Translate

Saturday, February 15, 2014

Rumah Karam Singh diceroboh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG - Wartawan penyiaran stesen televisyen TV3, Datuk Karam Singh Walia (gambar kecil) kerugian lebih RM130,000 apabila kereta dan televisyen dilarikan selepas rumahnya di Taman Sri Andalas dekat sini dipecah masuk kelmarin.
Kejadian itu disedari isterinya, Bhagwant Kaur, 55, yang menerima isyarat daripada sistem penggera di rumahnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, Bhagwant yang pada ketika itu masih berada di pejabatnya di sebuah agensi kerajaan di Shah Alam dekat sini bergegas pulang ke rumah sebaik menerima isyarat itu.
"Setiba di rumah yang semasa kejadian tiada penghuni, wanita itu menemui kesan-kesan pecah rumah dengan mangga pintu depan telah dirosakkan.
"Di dalam rumah itu pula, almari di tingkat atas berselerak dengan sebuah televisyen hilang," kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.
Turut hilang sebuah kereta Volkswagen Passat milik selebriti itu yang diletakkan di depan rumah dua tingkat miliknya.
Bagaimanapun, tiada barang kemas atau wang yang dilaporkan hilang.
Menurut beliau, rumah wartawan itu yang terletak di jalan utama taman perumahan tersebut dilengkapi dengan sistem penggera tetapi tiada televisyen litar tertutup.
Polis sedang mengesan penjenayah terlibat berdasarkan penemuan beberapa cap jari di rumah mangsa.
Kamarul berkata, semasa kejadian difahamkan Karam Singh berada di Sabah untuk membuat liputan mengenai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sempena ulang tahun pertama pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.
Sebelum ini, rumah wartawan terkenal itu pernah dipecah masuk melibatkan kerugian hampir RM100,000 pada Julai 2009.

No comments:

Post a Comment