Translate

Tuesday, May 13, 2014

Ditahan masa leka punggah kontena


KLANG – Sekumpulan penyamun yang sedang leka memunggah sebuah kontena selepas memecah masuk sebuah premis perniagaan tergamam apabila mereka dikepung sepasukan polis di Jalan Batu Tiga Lama, Kapar dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu, empat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an tersebut dicekup sebelum sempat melarikan pelbagai peralatan elektrik seperti televisyen litar tertutup dan mesin pencetak yang dianggar bernilai puluhan ribu ringgit.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, terdahulu, mangsa, seorang ahli perniagaan telah dimaklumkan oleh rakannya melalui panggilan telefon bahawa premis miliknya itu disyaki dipecah masuk.
"Sebaik sahaja menerima maklumat itu, dia yang menetap di pusat bandar  Klang  telah bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta.

"Mangsa yang terserempak dengan sebuah sekatan jalan raya kemudiannya telah memaklumkan mengenai kejadian pecah masuk itu kepada anggota polis bertugas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Klang   Utara , Kapar dekat sini semalam.

Mohd. Shukor berkata, sebaik menerima maklumat itu, sebahagian anggota polis terbabit telah mengikuti mangsa ke premis penyimpanan  kontena  terbabit.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, keempat-empat penjenayah terbabit yang sedang sibuk memunggah barangan berharga daripada  kontena  ke dalam sebuah lori tergamam dengan kehadiran pihak berkuasa lalu cuba melarikan diri.

"Dua daripada suspek berjaya diberkas manakala dua lagi berjaya meloloskan diri. 

Pelbagai senjata dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti pecah masuk itu seperti tiga bilah parang, tukul besi, pemotong besi dan spana turut dijumpai di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia awal 30-an itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes samun," katanya.

Mohd. Shukor berkata, gerakan memburu dua lagi suspek sedang digiatkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 akta sama.

No comments:

Post a Comment