Translate

Thursday, August 14, 2014

5 Exco diarah kosongkan pejabat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN  dan KHAIRI MOHAMAD
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Lima Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat kelmarin diarahkan mengosongkan pejabat masing-masing dalam tempoh dua minggu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP dan dua daripada PKR itu sudah hilang kelayakan sebagai Exco selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan ke atas pemecatan mereka.
“Saya tidak mengarahkan mereka mengosongkan pejabat segera. Biasanya kita beri tempoh antara seminggu dan dua minggu.
“Namun, saya dimaklumkan, sekurang-kurangnya dua pejabat Exco terbabit telah dikosongkan sejak Ahad lalu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah empat Exco daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Dr. Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi.
Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid mengesahkan Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan terhadap pemecatan lima Exco terbabit iaitu Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP serta Dr. Daroyah Alwi dan Elizabeth Wong daripada PKR pukul 4 petang kelmarin.
Menurut Khalid, beliau telah memohon perkenan untuk memecat kesemua Exco terbabit melalui surat kepada baginda menerusi Istana Alam Shah, Klang pada pukul 2 petang kelmarin.
“Saya pohon perkenan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah agar kesemua Exco itu dipecat sebaik sahaja mengetahui mereka membuat kenyataan bersama enggan mengakui kepimpinan saya dan mendesak keputusan MMKN dilakukan secara undian.
“Baginda membalas surat saya secara bertulis dua jam kemudian dan memberi perkenan serta tidak memberi halangan sekiranya Menteri Besar menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya.

Berkenaan nasib seorang lagi  Exco  daripada PKR, Rodziah Ismail, Abdul  Khalid  menjelaskan, kedudukan ADUN Batu Tiga tersebut akan diputuskan selepas beliau pulang dari luar negara.

Beliau berkata, Rodziah akan dikekalkan sebagai  Exco  sekiranya beliau yang memegang portfolio Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita mahu bekerjasama dengan beliau.

"Tetapi jika sebaliknya, jawatan beliau sebagai  Exco  kerajaan negeri juga akan ditamatkan," katanya.

Begitupun, Abdul  Khalid  mengakui telah mengadakan pertemuan dengan Rodziah sebelum Timbalan Ketua Wanita PKR itu berlepas ke luar negara, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

Ditanya mengenai status Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi  Selangor  dan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi  Selangor  (MTES) hari ini.

Abdul  Khalid  turut mengalu-alukan kehadiran lima bekas ahli  Exco  terbabit pada mesyuarat MTES hari ini bagi membincangkan isu pentadbiran negeri.

"Mereka digalak hadir tetapi bukan sebagai ahli  Exco . Kita akan adakan perbincangan dengan telus dan bertanggung jawab untuk mencari keputusan yang penting," katanya.

Sementara itu, MMKN yang dipengerusikan oleh Abdul  Khalid  semalam berlangsung seperti biasa dengan korum mencukupi bersama empat ahli  Exco  daripada Pas dan tiga pegawai ex-officio.

"Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri  Selangor  yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat ahli MMKN untuk mentadbir negeri secara sah," katanya.

Beberapa isu seperti pembinaan rumah mampu milik, status sumber air negeri dan penempatan anak negeri ke Universiti Madinah telah dibincangkan dalam mesyuarat mingguan MMKN kali ini.

 Khalid  menambah: "Biarpun hanya tinggal empat  Exco  tetapi kita mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri tetap berjalan demi kebajikan rakyat."

Kelmarin, Setiausaha Sulit kepada Sultan  Selangor , Datuk Mohamad Munir Bani memberitahu, Sultan  Selangor , Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan menerima menghadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk tujuan memberi penjelasan berhubung kemelut isu Menteri Besar  Selangor .

No comments:

Post a Comment