Translate

Sunday, May 25, 2014

Persatuan Nelayan Kuala Selangor buka Restoran d'Coral Ikan Bakar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA SELANGOR - Persatuan Nelayan Kuala Selangor meneroka bidang perniagaan makanan dengan membuka  Restoran  d'Coral Ikan Bakar di  Pasir   Penambang  di sini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Selangor, Omar Abdul Rahim berkata, pembukaan  restoran  yang berkonsepkan makanan laut ala Thai itu bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan nelayan di daerah tersebut.

"Keunikan  Restoran  d'Coral Ikan Bakar berbanding  restoran  makanan laut lain yang terdapat di sekitar Kuala Selangor ialah ia merupakan satu-satunya premis yang turut menyediakan hida- ngan berasaskan ikan air tawar.

"Antara ikan air tawar yang terdapat di  restoran  ini ialah ikan kelah, patin, talapia dan jelawat," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan  restoran  tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah rakan kongsi yang turut menguruskan  restoran  tersebut iaitu Masli Isa dan James Wong.

Omar menjelaskan,  Restoran  d'Coral Ikan Bakar yang dibuka setiap hari itu turut menyajikan hidangan berasaskan ikan kerapu, jenahak, siakap dan ketutu.

Tambah beliau, kesemua bekalan ikan tersebut diperoleh segar daripada nelayan laut dalam dan darat dari sekitar Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

"Kami juga menyajikan menu masakan istimewa dari negara Thailand seperti kari hijau ikan dan tom yam kung.

"Pada masa hadapan, kami juga bercadang untuk memasarkan produk hiliran nelayan seperti bebola ikan sebagai pilihan kepada pelanggan  Restoran  d'Coral Ikan Bakar," katanya.

No comments:

Post a Comment