Translate

Saturday, December 21, 2013

Dua kakitangan JPJ Perak dituduh godam sistem aplikasi SIKAP

IPOH - Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menggodam sistem aplikasi SIKAP bagi melepaskan sekatan terhadap dua pemilik kenderaan yang telah disenarai hitam lebih setahun lalu.

Pegawai JPJ, Abd. Rahim Kasim, 58, yang bertugas di Unit Pentadbiran JPJ negeri dituduh melakukan kesalahan itu pada 28 Jun dan 19 Julai 2012.

Tertuduh kedua, N. Na Pragaashkumar, 37, yang merupakan seorang kerani JPJ Perak pula dituduh bersubahat dengan
Abd. Rahim yang berasal dari Manjoi Baru Tambahan di sini. Pragaashkumar baru mendapat anak sulung kira-kira enam hari lalu.

Abd. Rahim didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di pejabat JPJ Perak bertujuan untuk membantu pemilik kenderaan tersebut memperbaharui cukai jalan yang luput tempoh melebihi setahun tanpa menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

SIKAP ialah sistem penyampaian perkhidmatan JPJ seperti memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan secara dalam talian yang digunakan sejak tahun 1992 dan telah digantikan dengan sistem baharu, mySIKAP mulai 21 Oktober lalu.

Mereka diberkas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada pukul 11.10 pagi dan 11.40 pagi ketika  bertugas.

Abd. Rahim dan  N. Pragaashkumar yang didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Jenayah Komputer 1997 mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM150,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Hakim Madihah Harullah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 22 Januari depan.

Mereka membayar wang tersebut.

No comments:

Post a Comment