Translate

Friday, June 20, 2014

Tragedi tongkang tenggelam

KUALA LANGAT - Sembilan mati lemas manakala 27 lagi hilang apabila tongkang yang dinaiki 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di muara Sungai Kuala Langat dekat Pulau Carey di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, 61 penumpang tongkang terbabit iaitu 48 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan pasukan penyelamat yang diketuai Maritim Malaysia (APMM).

Tragedi itu berlaku hanya selepas  tongkang  diperbuat daripada kayu itu baru kira-kira 200 meter berlepas dari satu jeti haram di Sungai Air Hitam.

Difahamkan kumpulan PATI yang semuanya dipercayai rakyat Indonesia itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang ketibaan Ramadan pada hujung bulan ini.

Pengarah Operasi APMM Klang, Leftenan Mohd. Hambali Yaakop berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang disertai 96 anggota daripada APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Daerah  Kuala   Langat  bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1 pagi.

"Sewaktu sampai di lokasi kejadian, kami mendapati sebahagian besar  tongkang  terbabit telah tenggelam dan hanya sebahagian bumbung  tongkang  terbabit kelihatan di permukaan muara sungai.

"Seramai 61 mangsa yang kebanyakannya berjaya berenang ke tebing muara Sungai  Kuala   Langat  diselamatkan pasukan mencari dan penyelamat," kata beliau pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Klang di sini semalam.

Mohd. Hambali berkata, setakat ini, sembilan mayat mangsa iaitu tujuh mayat lelaki dan dua mayat wanita ditemui di sekitar perairan  Kuala   Langat  dan Selat Lumut di sini.

Menurut beliau, kesemua mayat itu dihantar ke Hospital Banting dekat sini untuk dibedah siasat.

"Bagi mangsa yang selamat, mereka ditahan di Balai Polis Teluk Panglima Garang untuk membantu siasatan mengikut kesalahan imigresen atau memperdagangkan manusia.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada antara 27 mangsa yang dilaporkan hilang selamat tetapi menghilangkan diri bagi mengelak ditangkap," katanya.

Mohd. Hambali memberitahu, siasatan punca malapetaka membabitkan  tongkang  yang biasa digunakan untuk membawa bawang itu  karam  mungkin disebabkan ia membawa lebih muatan, bocor atau  tongkang  terlanggar beting pasir yang banyak terdapat di sekitar kawasan kejadian.

Tambahnya, kejadian  tongkang   karam  yang menyebabkan lebih 27 mangsa hilang itu disifatkan sebagai kejadian terbesar kemalangan di sungai yang pernah berlaku di perairan Selangor.

"Lokasi  tongkang   karam  itu memang dikenal pasti sebagai antara laluan tikus untuk PATI warga Indonesia menyeludup keluar dari negara ini secara haram," kata beliau.

Sementara itu, ekoran tragedi tersebut sebanyak 20 sampan nelayan turut membantu pihak berkuasa mencari dan menyelamat mangsa  tongkang   karam  yang hilang.

Pengerusi Persatuan Nelayan  Kuala   Langat , Mohd. Jaman Haris, 47, berkata, usaha mencari dilakukan nelayan itu dimulakan sejak pukul 7 pagi dan akan diteruskan sehingga pihak berkuasa menghentikan operasi pencarian.

No comments:

Post a Comment