Translate

Tuesday, December 24, 2013

PPPMP keluar produk sendiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH -  Persatuan   Penjaja  dan Peniaga Melayu  Perak  (PPPMP) menyasar untuk mengeluarkan  produk  jenama sendiri pada awal tahun depan menerusi kerjasama strategik dengan syarikat pemprosesan dan pengurusan pemasaran, penjualan serta pengedaran, Sidratul Aduka Sdn. Bhd. (Sidratul Aduka).

Yang Dipertua PPPMP, Datuk Omar Ahmad berkata, buat permulaan, tiga  produk  keluaran ahli  persatuan  tersebut yang berpotensi telah dikenal pasti bagi tujuan pengkomersialan.

"Sidratul Aduka bukan sahaja mempunyai sebuah kilang pemprosesan dan pengeluaran yang memiliki pensijilan Amalan Pengilangan Islam (IMP), malah berpengalaman luas dalam pengurusan pemasaran dan pengedaran.

"Selain itu, kerjasama strategik ini juga membolehkan ahli PPPMP yang kini berjumlah lebih 80,000 orang menerima latihan mengenai pembungkusan, jenama dan sijil pengesahan halal daripada syarikat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengurus Divisyen Pemasaran dan Pengedaran Sidratul Aduka, Ramli Abas di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Perjanjian itu ditandatangani pada majlis sambutan Hari  Penjaja  dan Peniaga Kecil peringkat  Perak  yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria.

Sementara itu, Ramli berkata, syarikat tersebut mempunyai kepakaran dalam bidang pemprosesan, pemasaran, penjualan dan pengedaran  produk  halal seperti makanan, minuman dan kosmetik di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Tambahnya, kilang Sidratul Aduka yang terletak di Taman Perindustrian IKS MIEL, Kuala Kangsar merupakan satu-satunya premis pengeluar dan pemprosesan yang memperoleh pensijilan IMP.

"Pada ketika ini, sebanyak 100 buah syarikat menggunakkan perkhidmatan memproses dan mengeluarkan  produk  mereka di kilang kami," katanya.

1 comment:

  1. P/s:Kami menjemput semua blogger Ping di PingBlog.Net,Skrip agregator terkini dengan ping sangat mudah kerana auto description dan juga auto image.Setiap artikel yang telah di ping akan kami submit sekali lagi pada 'google index'secara auto dan manual untuk memaksa google indeks blog anda sekerap mungkin. Artikel anda akan dipost pada twitter dan 294 fanpage serta group facebook.Kualiti Backlink,dan highkan rank blog anda dengan memasang banner kecil kami !

    ReplyDelete