Translate

Sunday, October 6, 2013

Mayat dua lelaki dalam but mangsa culik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Dua lelaki yang mati dibunuh sebelum mayat mereka ditinggalkan di dalam but sebuah kereta Proton Waja di Hentian Rehat dan Rawat Alor Pongsu, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala selatan dekat Bagan Serai kelmarin disyaki mangsa culik.
Ting Liong Chin, 28, dan Seu Hong Chee, 19, dilaporkan hilang pada Rabu lalu selepas rakan Hong Chee membuat laporan polis di Pulau Pinang apabila remaja itu gagal dihubungi.
Hong Chee yang bekerja sebagai pemungut hutang di sebuah syarikat membekal alat gantian kenderaan di Pulau Pinang dan Liong Chin dari Sabah disyaki diculik di kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, susulan penemuan mayat itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 20 dan 30-an bagi membantu siasatan.
"Tiga lelaki terbabit ditahan di Pulau Pinang semalam (kelmarin) dan pagi tadi (semalam). Polis percaya dua lelaki yang dibunuh itu adalah mangsa culik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, mayat dua lelaki ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat di dalam but sebuah Proton Waja yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan Hentian Alor Pongsu.
Perkara itu terbongkar apabila seorang pekerja pembersihan terhidu bau busuk berhampiran kereta tersebut yang dalam keadaan berkunci lalu menghubungi polis pada pukul 4.05 petang untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Dzuraidi memberitahu, laporan bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini menunjukkan Liong Chin yang ditekup dengan plastik dan Hong Chee yang dijerut pada leher mati akibat sesak nafas.

Kedua-dua mangsa itu dipercayai dibunuh dalam tempoh satu hingga empat hari sebelum mayat mereka dijumpai di hentian berkenaan.

"Terdapat beberapa bahagian badan mangsa lembam dipercayai dipukul dengan ojek tumpul," kata beliau.

Tiada sebarang pengenalan diri mangsa ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, kereta Proton Waja tersebut adalah kenderaan syarikat Hong Chee bekerja.

Sementara itu, abang Hong Chee, Seu Pang Chee, 30-an, memberitahu adik bongsunya itu baru sahaja berpindah ke Pulau Pinang sejak beberapa bulan lalu selepas majikannya membuka operasi baharu di negeri itu.

"Sebelum ini, dia bekerja di Kuala Lumpur. Dia kerap menelefon keluarga kami di Johor, namun tidak berbuat demikian sejak dua hari lepas," katanya ketiak ditemui di sini.

Jelas lelaki itu, keluarganya juga tidak menerima sebarang panggilan daripada individu yang tidak dikenali bagi meminta wang tebusan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh dan Seksyen 365 kanun yang sama iaitu kesalahan menculik.

No comments:

Post a Comment