Translate

Monday, April 21, 2014

Wang hantaran, gelang emas bakal pengantin dirompak

KUALA LANGAT - Seorang bakal pengantin perempuan yang akan melangsungkan perkahwinan minggu depan berputih mata apabila wang hantaran berjumlah RM12,000 dan seutas gelang emas yang mahu digunakan dalam upacara membatal air sembahyang dilarikan penjenayah.
Turut lesap ialah barangan berharga lain milik ahli keluarga Afiza Johardi, 36, seperti wang tunai RM11,000, sembilan telefon bimbit dan sejumlah lagi barangan kemas yang dianggar bernilai RM30,000.
Kejadian pada pukul 4 pagi kelmarin itu berlaku apabila rumah keluarga bakal pengantin di Batu 7, Sijangkang dekat sini dipecah masuk enam penyamun dipercayai rakyat Indonesia.
Mengimbas kejadian tersebut, Afiza yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 27 April ini memberitahu, dia yang tidur di sebuah bilik di tingkat atas rumah kampung keluarganya dikejutkan seorang penjenayah yang memasuki rumahnya.
"Sambil meletakkan pisau pemotong daging ke leher saya, lelaki itu meminta saya menunjukkan tempat menyimpan wang tunai dan barangan kemas jika tidak mahu diapa-apakan.
"Kemudia, kedua-dua tangan saya dan adik saya, Mohd. Hafiz, 28, yang tidur di ruang tamu di hadapan bilik diikat sebelum kami berdua diarah untuk menunjukkan bilik tidur ibu dan ayah kami," ceritanya ketika diziarah Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli di rumahnya semalam.
Ibu bapa Afiza, Johardi Samadi, 61, dan Siti Salamiah Sahlan, 54, semasa kejadian tidur di sebuah bilik yang terletak di tingkat bawah rumah.
Bakal pengantin itu memberitahu, kesemua mereka kecuali ibunya telah diikat pada kedua-dua belah tangan oleh kumpulan penjenayah yang menutup kepala dan mulut masing-masing.
"Penjenayah itu memberi ibu minum air setelah kami merayu agar ibu tidak diapa-apakan," cerita Afiza.
Menurut Afiza, penjenayah itu mengambil masa 20 minit menggeledah seluruh rumahnya sebelum melarikan barangan berharga milik dia sekeluarga.
Bagaimanapun, majlis perkahwinannya akan tetap berlangsung seperti ditetapkan.
Sejam sebelum kejadian di rumah Afiza, kumpulan sama dikatakan merompak pula rumahnya jirannya yang terletak kira-kira 100 meter dari situ.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak mengesahkan dua kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment