Translate

Thursday, August 28, 2014

Ezany fail permohonan hadanah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azliadlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Pelakon Ezany Nizariff yang dalam proses penceraian dengan isterinya, Lizda Nuryanti Abidin memfailkan permohonan hadanah iaitu hak penjagaan sementara dan kekal ke atas dua anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Ezany atau nama sebenarnya, Mohd. Zani @ Mohd. Zohri Mohd. Nizariff, 41, yang diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan memfailkan permohonan itu di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Norsalwa Abdullah Thani.

Pelakon yang terkenal dengan jolokan 'tauke belacan' itu menuntut dua anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan Lizda Nuryanti, 32, sejak tujuh tahun lalu iaitu Rayyan Harraz Nizariff, 3, dan Hayden Harraz Nizariff, 16 bulan berada di bawah penjagaannya.

Lizda Nuryanti yang pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia 7 pada tahun 2009 bagaimana gagal menghadiri prosiding terbabit yang bermula pada pukul 10 pagi kerana terlewat sampai dan hanya diwakili peguam syarie, Ismail Mohd.

Norsalwa kemudian menetapkan perbicaraan bagi kedua-dua permohonan tersebut dijalankan serentak pada 24 September ini selain memerintahkan defendan yang diwakili Ismail agar menyediakan afidavit jawapan sebelum tarikh perbicaraan berkenaan.

Kosmo! semalam melaporkan  Ezany  mahu meneruskan kes nusyuz iaitu perintah kembali taat terhadap isterinya yang telah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Petaling Jaya pada 22 Julai lalu.

Permohonan nusyuz itu dilakukan mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 selepas Lizda Nuryanti keluar dari rumah kelamin mereka di Seri Kembangan, Selangor pada 17 Julai lalu.

 Ezany  ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, permohonan  hadanah  itu dibuatnya selepas perbincangan antara dia dan isterinya berhubung hak penjagaan anak menerusi proses sulh pada 25 Ogos lalu menemui jalan buntu.

Dia berkata, antara sebab permohonan  hadanah  tersebut difailkan kerana dia bimbang keselamatan dan kebajikan kedua-dua anaknya memandangkan Lizda Nuryanti masih tidak mempunyai kediaman tetap setelah bertindak keluar dari rumah kelamin mereka lebih sebulan lalu.

"Lebih baik anak-anak bersama saya. Jika saya tiada di rumah kerana menjalani penggambaran drama dan urusan perniagaan, ibu saya dan pembantu rumah boleh membantu menjaga mereka.

"Saya tiada halangan untuk membenarkan isteri berjumpa dan bermalam dengan anak-anak mengikut tempoh dipersetujui tetapi perlu mengikut lunas undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, Lizda Nuryanti yang tiba di mahkamah berkenaan kira-kira 15 minit selepas prosiding berakhir kelihatan tergesa-gesa menemui  Ezany  yang ketika itu berada di lobi premis berkenaan.

Dia juga dilihat mengalirkan air mata apabila diizinkan  Ezany  untuk berbual dengan anak-anak mereka menerusi panggilan telefon menggunakan telefon bimbit suaminya itu.

Wednesday, August 27, 2014

Khalid masih MB Selangor

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan MOHD. AZLI ADLAN 
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Kemelut politik Selangor masih belum berakhir apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga pelantikan Menteri Besar yang baharu ditentukan.
Abdul Khalid yang membaca kenyataan akhbar yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, langkah itu bertujuan memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.
“Sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Perkara L1 (1) Perkara LIII (2)(a), (4) dan LV (2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan Selangor diperuntukkan kuasa budi bicara mutlak dalam pelantikan seorang Menteri Besar yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi. 

Menurut Abdul Khalid, kenyataan akhbar tersebut memberitahu, Sultan Selangor telah menitahkan setiap pemimpin parti Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama daripada parti-parti dalam parti Pakatan Rakyat (PR) sebagai calon Menteri Besar Selangor. 

Ia bertujuan memudahkan baginda untuk menentukan calon berkelayakan. 

"Ini adalah sejajar dengan konvensyen yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan Menteri Besar Selangor sebelum ini," ujarnya. 

Kenyataan akhbar tersebut dibaca oleh Abdul Khalid selepas beliau menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini petang semalam. 

"Tuanku telah mengambil maklum hasrat saya untuk meletakkan jawatan dan telah membuat keputusan untuk menangguh penerimaan peletakan jawatan saya sehingga proses pelantikan Menteri Besar baharu selesai," katanya. 

Abdul Khalid memberitahu: "Saya juga telah memohon maaf kepada Tuanku atas suasana politik masa kini yang telah menyebabkan pihak Istana terheret sama dalam kemelut pentadbiran di negeri ini.

" Beliau turut ditanya adakah Sultan Selangor menolak dua calon iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar. Beliau menjawab, tidak ada. 

"Sebenarnya Tuanku hanya meminta supaya tiap-tiap parti mencalonkan nama sebab Pakatan Rakyat bukan terdiri daripada satu kumpulan tetapi ada tiga kumpulan. 

"Jadi tiap-tiap kumpulan tersebut mesti menghantar sekurang-kurangnya dua nama... dua nama daripada Pas, PKR dan DAP... sekurang-kurangnya," katanya. 

Abdul Khalid yang ditanya bila tempoh diberikan oleh Sultan Selangor untuk penyerahan nama-nama calon Menteri Besar berkata, pihaknya difahamkan Istana akan menulis surat kepada pemimpin Pakatan Rakyat secepat mungkin. 

Beliau menafikan pertemuan dengan Sultan Selangor membincangkan mengenai pelantikan Menteri Besar dalam kalangan wanita.

Ezany fail hak penjagaan anak

SHAH ALAM - Pelakon Ezany Nizariff yang sedang dalam proses penceraian dengan isterinya, Lizda Nuryanti Abidin memfailkan tuntutan hak penjagaan anak sementara dan kekal ke atas dua anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Ezany atau nama sebenarnya, Mohd. Zani @ Mohd. Zohri Mohd. Nizariff, 41, yang diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan memfailkan tuntutan itu di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Norsalwa Abdullah Thani.
Ezani dan Lizda Nuryanti yang melangsungkan perkahwinan pada 1 Julai 2007 telah dikurniakan dua anak lelaki berusia tiga tahun dan 16 bulan.
Lizda Nuryanti, 32, gagal menghadiri prosiding terbabit kerana terlewat sampai di Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan hanya diwakili peguam syarie, Ismail Mohd. 
Norsalwa menetapkan pembicaraan kedua-dua tuntutan yang dikemukakan Ezani terbabit pada 24 September ini. - KOSMO!

Tuesday, August 26, 2014

Abdul Khalid selesai menghadap Sultan Selangor

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat keluar dari Istana Kayangan di sini pada pukul 4.30 petang selepas lebih dua jam menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sewaktu kenderaan rasmi yang membawanya dikerumuni wartawan di pintu pagar istana terbabit, Abdul Khalid yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian belakang kelihatan tenang dan melemparkan senyuman.
"Saya akan membacakan kenyataan akhbar rasmi Istana (Kayangan) pada sidang akhbar di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebentar lagi," katanya. - KOSMO!

Istana Kayangan akan beri kenyataan isu krisis Menteri Besar

SHAH ALAM - Pejabat Istana Kayangan akan memberi kenyataan akhbar mengenai krisis jawatan Menteri Besar Selangor selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selesai menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah petang ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Pembantu Khas Sultan Selangor, Kelvin Ong kepada kumpulan wartawan yang menunggu di luar perkaranga istana itu sejak tengah hari tadi.
"Saya minta wartawan tunggu dahulu selepas Tan Sri Abdul Khalid selesai menghadap (Sultan Sharafuddin Idris), pihak Istana hendak memberi sendiri kenyataan akhbar mengenai isu Menteri Besar.
" Sidang akhbar (Abdul Khalid) yang sepatutnya berlangsung pada pukul 4 petang di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor akan ditangguhkan pada pukul 5.30 petang," katanya ketika menemui pengamal media di perkarangan Istana Kayangan, Seksyen 12, di sini hari ini. - KOSMO!

Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor

SHAH ALAM - Kenderaan yang membawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat memasuki perkarangan Istana Kayangan, Seksyen 12 di sini pada pukul 2.20 petang ini.
Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang menghadap Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan perkembangan terkini krisis Menteri Besar.
Beliau dijangka memberi sidang akhbar mengenai keputusan baginda berkenaan pada pukul 4 petang ini di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini. - KOSMO!

Masa depan Khalid diketahui hari ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan IKHWAN HAZWAN HAMIDUN
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bakal diketahui hari ini selepas beliau mendapat perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pukul 2.30 petang ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang berkata, pertemuan bagi menjelaskan perkembangan terkini krisis Menteri Besar itu akan berlangsung di Istana Kayangan, Seksyen 12 di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan tiga exco negeri daripada Pas iaitu Sallehen Mukhyi, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Dr. Halimah Ali.

Pada masa ini,  Abdul   Khalid  dianggap kehilangan sokongan majoriti selepas 30 ADUN pakatan pembangkang termasuk dua wakil rakyat Pas menyokong pencalonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Terdahulu dalam ucapannya,  Abdul   Khalid  memberi gambaran seolah-olah perkhidmatannya sebagai Menteri Besar bakal berakhir dalam masa terdekat apabila meminta penjawat awam negeri itu meneruskan legasi yang akan ditinggalkannya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, perbalahan Pas dengan PKR mengenai kedudukan MB Selangor dilihat semakin ketara apabila Pas semalam mengesahkan 13 ADUN parti tersebut tidak akan menandatangani akuan bersumpah bagi menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Sebaliknya, parti Islam itu menyerahkan kepada perkenan serta kebijaksanaan Sultan Selangor dalam menentukan siapa yang layak menduduki jawatan tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, walaupun parti itu bersetuju dengan pencalonan Wan Azizah, namun wakil rakyatnya di Selangor tidak akan menandatangani akuan bersumpah tersebut.

Menurutnya, perkara tersebut ada disebut dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat semalam, tetapi perkara itu tidak lagi berbangkit pada penghujung mesyuarat.

"Apabila perkara tersebut sudah tidak berbangkit, maka ia bermakna akuan bersumpah tersebut tidak akan ditandatangani," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas AJK Pas Pusat di ibu pejabat parti itu di ibu negara semalam.

Monday, August 25, 2014

Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor esok

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan perkembangan krisis Menteri Besar pada esok.
Beliau berkata, perjumpaan yang bakal menentukan nasibnya sebagai Menteri Besar terbabit akan dilakukan pada waktu petang.
"Esok petang (menghadap Sultan Sharafuddin Idris)," katanya ringkas selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pagi ini. - KOSMO!

Sunday, August 24, 2014

Khalid teliti, bertanggungjawab

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Exco Selangor daripada Pas, Dr.  Halimah   Ali  menolak dakwaan yang mengatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul  Khalid   Ibrahim  sering bertindak bersendirian dalam memutuskan dasar-dasar kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri itu berkata, Abdul  Khalid  sentiasa merujuk kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum membuat sebarang keputusan terutama melibatkan dasar besar pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Berdasarkan pengalaman saya, beliau (Abdul  Khalid ) sangat teliti dan tidak pernah terburu-buru membuat sebarang keputusan.

"Kebanyakan keputusan besar dibuat kerajaan negeri termasuk perjanjian penyelesaian air jangka panjang yang ditandatangani bersama kerajaan Persekutuan baru-baru ini dibincangkan di dalam mesyuarat Exco mingguan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Terdahulu beliau memperkenalkan pelajar Kolej Antarabangsa Inspens, Nursyazwani Amirah Sumali yang mewakili negara dalam pertandingan Kemahiran Asia Tenggara bagi kategori Dandanan Rambut pada 19 hingga 29 Oktober depan di Hanoi, Vietnam.
 Halimah  mengulas dakwaan yang ditimbulkan segelintir pemimpin pakatan pembangkang mengenai kepimpinan Abdul  Khalid  yang menjadi antara alasan untuk menyingkirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Selat Klang mengakui Abdul  Khalid  amat berhati-hati dan berjimat cermat terutama melibat peruntukan kerajaan negeri.

Saturday, August 23, 2014

Wan Azizah kritik kerajaan Selangor abai kemudahan asas

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membidas kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwanya telah mengabaikan kemudahan asas kepada rakyat negeri itu.
Beliau berkata, selain kutipan sampah domestik secara tidak efisien, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk menurap jalan raya berlubang juga tidak digunakan oleh kerajaan negeri.
"Kita akui kerajaan Selangor mempunyai dana dan program merakyatkan ekonomi. Sungguhpun kita berbangga dengan pencapaian ini, kita juga harus prihatin isu-isu rakyat yang perlu diutamakan.
"Kemudahan asas rakyat seperti jalan rata dan tidak berlubang, persekitaran bersih serta longkang tidak tersumbat perlu dipastikan. Dan kerana itu rakyat memilih kita (pakatan pembangkang) ke tampuk kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR ke-10 di Stadium Malawati di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.
Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkata, pengabaian perkhidmatan domestik terbabit telah menyebabkan kualiti kehidupan rakyat Selangor merosot.
Menurut beliau, hal itu dibuktikan dengan peningkatan mendadak kes denggi di negeri Selangor sehingga 338 peratus sejak awal tahun ini iaitu tertinggi di negara ini. - KOSMO!

Tuesday, August 19, 2014

Laluan Wan Azizah jadi MB berliku

SHAH ALAM - Laluan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor baharu tetap berliku kerana dikhabarkan pencalonan beliau tidak mendapat perkenan pihak istana.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, ketiadaan perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi alasan penolakan pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim oleh kepimpinan Pas negeri sebelum ini.
"Pas Selangor tolak sebelum ini bukan sebab Datuk Seri Wan Azizah itu wanita tetapi kita dimaklumkan pencalonan beliau tidak mendapat perkenan Tuanku (Sultan Sharafuddin).
"Namun, kita akur dengan keputusan Pakatan Rakyat (PR) semalam (kelmarin) untuk tetap menamakan beliau. Mungkin ini percubaan (untuk mendapat perkenan Istana Selangor), kita tengok bagaimana," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini semalam
Pas kelmarin membuat keputusan tidak lagi menyokong kepimpinan Abdul Khalid dengan mengemukakan dua nama iaitu Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bagi menggantikan ADUN Pelabuhan Klang itu.
Bagaimanapun, mesyuarat pimpinan PR yang bersidang selepas itu sebulat suara hanya menamakan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.
Dalam perkembangan sama, Sallehen yang juga ADUN Sabak memberitahu, empat Exco Pas termasuk beliau akan tetap menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diterajui Abdul Khalid sehingga Menteri Besar baharu dilantik.
Beliau menjelaskan, ia bertujuan memastikan pentadbiran negeri tetap berjalan lancar demi kebajikan rakyat Selangor.
"Kami tetap berpegang dengan kenyataan Menteri Besar (Abdul Khalid) sebelum ini yang akur dengan keputusan Pakatan Rakyat menggantikannya tetapi tetap menjalankan tugas sehingga Menteri Besar baharu dilantik.
"Pentadbiran berjalan seperti biasa termasuk mesyuarat Exco mingguan yang akan diadakan pada Rabu ini," ujarnya.
Sallehen memberitahu, beliau merasakan kemelut Menteri Besar Selangor bakal selesai selepas Abdul Khalid diterima menghadap Sultan Sharafuddin selepas baginda pulang dari luar negara pada 27 Ogos ini.

Monday, August 18, 2014

Mahu anak Selangor sahaja jadi Menteri Besar

SHAH ALAM - Sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri sebagai Anak Jati Selangor menuntut hanya individu kelahiran negeri itu sahaja dilantik sebagai Menteri Besar.
Wakil kumpulan tersebut, Mohd. Kamal Mat Hasbi, 26, menolak pencalonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baharu.
"Kami mewakili anak muda Selangor hanya mahu anak jati negeri ini menjadi Menteri Besar.
"Hanya individu kelahiran negeri ini faham dan mampu menjaga kebajikan kami," dakwanya ketika berhimpun di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Mereka berdemonstrasi selama hampir setengah jam sambil membawa beberapa sepanduk seperti 'Kami mahu anak Selangor'.
Mohd. Kamal berkata, golongan muda negeri tersebut kecewa dengan tindakan Pakatan Rakyat (PR) menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar tanpa sebarang alasan kukuh.
Menurutnya, selain anak jati Selangor, Abdul Khalid telah menjalankan tanggungjawab mentadbir negeri ini dengan baik.
Sementara itu, seorang lagi anggota Anak Jati Selangor, Muhammad Hafiz Saroni, 23, mendakwa Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor.
Dia mendakwa, selain bukan anak jati negeri, Wan Azizah tidak mempunyai kewibawaan untuk menerajui kerajaan negeri.
"Kita tengok masa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), (Wan Azizah) nak berbahas pun tak mahir.
"Tengok pada Langkah Kajang, selepas berbulan jadi wakil rakyat, apa perubahan yang sudah berlaku pada Kajang?," dakwanya. - KOSMO!

Penolakan Wan Azizah sebelum ini kerana tiada perkenan Istana - Pas Selangor

SHAH ALAM - Pas Selangor menolak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu kerana dimaklumkan pencalonan itu tidak mendapat perkenan pihak Istana.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehen Mukhyi berkata, ketiadaan perkenan dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan alasan utama penolakan Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Pas Selangor tolak sebelum ini bukan sebab Datin Seri Wan Azizah itu wanita tetapi kita dimaklumkan pencalonan beliau tidak mendapat perkenan Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah).
"Namun kita akur dengan keputusan Pakatan Rakyat (PR) semalam untuk tetap mencalonkan beliau. Mungkin ini percubaan (untuk mendapat perkenan Istana Selangor), kita tengok bagaimana," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Sallehen yang juga ADUN Sabak memberitahu, empat Exco Pas termasuk beliau akan tetap menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diterajui Abdul Khalid sehingga Menteri Besar baharu dilantik.
Beliau menjelaskan ia bertujuan memastikan pentadbiran negeri tetap berjalan lancar demi kebajikan rakyat Selangor.
"Kami (Pas Selangor) tetap berpegang dengan kenyataan Menteri Besar (Abdul Khalid) yang akur dengan keputusan PR menggantikan beliau tetapi tetap menjalankan tugas sehingga Menteri Besar baharu dilantik.
"Pentadbiran berjalan seperti biasa termasuk mesyuarat Exco mingguan pada Rabu ini. Kita tunggu sehingga Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris) pulang dari luar negara pada 27 Ogos ini," katanya. - KOSMO!

Thursday, August 14, 2014

5 Exco diarah kosongkan pejabat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN  dan KHAIRI MOHAMAD
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Lima Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat kelmarin diarahkan mengosongkan pejabat masing-masing dalam tempoh dua minggu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP dan dua daripada PKR itu sudah hilang kelayakan sebagai Exco selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan ke atas pemecatan mereka.
“Saya tidak mengarahkan mereka mengosongkan pejabat segera. Biasanya kita beri tempoh antara seminggu dan dua minggu.
“Namun, saya dimaklumkan, sekurang-kurangnya dua pejabat Exco terbabit telah dikosongkan sejak Ahad lalu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah empat Exco daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Dr. Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi.
Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid mengesahkan Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan terhadap pemecatan lima Exco terbabit iaitu Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP serta Dr. Daroyah Alwi dan Elizabeth Wong daripada PKR pukul 4 petang kelmarin.
Menurut Khalid, beliau telah memohon perkenan untuk memecat kesemua Exco terbabit melalui surat kepada baginda menerusi Istana Alam Shah, Klang pada pukul 2 petang kelmarin.
“Saya pohon perkenan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah agar kesemua Exco itu dipecat sebaik sahaja mengetahui mereka membuat kenyataan bersama enggan mengakui kepimpinan saya dan mendesak keputusan MMKN dilakukan secara undian.
“Baginda membalas surat saya secara bertulis dua jam kemudian dan memberi perkenan serta tidak memberi halangan sekiranya Menteri Besar menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya.

Berkenaan nasib seorang lagi  Exco  daripada PKR, Rodziah Ismail, Abdul  Khalid  menjelaskan, kedudukan ADUN Batu Tiga tersebut akan diputuskan selepas beliau pulang dari luar negara.

Beliau berkata, Rodziah akan dikekalkan sebagai  Exco  sekiranya beliau yang memegang portfolio Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita mahu bekerjasama dengan beliau.

"Tetapi jika sebaliknya, jawatan beliau sebagai  Exco  kerajaan negeri juga akan ditamatkan," katanya.

Begitupun, Abdul  Khalid  mengakui telah mengadakan pertemuan dengan Rodziah sebelum Timbalan Ketua Wanita PKR itu berlepas ke luar negara, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

Ditanya mengenai status Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi  Selangor  dan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi  Selangor  (MTES) hari ini.

Abdul  Khalid  turut mengalu-alukan kehadiran lima bekas ahli  Exco  terbabit pada mesyuarat MTES hari ini bagi membincangkan isu pentadbiran negeri.

"Mereka digalak hadir tetapi bukan sebagai ahli  Exco . Kita akan adakan perbincangan dengan telus dan bertanggung jawab untuk mencari keputusan yang penting," katanya.

Sementara itu, MMKN yang dipengerusikan oleh Abdul  Khalid  semalam berlangsung seperti biasa dengan korum mencukupi bersama empat ahli  Exco  daripada Pas dan tiga pegawai ex-officio.

"Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri  Selangor  yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat ahli MMKN untuk mentadbir negeri secara sah," katanya.

Beberapa isu seperti pembinaan rumah mampu milik, status sumber air negeri dan penempatan anak negeri ke Universiti Madinah telah dibincangkan dalam mesyuarat mingguan MMKN kali ini.

 Khalid  menambah: "Biarpun hanya tinggal empat  Exco  tetapi kita mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri tetap berjalan demi kebajikan rakyat."

Kelmarin, Setiausaha Sulit kepada Sultan  Selangor , Datuk Mohamad Munir Bani memberitahu, Sultan  Selangor , Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan menerima menghadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk tujuan memberi penjelasan berhubung kemelut isu Menteri Besar  Selangor .

Wednesday, August 13, 2014

Isu MB Selangor : Sultan Sharafuddin tidak perkenan Wan Azizah datang menghadap

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan menerima menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk tujuan memberi penjelasan berhubung kemelut isu Menteri Besar Selangor.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pihak istana menerima surat yang ditandatangani Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Ogos lalu memohon Wan Azizah menghadap baginda untuk memberi penerangan dan penjelasan yang diputuskan oleh parti itu,

"Surat permohonan ini telah disembahkan kepada Sultan Selangor pada Isnin dan baginda menitahkan supaya saya memaklumkan kepada Anwar bahawa baginda tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR untuk memberi penjelasan atas alasan Abdul Khalid telah pun menghadap baginda berkaitan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mohamad Munir berkata, selain itu, Sultan Selangor berpendapat bahawa pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada ahli PKR merupakan isu dalaman parti berkenaan dan tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan Menteri Besar.

Beliau berkata, baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman parti itu.

Mohamad Munir dalam pada itu berkata, beliau bertitah oleh Sultan Selangor untuk memaklumkan baginda berkenan untuk Abdul Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor bukannya keputusan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor sebagaimana yang dilaporkan media semalam.

Abdul Khalid rampas kerajaan pakatan pembangkang - bekas Exco

SHAH ALAM - Enam bekas Exco Selangor dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat mereka semalam sebagai merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan pembangkang.
Salah seorang daripada mereka, Datuk Teng Chang Khim dari DAP mendakwa, rakyat negeri ini memberi mandat kepada pakatan pembangkang bukan Abdul Khalid untuk mentadbir Selangor.
"Kami juga mengganggap pemecatan keenam-enam kami oleh Menteri Besar (Abdul Khalid) tidak sah dan bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Selangor.
"Sepatutnya beliau (Abdul Khalid) perlu menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan memecat Exco bukan hanya menghantar surat sahaja seperti dilakukannya semalam," katanya pada sidang akhbar di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Turut hadir empat bekas Exco Selangor lain iaitu Elizabeth Wong, Dr. Daroyah Alwi dari PKR serta Ean Yong Hian Wah dan Ean Yong Hian Wah dari DAP.
Rodziah Ismail dari PKR tidak kelihatan pada sidang akhbar itu kerana difahamkan masih berada di luar negara.
Chang Khim berkata, keenam-enam bekas Exco Selangor itu juga mendesak agar Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar secara terhormat bagi menstabilkan semula suhu politik di negeri tersebut. - KOSMO!

Seorang lagi bekas Exco dipecat hadir bertugas

SHAH ALAM - Ean Yong Hian Wah dari DAP mengikut jejak tiga bekas Exco Selangor dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tetap memasuki pejabat hari ini walaupun telah dipecat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan dari DAP itu mendakwa, beliau menganggap keputusan Abdul Khalid memecatnya dan lima Exco lain sebagai tidak sah.
"Rakyat Selangor telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat bukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahin pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu," dakwanya ketika ditemui di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Hian Wah memasuki pejabatnya tanpa diiringi pengawal keselamatan bertugas yang sebelum itu memaklumkan beliau tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat Exco mingguan yang sedang berlangsung atas arahan Abdul Khalid.
Terdahulu tiga bekas Exco Selangor lain yang turut dipecat iaitu Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau dari DAP dan Elizabeth Wong dari PKR telah memasuki pejabat masing-masing lebih awal. - KOSMO!

Tiga Exco dipecat hadir tetapi dihalang sertai mesyuarat mingguan Exco

SHAH ALAM - Tiga daripada enam Exco Selangor dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim muncul di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini untuk menjalankan tugas mereka seperti biasa pada pagi ini.
Mereka ialah Datuk Teng Chang Khim dan V. Ganabatirau dari DAP dan Elizabeth Wong dari PKR.
Elizabeth berkata, beliau akan tetap memasuki pejabatnya untuk mempengerusikan mesyuarat bersama 'kakitangannya'.
"Kami (bekas Exco Selangor yang dipecat) tidak akan menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerana Menteri Besar (Abdul Khalid) tidak memberi kebenaran," katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan SSAAS di sini hari ini.
Sementara itu Abdul Khalid dan empat Exco negeri dari Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunos Hairi, Sallehen Mukhyi dan Dr. Halimah Ali difahamkan sudah memasuki pejabat Menteri Besar bagi memulakan mesyuarat Exco mingguan yang dijadual bermula sebentar lagi. - KOSMO!

6 Exco Pakatan Rakyat dipecat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor runtuh apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak memecat enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berkuat kuasa serta-merta.
Khalid telah menghantar surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon perkenan untuk memecat Exco terbabit semalam.
Beliau berkata, tindakan tersebut diambil kerana kesemua Exco terbabit cuba mengehadkan kuasanya sebagai Menteri Besar untuk mentadbir negeri itu dengan lancar.

"Exco DAP dan PKR tadi sudah tandatangani satu surat supaya diadakan satu blok (pakatan) bertujuan untuk mengurangkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

"Oleh sebab itu, saya telah minta dan tulis surat kepada baginda Sultan agar anggota Exco itu tidak teruskan kerja mereka sebagai Exco," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mereka ialah Datuk Teng Chang Khim yang memegang  portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan; Ean Yong Hian Wah (Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram ) dan V. Ganabatirau (Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin) dari DAP.

Turut terlibat Rodziah Ismail yang memegang portfolio Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr. Daroyah Alwi (Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar) dari PKR.

Bagaimanapun, surat pemecatan ke atas Rodziah masih belum dihantar kerana beliau kini berada di luar negara.

Terdahulu kesemua Exco terlibat dalam kenyataan bersama berkata, mereka akan terus menjalankan tugas masing-masing seperti biasa.

Bagaimanapun, mereka menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Mereka juga dilaporkan berkata, dalam urusan melibatkan mereka, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara sementara menunggu seorang Menteri Besar daripada Pakatan Rakyat dilantik.

"Abdul Khalid dan MMKN juga tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian.

"Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka.

Dalam pada itu, keempat-empat Exco dari Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Ahmad Yunus Hairi, Dr. Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi memberi jaminan untuk terus menyokong di belakang kepimpinan Abdul Khalid.

Ahmad Yunus yang ditemui berkata, Abdul Khalid telah memberi penerangan secara ringkas kepada mereka mengenai pembahagian tugas berikutan perkembangan terbaharu terbabit.

“Kami berpegang kepada dengan arahan Pas Pusat untuk kekal sebagai Exco negeri sehingga keputusan rasmi dibuat pada mesyuarat 17 Ogos ini,” katanya.

Semenatara itu, Khalid berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan anggota Exco dari Pas bagi membincangkan pentabdiran kerajaan Selangor.

"Melalui perbincangan ini, saya berharap pentadbiran Selangor dapat berjalan dengan mantap dan semua program pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwan beliau ada menghantar surat untuk menyertai Pas, Abdul Khalid menafikannya.

Dalam perkembangan sama, Exco DAP dan PKR yang dipecat oleh Abdul Khalid melahirkan perasaan terkejut dengan keputusan tersebut.

Elizabeth yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan mendakwa beliau masih belum menerima surat yang dikatakan telah dihantar Menteri Besar berhubung pemecatan itu.

"Saya rasa ramai Exco yang terlibat akan bertugas seperti biasa esok (hari ini) memandangkan pengesahan pemecatan itu diragui," katanya.

Tuesday, August 12, 2014

Pentadbiran kerajaan negeri Selangor diteruskan dengan lima Exco termasuk empat dari Pas

SHAH ALAM - Pentadbiran kerajaan negeri Selangor akan tetap diteruskan biarpun hanya dianggotai lima orang termasuk empat wakil rakyat dari Pas.
Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mahu perjalanan pentadbiran kerajaan negeri terganggu hingga merugikan rakyat berikutan krisis Menteri Besar yang sedang berlaku kini.
"Saya sendiri akan bermesyuarat dengan Menteri Besar berhubung pelaburan negeri sebentar lagi.
"Esok saya dan tiga Exco daripada Pas lain akan menghadiri mesyuarat Exco Mingguan seperti biasa," katanya ketika ditemui di lobi lif Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Empat Exco Pas sokong Abdul Khalid

SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemudahan Awam, Belia dan Sukan Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi mengesahkan keempat-empat Exco negeri dari Pas akan tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, tiga lagi Exco negeri dari Pas ialah Iskandar Abdul Samad, Dr. Halimah Ali dan Sallehin Mukhyi.
"Kami ikut keputusan Pas Pusat untuk tidak meletakkan jawatan dan meneruskan tugas untuk bekerja dan menguruskan Selangor.
"Saya sendiri baru sahaja berjumpa dengan Menteri Besar (Abdul Khalid) untuk berbincang tentang pembahagian tugas Exco berikutan perkembangan terbaharu ini," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Exco Selangor: Chang Kim teruskan kerja, Elizabeth membisu

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Cheng Kim dari DAP akan meneruskan tugas sebagai Exco Selangor biarpun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini menjadi wakil rakyat Bebas.
Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang arahan daripada parti mahupun Abdul Khalid untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Exco.
"Saya dibayar gaji sebagai Exco oleh kerajaan negeri Selangor.
"Saya tiada masalah bekerja dengan Menteri Besar (Abdul Khalid), saya buat kerja sebagai Exco, beliau sebagai Menteri Besar," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.
Begitupun Cheng Kim memberitahu, secara dasarnya beliau akur dengan keputusan kepimpinan DAP Pusat yang enggan menyokong kepimpinan Abdul Khalid selepas ADUN Pelabuhan Klang itu dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat Sabtu lalu.
"Tetapi tiada lagi arahan daripada parti untuk saya meletakkan jawatan sebagai Exco negeri," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong enggan mengulas kedudukannya dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor.
ADUN Bukit Lanjan dari PKR itu memilih pendekatan berdiam diri apabila ditemui pemberita sebelum itu.
Walaupun diasak pertanyaan berhubung isu itu oleh pengamal media, beliau membisu seribu bahasa dan terus memasuki kenderaan rasminya yang sedia menunggu di perkarangan bangunan SUK. - KOSMO!

Sultan tentukan nasib Khalid hari ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Nasib Tan Sri Abdul  Khalid  Ibrahim sebagai Menteri Besar bakal ditentukan oleh Sultan  Selangor , Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mendapat nasihat daripada Majlis  Dewan   Diraja   Selangor  yang akan bermesyuarat di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Majlis  Dewan   Diraja   Selangor  yang berfungsi sebagai majlis penasihat kepada Sultan Sharafuddin akan membincangkan kedudukan Abdul  Khalid  dalam kerajaan negeri selepas Ahli  Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu dilucutkan keanggotaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin.

Abdul  Khalid  berkata, beliau akan menghadap Sultan Sharafuddin selepas mesyuarat Majlis  Dewan   Diraja   Selangor  yang dijadual bermula pada pukul 9 pagi itu selesai. "Saya akan menghadap Tuanku (Sultan Sharafuddin) berhubung isu Menteri Besar selepas mesyuarat Majlis  Dewan   Diraja   Selangor  selesai.

"Sebarang keputusan mengenai kedudukan saya sebagai Menteri Besar akan diumumkan selepas pertemuan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Sultan Sharafuddin pada majlis Kursus Perdana Haji peringkat  Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan PKR mengumumkan Abdul  Khalid  dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar baharu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong memberitahu, Abdul  Khalid  juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang termasuk menangguhkan perbincangan projek Loji Rawatan Air Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan ADUN  Selangor.

Menurut Abdul  Khalid , beliau bertegas untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar sehingga kemelut jawatan itu diselesaikan mengikut prosedur yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri  Selangor.

Dalam perkembangan sama, beliau juga membayangkan akan mengambil tindakan perundangan terhadap kepimpinan PKR berhubung keputusan parti itu memecat keahliannya dalam parti.

"Saya menerima keputusan PKR (memecatnya) walaupun tindakan itu salah, tidak menurut undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Saya juga telah dinasihatkan peguam supaya tidak membuat apa-apa kenyataan agar tidak mengganggu proses undang-undang yang mungkin akan diambil pada masa akan datang," katanya.

Abdul  Khalid  dilantik sebagai Menteri Besar  Selangor  pada 13 Mac 2008.

Sunday, August 10, 2014

Isu MB Selangor: Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor esok

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijadual menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pagi esok berhubung masa depannya sebagai Menteri Besar di Istana Kayangan di sini.
Beliau berkata, baginda akan mengadakan pertemuan dengan Dewan Penasihat Raja-Raja Selangor bagi membincangkan isu tersebut pada pukul 9 pagi esok.
"Saya akan menghadap Tuanku selepas mesyuarat itu selesai.
"Buat masa ini saya akan tetap menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Selangor seperti biasa," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Sultan Sharafuddin Idris merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Semalam, Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memecat keahlian Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang dalam parti kerana enggan patuh arahan PKR untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Mohammed Khusrin Munawi memberitahu, pihaknya telah mengetatkan kawalan keselamatan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkuatkuasa serta-merta.
Beliau berkata, ia langkah awal bagi menjamin keselamatan bangunan yang menempatkan pusat pentadbiran negeri itu daripada anasir luar berikutan krisis Menteri Besar berkenaan. - KOSMO!

Friday, August 8, 2014

Tukar Menteri Besar untuk kepentingan politik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Rakyat Selangor perlu sedar tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menukar Menteri Besar hanyalah demi kepentingan politik parti pembangkang tersebut semata-mata.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia terbukti berikutan alasan yang diberikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi mewajarkan arahan agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

“Kebanyakan alasan itu seperti masalah hutang, pembelian tanah dan lain-lain telah lama disuarakan BN negeri. Tetapi didiamkan malah dibela pula (Abdul Khalid).

“Sekarang isu itu dibangkitkan semula kerana sudah ada kepentingan politik untuk mereka (PKR). Sepatutnya jika benar-benar memperjuangkan rakyat seperti dilaungkan, tindakan sudah lama diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.

Sehubungan itu, Noh meminta rakyat Selangor turut mengambil iktibar dan memilih parti yang benar-benar kukuh pada masa depan demi memastikan kestabilan politik di negeri tersebut.

Noh juga mengingatkan PKR agar cermat dan tertib dalam usaha parti itu untuk menggantikan Menteri Besar Selangor dan sesekali membelakangkan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Thursday, August 7, 2014

Pemuda trauma ditetak lelaki

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG - “Sedang saya leka melayari internet tiba-tiba sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu masuk dengan bersenjatakan parang samurai.

“Tanpa berkata apa-apa mereka menetak saya dan beberapa pelanggan yang berada di dalam pusat siber tersebut. Saya tak dapat berbuat apa-apa dan fikir akan mati sahaja.”

Demikian cerita Muhammad Nurhan Abd. Karim, 26, mengimbas kembali kejadian dia dan enam pelanggan pusat siber di Taman Bayu Perdana, Pandamaran di sini di serang sekumpulan lelaki tidak dikenali pada kira-kira pukul 10 pagi, 31 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang kebanyakannya lelaki berasal dari Sabah berusia 20-an hingga 30 tahun cedera parah termasuk seorang berada dalam keadaan koma selepas tapak tangan dan kaki kirinya hampir putus ditetak.

Muhammad Nurhan yang biasa berkunjung ke pusat siber tersebut untuk melayari internet mendakwa sehingga hari ini terpinga-pinga dan tidak mengetahui motif serangan tersebut.

“Saya yang mula-mula diserang kerana duduk menghadap komputer terletak berhampiran pintu masuk pusat siber itu.

“Saya tidak mengenali mereka yang menyerang kami. Hendak kami ia bermotifkan samun, barang berharga kami tidak pula diusik. Mereka (kumpulan penyerang) beredar selepas hampir lima minit mengamuk dan penjaga pusat siber juga tidak dicederakan,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di Wad 3A, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

Dia yang juga ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) diziarahi Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya.

Muhammad Nurhan yang berasal dari Sandakan, Sabah memberitahu dia cedera parah di pergelangan tangan kanan, kepala dan belakang badan akibat serangan enam hingga tujuh lelaki terbabit.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Aidil Baaddu, 27, memberitahu mereka bukanlah pelajar maahad tahfiz seperti yang didakwa dalam mesej rantaian yang tersebar di media sosial.

Dia yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan sudah hampir 10 tahun bermastautin di bandar ini berharap pihak berkuasa dapat menjejak penyerang terbabit bagi memberi keadilan kepada dia dan mangsa lain.

Sementara itu, Amran Amri, 30, yang masih koma sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU ) hospital sama manakala baki empat mangsa lain difahamkan telah dibenarkan keluar daripada hospital.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan awal mendapati ia tidak disebabkan oleh faktor perkauman seperti yang didakwa media sosial sebelum ini.

Beliau memberitahu, kes sedang disiasat termasuk tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada faktor dendam lama.

Tuesday, August 5, 2014

5,000 meriahkan Rumah Terbuka Permatang

HARMONI. Seramai 5,000 orang memeriahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri Permatang di Sungai Terap, Tanjong Karang, Selangor baru-baru ini.
Mereka disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Sulaiman Abdul Razak dan isterinya, Jamaliah Kamarudin yang bersama sebahagian kepimpinan UMNO Tanjong Karang.
Menurut Sulaiman, program itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara wakil rakyat dengan penduduk berbilang kaum sempena sambutan hari raya Aidilfitri.
Beliau berkata, pelbagai juadah istimewa disediakan kepada tetamu seperti cendol, ketupat, lemang, nasi minyak, aiskrim dan buah durian.

Mati ditembak ketika serang polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Seorang anggota kumpulan samun bersenjata dan curi kenderaan maut ditembak ketika cuba menyerang anggota polis dengan parang di Taman Medan, Petaling Jaya semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, lelaki tersebut bersama seorang lagi suspek yang sebelum itu cuba menyamun seorang lelaki di tepi Jalan PJS1/27, Taman Medan mahu melarikan diri daripada kepungan polis.
Dua jam sebelum itu, seorang lagi anggota geng samun berkenaan turut berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di taman perumahan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, sewaktu kejadian, suspek yang ditembak mati dan rakannya menaiki kenderaan pelbagai guna mewah, Toyota Alphard yang dipercayai disamun daripada seorang peniaga berusia 49 tahun di jhadapan sebuah sekolah di Bandar Wawasan, Puchong dekat sini pada Jumaat lalu.

“Kedua-dua suspek yang berjaya dikesan berada di belakang sebuah restoran di Jalan PJS3/36, Taman Medan enggan berhenti apabila diperiksa anggota polis sebaliknya memecut laju sehinggalah berjaya dipintas di perkarangan sebuah kilang berhampiran.

“Salah seorang meluru keluar dari kenderaan lalu cuba menetak salah seorang anggota polis dengan parang hingga memaksa satu das tembakan dilepaskan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor di sini semalam.

Mohd. Adnan berkata, suspek yang masih belum dikenalpasti identiti itu maut di tempat kejadian sementara seorang lagi suspek berjaya melepaskan diri.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam kenderaan Toyota Alphard menemui beberapa senjata yang dipercayai digunakan untuk aktiviti samun iaitu pisau dan parang.

“Seorang lelaki berusia 20 tahun yang dipercayai anggota geng samun tersebut berjaya diberkas di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian pada pukul 3 pagi berdasarkan petunjuk sebuah kereta Perodua Myvi yang ditinggalkan kumpulan penjenayah itu ketika melarikan Toyota Alphard di Puchong pada 1 Ogos lalu.

“Serbuan turut merampas beberapa kad kredit, kad  mesin teler automatik (ATM), kad pengenalan, cukai jalan dan lesen pemandu dipercayai milik mangsa yang pernah disamun kumpulan tersebut,” katanya.

Mohd. Adnan berkata, siasatan awal juga mendapati Perodua Myvi terbabit merupakan kereta yang dilarikan dalam kejadian samun di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 19 Julai lalu.

Beliau memberitahu, geng jenayah tersebut terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes samun bersenjata dan curi kereta iaitu di Sungai  Besi, Puchong, Brickfield, Sungai Way , Taman Medan sejak awal tahun ini.

“Ketiga-tiga suspek yang biasanya bersenjatakan pisau dan parang itu agak ganas kerana telah mencederakan sebahagian mangsa sebelum ini.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan gerakan memburu seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya.

Mohd. Adnan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 akta sama kerana menyamun yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.