Translate

Wednesday, October 23, 2013

Markas buat DVD cetak rompak diserbu

IPOH - Sebuah sindiket yang dipercayai telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit menerusi pengedaran cakera video digital (DVD) cetak rompak di sekitar bandar raya ini sejak tiga tahun lalu berjaya dilumpuhkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Syabas, Bercham di sini pada 18 Oktober lalu.

Serbuan di premis yang dipercayai markas pencetakan DVD tersebut pada pukul 10.30 pagi itu turut mendapati sindiket berkenaan turut terlibat dalam penjualan mercun dan bunga api secara haram untuk pasaran tempatan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sewaktu serbuan dilakukan, dua lelaki yang disyaki anggota sindiket berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menyalin DVD haram berkenaan di sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat tersebut.

“Pemeriksaan di dalam bilik tersebut menjumpai tiga kotak yang mengandungi 552 DVD haram pelbagai judul termasuk lucah.

“Lapan unit mesin penyalin, tiga komputer riba, pemain DVD, pemacu DVD, sebuah televisyen, pemacu perakam DVD (DVD-RW), dua tetikus komputer dan dua wayar sambungan yang disyaki digunakan bagi melakukan kegiatan menyalin DVD cetak rompak terbabit turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Paramasivam memberitahu polis turut merampas sejumlah wang tunai bernilai RM7,300, kertas bersaiz A4, buku bil, sekotak DVD kosong, tiga beg plasatik hitam dan sarung serta pelekat DVD.

Tambah beliau, pemeriksaan turut menjumpai 21 kotak mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dipercayai mahu diedarkan di sekitar bandar raya ini sempena perayaan Deepavali minggu depan.

No comments:

Post a Comment