Translate

Friday, July 25, 2014

Abdul Khalid bertegas terus laksana tugas Menteri Besar

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas untuk meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor biarpun Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencalonkan presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti beliau kelmarin.
Abdul Khalid berkata, beliau akan menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sebagai memenuhi amanah diberikan rakyat Selangor yang telah memilihnya menerusi proses pemilihan sah iaitu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebelum ini.

“Saya menghormati keputusan politik PKR yang mencalonkan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar (Selangor) yang baharu.

“Namun enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menetapkan tatacara khusus bagi pelantikan atau penggantian seorang Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, beliau percaya mereka yang terlibat dalam usaha untuk menggantikan Menteri Besar Selangor itu perlu melalui tatacara telah digariskan terbabit bagi mencapai matlamat berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu akan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Selangor seperti biasa yang penuh tekun dan amanah sehinggalah proses terbabit berlaku dan selesai.

“Selangor mempunyai tatacara pelantikan Menteri Besar secara tertib dan beradap seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya ingin tegaskan kepada seluruh rakyat negeri ini dan pelabir bahawa isu ini (penggantian Menteri Besar) tidak sedikit pun menjejaskan sistem pentabdiran negeri,” katanya.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan memberitahu partinya yang merupakan sebahagian pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri Selangor telah sebulat suara mencalonkan Wan Azizah bagi menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

No comments:

Post a Comment