Translate

Thursday, July 17, 2014

Khalid diminta memohon ampun

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad digesa memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana ketelanjurannya mempersoal kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga menerima teguran daripada baginda kelmarin.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari berkata, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang berasal dari Johor itu juga perlu mengakui kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulangi kenyataan tidak bertanggungjawab dan biadap mempertikai kuasa eksekutif Sultan Selangor pada masa depan.

“Tak pernah berlaku sebelum ini, institusi diraja di negara ini menegur seorang individu secara khusus dan ia menunjukkan betapa murka tuanku dan seriusnya kesalahan yang dilakukan Khalid Samad.

“Jika beliau enggan berbuat demikian (memohon ampun kepada Sultan Selangor), beliau yang bukan anak jati negeri ini didesak agar meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Shah Alam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Azhari berkata, beliau bimbang jika Khalid terus dikekalkan mewakili penduduk di Parlimen Shah Alam, sikapnya yang biadap dalam membicarakan urusan dan pentabdiran agama Islam akan dicontohi oleh rakyat khususnya golongan muda.

Kosmo! semalam melaporkan Sultan Sharafuddin Idris Shah sewaktu merasmikan Masjid Pekan Sepang dekat sini secara terbuka melahirkan rasa dukacita terhadap Khalid yang telah menuduh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjadi alat pihak tertentu dalam isu kalimah Allah sehingga mewujudkan ketegangan antara orang Islam dan Kristian.

No comments:

Post a Comment