Translate

Wednesday, February 26, 2014

Nasib malang penyamun Indonesia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUHAMMAD AMINNURALIFF MOHAMAD ZOKI
berita@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Hasrat sekumpulan penjenayah warga Indonesia berjoli dengan hasil rompakan dari banglo seorang juruterbang di Seksyen 13 di sini semalam tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka mati ditembak polis manakala barangan disamun tercicir bersama suspek yang mati itu.
Suspek itu mati di Kilometer 7.8, Lebuh Raya Klang Baru (NKVE) selepas dua jam dia dan kumpulannya merompak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, semasa rompakan pukul 4 pagi berhampiran Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, keempat-empat penjenayah mengikat anak lelaki juruterbang yang berusia 24 tahun.

Turut berada di rumah semasa kejadian ialah isteri juruterbang itu dan lima ahli keluarga lain. Juruterbang itu tiada di rumah.

Menurut beliau, kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan sebuah komputer riba, tiga buah telefon bimbit dan seutas rantai emas menyebabkan keluarga itu kerugian kira-kira RM10,000.

Bagaimanapun, menurut beliau, polis yang menerima maklumat kejadian itu menghantar kereta peronda ke lokasi kejadian dan ternampak sebuah Toyota Hilux yang diletakkan di tepi jalan kira-kira 500 meter dari rumah yang disamun.

"Seorang anggota polis turun bagi memeriksa Toyota Hilux tersebut tetapi kenderaan itu tiba-tiba memecut laju," kata beliau.

Peronda polis mengejar Toyota Hilux itu dan meninggalkan anggota polis berpangkat lans koperal mengawal di situ.

"Sejurus selepas itu, lans koperal berkenaan terserempak dengan empat penjenayah yang bersembunyi di dalam longkang di situ selepas merompak.

"Seorang suspek melibas parang ke arah anggota polis itu menyebabkan lans koperal itu cedera di lengan kiri.

"Anggota polis itu kemudian melepaskan tiga das tembakan dan menyebabkan suspek itu mati," kata beliau.

Tiga lagi penjenayah itu melarikan diri ke kawasan belukar dan sehingga sekarang gerakan memburu sedang dijalankan.

Mengenai Toyota Hilux yang dikejar itu, beliau berkata, polis berjaya memintas kenderaan itu di hadapan sebuah kilang gula di Batu Tiga di sini selepas kira-kira lima kilometer dikejar.

Polis menahan dua lelaki tempatan berumur 25 dan 24 tahun yang masing-masing ada rekod jenayah. 

Polis turut menahan seorang pemandu teksi yang berada di sebuah surau berhampiran bagi membantu siasatan kes rompakan itu.

Tambah Mohd. Shukri, pemeriksaan di lokasi seorang suspek ditembak mati menjumpai sebuah beg mengandungi kesemua barangan disamun di rumah juruterbang itu.Penyamun yang ditembak mati itu pula berusia 34 tahun dan dia didapati memasuki negara ini pada 14 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment