Translate

Friday, January 31, 2014

Rahsia lelaki Romania bawa tas tangan wanita

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Cubaan seorang lelaki Romania menjadikan Malaysia sebagai transit penyeludupan  dadah  ke negara lain gagal apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA ), Sepang dekat sini pada Isnin lalu.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang setelah dilihat dalam keadaan curiga kerana membawa enam tas tangan wanita.

Ketika kejadian, lelaki terbabit baru tiba dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dan sedang menunggu ketibaan sebuah pesawat lain untuk ke Hanoi, Vietnam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, hasil pemeriksaan menemui 12 bungkusan plastik berisi  dadah  jenis  kokain  disorok di bawah tas tangan wanita yang dibawa suspek.

Menurut beliau, bahagian bawah tas tangan tersebut telah dijahit semula dengan kemas setelah  dadah  dimasukkan bagi mengelakkan pihak berkuasa mengesan kegiatan haram itu.

"Bagaimanapun, taktik ini berjaya dikesan dan kami telah merampas kesemua  dadah  tersebut seberat 2.79 kilogram bernilai RM800,000 daripada suspek," kata beliau pada sidang akhbar di Pusat Media Selangor di sini semalam.

Dalam kes berasingan, Nordin memberitahu, pihaknya telah menahan seorang wanita warga Tanzania di sebuah hotel di Sepang dekat sini pada pukul 11.20 pagi, 11 Januari lalu kerana disyaki cuba menyeludup masuk  dadah  jenis syabu dengan menelan beberapa kapsul.

Beliau berkata, pemeriksaan di hospital kemudian menemui lima kapsul berisi  dadah  seberat 109 gram bernilai RM1,500 berada di dalam perut suspek yang berusia 38 tahun dan merupakan ahli perniagaan.

Kedua-dua suspek warga asing terbabit kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta  Dadah  Berbahaya 1952 kerana mengedar  dadah  dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

No comments:

Post a Comment