun diasak pertanyaan berhubung isu itu oleh pengamal media, beliau membisu seribu bahasa dan terus memasuki kenderaan rasminya yang sedia menunggu di perkarangan bangunan SUK. - KOSMO!

No comments:

Post a Comment