Translate

Monday, July 14, 2014

Pasar Nelayan dibina di Sungai Sembilang

KUALA SELANGOR - Sebuah pasar nelayan baru akan dibina di Pengkalan Nelayan Sungai Sembilang, Jeram dekat sini pada masa terdekat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pembinaan pasar nelayan itu bertujuan untuk memudahkan nelayan tempatan menjual hasil laut mereka secara terus tanpa melalui orang tengah.

“Ia secara tidak langsung meningkatkan lagi pendapatan nelayan tempatan selain menarik kehadiran lebih ramai masyarakat khususnya sekitar Lembah Klang ke Jeram dekat sini bagi mendapatkan hasil laut segar.

“Selain itu, Sungai Sembilang yang terkenal dengan restoran asam pedas ikan sembilang diharap bakal menjadi satu lagi lokasi tumpuan pelancong,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kembara Sahur LKIM bersama Nelayan yang dihadiri lebih 100 nelayan tempatan di Pengkalan Nelayan Sungai Sembilang, Jeram dekat sini semalam.

Kembara sahur anjuran julung kali agensi tersebut bakal menjelajah lima lokasi lain di seluruh negara seperti Kuala Sungai Baru, Melaka; Manjung, Perak dan Kuala Kedah, Kedah bagi meningkatkan hubungan antara pengurusan tertinggi LKIM dengan nelayan.

Irmohizam Ibrahim berkata, balai nelayan Pengkalan Nelayan Sungai Sembilang juga akan dinaik taraf bagi kemudahan nelayan tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, LKIM telah melancarkan Persatuan Belia Nelayan yang bertujuan menarik minat lebih ramai lagi golongan muda menceburi kerjaya sebagai nelayan.

No comments:

Post a Comment