Translate

Tuesday, May 6, 2014

Abdul Harith CEO baharu Proton

SHAH ALAM - Pengurusan tertinggi Kumpulan DRB-HICOM mengumumkan  Datuk   Abdul   Harith   Abdullah  sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  Proton  Holdings Berhad ( Proton ) berkuatkuasa semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, sebagai CEO baharu  Proton , tugasan sulung  Abdul   Harith  adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap produk syarikat automobil pertama negara itu.
"Pengurusan baharu  Proton  perlu memenangi semula hati masyarakat yang masih berpersepsi negatif. Berikan model kenderaan yang dimahukan mereka daripada segi kualiti, harga dan penghantaran," katanya di sini semalam.

Mohd. Khamil ditemui selepas mengumumkan dua graduan Kolej Automobil Antarabangsa yang akan menjalani latihan industri di kilang pengeluaran Volkswagen Autoeuropa di Palmela, Portugal.

Turut hadir ialah  Abdul   Harith  dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti HICOM Sdn. Bhd., Sharifah Halimah Syed Ahmad.

Jualan kenderaan  Proton  pada suku pertama tahun ini merosot kepada 32,734 unit berbanding 34,343 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Malah penguasaan pasaran kereta buatan nasional iaitu  Proton  dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd., (Perodua) juga menurun kepada 48 peratus berbanding 51.1 peratus pada tahun 2013.

Mohd. Khamil menjelaskan, kualiti produk kenderaan yang dikeluarkan  Proton  sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebenarnya telah menunjukkan peningkatan ketara.

Menurut beliau, ia dibuktikan oleh pengurangan rungutan yang diterima daripada pengguna terutama untuk model Preve.

"Kami bersedia menerima sebarang idea, pendapat, cadangan dan kritikan untuk menukar persepsi masyarakat terhadap  Proton ," katanya.
Sementara itu,  Abdul   Harith  yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) ketika ditemui berkata, langkah pertama yang akan diambil untuk memulihkan semula reputasi  Proton  ialah menekankan perkhidmatan pelanggan.

No comments:

Post a Comment