Translate

Saturday, November 30, 2013

Program simposium pemimpin masyarakat Hulu Perak

TIMBA ILMU. Seramai 80 pemimpin masyarakat dari sekitar daerah Hulu Perak menyertai Simposium Profesionalisme Pemimpin Masyarakat di Kolej Komuniti Gerik (KKG), Perak baru-baru ini.
Pengarah Kolej Komuniti Gerik, Mohd. Azli Adnan berkata, simposium yang dianjurkan oleh KKG dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak itu bertujuan memantapkan lagi kepimpinan tempatan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, peserta yang terdiri daripada penghulu, pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tersebut didedah tentang maklumat terbaharu bagi meningkatkan lagi tahap kepimpinan mereka.
"Selain itu jalinan hubungan baik antara pemimpin setempat tersebut diharap dapat memudahkan penyampaian informasi mengenai kursus-kursus terkini yang ditawarkan KKG," katanya.

Friday, November 29, 2013

Pengusaha sayur dan bunga Cameron Highlands dakwa kos meningkat

Mansuhkan fi, caj keluar permit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pengusaha sayur dan bunga di  Cameron  Highlands, Pahang merayu kerajaan agar memansuhkan pelaksanaan pengenalan fi dan caj tambahan terhadap pengeluaran  permit   eksport  produk pertanian yang mula dikuatkuasakan pada 28 Oktober lalu.
Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Pengusaha Bunga  Cameron  Highlands, Yong Leong Meng mendakwa, pengenalan fi dan caj baharu yang dipungut oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) itu telah menyebabkan kos mendapatkan  permit   eksport  meningkat sehingga lebih 500 peratus.

"Kami sangat terbeban kerana bagi mendapatkan  permit   eksport  produk sayur dan bunga, caj RM71.74 bagi setiap konsainan (kiriman) dikenakan berbanding hanya RM18.24 sebelum ini.

"Justeru, saya mewakili lima persatuan pekebun sayur dan bunga di  Cameron  Highlands merayu kerajaan agar menimbang semula pelaksanaan fi dan caj tambahan ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Selain Pertubuhan Pengusaha Bunga  Cameron  Highlands, persatuan-persatuan lain ialah Persatuan Pekebun Sayur  Cameron  Highlands, Persatuan Pekebun India  Cameron  Highlands, Persatuan Penanam Sayur Melayu  Cameron  Highlands dan Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-Sayuran  Cameron  Highlands.

Turut hadir Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Eee Mong; Naib Presiden Pertubuhan Pengusaha Bunga  Cameron  Highlands, Wong Seng Yee dan Pengerusi Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-Sayuran  Cameron  Highlands, Lau Sai Hoong.
Leong Meng mendakwa, antara caj dan fi tambahan yang diperkenalkan ialah fi Dagang Net, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),  permit  3P (Pembungkusan, Pelabelan dan Penggredan) serta  permit   eksport  dan kastam yang berjumlah RM35.30.

Sebagai perbandingan, katanya, sebelum ini mereka hanya dikenakan caj Pertukaran Data Elektronik dan borang kastam bagi mengeksport produk pertanian.

"Kami sudah menghantar memorandum merayu pelaksanaan caj baharu ini kepada FAMA, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Maqis dan Jabatan Perbendaharaan tetapi tiada respons positif diterima," katanya.

Sementara itu, Eee Mong mendakwa, kenaikan fi dan caj terhadap  permit   eksport  produk pertanian tersebut sedikit sebanyak menggugat  eksport  produk sayur dan bunga tempatan.

Menurutnya, kenaikan itu menyebabkan produk pertanian negara kurang kompetitif, sekali gus sukar bersaing dengan produk dari China dan Vietnam di peringkat antara- bangsa.

"Sebanyak 25 peratus daripada pengelua- ran sayur  Cameron  Highlands dieksport ke luar negara melalui Singapura manakala kawasan tanah tinggi ini juga merupakan pengeksport ketujuh terbesar dunia bagi produk bunga-bungaan," jelasnya.

Liga Malaysia: Perak masih buru kudrat penggempur import

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


DUA penyerang import, masing-masing dari benua Afrika dan Amerika Selatan sedang bersaing bagi mengisi kuota terakhir pemain import Perak.

Ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim berkata, berdasarkan beberapa sesi ujian sebelum ini, Kalle Sane dari Cameroon atau Anderson Rodrigues Cardoso dari Brazil berpeluang untuk diserapkan sebagai pemain import ketiga skuad Seladang.

Beliau berkata, buat masa ini, pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membuat keputusan untuk mengambil hanya tiga pemain import untuk menghadapi saingan musim depan berbanding Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pengambilan empat pemain import.

“Setelah dua kouta pemain import Perak sudah menjadi milik pemain pertahanan Martin Kafando dan Kyaw Zayar Win (tengah), kita mencari seorang lagi (pemain import) yang bermain di posisi penyerang.

“Daripada tujuh penyerang import yang mencuba nasib setakat ini, saya dapati Sane dan Rodrigues Cardoso hampir menetapi ciri-ciri yang diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan ujian antara Perak dan Super Star FC yang dibarisi pemain kelahiran Afrika di Stadium Perak di sini malam kelmarin.

Dalam perlawanan yang dihadiri lebih 5,000 peminat tegar skuad Kejor Yeop Kejor termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir itu, Perak menang 2-0 hasil jaringan Sane dan Cardoso.

Sane, 30, merupakan bekas pemain Kuala Lumpur manakala Cardoso, 27, sebelum ini beraksi untuk kelab Brazil, EC Taubate.

Abu Bakar memberitahu, panel penilaian PAFA yang diketuai beliau sendiri akan memberi peluang kepada kedua-kedua pemain membuktikan keupayaan dan kesungguhan masing-masing pada perlawanan ujian kelima menentang Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka pada malam esok.

“Kita hanya akan pilih penyerang import yang benar-benar efektif untuk pasukan. Pilihan terbaik harap dapat dimuktamad selepas perlawanan tersebut,” katanya.

Terdahulu, selain Kafando, 25, dari Burkina Faso dan Zayar Win, 22 dari Myanmar, Perak turut melamar tujuh pemain tempatan baharu untuk menyarung jersi Perak bagi musim 2014.

Mereka ialah bekas pemain kebangsaan, Hardi Jaafar, 
bekas penjaga gol UiTM, Mohd. Nor Haziq Aris, Mohd. Norhizwan Hassan (UiTM), Mohd. Idris Ahmad (PDRM), Mohd. Hidayat Amaruddin (UiTM), Mohd. Fazli Zulkifli (Felda) dan Muhd. Tuah Iskandar Jamaluddin (Johor DT).

Dadah RM3.3 juta dilupus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Polis melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM3.3 juta melibatkan sebanyak 3,582 bahan bukti perbicaraan kes pemilikan dadah di negeri itu di sini semalam.
Timbalan Pengarah III, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, kesemua dadah yang dilupuskan itu merupakan bahan bukti perbicaraan dari tahun 2000 hingga 2010.
"Dadah tersebut dilupuskan setelah menerima perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah sudah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes berkenaan telah tamat.
"Pelupusan dadah itu merupakan julung-julung kalinya dilakukan secara berkelompok dari 15 buah Ibu Pejabat Polis Daerah di Perak," katanya ketika ditemui pada majlis Pelupusan Dadah Kontinjen Perak di Kem Pasukan Gerakan Am Briged Utara, Hulu Kinta di sini semalam.

Jamaludin berkata, antara dadah yang dimusnahkan dengan cara dibakar ialah pil eramin5 (41,175 gram), ganja (29,055 gram), heroin (14,701 gram), pil estacy (7,752 gram), syabu (844 gram), pil yaba estacy (169 gram), pil psikotropik (9330 gram), ubat batuk (260,931 liter), air ketum (383,610 liter) dan daun ketum (1,186 kilogram).

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu seramai 1,361 pengedar dadah dan 2,416 penagih dadah berjaya diberkas di seluruh Perak dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

“Ia melibatkan rampasan dadah dan sitaan harta-benda masing-masing berjumlah RM3.8 juta,” katanya.

Saturday, November 23, 2013

Dua pegawai JPJ didakwa buat perakuan palsu

TAIPING - Dua pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membuat perakuan palsu berhubung bidang tugas mereka sebagai pemeriksa kenderaan dalam kejadian lebih setahun lalu.
Azis @ Aziz Ismail, 52, dan Mohamad Nazri Malek, 28,  yang masing-masing bertugas sebagai Pengawai Pemeriksa Kenderaan Motor Kanan dan Pengawai Pemeriksa Kenderaan Motor agensi tersebut dituduh melakukan kesalahan berkenaan di pejabat JPJ Cawangan Taiping pada 26 Julai 2012.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh diarahkan memeriksa sebuah motosikal berkuasa tinggi, Honda NSR 150RR berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, mereka didakwa mengingkari arahan tersebut dengan tidak melakukan sebarang pemeriksaan terhadap motosikal itu.
Sebaliknya, mereka membuat perakuan palsu di dalam Laporan Pemeriksaan Kenderaan kononnya motosikal tersebut telah diperiksa dan berada dalam keadaan baik.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 108 (1) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Azis dan Mohamad Nazri yang ditahan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kelmarin membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Majistret Eyu Ghim Sang membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM2,500 dan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 23 Disember ini.

Sepanjang minggu ini, lima pegawai  JPJ  Perak termasuk Azis dan Mohamad Nazri telah dihadapkan ke  mahkamah  atas tuduhan rasuah dan pecah amanah.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, tiga pegawai agensi tersebut turut dihadapkan ke  Mahkamah  Sesyen Ipoh pada Isnin lalu atas tuduhan meminta rasuah sebanyak RM3,200 daripada pemandu lori dan abangnya.

Friday, November 22, 2013

Pemain import gagal pikat jurulatih Perak

Prestasi mengecewakan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PENCARIAN pemain import  Perak  belum selesai selepas kelima-lima pemain yang hadir untuk sesi ujian malam kelmarin gagal menunjukkan kualiti yang diharapkan.

Aksi sulung  Adama   Kone  dari Ivory Coast, Martin Kafando (Burkina Faso), Faroqu Salama (Ghana), Dinh Hoangmax (Vietnam) dan Prince Eboaywu Etuwe (Nigeria) agak hambar, sekali gus gagal memikat panel penilaian Persatuan Bola Sepak  Perak  (PAFA) yang diketuai ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim.

"Selain Kafando dan Eboaywu Etuwe yang nampak sedikit berkualiti sebagai pemain pertahanan, yang lain masih gagal menunjukkan kelebihan masing-masing.

"Misalnya, kalau ikut profil dan video persembahan semasa mewakili kelab Myanmar, Yangon FC, kita agak kagum dengan kemampuan  Kone  sebagai pemain penyerang. Namun malam ini (kelmarin) dia tenggelam," kata Abu Bakar ketika ditemui selepas perlawanan ujian antara  Perak  dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Stadium  Perak  di Ipoh malam kelmarin.

Dalam perlawanan yang berakhir dengan seri tanpa jaringan itu,  Kone  yang berbadan agak gempal gagal menunjukkan kemampuannya malah dilihat 'malas bergerak' dan hanya mengharapkan umpanan daripada rakan sepasukan.

Malah pemain yang pernah menjaringkan 13 gol daripada 22 penampilan dengan Yangon FC itu telah banyak melepaskan peluang selain kelibatnya yang mudah disekat benteng pertahanan PBAPP.

Sehubungan itu, Abu Bakar yang gusar dengan perkembangan berkenaan berhasrat memanggil beberapa pemain penyerang import yang lain untuk diuji.

Menurut beliau, selain posisi pertahanan tengah, skuad  Perak  sedang mencari seorang pemain import ampuh untuk mengetuai barisan serangan.

"Saya akan panggil beberapa pemain penyerang (import) lain untuk diuji bagi mencari yang betul-betul berkualiti.

"Apa pun kita akan memberi satu peluang lagi kepada lima pemain import ini untuk membuktikan kemampuan mereka pada perlawanan ujian berikutnya iaitu menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada lusa (hari ini)," katanya.

Skuad Seladang sedang mencari dua lagi pemain antarabangsa untuk mengisi kouta pemain import selepas satu slot hampir pasti menjadi milik kapten skuad Bawah 23 Myanmar, Kyaw Zayar Win.

UTP, FRIM jalin kerjasama pulihara pokok hutan

SERI ISKANDAR - Universiti Teknologi Petronas ( UTP ) menjalin kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia ( FRIM ) untuk memulihara empat spesies pokok hutan yang terdapat di dalam kampus universiti tersebut.

Naib Canselor  UTP , Datuk Dr. Abdul Rahim Hashim berkata, sebanyak 330 pokok hutan yang terdiri daripada spesies resak padi, cengal pasir daun besar, meranti kepong hantu dan karas dikenal pasti hidup meliar di kawasan seluas 202.5 hektar yang masih belum ditebus guna sejak tahun 2007.

"Saya difahamkan kesemua spesies tersebut bukan sahaja berkualiti tinggi malah merupakan spesies terancam.

"Justeru,  UTP  menjalin kerjasama dengan  FRIM  bagi memulihara spesies pokok tersebut daripada pupus. Ia merupakan komitmen Petronas dalam usaha-usaha kelestarian alam sekitar," katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Ketua Pengarah  FRIM , Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan  UTP , Hasbullah Ihsan dan Pegawai Penyelidik Kanan  FRIM , Dr. Lilian Chua.

Abdul Rahim berkata,  FRIM  juga diberi kebenaran untuk melakukan penyelidikan bagi mengesan spesies-spesies pokok hutan lain yang mungkin terdapat di dalam hutan berkenaan.

Sementara itu, Abd. Latif berkata, berdasarkan kajian pihaknya, keempat-empat spesies pokok tersebut merupakan spesies terancam tahap serius dan kebanyakan taburannya tertumpu di sekitar daerah Perak tengah termasuklah di  UTP .

Menurut beliau, langkah-langkah pemuliharaan terhadap pokok resak padi, cengal pasir daun besar, meranti kepong hantu dan karas adalah kritikal kerana ia tergolong dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar.

"Keempat-empat spesies pokok hutan tersebut merupakan antara 22 peratus spesies yang hampir pupus di negara ini.

"Sasaran  FRIM  adalah untuk mengeluarkan spesies resak padi, cengal pasir daun besar, meranti kepong hantu dan karas daripada senarai spesies terancam menjelang tahun 2020," katanya.

Thursday, November 21, 2013

Perak sedang pertimbangkan 'Awang Hitam'

DUA 'Awang Hitam' berada di dalam radar Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk diserapkan ke dalam skuad Perak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Pengurus skuad Perak, Datuk Azhar Ahmad berkata, dua pemain kelahiran Afrika tersebut ialah Martin Kafando, 25, yang berasal dari Burkina Faso dan Adama Kone, 26, (Ivory Coast).

“Kafando yang pernah dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Burkina Faso bermain posisi pertahanan dan kini beraksi untuk kelab USFA Ouagadougou di liga negaranya.

“Kone pula merupakan penyerang Yangon United yang merupakan sebuah kelab yang beraksi di Liga Nasional Myanmar,” katanya pada sidang akhbar di pejabat PAFA di sini semalam.

Azhar berkata, Kafando dan Kone akan dinilai bersama beberapa lagi pemain import oleh ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim dalam sesi ujian sepanjang minggu ini.

Dalam perkembangan sama, Azhar mengesahkan satu daripada tiga kouta pemain import Perak sah milik Kapten skuad Bawah 23 Myanmar, Kyaw Zayar Win.

Beliau memberitahu, majlis menandatangani kontrak antara PAFA dan pemain yang bermain di posisi tengah itu dijangka dimenterai selewat-lewatnya hujung minggu ini.

“Majlis menandatangani kontrak tersebut akan dilakukan di Myanmar memandangkan buat masa ini, Zayar Win sedang dalam persediaan menghadapi Sukan SEA ke-27 yang akan berlangsung di negaranya pada bulan depan.

“Sehubungan itu, PAFA akan menghantar pegawai ke Myanmar bagi rundingan fasa akhir seterusnya menandatangai pemain itu dalam tempoh sehari, dua lagi,” katanya.

Rahsia penganggur hidup mewah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Tembelang seorang lelaki hidup mewah dengan memiliki aset bernilai RM1.22 juta termasuk beberapa buah kenderaan mewah terbongkar apabila dia ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan mengedar dan memproses dadah sejak awal tahun ini.
Penganggur yang berusia 39 tahun itu diberkas pada pukul 2.30 petang di sebuah rumah di Kampung Rapat dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, dalam serbuan itu, polis merampas lapan buah kenderaan, rantai emas, jam tangan dan wang tunai berjumlah RM190,200.
"Polis turut menyita sebuah rumah teres berkembar dan flat di Kampung Rapa di sini.

"Jumlah harta suspek yang disita bernilai hampir RM1.22 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Katanya, tiada dadah dan peralatan memproses bahan itu dirampas.

Suspek yang telah berkahwin kini ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Mengikut modus operandi, suspek yang bergerak secara solo akan menyewa bebera unit apartmen di sekitar Gunung Semanggol, Bagan Serai dekat sini untuk dijadikan makmal memproses dadah dan sering bertukar lokasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Suspek mengaku memproses dan mengedar 8.16 kilogram heroin dengan keuntungan bersih RM40,000 sebulan," katanya yang memberitahu suspek tiada rekod jenayah, tidak merokok dan menagih dadah.

Polis percaya lelaki itu turut terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dengan menjalankan perniagaan menjual motosikal lasak hasil jualan dadah tersebut.

Beliau juga memberitahu, seramai 1,359 individu disyaki pengedar dadah dan 8,274 penagih dadah telah ditahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini di Perak.

Wednesday, November 20, 2013

Lelaki hidup mewah hasil dadah ditahan polis

IPOH - Seorang lelaki disyaki menjalankan aktiviti memproses dan mengedar dadah berskala besar diberkas di rumahnya di Kampung Rapat di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner Roslan Abdul Wahid berkata, suspek berusia 39 tahun yang dianggar mengaut keuntungan bersih RM400,000 sepanjang penglibatannya dalam aktiviti tidak bermoral itu sejak 10 bulan lalu ditahan selama 60 hari mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
"Siasatan awal mendapati suspek memproses dan mengedar dadah jenis heroin seberat 18.16 kilogram sebulan sejak awal tahun ini. - KOSMO!

Tiga anggota JPJ dituduh minta rasuah RM3,200

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH  - Tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ ) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan meminta  rasuah  berjumlah RM3,200 daripada seorang pemandu lori dan abangnya dua tahun lalu.

Mohd. Fahmi Hassim, 26, Norzalizam Mohamad, 36 dan Shafik Affandi Zainal Abidin, 41, dituduh meminta  rasuah  daripada pengadu dan abangnya sewaktu menahan mereka yang menaiki sebuah lori di persimpangan Jalan Lintang Lasah berhampiran jalan masuk ke Estet Thai Thong Sdn. Bhd., Sungai Siput dekat sini pada pukul 11 pagi, 28 Mei 2011.

Berdasarkan fakta kes, Mohd. Fahmi yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa, Unit Operasi Penguatkuasaan  JPJ  negeri dituduh meminta suapan sebanyak RM800 daripada pemandu lori berkenaan sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu yang memandu sebuah lori telah luput cukai jalan dan tanpa perlindungan insurans.

Dia bersama Shafik Affandi yang juga merupakan pembantu penguat kuasa agensi sama turut didakwa meminta  rasuah  sebanyak RM2,000 lagi kepada pengadu bagi tujuan sama pada tarikh berkenaan.

Selain itu, Shafik Affandi bersama Norzalizam turut dituduh meminta suapan sebanyak RM400 daripada abang pemandu lori tersebut sewaktu berada di dalam sebuah kereta peronda agensi berkenaan pada pukul 11.33 pagi pada tarikh dan lokasi sama.

Mereka dituduh mengikut mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah  Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam bela, T. Elangovan membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.Hakim Roshan Lutfi Mohamed membenarkan Mohd. Fahmi dan Norzalizam dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 dan seorang penjamin manakala Shafik Affandi dengan wang jaminan sebanyak RM4,000 dan seorang penjamin.

Beliau menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 20 Disember depan.

Tuesday, November 19, 2013

Sindiket seludup arak, rokok tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING  -  Kastam  Diraja Malaysia (KDRM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dan rokok bernilai lebih RM536,000 dengan nilai cukai RM1.35 juta dalam empat serbuan di sekitar Ipoh dan Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Nasir Said berkata, serbuan dilakukan dalam operasi bersepadu dari 7 hingga 15 November lalu melibatkan rampasan 4,116 peti  arak  dan 1.423 juta rokok putih.

"Nilai minuman keras dianggar RM332,230.80 melibatkan duti berjumlah RM626,345.56 manakala rokok seludup bernilai RM206,506 dengan cukai RM728,000.56.

"Empat individu iaitu tiga daripadanya disyaki terlibat dalam aktiviti menyeludup minuman keras dan seorang dalam kegiatan rokok seludup diberkas," katanya pada sidang akhbar di Pejabat  Kastam  Cawangan Penguatkuasaan  Taiping , Simpang di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah  Kastam  Perak Bahagian Penguatkuasaan, Abdul Latif Abdul Kadir dan Penolong Kanan Pengarah  Kastam  Bahagian Penguatkuasaan  Taiping , Athavan Subramaniam.

Mohd. Nasir berkata, pemeriksaan mendapati, sindiket berkenaan bertindak mempamerkan setem cukai palsu pada tin minuman keras terbabit untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, modus operandi sindiket menyeludup rokok putih pula menggunakan kenderaan pelbagai guna mewah bercermin gelap untuk membawa keluar muatan rokok dari lokasi penyimpanan.

"Serbuan melibatkan kes minuman keras dilakukan di sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Puteh, Ipoh pada 7 November lalu manakala pada Jumaat lalu, sebanyak 4,063 peti bir pelbagai jenama yang belum dibayar cukai ditemui di sebuah gudang di Menglembu, Ipoh.

"Sebuah restoran di Bercham, Ipoh diserbu kerana disyaki menjual rokok seludup pada 7 November lalu. Kemudian pada 11 November lalu, sebanyak 1.42 juta rokok seludup ditemui di dalam sebuah rumah di Sungai Besar, Selangor," katanya.

Jelasnya, keempat-empat kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta  Kastam  1967 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda antara 10 kali hingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pemandu lori cemas kenderaan hampir terperosok dalam kejadian tanah jerlus

IPOH - Seorang pemandu lori menghadapi saat-saat cemas selepas lori yang dipandunya hampir terperosok ke tanah sedalam tiga meter dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Hassan bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcisian Convent, Taman Lim di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, Teoh Wooi Boon, 59, terselamat selepas berjaya keluar dari pintu tempat duduk pemandu biarpun sebahagian tayar hadapan sebelah kiri kenderaan berat itu sudah terbenam di dalam lubang selebar lima meter.
Berikutan kejadian tanah jerlus terbaru tersebut, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menutup sebahagian Jalan Hassan, Taman Lim bagi kerja baik pulih.
Jabatan Geosains dan Mineral Perak juga telah diarahkan untuk menyiasat punca kejadian tanah jerlus berkenaan. - KOSMO!

Restoran 'nasi ganja' kembali beroperasi

IPOH -  Restoran   Nasi  Kandar Ayam Merah atau lebih dikenali sebagai ' nasi   ganja ' di Jalan Yang Kalsom di sini beroperasi semula semalam selepas ditutup selama tiga hari setelah gagal memenuhi piawai kebersihan yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Pengurusnya, Nihmatullah Syed Mustafa, 49, berkata, kebenaran membuka semula  restoran  yang sering mendapat tumpuan ramai itu diberikan selepas Jabatan Kesihatan Negeri berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilakukan pihaknya.

"Sejak diarah tutup sementara pada Khamis lalu, kami telah membersih dan mengubah suai dapur  restoran  melibatkan penggantian peti ais, membaik pulih jubin lantai dan mengecat premis yang dianggarkan menelan belanja lebih RM10,000.

"Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri yang memeriksa premis kami pada pukul 11.30 pagi, Sabtu lalu telah berpuas hati dengan tahap kebersihan dan membenarkan  restoran  ini beroperasi semula mulai hari ini (semalam)," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati kesemua 16 pekerja  Restoran   Nasi  Kandar Ayam Merah tersebut memakai pakaian dan apron baharu sempena pembukaan semula premis itu semalam.
Nihmatullah memberitahu, dianggarkan hampir 2,000 pelanggan menjamu selera seawal pukul 9.30 pagi pada hari pertama  restoran  yang telah 55 tahun beroperasi itu dibuka semula semalam.

Begitupun, beliau berkata, ia merupakan kemerosotan hampir 40 peratus berbanding sambutan yang diterima sebelum kontroversi yang menimpa restorannya Khamis lalu.

"Kami turut kerugian hampir RM10,000 akibat kehilangan pelanggan tetap berikutan arahan penutupan operasi sementara oleh Jabatan Kesihatan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Nihmatullah berkata, beliau tidak akan mengambil tindakan perundangan terhadap Ze Aida dan bersedia memaafkan wanita itu biarpun  restoran  teruk menerima tempias daripada status yang dimuat naik graduan menganggur tersebut di laman sosial, Facebook.

Zayar Win hampir pasti sertai skuad Perak

KAPTEN  skuad bawah 23 tahun  Myanmar , Kyaw Zayar Win (gambar) hampir pasti menyarung jersi skuad  Perak  pada musim hadapan.
Ketua Jurulatih  Perak , Abu Bakar Fadzim berkata, perbincangan antara Persatuan Bola Sepak  Perak  (PAFA) dengan pemain yang bermain di posisi tengah tersebut hampir mencapai kata sepakat.

"Saya boleh katakan 75 peratus dia (Zayar Win) akan menyertai kita pada musim depan. Perbincangan berlangsung positif dan hanya menunggu masa sesuai untuk menandatangani kontrak sahaja," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara skuad ujian  Perak  dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Stadium  Perak  di Ipoh semalam.

Dalam perlawanan tersebut,  Perak  menewaskan UPSI 4-0 dengan bekas pemain kebangsaan, Hardi Jaafar beraksi cemerlang mengemudi barisan tengah selain turut menjaringkan satu gol.

Abu Bakar berkata, Zayar Win yang kini beraksi untuk kelab tempatan  Myanmar , Kanbawza FC dijangka menyertai skuad Seladang selepas berakhirnya Sukan SEA ke-27 yang akan berlangsung di  Myanmar  pada pertengahan bulan depan.

Menurut beliau, selain sikap Zayar Win yang rajin selalu beraksi di padang, PAFA berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 22 tahun tersebut kerana corak permainannya secocok dengan taktik skuad  Perak .

"Lagi pun  Perak  mempunyai sejarah bola sepak dengan pemain-pemain  Myanmar  sejak zaman Aung ning dan Kwi Linlagi," katanya.

Selain itu, Abu Bakar memberitahu, PAFA juga sedang mengintai seorang pemain kebangsaan Burkina Faso yang bermain di posisi pertahanan.

Ujarnya, pemain tersebut bakal diuji kesesuaiannya sebelum diputuskan sama ada layak diserap ke dalam skuad Seladang atau sebaliknya pada pertengahan minggu ini.

Beliau juga membayangkan skuad Seladang pada musim 2014 akan dibarisi oleh gabungan pemain pengalaman dan muda.

"Bagi pemain tempatan pula setakat ini kita masih belum memuktamadkan sesiap lagi. Pemain-pemain yang melepasi saringan telah dikumpulkan bersama pemain  Perak  sedia ada sejak awal minggu ini (lepas).

"Kita akan atur beberapa perlawanan ujian lagi bagi menilai kemampuan, keserasian dan komitmen mereka terhadap skuad sebelum kontrak ditawarkan," katanya.

Monday, November 18, 2013

Peniaga dijangka sambut baik GST

IPOH - Pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dijangka mendapat sambutan walaupun ia dihadkan kepada syarikat yang terbabit dengan perniagaan yang mencatat perolehan tahunan RM500,000 ke atas.

Ini kerana syarikat yang mengeluarkan produk atau perkhidmatan boleh membuat tuntutan semula terhadap kos input yang dikenakan cukai.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah berkata, berbanding cukai jualan dan perkhidmatan, syarikat yang mendaftar di bawah GST boleh mendapat pembayaran balik daripada cukai yang dibayar.

"GST yang bakal dilaksanakan 1 April tahun 2015 merupakan cukai yang akan dikenakan secara berperingkat-peringkat dan mungkin pada peringkat kedua, ketiga dan keempat, syarikat yang berdaftar boleh mendapat pembayaran balik daripada pembayaran cukai masing-masing," katanya pada majlis Rumah Terbuka  Deepavali  Parlimen  Tambun  di sini semalam.

Sunday, November 17, 2013

Dua pegawai penjara maut kereta rempuh pokok

TAPAH - Dua pegawai Penjara Tapah maut apabila kereta jenis Honda Civic yang dinaiki bersama seorang lagi rakan terbabas sebelum merempuh pokok kelapa sawit di Kilometer 12.5, Jalan Tapah-Changkat Petai di sini.
Kejadian pukul 9.20 pagi semalam itu mengorbankan Mohamad Yusof Ahmad, 23, dan Mohamad Firdaus Husin, 20, manakala Muhamad Izwan Mat Alias, 24, parah dan dirawat di Hospital Tapah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika kejadian, tiga sekawan itu sedang menuju ke pekan Langkap, Teluk Intan dari Penjara Tapah dekat sini.
"Kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad Yusof hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok kelapa sawit di tepi jalan di kawasan berkenaan," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini.

Firdaus yang duduk di sebelah pemandu maut di tempat kejadian manakala Mohamad Yusof meninggal dunia di hospital.

Sementara itu, Penolong Kanan Komisioner  Penjara   Tapah , Abdul Halim Mahasan berkata, tiga sekawan itu berkhidmat di  penjara  berkenaan sejak dua tahun lalu dan merupakan pegawai yang berdedikasi.

Saturday, November 16, 2013

Gempar mayat melecur separuh badan ditemui

GOPENG  - Orang awam yang mengunjungi  Taman   Sayang  di sini semalam gempar dengan penemuan satu mayat lelaki yang hampir separuh badannya melecur dipercayai dibakar di sebuah pondok yang terdapat di  taman  rekreasi tersebut semalam.

Mayat seorang lelaki dipercayai dalam lingkungan 50-an itu ditemui dengan kesan terbakar dari paras kepala hingga pinggang pada pada pukul 12.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai sebuah tong minyak petrol dan sekeping nota bertulisan Cina yang bermaksud saya bunuh diri secara seksaan.

"Hampir 55 peratus tubuh si mati dari paras kepala hingga pinggang didapati telah melecur teruk dipercayai akibat dibakar."Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat yang dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kong Soon berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa juga tidak menemui sebarang kesan pergelutan, namun kepalanya mengalami sedikit kecederaan dipercayai akibat terhentak dengan batu.

Tambahnya, mayat si mati yang masih belum dikenal pasti identitinya itu telah dihantar ke Hospital Kampar dekat sini untuk dibedah siasat.

"Saya menyeru kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kes ini agar tampil untuk melakukan pengecaman dan membantu siasatan polis," katanya lagi.

Thursday, November 14, 2013

Cetakan teragih Mykad diperluas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SERI MANJUNG – Pelaksanaan cetakan teragih MyKad iaitu penyerahan kad pengenalan kepada pemohon dalam tempoh 24 jam akan diperluas kepada 10 pejabat cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd. Said berkata, pejabat cawangan terlibat ialah Temerloh, Sandakan, Besut, Tawau, Raub, Sibu, Gua Musang, Petaling Jaya, Klang dan Papar.
“Pelaksanaan cetakan teragih MyKad di cawangan-cawangan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai 18 November ini.
“Setakat ini, 26 pejabat JPN di seluruh negara termasuk yang terbaharu di Manjung telah melaksanakan sistem yang membolehkan pemohon memperoleh MyKad mereka dalam tempoh seawal dua jam,” katanya selepas melancarkan pelaksanaan cetakan teragih MyKad di JPN cawangan Manjung di Bangunan Persekutuan di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah JPN Perak, Mohd. Zahari Hassan.

Jariah berkata, sejak dilancarkan pada 3 Januari lalu, pelaksanaan cetakan teragih MyKad terbukti berjaya mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dari 10 hari kepada satu hari sahaja selain mengatasi masalah tunggakan kad pengenalan yang tidak dituntut.

Tambahnya, inisiatif tersebut juga telah menjimatkan kos penghantaran MyKad yang sebelum ini hanya dapat dicetak di ibu pejabat agensi tersebut di Putrajaya.

"Inisiatif dapat dilaksanakan dengan meletakkan mesin pencetak MyKad di pejabat-pejabat JPN terpilih.

"Kita sememangnya bercadang untuk memperluaskannya ke semua pejabat cawangan di seluruh negara tetapi ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat," katanya.

Setakat ini, selain di ibu pejabat, cawangan di Pusat Transformasi Bandar dan 14 cawangan negeri, cetakan teragih MyKad turut dilaksanakan di Dungun, Machang, Kulim, Sri Aman, Batu Pahat, Keningau dan Manjung.

Wednesday, November 13, 2013

Jadikan labu sayong harta intelek

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Perbadanan Harta Intelek Malaysia ( MyIPO ) menyarankan pengusaha  labu   sayong  di Kuala Kangsar segera mendaftarkan produk kraftangan tersebut sebagai harta intelek.
Timbalan Ketua Pengarah  MyIPO , Mohd. Shahar Osman berkata, tindakan itu penting bagi mengelak identiti dan nilai komersial produk kraftangan itu dicuri oleh pihak lain.

Beliau berkata, keunikan  labu   sayong  yang diperbuat daripada tanah liat sering menarik perhatian penggemar seni kraftangan dunia dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.

"Saya bimbang jika tidak didaftar, pihak lain akan mengambil kesempatan menuntut hak dalam penciptaan  labu   sayong  sekali gus mengaut keuntungan dengan memasarkannya ke peringkat antarabangsa.

"Sebelum ini pun, memang sudah ada pihak asing mendaftar produk tempatan sebagai harta intelek mereka seperti Singapore Lychee yang sebenarnya rambutan Johor dan Mangosteen Juice (jus manggis) di Amerika Syarikat," katanya selepas merasmikan Seminar Kesedaran Harta Intelek peringkat negeri di sini semalam.

Mohd. Shahar berkata,  labu   sayong  boleh didaftar di bawah kategori Petunjuk Geografi yang menggunakan konsep pemilikan bersama dalam kalangan pengeluar produk berkenaan.

Jelasnya, corak tradisional seperti bunga tanjung, bunga cakar ayam, bunga cengkih dan bunga lawang yang diukir pada produk kraftangan terbabit pula berpotensi didaftar di bawah kategori Reka Bentuk Perindustrian.

Mohd. Shahar berkata, selain  labu   sayong , beberapa produk Perak lain seperti tekat emas, ikan arowana emas Malaysia dan kacang Menglembu juga berpotensi untuk dieksploitasi melalui hak harta intelek.

Tambahnya, setakat ini, hanya buah limau bali Sungai Gedung atau lebih dikenali limau Tambun telah didaftar sebagai Petunjuk Geografi pada tahun 2008.

JPN cadang mewajibkan pemeriksaan identiti pengawal keselamatan

SERI MANJUNG - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bercadang untuk mewajibkan lebih 600 syarikat keselamatan tampil membuat pengesahan identiti pengenalan pengawal keselamatan mereka di pejabat JPN di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd. Said berkata, setakat ini cuma sebuah syarikat keselamatan telah bekerjasama dengan pihaknya secara sukarela tampil sejak Ops ID dilancarkan pada 29 Oktober lalu.
"Sejak Ops ID dilancarkan berikutan kes pembunuhan pegawai operasi AmBank, seramai 27 pengawal keselamatan warga asing telah ditahan kerana menggunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain.
"Ia termasuk 20 pengawal keselamatan warga Filipina yang diberkas dalam operasi bersepadu di Petaling Jaya, Selangor pada awal pagi ini," katanya selepas melancarkan cetakan pantas MyKad di JPN Manjung di sini hari ini. - KOSMO!

Tuesday, November 12, 2013

Ketam pondan ubah destini anak muda

Muhd. Nur Rafizzi menerima Anugerah Peladang Jaya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2013 peringkat negeri Perak ekoran kejayaan menjadi agropreneur pada usia 23 tahun.

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

MUHD. NUR RAFIZZI RAZAK hanyalah seorang anak muda berusia 23 tahun yang menamatkan zaman persekolahan berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, kegigihan pemuda dari Kuala Gula, Bagan Serai, Perak ini untuk menjadi manusia berguna ternyata mengubah perjalanan hidupnya dalam tempoh yang singkat.

Dia kini muncul sebagai usahawan  ketam  lembut disejuk beku yang dipanggil oleh penduduk setempat sebagai  ketam pondan .

Lebih membanggakan, dia mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan setelah mengusahakan perniagaan  ketam   pondan  sejak lima tahun lalu.

Tidak hairanlah dia juga sudah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Peladang Jaya Perak pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri pada 28 September lalu.

Kejayaan yang dikecapi hari ini, katanya, bermula apabila dia dan bapanya, Razak Mat Desa, 46, mencari jalan untuk mengatasi lambakan  ketam  nipah bersaiz kecil yang tidak laku di pasaran ketika itu.

Menurutnya, pada masa itu, dia yang baru tamat persekolahan sering mengikut ayahnya berniaga. Ayahnya sudah berpuluh tahun menjadi peraih  ketam  nipah daripada nelayan di sekitar Kuala Gula.

"Ketika itu saya dapati kebanyakan  ketam  yang dinaikkan oleh nelayan tempatan kurang mendapat permintaan jika beratnya kurang daripada 120 gram. "Bagi mengatasi masalah tersebut, kami melakukan uji kaji menghasilkan  ketam   pondan  daripada  ketam  kecil berkenaan," ujar usahawan bimbingan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Pemilik syarikat Fizzi Syukur Sdn. Bhd. itu memberitahu,  ketam  nipah pada waktu kecil memiliki jantina jantan tetapi bertukar menjadi  ketam  betina selepas ia membesar. Kerana itulah ia lebih dikenali sebagai  ketam   pondan.

Ia tidak mempunyai cengkerang termasuk pada kaki dan sepit.Muhd. Nur Rafizzi berkata, untuk menghasilkan  ketam  berkulit lembut, semua kaki dan sepit  ketam  itu dicabut bagi merangsang pembentukan kulit baharu.

Menurutnya,  ketam  itu kemudian dimasukkan ke dalam sangkar dan ia akan bersalin kulit baharu dalam tempoh dua hari hingga sebulan. Kemunculan kulit baharu itu merangkumi cengkerang, kaki dan sepit yang lembut.

Namun, Muhd. Nur Rafizzi menjelaskan, usaha itu bukan mudah kerana tanpa sebarang latihan formal, percubaan untuk menghasilkan  ketam  lembut berdepan dengan cabaran yang hampir menyebabkan dia mengalami kegagalan.

Ujarnya, dalam tiga tahun pertama menceburi industri  ketam  lembut tersebut, hampir 80 peratus  ketam  nipah yang dibiak menjadi  ketam  lembut telah mati di dalam sangkar.

Bagaimanapun, dengan bantuan Jabatan Perikanan Perak, kadar kematian  ketam  nipah dalam sangkar berjaya dikurangkan kepada 30 peratus ketika ini.

Kini, Muhd. Nur Rafizzi mempunyai 200 buah sangkar ternakan  ketam  lembut yang terletak di Sungai Kurau. Tujuh pekerja mengawasi sangkar  ketam  lembut itu yang terletak berhampiran Calet Kuala Gula.

"Jika dahulu hendak jual 500 kilogram sebulan pun susah, sekarang saya tidak menang tangan.

Berdasarkan bekalan  ketam  kecil daripada nelayan setempat, buat masa ini kami mampu memasarkan secara purata dua tan  ketam  sebulan sejak dua tahun lalu," jelasnya.

Menurutnya, permintaan terhadap  ketam  lembut sejuk beku amat menggalakkan terutama dari Lembah Klang, Pahang, Kelantan dan Johor.

Beliau menambah, syarikatnya tidak akan mampu berkembang sebagaimana sekarang tanpa bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sebagai usahawan bimbingan, Jabatan Perikanan membantu menyediakan peralatan seperti mesin pam, peti ais, peti sejuk beku dan tong penyimpanan bernilai RM88,000.

Katanya, untuk semua peralatan yang diterima dalam tempoh lima tahun itu, dia hanya diminta membayar kos minimum lebih kurang RM200 sahaja.

"Selain bantuan peralatan fizikal, asas keusahawanan saya juga diperkukuhkan menerusi pelbagai kursus anjuran kementerian yang dikendalikan secara percuma.

"Saya menimba banyak ilmu berkaitan perniagaan  ketam   pondan  termasuk cara memproses, pembungkusan dan pemasaran daripada kursus berkenaan," ujarnya.

Menurut beliau, rangkaian jaringan perniagaannya terutama dalam kalangan pengusaha  ketam  lembut di seluruh negara juga diperluaskan hasil bantuan Jabatan Perikanan.

Superbest Power anjur kursus perubatan Islam fasa dua

IPOH - Syarikat pengeluar minuman berasaskan kopi dan teh, Superbest Power Health Food & Beverages Sdn. Bhd. (Superbest Power) akan menganjurkan kursus perubatan Islam fasa dua di bandar raya ini pada 23 November ini.
Pengarah Urusannya, Kamal Mohd. Nor berkata, penganjuran fasa kedua kursus kendalian Penasihat Syariah Superbest Power, Ustaz Abdullah Mahmud merupakan kesinambungan daripada sambutan hangat diterima pihaknya semasa kursus fasa pertama yang telah bermula awal September lalu.

“Berbanding fasa satu yang lebih kepada pendedahan kaedah asas perubatan Islam untuk kegunaan diri sendiri dan keluarga, fasa kedua merupakan sesi lanjutan bagi mereka yang berminat untuk membuka pusat terapi sendiri.

“Sasaran kita 50 peserta bagi setiap sesi. Mereka akan dilatih sehingga mahir mengikut kaedah yang ditetap dan dikawal selia Ustaz Abdullah Mahmud,” katanya pada program Kursus Perubatan Islam Antara Realiti dan Misteri anjuran Superbest Power di Hotel Kinta Riverfront di sini semalam.

Kamal berkata, kursus perubatan Islam tersebut merupakan inisiatif pihaknya untuk memberi peluang kepada orang ramai mempelajari kaedah sebenar perubatan Islam.

Tambahnya, peserta akan didedahkan dengan kaedah rawatan kesihatan menggunakan ayat suci al-Quran dan Sunnah serta bahan semula jadi daripada sumber halal.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai kursus berkenaan boleh menghubungi Nurliana Rosli di talian 012-3715519, Azirawati Harun (017-2433878) atau melayari laman sesawang, www.superbestpower.com.my.

Monday, November 11, 2013

Bengkel tertimbus, dua cedera

MOHD.  AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

CAMERON HIGHLANDS - Dua lelaki termasuk seorang pemilik bengkel membaiki kenderaan nyaris maut selepas mereka terperangkap di dalam premis berkenaan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang di sini semalam.

Kejadian itu berlaku tidak sampai sebulan selepas peristiwa tiga orang terbunuh apabila banjir lumpur melanda Lembah Bertam, Ringlet di Cameron Highlands pada 23 Oktober lalu.

Tragedi itu berlaku selepas air Empangan Sultan Abu Bakar terletak kira-kira 1.3 kilometer dari tempat kejadian dilepaskan bagi mengelakkan ia pecah selepas hujan lebat,
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, Idrus Munis, 43 yan gmemilik bengkel membaiki kenderaan itu dan rakannya, Mohd.  Norsofwa Abdul Wahab, 42,  yang cuma cedera ringan terperangkap hampir satu jam setengah di dalam premis tersebut sebelum mereka berjaya diselamatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, sewaktu kejadian cuma kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakan mereka sedang berbual-bual di hadapan premis itu.

"Tiba-tiba lereng bukit di tepi bengkel membaiki kenderaan itu runtuh lalu menimbus sebahagian premis berkenaan.  Tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri tetapi Idrus dan Mohd.  Norsofwa terperangkap di premis berkenaan akibat runtuhan tersebut.

"Kedua-dua mangsa  berjaya diselamatkan selepas runtuhan tanah yang menimbus sebahagian besar premis itu disodok keluar dengan menggunakan jentolak," katanya di sini semalam.
Wan Mohd. Zahari berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan hujan lebat yang turun  di kawasan tanah tinggi tersebut sejak beberapa hari lalu menjadi punca kepada  kejadian tanah runtuh terbaru berkenaan.

Beliau memberitahu, Idrus  mengalami cedera ringan di kaki akibat ditimpa besi yang terdapat di dalam bengkel membaiki kenderaannya dan Mohd.  Norsofwa telah dihantar ke Hospital Hajjah Sultanah Kalsum, Tanah Rata di sini untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sunday, November 10, 2013

Operasi periksa kilang bungkus minyak masak di Perak

IPOH - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak membuat pemeriksaan mengejut di 14 kilang membungkus minyak masak di seluruh negeri ini semalam.

Pengerusi  Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Shamsudin Abu Hassan berkata, operasi itu bagi memastikan minyak masak yang berada di pasaran negeri ini benar-benar selamat digunakan.

"Kita memandang serius dakwaan terdapat minyak masak kitar semula dijual kepada pengguna," katanya selepas mengetuai operasi tersebut yang turut disertai Pengarah PPDNKK Perak, Mohd. Hilmi Mohd. Noor di sini semalam.

Baru-baru ini Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan mendakwa, kira-kira 90 peratus daripada peniaga kedai makan dan gerai yang menjual makanan bergoreng pada harga rendah menggunakan minyak kitar semula.

Shamsudin memberitahu, pemeriksaan itu meliputi 14 kilang membungkus minyak masak iaitu empat di bandar raya ini, Taiping (lima), Parit Buntar (dua), Teluk Intan (dua) dan Manjung (satu).

Tambahnya, sampel minyak masak dari setiap kilan berkenaan telah diambil untuk dianalisis bagi memastikan ketulenannya.

Saturday, November 9, 2013

Hardi cuba nasib bersama Perak

BEKAS pemain kebangsaan, Mohammad Hardi Jaafar, 34, antara pemain yang menghadiri sesi terakhir pemilihan terbuka skuad Perak di Stadium Perak, Ipoh petang semalam.
Hardi yang pernah menyarung jersi Perak pada 2007 dan 2008 merupakan antara 500 pemain yang hadir pada sesi pemilihan tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula Rabu lalu.
Ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim berkata, antara pemain pengalaman lain yang telah menunjukkan minat untuk menabur bakti dengan skuad Seladang ialah bekas penjaga gol Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Anis Faron Ahmad Arsidi, bekas pertahanan Kedah, Arman Fareez Mohd. Ali dan bekas pemain Negeri Sembilan, Azmeer Yusof.
“Kita juga dapat menyaksikan kelibat beberapa pemain lain seperti bekas penjaga gol PKNS, Razi Effendi Suhit, Mohd. Tuah Iskandar Jamaluddin (Johor DT), Shafuan Adli Shaari (T-Team), Norismaidham Ismail (Negeri Sembilan), Mohd. Syafiq Samad (ATM) dan Fazli Zulkifli (Felda United).
“Apa pun, saya akan menyenarai pendek 50 pemain untuk diuji bagi fasa kedua pemilihan yang bakal bermula Selasa depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Abu Bakar berkata, beliau menganggarkan sekurang-kurangnya 10 kekosongan yang perlu direbut untuk diisi pemain-pemain terbabit.
Tambahnya, antara posisi yang kritikal untuk diisi sebagai persedian menghadapi musim depan ialah pertahanan kiri dan tengah serta sayap kiri.
Abu Bakar turut mengesahkan Shahrizal Saad yang juga bekas tonggak penyerang Felda United hampir pasti menyarung jersi skuad Seladang.
Begitupun, beliau menegaskan, ia bergantung kepada keputusan ujian kesihatan dan kecergasan yang perlu dijalani pemain berkenaan pada Isnin ini.
“Bagi mengelakkan kesilapan membeli pemain yang mengalami kecederaan berpanjangan seperti yang pernah berlaku sebelum ini, pengurusan menetapkan kontrak hanya akan ditawarkan kepada pemain yang melepasi ujian kesihatan dan kecergasan sahaja,” jelasnya.

Friday, November 8, 2013

Unit Polis Pelancong diperkasa sempena Tahun Melawat Malaysia

Oleh MOHD.  AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Unit Polis Pelancong bakal diperkasa bagi meningkatkan lagi keyakinan pengunjung luar tentang keselamatan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014 tahun depan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk memperluaskan peranan unit dalam Polis Diraja Malaysia tersebut yang berperanan khusus untuk menjaga keselamatan pelancong.

"Hak merasa selamat adalah perkara asas. Kebimbangan daripada menjadi mangsa jenayah seperti ragut dan samun tidak boleh diendahkan.

"Saya akan berbi ncang dengan menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Saya yakin beliau memahami kita mahu memastikan keselamatan pelancong terjaga," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke taman tema air, Lost World of Tambun (LWOT) di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Ketua Pengarah Pelancongan, Datuk Mirza Mohd. Tayab dan Pengurus Besar LWOT, Calvin Ho.

Mohamad Nazri berkata, antara yang boleh dijadikan contoh ialah Unit Polis Pelancong Korea Selatan yang berjaya membuatkan pengunjung berasa selamat dengan kehadiran mereka di lokasi tarikan pelancongan negara tersebut.

Tambahnya, penekanan kepada faktor keselamatan melalui Unit Polis Pelancong tersebut adalah antara strategi kerajaan untuk mencapai sasaran kehadian 28 juta pelancong dengan pulangan RM68 billion sepanjang tempoh Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Nazri memberitahu pihaknya menyasar untuk meningkatkan jumlah pelancong dari China ke Malaysia.

Beliau berkata, pasaran China penting kerana dianggarkan lebih kurang 83 juta rakyat negara tersebut melancong ke luar negara setiap tahun.

"Setakat ini, kita hanya mampu menarik 1.5 juta pelancong China setahun berbanding Thailand yang menarik empat juta manakala Kemboja dua juta orang," katanya.

Azraai ambil keputusan berpisah dengan Perak

Oleh MOHD.  AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KETUA jurulatih Perak, Mohd. Azraai Koh Abdullah membuat keputusan mengejut untuk meninggalkan sukad Seladang yang baru dibimbingnya selama semusim berkuatkuasa semalam.

Beliau mengesahkan keputusan itu setelah melakukan perbincangan dari hati ke hati dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak  (PAFA), Khairul Azwan Harun semalam.

"Ya, memang saya menamatkan kontrak sebagai jurulatih Perak. Saya telah berterus-terang dengan Timbalan Presiden PAFA (Khairul Azwan) untuk menamatkan kontrak.

"Perbincangan berlangsung dengan baik dan kami telah mencapai persetujuan agar kontrak antara saya dengan PAFA yang masih berbaki setahun dapat ditamatkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Azraai, 61, memberitahu secara dasarnya PAFA menghormati hasrat beliau dan berjanji akan mempermudahkan urusan berkaitan penamatkan kontrak sebagai jurulatih tersebut.

Beliau menerangkan persetujuan memutuskan kontrak tersebut masih secara lisan memandangkan perbincangan berkenaan telah dilakukan semalam yang merupakan hari Ahad.

"Selepas ini, segala syarat-syarat pelepasan kontak yang telah dipersetujui akan kami tandatangani," jelasnya.

Begitupun Mohd. Azraai enggan menjelaskan lebih lanjut butir-butir syarat pelepasan dan alasan beliau mengambil tindakan drastik meninggalkan skuad Seladang tersebut.

Bekas jurulatih Kedah, Harimau Muda A dan Negeri Sembilan itu juga menafikan ia berpunca daripada tindakan PAFA menggantung pegawai dan pemain Perak selama dua minggu berikutan dakwaan menjual perlawanan pada 23 September lalu.

"Tidak, masala itu (dakwaan rasuah) tiada kaitan dengan keputusan saya. Lagipun saya tidak takut disiasat," katanya.

Thursday, November 7, 2013

Pemandu lori ditemui mati

SERI ISKANDAR - Seorang pemandu lori ditemui mati lemas selepas lebih lima jam terjatuh ke dalam sebuah bekas lombong di Taman Lakeville, Bandar Universiti di sini semalam.

Mayat Wong Nyok Peng, 55 yang terjatuh ke dalam bekas lombong berkenaan ketika sedang menjalankan kerja-kerja menambak tanah ditemui pada pukul 4.40 petang.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohd. Fakri Che Sulaiman berkata, sewaktu kejadian, Nyok Peng sedang memandu sebuah lori seberat 10 tan yang membawa muatan tanah berhampiran tebing bekas lombong tersebut.

"Tanpa diduga, lori yang dipandunya itu terjunam ke dalam bekas lombong berkenaan pada pukul 11.30 pagi. Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat sejak semalam (kelmarin)," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Nyok Peng dipercayai telah bertindak nekad terjun daripada tempat duduk pemandu lori yang dipandunya untuk menyelamatkan diri.

Menurut Mohd. Fakri, mangsa cuba berenang ke tebing sebelum dilihat terkapai-kapaoi seterusnya tenggelam ke dasar bekas lombong berkenaan tidak lama kemudian.

Tuesday, November 5, 2013

Najib ucap takziah kepada keluarga mangsa

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa banjir lumpur susulan limpahan air empangan di Ringlet, Cameron Highlands semalam.
Najib menerusi Tweet terbaharunya turut berharap usaha terbaik dapat diberikan oleh pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lain.

"Takziah kepada keluarga mangsa kejadian limpahan empangan di Cameron Highlands. Harap usaha terbaik dapat diberikan oleh pasukan penyelamat," kata beliau.

Terdahulu di Cameron Highlands, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, banjir kilat berlaku disebabkan kecetekan sungai yang melingkari Lembah Bertam menyebabkan ia tidak dapat menampung kapasiti air yang dilepaskan Empangan Sultan Abu Bakar.

"Saya mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran melaksanakan projek mendalamkan Sungai Bertam. Saya akan mohon kepada Perdana Menteri meluluskan segera peruntukan projek itu yang dianggarkan menelan belanja RM40 juta," kata beliau ketika meninjauu keadaan banjir lumpur di Lembah Bertam semalam.

Palanivel yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, kesemua 300 penduduk di Lembah Bertam yang membina penempatan di tebing Sungai Bertam bakal dipindahkan ke penempatan baharu yang terletak tidak jauh dari perkampungan asal mereka.

Penggiat labu sayong Kuala Kangsar dilantik Adiguru Kraf

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SUNGAI SIPUT - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) melantik seorang penggiat labu sayong, Zulkafly Pandak Bedin, 65, sebagai Adiguru Kraf semalam.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, pelantikan Zulkafly yang sudah 39 tahun bergiat dalam perusahaan membuat labu sayong adalah sebahagian daripada usaha agensi tersebut untuk memelihara dan memperkembang seni kemahiran tradisional berkenaan.

“Adiguru Kraf berperanan sebagai pakar rujuk kepada Kraftangan Malaysia selain menjadi tenaga pengajar bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada generasi muda," katanya selepas majlis menandatangani dan penyerahan watikah Adiguru Kraf kepada Zulkafly di pejabat Kraftangan Malaysia cawangan Perak di Enggor dekat sini semalam.

Mohd. Kamil berkata, Zulkafly adalah salah seorang daripada tiga tokoh kraf tempatan yang dilantik sebagai Adiguru Kraf pada tahun ini selain seorang pembuat bot di Terengganu, Hasni Ali dan pengiat kraf sulaman di Kelantan, Nik Rahimah Nik Idris.

Tambahnya, kesemua Adiguru Kraf tersebut akan berkhidmat dengan Kraftangan Malaysia selama lima tahun sehingga tahun 2018.

“Selain wang tunai RM5,000, mereka juga akan menerima elaun bulanan RM500 dan layak menerima kemudahan perubatan kelas pertama di hospital kerajaan sepanjang tempoh pelantikan,” katanya.

Sementara itu, Zulkafly berkata, dia mewarisi seni pembuatan labu sayong daripada kedua ibubapanya, Pandak Bedian Anjang Hussein dan Chah Ngah Said.

Dia yang lebih mesra dipanggil Cikgu No memberitahu, beliau telah mengukir labu sayong sejak belasan tahun dan masih menjalankan perniagaan seni kraf tangan tersebut di Kampung Kepala Bendang, Sayong, Kuala Kangsar dekat sini.

“Saya lebih gemar menggunakan teknik picit dan ukir menggunakan tangan tanpa bantuan mesin dalam pembuatan labu sayong kerana selain memberi lebih kepuasan, itulah seninya,” katanya.

Monday, November 4, 2013

Dua termasuk drebar bas parah, perjalanan ke Hatyai tergendala

KUALA KANGSAR - Perjalanan 25 penumpang termasuk tujuh warga asing ke Hatyai, Thailand tergendala apabila bas ekspres yang mereka naiki merempuh sebuah loridi Kilometer 231.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.40 pagi itu, pemandu bas ekpres, Saiful Ikhsan Mohamad, 27, dan seorang penumpang cedera parah manakala 24 penumpang yang lain cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, ketika kejadian, bas tersebut yang bertolak pada pukul 11 malam kelmarin dari Stesen Pudu Sentral, Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Hatyai.

"Kenderaan itu hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum merempuh belkang sebuah lori yang membawa muatan bitumen.

"Rempuhan tersebut menyebabkan pemandu bas patah kaki akibat tersepit di tempat duduk selepas bahagian depan kenderaan itu remuk," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Beng Kang, pasukan bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa sebelum di bawa ke Hospital Taiping dekat sini bagi menerima rawatan.

Sebanyak 24 penumpang yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping.

Sementara itu, salah seorang penumpang, R. Venny, 33, mendakwa, sebelum kejadian, dia yang duduk di barisan kedua melihat pemandu bas tersebut seolah-olah mengantuk.

"Bas tak laju tetapi pemandunya nampak macam mengantuk.

"Saya nasihat dia supaya singgah berehat semasa menghampiri hentian rehat Tapah (arah utara) tetapi dia beritahu tidak perlu kerana (dia) baru bertukar syif," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutran Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

Jumpa mayat bapa pada Hari Deepavali

IPOH - Hasrat seorang remaja untuk menyambut perayaan Deepavali bersama bapanya tidak kesampaian apabila lelaki itu ditemui mati dengan berlumuran darah di rumah mereka di Taman Cemerlang, Hutan Melintang dekat sini kelmarin.
Mayat R. Kanavathi, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori dijumpai dalam keadaan terkulai di atas sofa di ruang tamu rumah berkenaan oleh anaknya yang berusia 14 tahun dari Klang, Selangor.
Remaja lelaki itu yang terkejut melihat mayat bapanya memaklumkan kejadian tersebut kepada salah seorang bapa saudaranya yang tinggal di kawasan berdekatan sebelum  pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Hutan Melintang mengesahkan kematian mangsa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika dijumpai, mangsa yang dalam keadaan terduduk memakai baju T berwarna putih dan berseluar dalam.

"Terdapat kesan tetakan di bahu dan lengan kiri si mati, bibirnya luka manakala dua batang giginya patah.

"Siasatan mendapati si mati tinggal seorang diri di dalam rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan di sini untuk dibedah siasat.

"Setakat ini, polis percaya mangsa mati akibat dibunuh namun motif kejadian masih dalam siasatan," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Sunday, November 3, 2013

Gempar kepala kereta api terbakar

KUALA KANGSAR - Seramai 442 penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) cemas selepas kepala kenderaan itu terbakar ketika melalui sebuah jambatan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru, Enggor dekat sini semalam.
Ketika kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, kereta api Senandung Langkawi tersebut dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke KL Sentral di Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu.
"Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa melibatkan penumpang mahupun kakitangan KTMB. Kebakaran hanya melibatkan kepala kereta api berkenaan dan kebakaran tidak merebak ke gerabak lain.
"Penumpang dibenarkan berada di dalam gerabak masing-masing sewaktu operasi memadamkan api menggunakan 18 alat pemadam api," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beng Kang berkata, kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.30 pagi dan semua 13 gerabak yang membawa penumpang di bawa ke Stesen Keretapi Kuala Kangsar kira-kira lapan kilometer dari tempat kejadian.

"Penumpang kemudian meneruskan perjalanan dengan gerabak yang sama namun menggunakan kepala kereta api gantian," katanya sambil memberitahu punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat.

Ini merupakan kejadian terbaharu melibatkan kereta api mili KTMB selepas tiga gerabak trennya tergelincir daripada landasan di Kilometer 354.88 berdekatan stesen Rawang kelmarin.

Kejadian pada pukul 10 pagi itu melibatkan tren yang membawa 120 penumpang dan dalam perjalanan dari Tanjung Malik, Perak ke Rawang.