Translate

Saturday, June 28, 2014

Detik Aturan eksport palet biomas ke Korea Selatan

KUALA SELANGOR - Syarikat pengeluaran palet bahan bakar  biomas  daripada sisa pelepah kelapa sawit,  Detik   Aturan  Sdn. Bhd. ( Detik   Aturan ) bakal memasuki pasaran Korea Selatan pada bulan hadapan.

Pengarah Urusannya, Khairul Annuar Khalid berkata, buat permulaan, 250 tan palet bahan bakar  biomas  yang bernilai RM1.5 juta akan dieksport ke negara itu pada setiap bulan mulai Julai ini.

"Selain Korea Selatan, kami mengintai peluang untuk menembusi pasaran Jepun dan Eropah terutama di negara-negara yang berada di rantau Balkan.

"Di negara-negara tersebut, palet  biomas  digunakan secara meluas bagi penjanaan bekalan elektrik terutama bagi pihak industri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan kerja Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid di kilang  Detik   Aturan  di Sungai Gulang-Gulang di sini semalam.

Khairul Annuar menjelaskan,  Detik   Aturan  meletakkan sasaran untuk memasarkan dua juta tan palet  biomas  yang dianggar bernilai RM500 juta setahun menjelang tempoh lima tahun.

Menurut beliau, palet  biomas  sisa pelepah kelapa sawit kini mula mendapat permintaan dalam kalangan pengusaha industri antarabangsa kerana merupakan salah satu sumber tenaga hijau yang tidak mencemarkan alam sekitar.

"Namun penggunaan palet  biomas  di dalam negara masih kurang kerana kebanyakan pihak industri tempatan masih bergantung kepada sumber gas, petrol, diesel dan arang batu untuk menjana bekalan elektrik.

"Kita mengharapkan bantuan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk mengembangkan lagi industri palet  biomas  sisa pelepah kelapa sawit ini," katanya.

Friday, June 27, 2014

Jangan kacau kawasan tadahan air

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA SELANGOR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan menara talian penghantaran elektrik di Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong, Pahang diingatkan agar tidak mengganggu kawasan tadahan air.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia merupakan antara prasyarat penting yang digariskan pihak berkuasa bagi membenarkan projek sejauh 20 kilometer (km) itu dilakukan di hutan simpan berkenaan.
“Setakat ini kita dapati tiada pelanggaran syarat dilakukan TNB terhadap projek tersebut. Pemantauan mendapati tapak pembinaan menara talian penghantaran elektrik itu dilakukan di luar kawasan tadahan air.
“Kawasan tersebut juga memang lokasi pengeluaran balak yang dikendalikan agensi kerajaan negeri Pahang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di kilang pengeluaran palet bahan bakar biomas Detik Aturan Sdn. Bhd. di Sungai Gulang-Gulang di sini semalam.
Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam tentang desakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) agar aktiviti penerokaan dan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong dihentikan serta-merta dan mereka mahu pakar-pakar mengkaji semula sama ada projek pembinaan menara talian penghantaran TNB sesuai dilaksanakan di kawasan hutan itu.

Setiausaha Peka, Bazlinda Bahrin berkata, pihaknya khuatir projek yang bakal merentas laluan sepanjang 20km dan bukaan selebar 100 meter itu akan menyebabkan masalah perubahan mikro cuaca persekitaran serta pencemaran air dan tanah.

 Mahdzir  berkata, TNB telah diberi kebenaran oleh kerajaan negeri Pahang untuk menggunakan sebahagian daripada Hutan Simpan Kekal  Lentang  bagi membina dua menara talian penghantaran elektrik.

Menurut beliau, menara talian penghantaran elektrik yang bermula dari selatan Bentong, Pahang itu masing-masing membekalkan bekalan elektrik berkapasiti tinggi ke Lenggeng, Negeri Sembilan dan timur Ampang, Selangor.

"Lokasi itu dipilih berikutan kedudukannya yang strategik, sesuai dengan keperluan tenaga elektrik negara" katanya.

Thursday, June 26, 2014

Sindiket seludup diesel subsidi RM500,000 tumpas

PELABUHAN KLANG - Satu sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan menyeludup diesel bersubsidi sebanyak RM500,000 berjaya ditumpaskan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Jalan Bagan Hailam, Tanjung Harapan dekat sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, anggota sindiket berkenaan yang terdiri enam lelaki termasuk lima warga Indonesia sedang mengepam 56,000 liter diesel ke dalam sebuah bot tunda di jeti persendirian.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahyudin berkata, sindiket berkenaan yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu berselindung di sebalik premis barangan lusuh.
"Modus operandi mereka ialah mendapatkan bekalan diesel subsidi daripada stesen minyak berhampiran dengan menggunakan lori dan van yang diubahsuai.
"Diesel subsidi itu kemudiannya dijual kepada kapal dagang asing yang sedia menunggu di tengah laut," katanya kepada pemberita di sini hari ini. -KOSMO!

Tuesday, June 24, 2014

Perketat kawalan sempadan kekang pemerdagangan manusia

SHAH ALAM - Pendekatan memperketat kawalan di pintu sempadan Malaysia - Thailand akan diambil bagi mengekang sindiket pemerdagangan manusia yang dikesan menjadikan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sebagai laluan untuk menyeludup warga asing memasuki negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sedia maklum, LPT digunakan sebagai laluan untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki negara ini secara haram melalui jalan sungai di Rantau Panjang, Kelantan.

"Jika kita sekat (sindiket tersebut) di LPT, itu sudah terlambat. Kita perlu kekang di sempadan (negara) kita dahulu," katanya di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini semalam.

Beliau ditemui selepas menandatangani Memorandum Perjanjian berhubung penawaraan 11 program akademik peringkat ijazah sarjana muda dan diploma dengan UiTM.

UiTM diwakili Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Kosmo! semalam melaporkan sindiket yang menyeludup 10 warga Myanmar dalam sebuah kereta Honda Accord yang terlibat dalam kemalangan di LPT pada 16 Jun lalu dipercayai menggunakan lebuh raya itu sebagai laluan utama untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Dalam kemalangan tersebut, empat warga Myanmar maut manakala tujuh lagi termasuk pemandunya warga tempatan parah selepas kereta Honda Accord yang mereka naiki terbabas di Kilometer 134.1 LPT dekat Temerloh pada 4.30 pagi.

Tinjau tempat peti simpanan wang sebelum merompak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Kelibat, La Ode Ardi Rasila dilihat mencurigakan apabila meninjau kawasan menempatkan peti simpanan wang di premis Ambank cawangan USJ kira-kira 18 minit sebelum pegawai bank itu, Norazita Abu Talib, mati ditembak.

Bekas pengurus cawangan bank berkenaan, Lyonel Tan Ooi Koong, 30, yang merupakan saksi kedua pendakwaan dalam keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akthar Tahir berkata, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kemudian menunjukkan Norazita, 37, dan rakan setugasnya, Arzanna Abdullah membawa karung yang mengandungi duit untuk dimasukkan ke dalam peti simpanan berkenaan pada pukul 6.18 petang.

"Sejurus itu, CCTV menunjukkan satu das tembakan yang dilepaskan terkena kepala Norazita. Tertuduh kemudian dilihat menolak Arzanna sebelum memasukkan duit yang terdapat di dalam peti simpanan tersebut ke dalam sebuah beg.

"Satu CCTV lain pula menunjukkan tertuduh telah melarikan diri bersama beg berkenaan," katanya ketika disoal Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd. Azari Harun pada hari pertama perbicaraan kes pembunuhan tersebut semalam.
Ooi Koong berkata, perbuatan La Ode berada di kawasan peti penyimpanan wang melanggar prosedur operasi standard yang diamalkan oleh seorang pengawal keselamatan bank.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Cawangan Ambank Sri Petaling sejak 1 April lalu berkata, selain Norazita dan beliau, empat kakitangan lain bertugas di premis bank tersebut semasa kejadian termasuk tertuduh yang merupakan seorang pengawal keselamatan yang dibekalkan syarikat keselamatan, Kawalan Prima Sdn. Bhd.
La Ode menghadapi dua pertuduhan iaitu membunuh dan melepaskan tembakan terhadap Norazita di premis AmBank cawangan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara pukul 6 petang dan pukul 6.30 petang 23 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan membunuh Norazita, tertuduh yang berasal dari Sulawesi, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

La Ode yang diwakili peguam S. Selvi turut menghadapi pertuduhan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan pump gun dengan niat untuk menyebabkan kematian ke atas mangsa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 yang juga memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian pada 23 Oktober lalu, Norazita yang merupakan pegawai di bank berkenaan maut akibat kecederaan di kepala setelah ditembak seorang pengawal keselamatan ketika membuka peti besi di bilik kebal bank tersebut.

Pengawal keselamatan itu kemudian melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM450,000 sebelum ditangkap polis selepas 19 hari bersembunyi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada 10 November lalu.

Perbicaraan hari kedua bersambung hari ini.

Saturday, June 21, 2014

Mangsa hilang mungkin telah larikan diri

KUALA LANGAT - Polis tidak menolak kemungkinan kebanyakan mangsa tongkang karam yang masih dilaporkan hilang telah berjaya menyelamatkan diri memandangkan lokasi tragedi tidak jauh dari daratan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, berdasarkan pengalaman kes-kes lalu, selain berjaya berenang ke daratan, mangsa berkemungkinan diselamatkan nelayan atau kru kapal dagang yang berada tidak jauh dari lokasi  kejadian.

"Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diselamatkan biasanya akan menghilang diri sebaik sahaja di selamatkan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa memandangkan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau pun pas lawatan telah tamat tempoh.

"Sehubungan itu, kita sedang mengenalpasti individu yang masih dilaporkan hilang termasuk mendapat kerjasama daripada penduduk tempatan yang mungkin mengenali mereka," katanya pada sidang akhbar di Pusat Mencari dan Menyelamat Jeti Nelayan Kelanang dekat sini semalam.

Azman memberi amaran kepada penduduk tempatan agar tidak melindungi PATI Indonesia yang terselamat kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah merangka pelan komprehensif untuk mengekang aktiviti PATI menyusup keluar dari negara ini melalui perairan daerah tersebut.

"Kita sedia maklum perairan di sekitar Kuala Langat merupakan laluan tikus untuk PATI terutama Indonesia menyusup keluar secara haram dari negara ini terutama ketika menjelang Ramadan dan Syawal .

"Malah sejak awal tahun ini, kita telah berjaya mematahkan banyak kes samada penyeludupan manusia ataupun barang dari laluan-laluan tersebut," katanya.

Wanita Aceh dakwa sepupu antara yang masih hilang

KUALA LANGAT -  Seorang wanita warga Indonesia berketurunan Aceh mendakwa sepupunya merupakan salah seorang mangsa yang masih dilaporkan hilang dalam tragedi tongkang karam di Perairan Sungai Air Hitam berhampiran Pulau Carey di sini pada awal pagi kelmarin.

Mariana Makdan, 52, yang tinggal di Klang mendakwa, dia mendapat maklumat daripada salah seorang kenalan senegaranya yang memberitahu sepupu perempuannya yang dikenali sebagai Kasmawati, 36, telah menaiki tongkang malang tersebut untuk pulang ke Aceh bagi menyambut Ramadan.

"Sepupu saya ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kuala Selangor. Dia yang memasuki negara ini kira-kira dua tahun lalu dan pas lawatannya telah tamat sejak setengah tahun lalu.

"Saya cuba menguruskan kepulangan Kasmawati semula tetapi tergendala kerana kami tidak mampu membayar denda RM3,100 (yang dikenakan oleh pihak berkuasa)," dakwanya ketika ditemui Kosmo! di Jeti Nelayan Kelanang dekat sini semalam.

Mariana yang  hampir 20 tahun menetap di negara ini mendakwa, dia tidak menolak kemungkinan masalah untuk melunaskan kompaun tersebut membuatkan sepupunya nekad untuk menyusup keluar dari negara ini secara haram dengan menaiki tongkang berkenaan.

Dakwa wanita yang bekerja sebagai tukang jahit di Klang dekat sini, selain itu, masalah peribadi Kasmawati dengan teman lelakinya membuatkan sepupunya itu nekad untuk pulang ke Acheh secepat mungkin.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Kasmawati apabila dia datang ke rumah saya untuk meletakkan  beberapa beg yang mengandungi barang peribadinya sementara dia pulang ke Aceh.

"Saya amat berharap Kasmawati dapat ditemui dalam keadaan selamat memandangkan dia merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua anak yang berusia 15 tahun dan tujuh tahun di Aceh," dakwanya sambil mengalirkan air mata.

Friday, June 20, 2014

Ketua Polis Selangor turun padang tinjau IPD Klang Utara

TURUN PADANG. Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Kapar, Klang, Selangor baru-baru ini.
Kehadiran beliau disambut perbarisan kehormat oleh anggota IPD berkenaan yang diketuai Ketua Polis Daerah Klang Utara, Mohamad Shukor Sulong.
Abdul Samah berkata, beliau yang baru menerajui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 12 Mei lalu sedang mengadakan siri lawatan kerja ke semua IPD di negeri tersebut.
Beliau menggantikan Datuk Mohd. Shukri Dahlan yang bersara wajib bulan lalu.

Lima lagi mayat ditemui

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


KUALA LANGAT - Gerakan mencari mangsa tongkang karam di muara Sungai Kuala Langat berhampiran Pulau Carey dekat sini yang masuk hari kedua semalam berjaya menemui lima lagi mayat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azman Abdul Razak berkata, mayat empat lelaki dan seorang perempuan itu ditemui di sekitar perairan Sungai Air Hitam, pesisir pantai Morib dan Pulau Carey dekat sini.
"Kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita ditemui selamat di pesisir pantai Sungai Air Hitam, Pulau Carey dan mereka juga dihantar ke HTAR untuk menerima rawatan.
Setakat ini, Azman memberitahu, seramai 14 mangsa iaitu 11 lelaki dan tiga wanita telah disahkan mati, 20 masih hilang dan 63 mangsa berjaya diselamatkan.
Menurut beliau, lokasi pencarian telah diperluaskan dari muara Sungai Kuala Langat hingga Morib dekat sini yang seluas kira-kira 25 batu nautika persegi.
"Oleh kerana dua mangsa yang selamat telah ditemui di Zon B (persisir Pantai Sungai Air Hitam), tumpuan dari segi kekuatan anggota dan jentera akan ditumpukan ke kawasan tersebut.
"Oleh kerana dua mangsa yang masih selamat telah ditemui di Zon B (persisir Pantai Sungai Air Hitam), tumpuan lebih dari segi kekuatan anggota dan jentera akan ditumpukan ke kawasan tersebut.

"Usaha untuk mencari baki 21 mangsa yang masih hilang akan diteruskan sehingga nasib kesemuanya diketahui," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan sebuah tongkang yang dinaiki 97 PATI karam di muara Sungai Kuala Langat dekat Pulau Carey di sini pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin.

Tragedi itu berlaku hanya selepas tongkang diperbuat daripada kayu itu baru kira-kira 200 meter berlepas dari satu jeti haram di Sungai Air Hitam.

Difahamkan kumpulan PATI yang semuanya dipercayai rakyat Indonesia itu dalam perjalanan ke kampung halaman masing-masing menjelang ketibaan Ramdan pada hujung bulan ini.

Tragedi tongkang karam : Dua mangsa ditemui selamat

KUALA LANGAT - Dua mangsa tongkang karam di perairan Sungai Air Hitam berhampiran Pulau Carey dekat sini dijumpai selamat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, mangsa pertama, seorang lelaki dijumpai di kawasan hutan bakau di Pulau Carey pada lewat malam tadi.
Katanya, sementara seorang lagi mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 34 tahun dijumpai di perairan Tanjung Sepat, Sepang dekat sini pada pukul 11 pagi tadi.
"Kedua-dua mangsa yang ditemui dalam keadaan lemah telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini bagi menerima rawatan," katanya pada sidang akhbar di Jeti Nelayan Kelanang dekat sini hari ini.
Setakat ini 12 disahkan mati, 22 masih hilang dan 63 mangsa berjaya diselamatkan. - KOSMO!

Tragedi tongkang karam: Satu lagi mayat dijumpai, 12 mangsa sah maut setakat pukul 2 petang

KUALA LANGAT - Satu lagi mayat mangsa tongkang karam di perairan Sungai Air Hitam berhampiran Pulau Carey dekat sini dijumpai menjadikan 12 disahkan mati setakat ini.
Mayat lelaki dewasa itu dijumpai nelayan di Pantai Morib di sini pada pukul 11.40 pagi.
Tongkang yang membawa seramai 97 warga Indonesia itu berlepas dari Pulau Carey menuju ke Tanjung Balai, Indonesia pada pukul 11 malam kelmarin sebelum karam kira-kira sejam kemudian.
Setakat ini 12 disahkan mati, 24 masih hilang dan 61 mangsa berjaya diselamatkan. - KOSMO!

Insiden bot pancung karam: Pusat mencari dan menyelamat dibuka di Jeti Sepang Kecil

KUALA LANGAT - Satu lagi pusat mencari dan menyelamat akan dibuka di Jeti Sepang Kecil, Sepang dekat sini bagi operasi melibatkan mangsa kejadian terbaru, bot pancung membawa 27 warga Indonesia yang karam di perairan Sepang pada pukul tiga pagi tadi.
Lapan dilaporkan hilang sementara 19 orang terdiri daripada 14 lelaki dan lima wanita berjaya diselamatkan oleh anak kapal tiga kapal dagang yang kebetulan melalui kawasan tersebut. - KOSMO!

Satu lagi mayat mangsa tongkang karam ditemui hari ini

KUALA LANGAT - Pencarian mangsa tongkang karam di Perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey yang masuk hari kedua membawa kepada penemuan satu lagi mayat pagi ini.
Satu mayat lelaki dewasa itu ditemui pukul 9.30 pagi dan dibawa ke Jeti Nelayan Kelanang di sini.
Tongkang yang membawa seramai 97 warga Indonesia itu dilaporkan berlepas dari Pulau Carey menuju ke Tanjung Balai, Indonesia pukul 11 malam kelmarin sebelum karam kira-kira sejam kemudian.
Setakat ini 10 disahkan mati, 26 masih hilang dan 61 mangsa berjaya diselamatkan.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. -KOSMO!

Tragedi tongkang tenggelam

KUALA LANGAT - Sembilan mati lemas manakala 27 lagi hilang apabila tongkang yang dinaiki 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di muara Sungai Kuala Langat dekat Pulau Carey di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, 61 penumpang tongkang terbabit iaitu 48 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan pasukan penyelamat yang diketuai Maritim Malaysia (APMM).

Tragedi itu berlaku hanya selepas  tongkang  diperbuat daripada kayu itu baru kira-kira 200 meter berlepas dari satu jeti haram di Sungai Air Hitam.

Difahamkan kumpulan PATI yang semuanya dipercayai rakyat Indonesia itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang ketibaan Ramadan pada hujung bulan ini.

Pengarah Operasi APMM Klang, Leftenan Mohd. Hambali Yaakop berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang disertai 96 anggota daripada APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Daerah  Kuala   Langat  bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1 pagi.

"Sewaktu sampai di lokasi kejadian, kami mendapati sebahagian besar  tongkang  terbabit telah tenggelam dan hanya sebahagian bumbung  tongkang  terbabit kelihatan di permukaan muara sungai.

"Seramai 61 mangsa yang kebanyakannya berjaya berenang ke tebing muara Sungai  Kuala   Langat  diselamatkan pasukan mencari dan penyelamat," kata beliau pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Klang di sini semalam.

Mohd. Hambali berkata, setakat ini, sembilan mayat mangsa iaitu tujuh mayat lelaki dan dua mayat wanita ditemui di sekitar perairan  Kuala   Langat  dan Selat Lumut di sini.

Menurut beliau, kesemua mayat itu dihantar ke Hospital Banting dekat sini untuk dibedah siasat.

"Bagi mangsa yang selamat, mereka ditahan di Balai Polis Teluk Panglima Garang untuk membantu siasatan mengikut kesalahan imigresen atau memperdagangkan manusia.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada antara 27 mangsa yang dilaporkan hilang selamat tetapi menghilangkan diri bagi mengelak ditangkap," katanya.

Mohd. Hambali memberitahu, siasatan punca malapetaka membabitkan  tongkang  yang biasa digunakan untuk membawa bawang itu  karam  mungkin disebabkan ia membawa lebih muatan, bocor atau  tongkang  terlanggar beting pasir yang banyak terdapat di sekitar kawasan kejadian.

Tambahnya, kejadian  tongkang   karam  yang menyebabkan lebih 27 mangsa hilang itu disifatkan sebagai kejadian terbesar kemalangan di sungai yang pernah berlaku di perairan Selangor.

"Lokasi  tongkang   karam  itu memang dikenal pasti sebagai antara laluan tikus untuk PATI warga Indonesia menyeludup keluar dari negara ini secara haram," kata beliau.

Sementara itu, ekoran tragedi tersebut sebanyak 20 sampan nelayan turut membantu pihak berkuasa mencari dan menyelamat mangsa  tongkang   karam  yang hilang.

Pengerusi Persatuan Nelayan  Kuala   Langat , Mohd. Jaman Haris, 47, berkata, usaha mencari dilakukan nelayan itu dimulakan sejak pukul 7 pagi dan akan diteruskan sehingga pihak berkuasa menghentikan operasi pencarian.

Thursday, June 19, 2014

BSN sasar dana RM600 juta untuk skim pembiayaan ASB

SHAH ALAM - Bank Simpanan Nasional ( BSN ) menyasarkan dana sebanyak RM600 juta bagi Skim Pembiayaan Amanah Saham Bumiputra (ASB) yang dilancarkan pada minggu lalu dapat dilanggan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Eksekutif (Sokongan Korporat)  BSN , Ahmad Latfan Mohd. Amran berkata, skim pembiayaan itu dilancar berikutan pelantikan semula  BSN  sebagai ejen amanah saham kendalian Perbadanan Nasional Berhad (PNB) baru-baru ini.

"Kami komited untuk mencapai sasaran tersebut memandangkan  BSN  mempunyai 8.9 juta pelanggan terutamanya dalam kalangan penjawat awam.

"Semua saluran penyampaian sektor perbankan kami akan digerakkan termasuk Ejen Bank Berdaftar (EBB) bagi mempromosi skim pembiayaan berkenaan," katanya selepas merasmikan cawangan baharu  BSN  di  Seksyen   18  di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Negeri  BSN  Selangor, Kamarudin Mustapha.Cawangan baharu tersebut yang turut dilengkapi dengan mesin deposit tunai itu merupakan rangkaian ke-47 di Selangor dan ke-401 di seluruh negara.

Ahmad Laftan menjelaskan,  BSN  juga merancang untuk membuka 10 lagi cawangan baharu bank tersebut dalam tempoh separuh kedua tahun ini.

Menurut beliau, kebanyakan lokasi yang dipilih merupakan kawasan yang sedang mengalami pertumbuhan ekonomi pesat di seluruh negara.

Pelatih Kolej Auto Prima terima diploma, sijil kemahiran

CEMERLANG.Seramai 275 pelatih menerima diploma dan sijil kemahiran masing-masing pada majlis  Konvokesyen  Kolej  Auto   Prima  di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Penyampaian diploma dan sijil kemahiran itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Nidzam Kamarulzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Datuk Omar Awang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej  Auto   Prima , Juhaidi Yean Abdullah berkata, penyampaian diploma dan sijil kemahiran berkenaan melibatkan kursus autotronik, permotoran industri, mekatronik dan elektrikal.

Pelatih Diploma Lanjutan Autotronik, Aminin Naqiuddin Minhad, 24, menerima Anugerah Graduan Cemerlang atas kecemerlangannya dalam pelajaran di kolej tersebut.

Pengurus agensi asing didakwa bunuh bayi

SHAH ALAM - Seorang pengurus agensi pekerja asing dihadapkan ke  Mahkamah  Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh bayi lelaki pembantu rumah Indonesia pada akhir bulan lalu.

Tertuduh,  Wong   Weng   Yew , 41, didakwa menyebabkan kematian Esman Zues Yues, 6 bulan antara 28 Mei dan 31 Mei lalu di rumahnya di Taman Cannal, Kota Kemuning di sini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada  Weng   Yew  yang hanya mengangguk faham ketika pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Tertuduh yang juga majikan ibu bayi terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid manakala tertuduh yang merupakan bapa kepada enam anak termasuk lima anak tiri tidak diwakili peguam.

Norshakinah kemudian tidak membenarkan tertuduh dijamin selain menetapkan 14 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kosmo! pada 5 Jun lalu melaporkan mengenai tanda tanya kehilangan bayi lelaki berusia enam bulan yang merupakan anak kepada seorang pembantu rumah warga Indonesia selama lima hari akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam gaung di Kilometer 3.2, Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang.

Ekoran penemuan itu, majikan wanita Indonesia terbabit ditahan selepas dipercayai bertanggungjawab membuang mayat bayi tersebut ke dalam gaung yang terletak kira-kira 48 meter dari jalan raya.

Walaupun pembantu rumah tersebut mendakwa menjadi mangsa penderaan seksual sehingga melahirkan bayi berkenaan, namun siasatan polis kemudiannya mendapati bayi itu merupakan anak tidak sah taraf hasil hubungan sulit wanita terbabit dengan seorang lelaki warga Bangladesh.

Wednesday, June 18, 2014

Lima mayat mangsa tongkang karam ditemui

PELABUHAN KLANG - Lima mayat mangsa tongkang membawa 97 pendatang asing warga Indonesia yang karam di perairan Sungai Air Hitam dekat Pulau Carey, Kuala Langat berjaya ditemui sehingga pukul 3 petang tadi.
Ketua Penyelaras operasi mencari dan menyelamat, Leftenan Komander Maritim Mohd. Hambali Yaakop berkata, kesemua mayat itu dijumpai di sekitar perairan Kuala Langat dan Selat Lumut dekat sini.
Beliau memberitahu, setakat ini 32 mangsa masih hilang sementara 60 orang telah berjaya diselamatkan sejak operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada pukul 1 pagi tadi.
" Tongkang itu karam di muara Sungai Langat selepas berlepas kira-kira 200 meter dari jeti dan difahamkan menuju ke Acheh, Indonesia.
"Terdapat tiga kemungkinan tongkang itu karam iaitu terlanggar beting pasir, kebocoran atau lebih muatan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Klang di sini hari ini. - KOSMO!

Tragedi tongkang karam: 59 PATI diselamatkan, 38 masih hilang

KUALA LANGAT - Seramai 59 warga Indonesia dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadi mangsa tongkang karam kira-kira dua batu nautika dari Sungai Air Hitam dekat perairan Pulau Carey dekat sini berjaya diselamatkan.
Usaha mencari 38 lagi mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa. - KOSMO!

18 GRO seksi sedang menari tiang diberkas


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG – Seramai 18 pelayan pelanggan (GRO) warga asing berpakaian seksi yang sedang asyik melakukan tarian tiang diberkas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Bandar Bukit Raja, Meru di sini kelmarin.
Penahanan mereka dalam serbuan pada pukul 10 malam oleh sepasukan 11 anggota termasuk dua pegawai polis itu melibatkan 10 wanita warga Vietnam dan lapan wanita warga Thailand berusia antara 20 hingga 40 tahun
Pengawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Deputi Superintendan Abdul Ghaffar Ahmad berkata, sewaktu serbuan, semua GRO terbabit sedang melakukan aksi tarian tiang dalam keadaan mengghairahkan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua GRO terbabit didapati menyalahgunakan pas lawatan untuk bekerja di negara ini.
“Siasatan awal mendapati gadis-gadis warga asing ini hanya akan melayan pelanggan yang mengalungkan bunga ke leher mereka sebagai tips untuk menyaksikan persembahan yang mengghairahkan itu.
“Satu kalungan bunga itu berharga RM10 dan ketika ditahan, kesemua mereka mempunyai kalungan bunga di leher masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Abdul Ghaffar memberitahu, siasatan awal juga percaya wanita warga asing yang dibekalkan oleh ejen tertentu turut dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran dengan mengenakan caj RM148 bagi setiap perkhidmatan.
Katanya, aktiviti haram berkenaan bagaimanapun dipercayai dilakukan di luar premis tersebut dengan menyewa hotel-hotel.

Tuesday, June 17, 2014

Askar baru empat bulan kahwin maut kemalangan

SHAH ALAM - Seorang anggota tentera yang baru empat bulan melangsungkan perkahwinan maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dipercayai langgar lari di Kilometer 3.3 Lebuh Raya Koridor Gutrie berhampiran Bukit Jelutong di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, Mohammad Amierul Abidin, 22, yang berpangkat Prebet dalam perjalanan dari Sungai Buloh dekat sini ke pejabatnya di Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Shah Alam, Deputi Superitenden Goh Lee Shen berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 Z gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas di tempat kejadian.

“Dia yang tercampak di kemudiannya digilis oleh sebuah kenderaan lain yang masih belum dapat dikenal pasti.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selain patah kedua-dua kaki dan paha kiri,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Lee Shen berkata, jenazah mangsa telah di bawa ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk di bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Perlis.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kemalangan tersebut diminta tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

Politeknik Ungku Omar juara debat Bahasa Melayu

PETAH. Politeknik Ungku Omar, Ipoh muncul johan Pertandingan Debat Bahasa Melayu Politeknik anjuran Kementerian Pendidikan di Hotel Bluewave, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pasukan debat yang dianggotai Mohd. Akmal Izzat Abdul Aziz, 22; Widiya Stuti Mukhtar, 21; Nurul Rizka Amril, 20, dan Muhammad Faiz Mahusin, 20, menggondol hadiah wang tunai RM2,000, sijil penghargaan dan cenderahati.
Sementara itu, Puteri Pushpa Lestary Samsul Bahri, 22, dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pula dinobat sebagai pemidato terbaik sekali gus meraih wang tunai RM300, sijil penghargaan dan cenderahati.
Hadiah bagi pertandingan debat dan pidato bertemakan Mahasiswa Aset Negara itu disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Politeknik, Shahbudin Man.

Ejen pekerja asing dihadap ke mahkamah atas tuduhan bunuh bayi

SHAH ALAM - Seorang ejen pekerja asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh bayi lelaki pembantu rumah warga Indonesia pada akhir bulan lalu.
Wong Weng Yew, 41, dituduh membunuh bayi lelaki berusia enam bulan tersebut di sebuah rumah teres di Kota Kemuning di sini antara 28 Mei hingga 31 Mei lalu.
Tertuduh yang juga majikan ibu bayi terbabit dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, kes pembunuhan bayi pembantu rumah warga Indonesia itu terbongkar ekoran penemuan mayatnya di dalam sebuah gaung di Kilometer 3.2 Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang pada 3 Jun lalu. - KOSMO!

Saturday, June 14, 2014

10,000 meriahkan Festival Inap Desa Selangor

MERIAH. Lebih 10,000 hadirin termasuk pelancong asing memeriahkan Festival Inap Desa Selangor yang diadakan di taman tema digital, i-City, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Program sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi.
Sebanyak 27 inap desa termasuk 15 di sekitar Selangor menyertai program yang bertujuan untuk mempromosi pelancongan inap desa dalam kalangan pelancong.
Selain dentuman bunga api yang berwarna-warni, pengunjung turut disajikan dengan persembahan kuda kepang, wayang kulit dan demonstrasi kraftangan.

Friday, June 13, 2014

Skim Mikro Bazar Ramadan dapat sambutan menggalakkan, 7,500 permohonan diterima

SABAK BERNAM - Skim Mikro Bazar Ramadan yang dilancarkan awal bulan ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 7,500 permohonan telah diterima setakat ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, dana yang bakal diagihkan dalam jangkamasa dua minggu lagi itu bakal dimanfaatkan oleh 15,000 peniaga bazar Ramadan di seluruh negara.
"Pinjaman RM1,000 hingga RM3,00 akan diberikan kepada pemohon yang layak.
"Asalkan tidak muflis, semua pemohonan daripada peniaga kecil dan penjaja akan diluluskan," katanya selepas melancarkan Skim Mikro Bazar Ramadan peringkat Selangor di Sungai Besar dekat sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu, Datuk Ramli Norani.
Ahmad Bashah berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk meningkatkan had siling pinjaman daripada RM3,000 kepada RM5,000 pada masa depan.
Menurut beliau, ia bergantung kepada kadar pembayaran semula peminjam skim mikro terbabit.
"Saya harap dana RM45 juta yang disediakan dapat dikembalikan untuk dijadikan modal pusingan pada masa hadapan," katanya. - KOSMO!

Thursday, June 12, 2014

25 pelajar cemerlang terima anugerah Brand’s

BIJAK. Seramai 25 pelajar dari seluruh negara menerima anugerah Brand’s Smart Achievers anjuran Cerebos Malaysia Sdn. Bhd. di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Naib Presiden Cerebos Malaysia, Koh Joo Siang berkata, penerima anugerah itu merupakan pelajar cemerlang dalam pelajaran dan aktif kegiatan kokurikulum.
Pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan institusi pengajian tinggi itu masing-masing menerima ganjaran wang tunai RM500, RM1,000 dan RM1,500.

Tuesday, June 10, 2014

Pembantu rumah bekerja dengan suspek mungkin didera secara seksual

KLANG - Seramai 13 wanita  pembantu   rumah  yang bekerja dengan agensi pekerja asing diuruskan suspek kes buang bayi di dalam gaung yang ditahan polis di Kota  Kemuning  di sini kelmarin mungkin didera secara seksual.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, ibu kepada bayi berusia enam bulan yang ditemui mati dibuang di Kilometer 3.2 Jalan  Genting  Highlands, Bentong, Pahang kelmarin juga dipercayai menjadi mangsa penderaan seksual berkenaan.

Menurutnya, wanita itu turut mendakwa dirogol oleh salah seorang pelanggan majikannya hingga melahirkan bayi yang ditemui mati itu pada 21 November tahun lalu.

"Polis sedang menyiasat dakwaan penderaan seksual oleh  pembantu   rumah  ini dengan terperinci kerana tiada laporan polis dibuat sebelum ini.

"Sehingga hari ini (semalam), seramai 13  pembantu   rumah  warga  Indonesia  yang bekerja di agensi berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Kapar dekat sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai seorang ejen pekerja asing berusia 40-an ditahan berhubung penemuan mayat bayi lelaki berusia enam bulan di dalam gaung di Kilometer 3.2 Jalan  Genting  Highlands, Bentong, Pahang kelmarin.

Sebelum itu, ibu mangsa membuat laporan polis mendakwa majikannya itu telah 'menjual' bayi nya yang merupakan anak tidak sah taraf itu kepada seorang lelaki tempatan pada Sabtu lalu.

Abdul Samah memberitahu, seramai 16  pembantu   rumah  warga  Indonesia  yang bekerja di agensi sama juga kini diburu selepas menghilangkan diri sebaik kes kematian bayi itu terbongkar.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, punca sebenar kematian bayi tersebut masih belum diketahui.

Friday, June 6, 2014

Jumpa mayat belakang sekolah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


KLANG – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Klang gempar apabila seorang lelaki dalam keadaan tertiarap yang mati dibunuh ditemui di belakang bangunan sekolah berkenaan di Jalan Kota di sini semalam.
Mayat lelaki tempatan berusia 30-an itu ditemui seorang penduduk tempatan yang sedang berjoging di situ pada pukul 7.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pemeriksaan mendapati kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan parah pada kepala dipercayai akibat tetakan senjata tajam.

"Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badan lelaki itu.

"Kami percaya dia telah meninggal dunia kira-kira tujuh hingga 10 jam sebelum ditemui. Kemungkinan mangsa disamun tidak ditolak memandangkan tiada wang tunai ditemui pada mangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kamarul Zaman berkata,  mayat  lelaki tersebut dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat.

Ujarnya, identiti mangsa masih belum diketahui dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dan kenalan diminta tampil menghubungi polis untuk membuat pengecaman," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Thursday, June 5, 2014

Mayat bayi dibuang di gaung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Tanda tanya kehilangan bayi lelaki berusia enam bulan yang merupakan anak kepada seorang pembantu rumah warga Indonesia sejak Sabtu lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam gaung di Kilometer 3.2 Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang semalam.
Mayat itu ditemui di gaung yang terletak kira-kira 48 meter dari jalan raya, dipercayai dibuang oleh majikan ibunya yang merupakan seorang pengusaha agensi pekerja asing pada hari dia dilaporkan hilang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Roslan Abdullah berkata, kehilangan bayi itu terbongkar selepas ibu mangsa yang berusia 33 tahun membuat laporan polis mendakwa majikannya yang berusia 40-an telah ‘menjual’ bayi malang tersebut kepada seorang lelaki warga tempatan.Menurutnya, polis yang ke rumah suspek di Kota Kemuning di sini kemudian mendapati dia dan isterinya telah melarikan diri dengan menginap di sebuah hotel di Cheras, Kuala Lumpur," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

"Suspek dan isterinya bagaimanapun berjaya ditahan di sekitar bandar raya ini semalam (kelmarin). 

"Hasil soal siasat yang dijalankan, lelaki ini mengaku telah membuang mayat  bayi  tersebut di  gaung  pada Sabtu lalu," katanya.

Roslan memberitahu, lelaki tersebut mendakwa  bayi  tersebut telah meninggal dunia semasa berada di asrama pekerjanya di Kota Kemuning. 

Tambahnya, ekoran itu, suspek membungkus mayat tersebut di dalam sebuah beg plastik sebelum membuangnya di sebuah  gaung  berhampiran pusat peranginan  Genting  Highlands. Jarak  gaung  berkenaan dengan asrama pekerja itu kira-kira 80 kilometer.

"Gerakan mencari kemudian dilakukan dan mayat  bayi  tersebut berjaya ditemui dalam keadaan kembung dan berulat pada pukul 11 pagi tadi (semalam).

"Mayat ini kemudian dihantar di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan bedah siasat akan dilakukan esok pagi (hari ini) bagi mengetahui punca kematian," katanya.Menurutnya, wanita warga Indonesia berkenaan dipercayai dirogol ketika bekerja sebagai pembantu rumah kepada pelanggan majikan sehingga melahirkan  bayi  itu.

"Kejadian perkosa ini bukan sahaja tidak dilaporkan, malah pembantu rumah Indonesia tersebut dipaksa bekerja dengan beberapa majikan lain dalam keadaan hamil sehingga dia melahirkan anak pada 21 November lalu.

"Kita sedang menyiasat kemungkinan kesemua pekerja wanita warga Indonesia termasuk ibu mangsa turut didera secara seksual oleh suspek," katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, siasatan lanjut juga mendapati agensi pekerja asing dikendali lelaki itu adalah haram dan wanita-wanita Indonesia yang ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah jangka pendek pula tidak pernah menerima gaji mereka.

Suspek kini ditahan reman sehingga 10 Jun ini bagi membantu kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Vene Renouvel merawat kulit wajah


SHAH ALAM - Syarikat produk kecantikan,  Vene  Beauty and Health melancarkan produk krim penjagaan wajah,  Vene  Renou- vel.

Pengasasnya,  Vene  Amylinda Mohd. Pilus berkata,  Vene  Renouvel merupakan produk kedua syarikatnya selepas memperkenalkan losen pelangsingan  Vene  yang diperkenalkan pada bulan Mac tahun lalu.

" Vene  Renouvel diperkaya dengan 15 herba dan buah-buahan yang kaya dengan antioksida dan nutrien yang diperlukan oleh kulit wajah.

"Ia dirumus dengan teknologi Liposomal Encapsulated Technology yang menjadikan krim tersebut dapat menyerap ke dalam kulit wajah dengan lebih pantas," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk tersebut oleh Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin di sini baru-baru ini.

Turut hadir duta produk  Vene , pelakon Wilma Muhammad.

 Vene  Amylinda menjelaskan, antara ramuan  Vene  Renouvel ialah minyak biji buah jojoba, ekstrak bunga teratai, kulit limau, minyak bunga thymus zygis, buah delima, minyak bunga matahari dan daun mimba.

Menurut beliau, penggunaan krim muka tersebut secara konsisten bakal melembapkan kulit wajah, memperbaiki keanjalan, mengecilkan pori-pori, mengurangkan ketidakseimbangan warna tona dan membantu pertumbuhan sel kulit baru.

Ujar  Vene  Amylinda, produk krim muka tersebut yang dijual pada harga RM80 boleh didapati di kedai-kedai terpilih di Lembah Klang.

Ia juga boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web www. vene .com.- my dan akaun Facebook, facebook.com/veneofficial.

Wednesday, June 4, 2014

Polis kesan ah long guna pelajar gantung iklan pinjaman

SHAH ALAM - Polis melahirkan kebimbangan terhadap modus operandi sindiket pinjaman wang haram, ah long yang mengeksploitasi golongan pelajar untuk menggantung dan mengedar risalah serta  poster  aktiviti haram mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Pin berkata, penglibatan golongan remaja yang bekerja secara sambilan dengan sindiket ah long terbabit dilihat semakin berleluasa pada musim cuti persekolahan ini.

"Perbuatan remaja tersebut mengedar dan menggantung risalah serta  poster  itu boleh dianggap membantu perniagaan wang haram tersebut dan ia salah di sisi undang-undang.

"Ekoran itu, ibu bapa dinasihatkan supaya memantau aktiviti anak-anak mereka terutama pada musim cuti persekolahan ini agar tidak terjebak dengan sindiket ah long," katanya ketika mengetuai operasi menurunkan  poster  dan risalah berkaitan ah long di sekitar  Taman   Sri   Muda  di sini semalam.

Operasi bersepadu tersebut melibatkan lebih 100 anggota polis, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Mun Pin berkata, individu termasuk remaja yang terlibat membantu aktiviti haram sindiket ah Long seperti menggantung dan mengedar  poster  serta risalah boleh didakwa mengikut Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Festival sukan pelajar Fakulti Sains Kesihatan UiTM

AKTIF. Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor menganjurkan Festival Sukan Mega Sains Kesihatan di kampus itu baru-baru ini.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Kesihatan, Dr. Hanafi Ali berkata, festival selama lima hari itu bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar fakulti berkenaan.
Beliau berkata, antara acara sukan yang dianjurkan sepanjang program tersebut ialah bola keranjang, bola baling, futsal dan larian.
Festival Sukan Mega Sains Kesihatan kali ketiga berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Jeram, Datuk Amiruddin Setro.

Tuesday, June 3, 2014

Polis Marin rampas diesel bersubsidi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN KLANG - Cubaan sebuah sindiket untuk menyeludup 50,000 liter  diesel  bersubsidi menggunakan jalan laut berjaya dipatahkan Pasukan  Polis   Marin  (PPM) di perairan  Tanjung   Harapan  dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan rondaan di perairan tersebut telah bertindak menahan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah  Marin  Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan  diesel  yang bernilai RM100,000.

"Pemilik bot berkenaan gagal menunjukkan dokumen daripada pihak berwajib berkenaan kebenaran membawa dan memiliki  diesel  berkenaan.

"Oleh itu, tindakan merampas bahan api berkenaan bersama bot yang dianggarkan bernilai RM250,000 telah dilakukan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Norzaid berkata, tiga lelaki warga Indonesia yang merupakan jurukemudi dan awak-awak bot tersebut berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun turut diberkas kerana disyaki anggota sindiket penyeludupan  diesel  bersubsidi berkenaan.

Menurut beliau, bot terbabit turut disita di Pangkalan  Marin  Pelabuhan Klang manakala muatan  diesel  terbabit telah diserahkan kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

123 guru SMK Tengku Ampuan Rahimah diraikan

PENGHARGAAN. Seramai 123 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Pelabuhan Klang, Klang, Selangor diraikan dalam sambutan Hari Guru baru-baru ini.
Ketua Pengawas SMK Tengku Ampuan Rahimah, Benjemin Soe Zxepin berkata, sambutan Hari Guru peringkat sekolah tersebut tahun ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar tanpa pembabitan guru.
"Acara sambutan Hari Guru sekolah ini dimulakan dengan sarapan, perarakan guru-guru bersama iringan bunga manggar dan beberapa acara lain seperti sukaneka serta penyampaian anugerah khas guru.
"Kesemua 1,959 pelajar sekolah ini masing-masing menyumbang RM2 untuk menjayakan program ini bagi menghargai jasa serta pengorbanan guru selama ini," katanya.