Translate

Monday, April 14, 2014

Tidak puas hati tiga usul penting ditolak

SHAH ALAM - Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional ( BN )  Selangor  melahirkan rasa tidak puas hati apabila tiga daripada empat  usul  yang dikemukakan untuk dibahaskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Ke-13 bagi penggal kedua bermula semalam telah ditolak.
Ketua Pembangkang  Selangor , Datuk Mohd. Shamsudin Lias (gambar) yang mewakili  BN -Sungai Burong berkata, tiga  usul  tersebut ialah penamatan kontrak kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri  Selangor  ( PKNS ) dan pelantikan Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu serta sokongan terhadap tindakan Jabatan Agama Islam  Selangor  (JAIS) menyita kitab Bible berbahasa Melayu.

Menurut beliau, satu lagi  usul  yang ditolak Speaker  DUN   Selangor , Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya) ialah mempertahankan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

"Sepatutnya  usul - usul  tersebut tidak ditolak kerana ia merupakan perkara yang penting dan notis mengenai  usul  itu telah diberikan dalam tempoh mengikut peraturan.

"Ia juga melibatkan kepentingan awam kerana isu-isu tersebut ( PKNS  dan JAIS) telah menimbulkan banyak polemik dalam kalangan rakyat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan  DUN   Selangor  Ke-13 di sini semalam.

Sementara itu Mohd. Shamsudin berkata,  usul  mempertahankan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 pula adalah sebagai maklum balas terhadap kenyataan beberapa ADUN pakatan pembangkang  Selangor  sebelum ini yang mahu enakmen tersebut dipinda.

Beliau berkata, satu-satunya  usul   BN   Selangor  yang diterima untuk dibahaskan ialah bantahan terhadap tuntutan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango).

No comments:

Post a Comment