Translate

Friday, July 25, 2014

Adat istiadat tentera sambut kepulangan jenazah mangsa MH17

PELABUHAN KLANG - Kepulangan jenazah dan mayat mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang dijangka tiba selepas Aidilfitri akan diberi penghormatan dalam adat istiadat ketenteraan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kabinet telah membuat ketetapan agar beliau dan kementeriannya mengetuai upacara terbabit.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mengetuai urusan pengebumian jenazah mangsa beragama Islam.
"Manakala urusan pengebumian mangsa bukan beragama Islam akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup," katanya selepas menghadiri majlis iftar bersama warga Kementerian Pertahanan di Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Tan Sri Rodzali Daud.
Hishammuddin berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula akan mengetuai urusan hal ehwal keluarga.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan persiapan teliti dilakukan bagi menyambut kepulangan jenazah dan mangsa MH17 yang terhempas di sempadan Ukraine-Rusia dipercayai akibat ditembak peluru berpandu.
"Seterusnya kita hanya kita menunggu maklum balas dari Amsterdam, Belanda," katanya.
Dalam perkembagan berkaitan, Hisamuddin memberitahu komited kerajaan untuk mencari pesawat MAS MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing,China tidak pernah diketepikan.
Sehubungan itu, maklum beliau, komunikasi antara kerajaan dengan Australia dan China telah dipertingkatkan. - Kosmo!

Pos Malaysia urus 3 juta kad raya

SHAH ALAM - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menjangka hanya menerima kira-kira tiga juta kad ucapan hari raya untuk dihantar ke seluruh negara pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Operasi Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Helmi Hashim berkata, ia penurunan hampir 600,000 berbanding penerimaan lebih 3.6 juta kad ucapan hari raya pada tahun lalu.

“Jumlah penghantaran kad ucapan hari raya menunjukkan trend menurun kerana kerana masyarakat kini yang lebih gemar menggunakan media sosial dan aplikasi telefon pintar bagi mengucapkan selamat hari raya kepada ahli keluarga dan kenalan," katanya pada taklimat pengendalian kad ucapan hari raya di Pusat Mel Nasional di Seksyen 21 di sini semalam.

Abdul Khalid bertegas terus laksana tugas Menteri Besar

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas untuk meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor biarpun Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencalonkan presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti beliau kelmarin.
Abdul Khalid berkata, beliau akan menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sebagai memenuhi amanah diberikan rakyat Selangor yang telah memilihnya menerusi proses pemilihan sah iaitu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebelum ini.

“Saya menghormati keputusan politik PKR yang mencalonkan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar (Selangor) yang baharu.

“Namun enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menetapkan tatacara khusus bagi pelantikan atau penggantian seorang Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, beliau percaya mereka yang terlibat dalam usaha untuk menggantikan Menteri Besar Selangor itu perlu melalui tatacara telah digariskan terbabit bagi mencapai matlamat berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu akan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Selangor seperti biasa yang penuh tekun dan amanah sehinggalah proses terbabit berlaku dan selesai.

“Selangor mempunyai tatacara pelantikan Menteri Besar secara tertib dan beradap seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya ingin tegaskan kepada seluruh rakyat negeri ini dan pelabir bahawa isu ini (penggantian Menteri Besar) tidak sedikit pun menjejaskan sistem pentabdiran negeri,” katanya.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan memberitahu partinya yang merupakan sebahagian pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri Selangor telah sebulat suara mencalonkan Wan Azizah bagi menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Thursday, July 24, 2014

Gurauan pramugara mahu senasib mangsa MH370 jadi kenyataan

KLANG - Gurauan seorang pramugara pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17,  Shaik   Mohd.   Noor   Mahmood  yang berhasrat untuk menerima nasib sama seperti penumpang dan kru pesawat MH370 menjadi realiti.

Adik ketiganya, Siti Noraziah, 29, memberitahu, abang sulungnya berseloroh sedemikian selepas kehilangan sebahagian rakan-rakannya yang merupakan kru pesawat MH370 yang hilang sejak Mac lalu.

"Abang saya memberitahu semua mangsa MH370 amat beruntung kerana satu dunia mendoakan dan menghadiahkan mereka surah al-Fatihah.

"Dia juga mahu menjadi seperti mereka dan tak sangka akhirnya menjadi realiti," katanya di rumah keluarga bapanya,  Shaik   Mahmood   Shaik  Abdul Rashid, 70, di Taman Chi Liung, Pandamaran di sini semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Aminah  Mohd.  Selamat, 65, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya apabila mereka sekeluarga berbuka puasa Isnin lalu.

Pada masa itu, katanya, dia pelik kerana  Shaik   Mohd.   Noor  yang merupakan bapa kepada lima orang anak berusia dua hingga 13 tahun begitu berselera menjamah juadah berbuka puasa.

TKPM beri sumbangan raya kepada pesakit HTAR, anak yatim

BANTU. Seramai 100 pesakit yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menerima sumbangan Aidilfitri oleh Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) di Hotel Primier, Bukit Tinggi, Klang, Selangor baru-baru ini.
Ketua Jabatan Kerja Sosial HTAR, Ku Abdul Halip Ku Yaakub berkata, sumbangan tersebut turut disampaikan kepada 150 anak yatim yang menetap di sekitar daerah Klang.
Beliau berkata, pemberian bantuan tersebut bertujuan untuk menggembirakan golongan kurang berkemampuan menjelang sambutan Aidilfitri.
Kesemua bantuan yang berjumlah RM55,000 itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Faridah Mohd. Ali.


Saturday, July 19, 2014

Iftar Pemuda UMNO dengan penduduk Seri Perantau

MESRA. Pergerakan Pemuda UMNO Selangor menganjurkan majlis berbuka puasa dengan penduduk Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zainal berkata, program yang dihadiri kesemua Ketua Pemuda UMNO bahagian di negeri itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan pergerakan tersebut dengan penduduk setempat.

“Pada bulan mulia ini, kami turun padang untuk menjamu penduduk tempatan berbuka puasa selain menyelami keperluan mereka,” katanya.

Dalam majlis sama, seramai 100 anak yatim sekitar Pelabuhan Klang turut menerima sumbangan Aidilfitri yang disampaikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Friday, July 18, 2014

Isu biadap : Khalid mohon ampun kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas kemurkaan baginda terhadap cadangan beliau menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Ahli Jawatankuasa Pas yang berasal dari Johor itu berkata, beliau tidak pernah berniat untuk mencabar kuasa Sultan Selangor apabila mengeluarkan kenyataan tersebut pada 17 Jun lalu.

“Saya terkejut dan sedih kerana sebelum ini sewaktu menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Negeri (Sultan Salehuddin Abdul Shah) di sini pada 30 Jun lalu, baginda bersalaman baik dengan saya tanpa berkata apa-apa.

“Saya minta maaf dan ampun serta tiada niat untuk bertindak biadap apatah lagi mencabar kuasa Sultan (Selangor),” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam di sini semalam.

Khalid berkata, beliau telah menghantar permohonan untuk menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Pejabat Istana Kayangan pada kelmarin.

Menurut beliau, beliau berhasrat untuk memberi penjelasan lanjut kepada baginda mengenai kenyataannya sebelum ini kerana percaya kemurkaan baginda itu disebabkan salah faham.

“Cadangan yang saya kemukakan (menghapuskan kuasa eksekutif MAIS) demi menjaga nama baik MAIS dan baginda. Kekalkan MAIS sebagai pembuat dasar dan pelaksanaan kepada kerajaan negeri.

Thursday, July 17, 2014

Khalid diminta memohon ampun

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad digesa memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana ketelanjurannya mempersoal kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga menerima teguran daripada baginda kelmarin.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari berkata, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang berasal dari Johor itu juga perlu mengakui kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulangi kenyataan tidak bertanggungjawab dan biadap mempertikai kuasa eksekutif Sultan Selangor pada masa depan.

“Tak pernah berlaku sebelum ini, institusi diraja di negara ini menegur seorang individu secara khusus dan ia menunjukkan betapa murka tuanku dan seriusnya kesalahan yang dilakukan Khalid Samad.

“Jika beliau enggan berbuat demikian (memohon ampun kepada Sultan Selangor), beliau yang bukan anak jati negeri ini didesak agar meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Shah Alam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Azhari berkata, beliau bimbang jika Khalid terus dikekalkan mewakili penduduk di Parlimen Shah Alam, sikapnya yang biadap dalam membicarakan urusan dan pentabdiran agama Islam akan dicontohi oleh rakyat khususnya golongan muda.

Kosmo! semalam melaporkan Sultan Sharafuddin Idris Shah sewaktu merasmikan Masjid Pekan Sepang dekat sini secara terbuka melahirkan rasa dukacita terhadap Khalid yang telah menuduh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjadi alat pihak tertentu dalam isu kalimah Allah sehingga mewujudkan ketegangan antara orang Islam dan Kristian.

36 kanak-kanak gelandangan terima pakaian raya

CERIA. Seramai 36 kanak-kanak gelandangan menerima sumbangan pakaian raya daripada UDA Dayaurus Sdn. Bhd. (UDSB) di Rumah Perlindungan Safiyyah, Alam Budiman, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Naib Presiden Kanan UDSB, Ahmad Tajuddin Mohamed berkata, pemberian pakaian raya kepada penghuni rumah perlindungan tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikatnya.
Beliau berkata, pihaknya juga berhasrat untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada sebahagian ibu kanak-kanak terbabit.
"Semoga sumbangan berkenaan memberi keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Wednesday, July 16, 2014

Lori keluar masuk tanpa kawalan

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA SELANGOR - Kelibat berpuluh-puluh lori keluar masuk di tapak Hyrib Off River Augmentation System (Horas), Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya dekat sini tanpa mengira waktu menimbulkan tanda tanya dan kecurigaan penduduk setempat.

Walaupun mendapat kebenaran kerajaan negeri Selangor untuk mengeluarkan pasir di kawasan bekas lombong bijih timah seluas 235 hektar itu, pengeluaran tanpa kawalan termasuk di luar waktu ditetapkan adalah menyalahi prosedur ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak mendakwa, berdasarkan aduan penduduk setempat, pengeluaran pasir dari tapak pembinaan Horas terbabit turut dilakukan pada awal pagi, lewat malam dan hujung minggu.

"Berdasarkan pemantauan yang saya lakukan sendiri mendapati aduan penduduk itu ada asasnya. Lori mengangkut pasir keluar masuk tidak henti-henti.

"Selain itu, perbuatan segelintir pemandu lori berkenaan memandu laju mengusarkan penduduk tentang keselamatan mereka," dakwanya kepada Kosmo! dekat sini baru-baru ini.

Sulaiman mendakwa,  pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan permit juga tidak melakukan pemantauan pengeluaran pasir.

"Sehubungan itu saya minta kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif agar tidak berlaku ketirisan memandangkan penjualan pasir itu merupakan salah satu pendapatan utama negeri.

"Kerajaan negeri juga perlu telus mendedahkan kuantiti dan nilai pasir yang telah diangkut sejak projek Horas tersebut dilancarkan Mac lalu," dakwa beliau.

Kerajaan negeri Selangor pada 15 Mac lalu telah melancarkan projek Horas yang disasar membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 Juta Liter Sehari telah dibangunkan di kawasan bekas lombong bijih timah seluas 235 hektar dan dijangka siap pada Julai 2015.

Kos pembinaan Horas dianggarkan sebanyak bernilai RM405 juta.

Khalid Samad akur teguran Sultan Selangor

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegur beliau kerana mencadangkan kerajaan negeri menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang berasal dari Johor berkata, sebagai rakyat negeri tersebut, beliau menerima teguran baginda dengan berlapang dada.

Begitupun, Khalid berharap menerima perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menghadap baginda pada masa terdekat untuk memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.

“Saya akur dengan semua teguran Tuanku terhadap saya,”  katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu sewaktu mencemar duli menyampaikan sumbangan di Masjid Pekan Sepang dekat sini, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan dukacita terhadap Khalid yang sebelum ini mencadangkan kuasa eksekutif MAIS dihapus.

Cadangan itu dibuat Khalid berikutan tindakan MAIS mengarahkan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan merampas kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban di Pusat Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya dekat sini pada Januari lalu.

Monday, July 14, 2014

Pasar Nelayan dibina di Sungai Sembilang

KUALA SELANGOR - Sebuah pasar nelayan baru akan dibina di Pengkalan Nelayan Sungai Sembilang, Jeram dekat sini pada masa terdekat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pembinaan pasar nelayan itu bertujuan untuk memudahkan nelayan tempatan menjual hasil laut mereka secara terus tanpa melalui orang tengah.

“Ia secara tidak langsung meningkatkan lagi pendapatan nelayan tempatan selain menarik kehadiran lebih ramai masyarakat khususnya sekitar Lembah Klang ke Jeram dekat sini bagi mendapatkan hasil laut segar.

“Selain itu, Sungai Sembilang yang terkenal dengan restoran asam pedas ikan sembilang diharap bakal menjadi satu lagi lokasi tumpuan pelancong,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kembara Sahur LKIM bersama Nelayan yang dihadiri lebih 100 nelayan tempatan di Pengkalan Nelayan Sungai Sembilang, Jeram dekat sini semalam.

Kembara sahur anjuran julung kali agensi tersebut bakal menjelajah lima lokasi lain di seluruh negara seperti Kuala Sungai Baru, Melaka; Manjung, Perak dan Kuala Kedah, Kedah bagi meningkatkan hubungan antara pengurusan tertinggi LKIM dengan nelayan.

Irmohizam Ibrahim berkata, balai nelayan Pengkalan Nelayan Sungai Sembilang juga akan dinaik taraf bagi kemudahan nelayan tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, LKIM telah melancarkan Persatuan Belia Nelayan yang bertujuan menarik minat lebih ramai lagi golongan muda menceburi kerjaya sebagai nelayan.

Polis rampas heroin bernilai RM290,000

SHAH ALAM - Dua lelaki disyaki anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di utara tanah air diberkas di kawasan tempat letak kereta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam berhampiran Hulu Selangor dekat sini pada Jumaat lalu.
Dalam serbuan pada pukul 2.30 petang lalu, sebuah beg yang mengandungi 10 bungkusan dadah disyaki heroin seberat lebih kurang 4.6 kilogram turut berjaya dirampas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Selangor, Superintendan R. Ravichandran berkata, kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 27 tahun dipercayai anggota sindiket dadah yang berpusat di utara tanah air dan sedang giat mencari pasaran di Lembah Klang sejak sebulan lalu.
"Nilai dadah jenis heroin yang dirampas bernilai RM290,000 dan mampu membekalkan keperluan 7,655 penagih dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontijen Selangor di sini hari ini. - KOSMO!

Wednesday, July 9, 2014

D'Sore rai 52 penghuni rumah amal

RAI. Seramai 52 penghuni dari Pertubuhan Kebajikan dan Miskin Sungai Pinang, Meru dirai dalam majlis berbuka puasa di D'Sore Cafe & Catering (D'Sore), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengusaha D'Sore, Ruzita Ahmad berkata, kanak-kanak yang kebanyakannya merupakan anak yatim tersebut turut menerima sumbangan bagi menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, menjamu golongan tidak bernasib baik untuk berbuka puasa merupakan tradisi restorannya pada setiap bulan Ramadan sejak beberapa tahun lalu.

“Kebajikan penghuni Pertubuhan Kebajikan dan Miskin Sungai Pinang, Meru juga sentiasa dijaga dan telah dijadikan sebagai anak angkat D'Sore sebelum ini,” katanya.

Monday, July 7, 2014

MB Selangor nafi letak jawatan

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan desas-desus yang mendakwa kononnya beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor hari ini.
"Tidak benar. Saya masih Menteri Besar (Selangor).
"Saya baru lepas mempengerusikan mesyuarat perancangan negeri. Selepas ini ada ada satu lagi mesyuarat," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini.
Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang juga meminta individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah kononnya beliau akan meletakkan jawatan agar berhenti berbuat demikian.
Begitupun beliau enggan mengulas lanjut dakwaan penyebaran khabar angin tersebut dilakukan musuh-musuh politiknya terutama dalam kalangan anggota parti politiknya sendiri, Parti Keadilan Rakyat.
"Tak apalah. Yang penting berita (perletakan jawatan) tidak benar," katanya.
Sebelum ini, tersebar khabar angin menerusi aplikasi Whatsap sejak malam kelmarin kononnya Abdul Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah Alam bagi menyerahkan surat perletakan jawatan.
Begitupun kelibat beliau tidak kelihatan di Istana Kayangan di sini pada pukul 9 pagi tadi.
Sebaliknya Abdul Khalid mempengerusi mesyuarat perancangan negeri di Bangunan Darul Ehsan di sini mulai pukul 10 pagi ini. - KOSMO!

Hajat anak kedua Linda Rafar tidak kesampaian

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pelakon, Linda Rafar terkilan hajat anak keduanya, Rezaimen Keifli, 12, untuk menjadi tahfiz al-Quran tidak kesampaian apabila kanak-kanak itu meninggal dunia selepas menderita penyakit ketumbuhan kronik pada bahagian perut kelmarin.

Adik Linda, Diana berkata, allahyarham sering menyuarakan hasrat untuk memasuki maahad tahfiz bagi menjadi seseorang yang hafiz al-Quran.

“Katanya dengan menjadi tahfiz al-Quran, dia dapat membawa ahli keluarganya ke syurga.

“Memen (nama manja panggilan keluarga) disayangi ramai kerana peribadinya yang ramah dan periang. Pemergiannya seawal ini memang amat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengkebumian Rezaimen di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini semalam.

Linda, 36, dan suaminya Syed Aiman Syed Mahmud, 38, kelihatan sugul sepanjang upacara pengkebumian tersebut dan enggan ditemubual.

Turut kelihatan bapa kandung Rezaiman, Kefli Othman, suami Diana, Zamarul Hisham dan beberapa rakan artis seperti Sasha Saidin dan pelawak, Lan Pet-Pet.

Diana memberitahu Rezaimen yang menderita ketumbuhan kronik pada bahagian perut sejak Mac lalu meninggal dunia di sisi ibunya dan ibu saudaranya, Anita pada pukul 5.30 petang di wad Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur dekat sini kelmarin.

Menurut dia, pada mulanya sewaktu Rezaimen mula-mula mengadu kerap senak dan sakit perut sehingga sukar bernafas kira-kira empat bulan lalu, mereka sekeluarga menyangkakan allahyarham cuma mengalami gastrik ataupun penyakit apendiks.

“Namun hasil pemeriksaan doktor kemudian mengesahkan Rezaimen mengalami penyakit kanser perut tahap empat. Tahap kesihatannya semakin merosot dua, tiga hari lalu sebelum nazak sejam sebelum meninggal dunia,” katanya.

Rezaimen yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di sini merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup Linda bersama bekas suaminya, Kefli.

Anak pertama pasangan itu ialah Rezaril yang kini berusia 14 tahun.

Friday, July 4, 2014

Nasi kambing kebuli istimewa guna 15 rempah-ratus

MENYELERAKAN.  Nasi  kambing  kebuli  merupakan sajian yang dinanti-nanti oleh orang ramai yang memilih untuk berbuka puasa di Pusat Konvensyen Shah Alam ( SACC ), Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif  SACC , Shuhainie Shamsuddin berkata , sajian itu dihidangkan bersama  nasi  yang dimasak menggunakan ramuan yang cukup istimewa.

"Menu  nasi  kambing  kebuli  memang sudah lama menjadi sebutan ramai sejak lima tahun lalu kerana aromanya saja mampu menambat selera," katanya lagi.

Ujar Shuhainie, pada setiap hari, seekor kambing yang telah diperap dengan adunan 15 rempah-ratus akan dipanggang untuk dimakan bersama  nasi.

Sajian itu juga katanya, boleh dinikmati bersama tiga jenis sos pilihan iaitu BBQ, lada hitam dan pudina. Bufet Ramadan di  SACC  turut menyajikan 120 juadah ala kampung pada harga RM88 bagi dewasa dan RM44 untuk kanak-kanak.

Wednesday, July 2, 2014

Estofa Choco bantu kekal awet muda

SHAH ALAM - MyGlobal Clique Sdn. Bhd. (MyGlobal Clique) memperkenal produk minuman kesihatan, Estofa Choco untuk membantu mengekalkan awet muda di samping membantu pembentukan berat badan ideal.

Pengarah MyGlobal Clique, Fendi Rawi berkata, produk berkenaan telah diuji selama dua tahun dengan usaha sama Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd.

“Estofa Choco diperkaya dengan ekstrak rumpai laut, kacang ginjal putih, garcinia dan kaktus hoodia yang bukan sahaja mengandungi kolagen bagi penyelesaian masalah kulit kusam dan tidak bermaya malah menghalang pembentukan lemak serta mengurangkan paras kolesterol dalam badan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, Estofa Choco bersesuaian untuk diminum pada waktu pagi dan ia dapat meningkatkan kadar metabolisme dan menguatkan sistem imunisasi badan.

Jelasnya, walaupun baru berada di pasaran, sambutan terhadap produk minuman kesihatan amat menggalakkan malah telah turut menembusi pasaran luar negara seperti Australia dan Hong Kong.

“Sekotak Estofa Choco yang mengandungi 15 paket dijual pada harga RM188. Ia boleh didapati secara dalam talian menerusi laman sosial Facebook, https://www.facebook.com/estofachoco.

“Selain itu, ia juga boleh didapati menerusi ejen yang dilantik di seluruh negara atau menghubungi kami di talian 03-26152774,” katanya.

Fendi berkata, sempena pelancaran Estofa Choco, pihaknya akan memberi sampel percuma kepada 500 pembaca Kosmo! terawal yang menghantar kiriman pesanan ringkas (SMS) dengan menaip kod 'ESTOFA CHOCO' berserta nama dan alamat masing-masing di talian 012-9371 774.

Akta Keharmonian Kaum tak ketepi elemen sensitif

SHAH ALAM - Perkara sensitif masyarakat berbilang kaum negara ini melibatkan elemen agama, kaum dan budaya akan tetap menjadi garis panduan kepada Akta Keharmonian Kaum yang bakal dibentang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Akta Keharmonian Kaum bertujuan murni memperkukuhkan lagi hubungan kaum di negara ini.
"Nama tidak penting (Akta Keharmonian Kaum atau Akta Hasutan), isi yang lebih utama.
"Tiga perkara sensitif iaitu agama, kaum dan budaya perlu ada dalam pelaksanaan akta baharu," katanya.
Beliau mengulas kegusaran segelintir pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tentang pemansuhan Akta Hasutan yang mungkin membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menggugat keharmonian kaum di negara ini.
Beliau ditemui pada majlis Iftar Kementerian Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mad.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid memohon pelbagai pihak agar tidak menyalah tafsir pendirian kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkenalkan Akta Keharmonian Kaum. - KOSMO!

Tuesday, July 1, 2014

Wanita sarat hamil, 9 PATI ditahan

PELABUHAN KLANG - Cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga  Indonesia  termasuk seorang wanita hamil lapan bulan untuk menyusup keluar negara ini secara haram gagal apabila mereka diberkas Pasukan Gerakan  Marin  (PGM) di perairan Selat Melaka berhampiran Sungai Haji Dorani,  Sabak   Bernam  dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, tiga lelaki warga  Indonesia  yang dipercayai tekong dan awak-awak bot pom-pom yang membawa PATI berkenaan turut ditahan.

Pegawai Pemerintah  Marin  Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, sepasukan anggota PGM yang meronda di sekitar perairan  Sabak   Bernam  terserempak dengan sebuah bot pom-pom keluar dari sebuah jeti haram di kawasan hutan bakau berhampiran Sungai Haji Dorani dekat sini.

"Bot pom-pom itu berjaya dipintas oleh bot penguat kuasa PGM.

"Warga  Indonesia  itu dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Sumatera bagi menyambut bulan Ramadan bermula Ahad ini dan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi," katanya kepada Kosmo! di Pangkalan  Marin  Pelabuhan Klang dekat sini semalam.

Norzaid berkata, pemeriksaan mendapati kebanyakan suspek telah lupus pas lawatan manakala sebahagian lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

69 mesin judi 'online' disita

KLANG - Sebanyak 69 mesin judi dalam talian haram melibatkan nilai rampasan lebih RM69,000 berjaya disita dalam serbuan di empat premis di Bandar Parklands dan Pelabuhan Klang, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, wang tunai berjumlah RM700 turut dirampas dalam Ops. Dadu Khas berkenaan.
"Empat penjaga dan tiga pelanggan yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an turut ditahan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (B) (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya kepada Kosmo!, di sini hari ini. - KOSMO!