Translate

Saturday, June 21, 2014

Wanita Aceh dakwa sepupu antara yang masih hilang

KUALA LANGAT -  Seorang wanita warga Indonesia berketurunan Aceh mendakwa sepupunya merupakan salah seorang mangsa yang masih dilaporkan hilang dalam tragedi tongkang karam di Perairan Sungai Air Hitam berhampiran Pulau Carey di sini pada awal pagi kelmarin.

Mariana Makdan, 52, yang tinggal di Klang mendakwa, dia mendapat maklumat daripada salah seorang kenalan senegaranya yang memberitahu sepupu perempuannya yang dikenali sebagai Kasmawati, 36, telah menaiki tongkang malang tersebut untuk pulang ke Aceh bagi menyambut Ramadan.

"Sepupu saya ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kuala Selangor. Dia yang memasuki negara ini kira-kira dua tahun lalu dan pas lawatannya telah tamat sejak setengah tahun lalu.

"Saya cuba menguruskan kepulangan Kasmawati semula tetapi tergendala kerana kami tidak mampu membayar denda RM3,100 (yang dikenakan oleh pihak berkuasa)," dakwanya ketika ditemui Kosmo! di Jeti Nelayan Kelanang dekat sini semalam.

Mariana yang  hampir 20 tahun menetap di negara ini mendakwa, dia tidak menolak kemungkinan masalah untuk melunaskan kompaun tersebut membuatkan sepupunya nekad untuk menyusup keluar dari negara ini secara haram dengan menaiki tongkang berkenaan.

Dakwa wanita yang bekerja sebagai tukang jahit di Klang dekat sini, selain itu, masalah peribadi Kasmawati dengan teman lelakinya membuatkan sepupunya itu nekad untuk pulang ke Acheh secepat mungkin.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Kasmawati apabila dia datang ke rumah saya untuk meletakkan  beberapa beg yang mengandungi barang peribadinya sementara dia pulang ke Aceh.

"Saya amat berharap Kasmawati dapat ditemui dalam keadaan selamat memandangkan dia merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua anak yang berusia 15 tahun dan tujuh tahun di Aceh," dakwanya sambil mengalirkan air mata.

No comments:

Post a Comment