Translate

Wednesday, February 5, 2014

23 pegawai, kakitangan PKNS Holdings dipecat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilanda kontroversi lagi apabila seramai 23 kakitangan termasuk empat pegawai pengurusan tertinggi dipecat berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang notis pemberitahuan awal.
Mereka yang dipecat merupakan pegawai dan kakitangan anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn. Bhd. termasuk Ketua di Jabatan Pemasaran, Sumber Manusia, Kewangan dan Pembangunan Perniagaan yang rata-rata telah berkhidmat secara kontrak. Tempoh paling lama perkhidmatan adalah tiga tahun, manakala yang baru adalah empat bulan.
Wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas Pengurus Kanan Pemasaran PKNS Holdings, Dr. Alif Aiman Abdullah berkata, notis penamatan kontrak itu tidak mengikut prosedur kerana ia bukan sahaja dilakukan tanpa notis pemberitahuan awal, malah melanggar kontrak apabila hanya menawarkan pampasan dua bulan.

"Kami terkejut dan terkilan tiba-tiba menerima notis penamatan kontrak sebaik sahaja memasuki pejabat pagi tadi (semalam).

"Berdasarkan notis itu, ia sebenarnya telah berkuat kuasa semalam (kelmarin) dengan alasan penstrukturan semula organisasi yang tidak pernah pun didengar kami sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Alif Aiman mendakwa, berdasarkan notis penamatan kontrak yang ditandatangani oleh Pengerusi  PKNS   Holdings , Datin Paduka Norazlina Zakaria tersebut, mereka dijanjikan pampasan antara satu dan dua bulan gaji.

Dakwanya, perbuatan itu bertentangan dengan prosedur kerana pampasan pemberhentian kerja sepatutnya dibayar mengikut baki tempoh kontrak yang masih berbaki.

"Kami rata-ratanya pekerja berkemahiran tinggi yang sanggup meninggalkan pekerjaan tetap di sektor awam dan swasta sebelum ini demi memperkasa  PKNS.

"Setelah bekerja bertungkus-lumus meningkatkan keuntungan dan imej  PKNS , ini pula balasan yang kami terima," dakwanya.

Alif Aiman memberitahu, mereka kini buntu memikirkan masa depan keluarga masing-masing selepas kehilangan kerja secara tiba-tiba dan akan membuat aduan mengenai pemecatan yang didakwa tidak adil itu di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Selangor di sini hari ini.

Mereka percaya penyingkiran tersebut mempunyai kaitan dengan kemelut yang melanda  PKNS  pada bulan lalu melibatkan pertikaian antara Kerajaan Selangor dengan bekas Pengurus Besar dan Setiausaha Kerja  PKNS , Datuk Othman Omar dan Norita Mohd. Sidek.

Othman dan Norita kini digantung tugas dan dipindahkan ke ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selepas menghadapi siasatan dalaman berhubung kes penamatan perkhidmatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga agensi itu.

 PKNS  Holding merupakan anak syarikat  PKNS  yang menempatkan tenaga kerja profesional dan berpengalaman yang berfungsi sebagai sokongan kepada aktiviti perniagaan agensi kerajaan negeri Selangor tersebut.

No comments:

Post a Comment