Translate

Thursday, October 17, 2013

Niat baik bertukar tragedi

BAGAN SERAI - Niat baik tiga lelaki membantu seorang pemandu bas ekspres yang tersepit dalam kemalangan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan lain semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 5.15 pagi di Kilometer 190.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Bukit Merah itu mengorbankan Mat Dan Mat, 61.
Mangsa merupakan pemandu bas ekspres lain yang berhenti untuk membantu Habdul Ghani Jantan, 46, yang patah kaki kiri.
Dua lagi lelaki yang cuba membantu Habdul Ghani pula cedera parah. Mereka ialah Abdul Manaf Zainal Abidin, 47, yang bekerja sebagai pemandu bas ekspres dan Rajamuniandy, 37, seorang pemandu lori.

Seorang saksi, M. Kunalan, 52, berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila bas ekspres yang dipandu Habdul Ghani merempuh belakang sebuah lori membawa serbuk kapur menyebabkan ia terbabas dan melintang di laluan tengah lebuh raya berkenaan.

"Saya lihat bahagian depan bas ekspres itu remuk. Ada beberapa orang awam cuba membantu pemandu bas ekpres yang tersepit.

"Tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang dipandu seorang wanita merempuh orang awam tersebut menyebabkan seorang daripada mereka terpelanting ke laluan bertentangan," katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan memberitahu, Mat Dan dari Pokok Sena, Kedah yang tercampak turut digilis oleh beberapa kenderaan lain.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

"Rajamudiandy dirawat di hospital sama manakala Abdul Manaf dan Habdul Ghani dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan," katanya.

Tujuh penumpang bas ekpsres yang dipandu Habdul Ghani mengalami kecederaan ringan.

Jelas Mat Fauzi, pihaknya telah mengambil keterangan daripada pemandu Grand Livina yang berusia 23 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

No comments:

Post a Comment