Translate

Saturday, April 12, 2014

JAIS tarik balik buku teks SRA

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menarik balik buku teks subjek khat yang digunakan murid tahun tiga sekolah rendah agama (SRA) di negeri itu kerana didapati berunsurkan Syiah.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, JAIS, Mohammad Amir Danuri berkata, tindakan itu dilakukan selepas pemeriksaan mendapati muka surat satu dan tiga buku teks tersebut mengandungi tulisan khat berunsurkan fahaman Syiah.
“Sehubungan itu, kesemua guru besar SRA di Selangor diarahkan mengumpulkan buku tersebut daripada murid-murid dengan serta-merta.
“Pengarah Tadbir Agama dan Penolong Pegawai Tadbir Agama di setiap daerah telah diminta untuk memastikan tindakan berkenaan dilaksana,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohammad Amir berkata, jabatannya yang membuat semakan sebelum ini akan memperbetulkan semula kesilapan cetakan pada buku teks berkenaan sebelum dihantar kepada pihak penerbitan untuk dicetak semula.

Menurut beliau, pihaknya akan menghantar semula buku teks yang dibetulkan cetakannya kepada SRA terlibat.

"Kita juga sedang menyiasat sama ada kesilapan tersebut disengajakan atau sebaliknya. Jawatankuasa penyemak buku teks SAR Selangor telah diminta agar lebih teliti selepas ini," katanya.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Pengerusi Sekreteriat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Dr. Fathul Bari Mat Jahya menggesa JAIS memperbetulkan segera tulisan berbahasa Arab pada buku teks khat SRA di Selangor yang memaparkan ayat berbahasa Arab bermaksud "setiap hari adalah hari Asyura dan setiap tanah adalah tanah Karbala.

Asyura merujuk kepada hari ke sepuluh bulan Muharram yang dihormati orang Islam kerana banyak peristiwa besar melibatkan nabi-nabi berlaku pada hari tersebut.

Pengikut Syiah pula menyambut hari tersebut untuk memperingati kesyahidan cucu Nabi Muhammad, Saidina Hussain yang terkorban di Karbala, Iraq dalam pertempuran dengan pasukan Bani Umayyah diketuai Ubaidullah Ibu Ziyad pada tahun 61 Hijrah.

No comments:

Post a Comment